Showing posts with label 3R. Show all posts
Showing posts with label 3R. Show all posts

Saturday, March 8, 2025

PAS senada Anwar gesa hindari ‘tunggang agama’ demi kepentingan peribadi

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-08 Mar 2025, 11:15 AM

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada pemimpin parti tidak kira kaum supaya tidak menunggang isu agama bagi meraih kepentingan politik.
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memelihara keharmonian dan hubungan baik antara kaum di Malaysia. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: PAS senada dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim untuk menghindari tindakan mempergunakan isu agama dan kaum demi kepentingan peribadi kerana boleh merosakkan hubungan rakyat berbilang kaum.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memelihara keharmonian dan hubungan baik antara kaum dalam negara.

“PAS juga mengalu-alukan pendirian kerajaan berhubung kedudukan Islam sebagai agama persekutuan yang mesti dimartabatkan, selain keperluan semua pihak ‘tidak melanggar jalur, peraturan dan hukum’ berkait agama serta kaum.

“Penegasan ini selari dengan dasar PAS sejak sekian lama berhubung kepentingan dan keutamaan sikap saling menghormati, memahami, menghargai sebagai identiti teras masyarakat Malaysia yang berbilang kaum serta agama,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Anwar memberi amaran kepada pemimpin parti tidak kira kaum supaya tidak menunggang isu agama bagi meraih kepentingan politik.

Katanya, kerajaan tegas tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak cuba memainkan polemik 3R (kaum, agama dan institusi diraja) yang dikhuatiri akan menggugat perpaduan rakyat.

Polemik terbaharu tercetus apabila pendakwah bebas, Zamri Vinoth menyifatkan penganut Hindu yang membawa kavadi seperti “orang kena rasuk sambil mabuk todi” dalam catatan Facebook.

Beberapa Ahli Parlimen kerajaan termasuk Timbalan Presiden MIC M Saravanan, Ahli Parlimen dari DAP Ramkarpal Singh dan RSN Rayer membidas kenyataan Zamri. Saravanan turut menggesa tindakan segera diambil bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Takiyuddin berkata kegagalan kerajaan mengambil tindakan tegas, adil dan segera hanya akan mengundang respons buruk daripada kelompok terkesan.

Justeru, katanya PAS mengulangi gesaan supaya kerajaan tegas dalam mengawal dan mengurus tindak-tanduk anggotanya sendiri yang dilihat mencabar kedudukan Islam sebagai agama persekutuan.

“PAS percaya kerajaan tidak boleh mengambil pendekatan menyalahkan pihak lain semata-mata atau sekadar membuat penafian untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab.

“Tanpa tindakan tegas, telus serta adil, persepsi buruk sedia ada serta suasana tidak harmoni yang terbentuk akan menjadi tanah subur kepada pihak-pihak berkepentingan menabur angin yang berpotensi menjadi badai lebih ganas.”

Friday, March 7, 2025

Tindakan kerajaan tidak setangkas bila Islam dihina

harakahdaily.net
March 7, 2025
KUALA LUMPUR: Rakyat semakin tidak selesa berada di bawah pentadbiran Kerajaan Madani susulan tindakan yang dilihat sebagai pendakwaan terpilih dalam isu 3R, kata Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ahmad Yahaya.

Menurutnya, sikap kerajaan yang tidak tegas dalam menangani penghinaan terhadap Islam, tetapi bertindak pantas dalam isu lain menimbulkan persoalan mengenai keadilan penguatkuasaan undang-undang.

“Sikap acuh tak acuh Kerajaan Madani menangani isu 3R (agama, kaum dan raja) telah mendorong kepada kemarahan rakyat. Dewan Ulamak PAS tidak bermaksud mahu membela tindakan beberapa orang penyampai radio baru-baru ini.

“Namun mengapa secara tiba-tiba semua orang dalam Kerajaan Madani baru bercakap soal 3R. Sedangkan selama ini satu demi satu isu dibangkitkan oleh Menteri dalam Kerajaan Madani sendiri tidak diendahkan oleh sesiapa pun.

“Dewan Ulamak PAS juga sangsi bagaimana tindakan yang pantas diambil terhadap DJ radio berkenaan tidak setangkas tindakan yang diambil apabila Islam dihina oleh pihak tertentu.

“Walhal penghinaan terhadap Islam itu ibarat penghinaan terhadap negara dan Yang Di-Pertuan Agong yang memegang panji Islam dalam negara ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Beliau juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut menzahirkan dukacita dengan pendekatan kerajaan menangani isu 3R kerana ia tidak menggambarkan Kerajaan Madani benar-benar serius melihat isu itu.

“Bahkan lebih menjelikkan apabila frasa ‘perpaduan’, ‘toleransi’ dan ‘tolak ansur’ lebih diutamakan berbanding membela agama Islam. Kalau tidak mampu untuk mempertahankan Islam, gantilah kemejamu dengan kain kafan!” katanya.

Terdahulu, tular video di media sosial membabitkan tiga penyampai radio Era FM yang kononnya dikatakan telah mempersendakan ritual kavadi semasa perayaan Thaipusam.

Hakikatnya, aksi yang dilakukan itu hanyalah meniru tarian peninju, Miki Ghazali bukannya berniat menghina tarian Kavadi atau kepercayaan agama Hindu.

Walau bagaimanapun, mereka telah memohon maaf susulan kontroversi itu, namun isu itu dilihat dilayan berbeza dengan kes Harith Iskander dan Cecelia Yap yang menghina Islam. 

HARAKAHDAILY 7/3/2025

Wednesday, September 25, 2024

Kenapa 3R dan MOU

bebasnews.my
Media Gallery

Author:Editor
25/09/2024
Tun Dr Mahathir Mohamad

Oleh Dr Mahathir Mohamad

1. Tujuan sebenarnya 3R dan MOU ialah supaya mulut rakyat dan wakil mereka ditutup sehingga tidak boleh kritik Kerajaan.

2. Kerajaan PMX bukan dipilih oleh rakyat. Pakatan UMNO dengan PH berasas kepentingan diri. Sebelum Pilihanraya UMNO dakwa tidak akan terima Anwar dan DAP.

3. PKR, DAP dan Amanah pula tidak akan terima UMNO.

4. Tetapi kerana pemimpin UMNO mungkin dipenjara dan pemimpin PH tidak mungkin jadi PM, maka parti-parti yang ditolak oleh rakyat ini bergabung untuk jadi Kerajaan.

5. Jumlah gabungan ialah 112, lebih 1 dari separuh. Maka gabungan ini dapatlah diri Kerajaan.

6. Apabila gabungan ini diri Kerajaan maka parti-parti Sarawak dan Sabah pun menyertai gabungan. Jumlah Pakatan Harapan, UMNO dan Sarawak/Sabah ialah 144; menjadikan Kerajaan memiliki lebih dari 2/3 wakil rakyat. Memang kuat sekarang.

7. Parti yang terkuat dalam gabungan ini ialah DAP dengan 40 kerusi. Bagi PMX tuntutan DAP perlu dilayan jika ia ingin kekal sebagai PM. Sebaliknya UMNO dengan wakil rakyat Melayunya agak tidak senang bekerjasama dengan DAP. Jika UMNO tidak sokong gabungan, Sarawak juga tidak akan sokong.

8. Jika UMNO dan Sarawak tidak sokong Kerajaan akan jatuh. Oleh itu mulut orang Melayu perlu ditutup. Dengan itu diperkenal 3R dan kemudian MOU.

9. Tetapi gabungan ini tidak stabil.

10. Wakil rakyat pembangkang jangan tandatangan MOU.


DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
25 September 2024

(Dipetik dari https://www.facebook.com/share/p/3rqtrm5aF9TvoE4f/)

BebasNews

Tuesday, September 17, 2024

‘Hina sangatkah orang Islam bergantung punca rezeki kepada judi?’

harakahdaily.net
September 17, 2024
Ahmad Fadhli dan Lee Chin Chen.

KUALA LUMPUR: “Umat Islam perlu berasa terhina dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang pemimpin DAP yang menyatakan ‘tutup kasino Genting jejaskan ekonomi, mata pencarian umat Islam’.”

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, sekiranya tidak berasa perkara itu, tandanya hati sudah keras dan mata telah buta dari melihat hakikat bahayanya rejim Pakatan Harapan (PH).

“Ia boleh dilihat kepada komen-komen kelompok yang mempertahankan kenyataan ini. Siapa kelompok mereka, boleh kenal dengan mudah,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Pengerusi DAP Pahang, Lee Chin Chen, dilaporkan media tempatan membantah cadangan PAS Negeri Pahang untuk menutup kasino di Genting Highlands, dengan menegaskan bahawa langkah itu akan memberi kesan buruk kepada ekonomi negeri serta mata pencarian umat Islam yang bekerja di kawasan itu.

Chin menekankan bahawa Genting Highlands merupakan destinasi pelancongan utama yang telah lama menyumbang kepada pendapatan negeri dan menarik jutaan pelawat.

Chin juga menambah bahawa kasino di Genting hanya membenarkan kemasukan bukan Islam, manakala sebahagian besar pekerja di sana adalah umat Islam.

PAS Pahang sebelum ini menegaskan komitmen untuk menutup semua premis perjudian, termasuk kasino di Genting, sekiranya berjaya memenangi Pilihan Raya Umum ke-16 semasa Muktamar Tahunan PAS di Kerdau, Ahad lalu.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu mengakui terdapat cabaran dari segi bidang kuasa undang-undang, namun menyatakan bahawa PAS akan berusaha dalam ruang lingkup kuasa negeri untuk menghentikan aktiviti yang mereka anggap memudaratkan masyarakat.

Sehubungan itu, Fadhli berkata, sebab itulah kerajaan bersungguh-sungguh sangat mahu menutup mulut Ahli-ahli Parlimen pembangkang.

“(Ia adalah) Supaya jangan sesekali mengeluarkan kenyataan yang mereka sendiri akan takrifkan sebagai timbulkan kebencian.

“Dan mereka namakan ia ‘menyentuh 3R (agama, bangsa dan raja)’, supaya mereka bebas mengeluarkan apa jua kenyataan tanpa siapa boleh membalasnya,” jelas beliau.

Dalam pada itu beliau memberikan contoh kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin DAP itu yang dilihat sangat menghina orang-orang Islam.

“Hina sangatkah orang-orang Islam ini sehingga bergantung punca rezeki kepada judi?

“Tapi itulah, jika dijawab, yang bakal didakwa ialah mereka yang bangkit membela. Yang mentohmah kekal suci, dengan alasan ‘salah terjemahan’,” katanya. 

Monday, September 9, 2024

DAP masih mahu tegak benang basah isu sijil halal

harakahdaily.net
September 9, 2024
Dr Zulkeflee Yaacob

KOTA BHARU: Pemimpin DAP masih lagi dianggap mahu menegak benang basah biar pun ahli parlimen Seputeh Teresa Kok disiasat polis kerana kenyataannya menyentuh isu berkaitan raja, agama dan kaum (3R).

Pensyarah Psikososio Dr Zulkeflee Yaacob berkata, semua perkara dan hal berkaitan umat Islam dilihat buruk dan alahan oleh pimpinan DAP.

Sedangkan katanya ia termaktub dalam perlembagaan fasal 3 dan 11 tentang Islam sebagai agama Persekutuan.

“Inilah minda penjajah masih menebal dalam kasus entiti mereka apatah sejak memiliki tampuk dalam kerajaan Madani dengan dibantu Umno.

“Pelaksanaan sijil halal untuk meningkatkan kualiti produk terutama makanan, malah mengesahkan sesuatu produk itu baik dan bersih,” katanya di sini.

Sebelum ini Teresa dilapor berkata, cadangan pelaksanaan pensijilan halal ke atas restoran makanan seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasar permintaan pasaran, bukan secara pakasa.

Menurutnya cadangan mewajibkan restoran memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada peniaga kecil.

Kenyataan itu menimbulkan kemarahan pelbagai pihak sehingga Pemuda PAS di beberapa tempat termasuk Kelantan membuat laporan polis terhadap pemimpin DAP terbabit.

Sebelum itu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada kenyataan mempertimbang cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan.

Bagaimanapun Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dilapor berkata, isu sijil halal tidak harus dipolemik kerana menganggap kenyataan Teresa cuma menyuarakan kebimbangan dalam kalangan pengusaha restoran bukan Islam kemugkinan mereka juga diwajibkan mendapat sijil halal.

Dr Zulkeflee juga berkata, proses penarafan sesuatu sijil bagi menjaga kualiti sesuatu produk bersesuian dengan kehendak dan piawaian yang ditetapkan seperti ISO, MyGAP dan GMP.

“Kos bagi mendapat sijil halal bukan menjadi keutamaan bagi peniaga Muslim kerana dengan adanya sijil halal membolehkan perniagaan mereka lebih berkembang,” ujarnya. 

HARAKAHDAILY 9/9/2024

Sunday, September 8, 2024

Muhyiddin: Perjuangan Bersatu pertahan hak bumiputera, Islam dilabel 3R

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 8, 2024 8:15 PM
Perjuangan Bersatu untuk mempertahankan hak bumiputera dan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan tanpa mengganggu hak etnik dan agama lain dilabelkan sebagai kesalahan 3R (kaum, agama, dan raja), kata Muhyiddin Yassin.

Presiden Bersatu itu berkata ia berlanjutan sehingga mereka dituduh menghasut dan dibawa ke mahkamah.

“Ironinya, kerajaan ini ketika di zaman pembangkang dahulu kuat memperjuangkan hak dan kebebasan rakyat atas nama reformasi. Hari ini mereka menjadi diktator paling rakus.

"Meraka tanpa segan silu menggunakan instrumen undang-undang dan institusi kerajaan untuk menyekat kebebasan bersuara rakyat, khususnya lawan politik mereka," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini, sempena ulang tahun ke-8 Bersatu.

Muhyiddin berkata kerajaan berbuat demikian untuk kepentingan politik dan terus kekal berkuasa dengan naratif politik yang menurutnya "tidak mengiktiraf kedudukan bangsa pribumi sebagai bangsa teras di negara ini".

“Kerana itulah mereka begitu rakus menyekat kebebasan kita untuk menyuarakan hak orang Melayu dan bumiputera serta kedudukan Islam sepertimana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas perjuangan parti kita.

"Mereka melakukan perkara ini dengan cara yang paling kotor, paling tidak demokratik dan paling tidak berperlembagaan. Tindakan mencabul hak kebebasan rakyat ini bakal menjerumuskan Malaysia ke gaung negara diktator.

"Namun mereka tidak peduli kerana kebimbangan mereka hanya satu. Selagi mana kita bersuara, selagi itulah perancangan songsang mereka akan terencat,” katanya lagi.

Pada 27 Ogos, Muhyiddin mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas tuduhan menghasut di Mahkamah Sesyen Gua Musang di Kelantan.

Pertuduhan terhadap presiden Bersatu itu dirangka mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan berhubung ucapannya di Felda Perasu di Kelantan pada 14 Ogos, menjelang PRK Nenggiri.

Pengarah Lawyers for Liberty Zaid Malek menyelar pertuduhan itu, dan mengingatkan bahawa mempersoalkan atau mengkritik pelaksanaan kuasa perlembagaan oleh Yang di-Pertuan Agong bukanlah tindakan menghasut kerana raja bukanlah pemerintah feudal di negara yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan.

Dalam kenyataannya hari ini, Muhyiddin berkata walaupun Bersatu baru berusia lapan tahun, rantai perjuangan parti itu mempunyai sejarah yang panjang dan amat penting kepada kelangsungan bangsa dan tanah air di masa hadapan

"Sebagai sebuah parti nasionalis yang inklusif, Bersatu menjulang dan mempertahankan identiti Malaysia sebagai sebuah negara yang berteraskan masyarakat pribumi dan pada masa yang sama menghormati hak-hak yang sah bagi semua kaum.

"Ini adalah asas perpaduan dan keharmonian Malaysia yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan kontrak sosial yang dicapai sebelum merdeka lagi.

"Di atas asas inilah kita membina sebuah negara yang aman, harmoni dan makmur. Di atas asas ini jugalah kita mengekalkan kestabilan politik dan memacu kemajuan negara yang rakyatnya berbilang kaum dan agama. Sejak berdekad lamanya, inilah model kejayaan Malaysia.

"Namun, asas ini semakin dicabar secara terang dan halus," katanya.

Wednesday, August 28, 2024

Isu 3R: Pemuda PAS Terengganu buat laporan polis esok

harakahdaily.net
August 28, 2024
Dewan Pemuda PAS Terengganu bakal membuat laporan polis pada esok, 29 Ogos 2024 berhubung isu pengguna di platform Facebook, Ryan Azzaro memuat naik gambar atlet wanita yang diselubungi kain hitam yang menunjukkan aksi acara terjun papan anjal.

KUALA NERUS: Dewan Pemuda PAS Terengganu akan membuat laporan polis pada esok, 29 Ogos (Khamis) jam 2.30 petang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu berhubung isu 3R (Raja, Agama dan Kaum)

Isu berkenaan menjadi tular apabila pengguna di platform Facebook, Ryan Azzaro memuat naik gambar atlet wanita yang diselubungi kain hitam yang menunjukkan aksi acara terjun papan anjal dan menulis kapsyen, ‘Welcome to Afganu!’

Hal ini jelas berkait rapat dengan isu baru-baru ini bahawa Persatuan Renang Amatur Terengganu (PRAT) tampil memohon maaf atas kesilapan menghantar atlet wanita beragama Islam ke kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak tanpa pengetahuan Exco Kerajaan Negeri Terengganu.

Justeru, Pemuda PAS Kuala Nerus berkata, orang Islam tidak boleh membiarkan dan tidak boleh duduk diam begitu sahaja apa jua isu yang mempermainkan dan mempersendakan Islam.

“Semakin hari semakin menjadi-jadi golongan yang mempermainkan agama Islam kerana mereka merasakan mempunyai kabel yang besar untuk berselindung di sebalik akaun palsu.

“Kami berharap pihak polis membuat siasatan terperinci bersama agensi berkaitan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyiasat dalang sebenar menghina Islam ini,””katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Justeru, beliau berharap agar pihak berkenaan dapat mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas pelaku sekiranya tidak ditangani akan mengganggu keharmonian dalam negara dan akan menjadi lebih serius jika dibiarkan berterusan.

Terdahulu, Pengerusi Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim menegaskan bahawa penyertaan atlet wanita Terengganu dalam acara terjun di SUKMA 2024 tidak mendapat kelulusan rasmi daripada kerajaan negeri.

Hishamuddin berkata, pada dasarnya, pihaknya tetap berpegang kepada kod etika berpakaian atlet Muslim ketika bersukan yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan negeri sebelum ini.

Malangnya, penyertaan atlet wanita tersebut berlaku tanpa pengetahuan atau kebenaran beliau.

Wednesday, August 21, 2024

Hassan, LFL kecam langkah guna Akta Hasutan ke atas Muhyiddin

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 21, 2024 2:44 PM
Seorang ahli parlimen PKR hari ini mengkritik pihak berkuasa kerana menggunakan Akta Hasutan untuk menyiasat Pengerusi PN dan bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin.

Kata Hassan Abdul Karim, isu 3R tidak seharusnya mewajarkan tindakan ke atas Muhyiddin menggunakan akta tersebut yang dianggap ramai sebagai zalim.

"Amat membimbangkan jika momokan isu 3R ini digunakan oleh agensi berkuasa dan kerajaan untuk menggunakan undang-undang yang draconian seperti Akta Hasutan 1948 untuk menafikan kebebasan bercakap dan bersuara," katanya.

Menjelaskan pandangannya melalui kenyataan hari ini, Hassan berkata, lazimnya Malaysia dirujuk sebagai negara demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

Katanya, hal itu membawa maksud tersirat bahawa Malaysia merupakan negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen serta menerima sistem pilihan raya yang menentukan sesebuah kerajaan pilihan rakyat.

"Pada masa yang sama frasa raja berperlembagaan bermakna kuasa raja ditentukan oleh perlembagaan dan sistem raja di Malaysia bukanlah sistem raja yang berkuasa mutlak atau absolute monarchy," katanya dalam kenyataan hari ini

Menurut ahli parlimen Pasir Gudang itu lagi, Muhyiddin merupakan bekas perdana menteri, dan kini masih ahli parlimen semasa selain mengetuai pakatan pembangkang di Dewan Rakyat.

Tambah Hassan, dalam urusan bernegara kuasa rakyat melalui konsep demokrasi berparlimen didahulukan berbanding konsep raja berperlembagaan dan ia dapat dilihat dalam Perlembagaan Persekutuan.
Hassan Abdul Karim
"Soal kebebasan asasi, seperti tercatat pada perkara 5 menjadi teras utama demokrasi diletakkan di bahagian awal Perlembagaan Persekutuan, manakala peruntukan perlembagaan bagi Yang di-Pertuan Agong - contohnya perkara 32 - diletakkan di Bahagian IV Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Hassan juga menegaskan, menurut undang-undang Malaysia ialah sebuah negara demokrasi yang menolak sistem raja feudal mutlak dan hal itu tercatat melalui Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.

Bertentangan dengan demokrasi

Peruntukan itu, katanya, menyatakan bahawa semua orang adalah sama di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama.

“Perkara itu perlu dijelaskan kerana terdapat kecenderungan semasa untuk cuba mengurangkan kebebasan rakyat atau pemimpin untuk bersuara dengan mewujudkan momokan kesalahan mengikut 3R,” katanya lagi.

Sementara itu, badan pemerhati hak asasi manusia Lawyers For Liberty (LFL) turut mengecam tindakan menggunakan Akta Hasutan terhadap Muhyiddin.

Pengarah LFL, Zaid Malek, berkata peranan Yang di-Pertuan Agong dalam melaksanakan kuasa baginda di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan bukanlah satu perkara yang tidak boleh diteliti atau dibincangkan secara umum.

"Peruntukan itu dengan jelas menyatakan bahawa Agong mesti melantik seorang perdana menteri yang mungkin mendapat kepercayaan majoriti Dewan Rakyat.

"Ia berikutan perbincangan mengenai penentuan keyakinan majoriti tidak boleh dilarang atau disekat," katanya.

Menurut Zaid dalam sistem demokrasi, pelaksanaan tugas atau kuasa perlembagaan tidak boleh berlaku di luar perbincangan atau kritikan.

“Pemimpin PH nampaknya sudah lupa bagaimana mereka bersatu di belakang mendiang Karpal Singh atas pertuduhan mengikut Akta Hasutan kerana mempersoalkan Sultan Perak dalam menentukan isu kepercayaan menteri besar Perak ketika itu Nizar Jamaluddin.

"Kerajaan pimpinan PH kini telah melampaui batas dan melarang sebarang penelitian terhadap pelepasan kuasa perlembagaan oleh raja atau raja-raja. Ini pada asasnya bertentangan dengan tadbir urus demokrasi.

"Tidak kira kebenaran dakwaan Muhyiddin, tidak ada justifikasi untuk penggunaan Akta Hasutan.

"Undang-undang zaman kolonial kuno ini tidak mempunyai tempat dalam negara yang berperlembagaan dan demokratik," tambahnya.

[Baca berita penuh]
View Synonyms and Definitions

Tuesday, August 20, 2024

Kontroversi Muhyiddin: Pemuda Bersatu salahkan Suara Keadilan

malaysiakini.com
Shahrin Aizat Noorshahrizam & Sheha Mohd Amin
Diterbitkan: Aug 20, 2024 12:25 PM
Pemuda Bersatu hari ini menyalahkan lidah rasmi PKR, Suara Keadilan, sebagai punca Muhyiddin Yassin menjadi sasaran kemarahan orang ramai.

Ketuanya Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal malah berkata Suara Keadilan sudah melakukan perbuatan sebegitu untuk mencetuskan ketegangan beberapa kali sebelum ini.

"Punca berlaku ketegangan, puncanya bukan kami (Bersatu).

"Puncanya Suara Keadilan, portal yang menghasut dan memfitnah Muhyiddin Yassin, memfitnah PN," katanya kepada media di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu Wan Ahmad Fayhsal yang juga ahli parlimen Machang membuat laporan polis untuk mengadukan klip ucapan Muhyiddin sewaktu berkempen di Nenggiri baru-baru ini.

Pemuda Bersatu mendakwa rakaman video berkenaan disunting untuk memburukkan pemimpin PN terbabit sekali gus dikaitkan dengan isu sensitif membabitkan raja Melayu, agama dan bangsa (3R).

"Dan ini bukan kali pertama tuan-tuan, sudah banyak kali," dakwa Wan Ahmad Fayhsal lagi.

Mengulas lanjut, dia mengulangi kenyataan presidennya itu semalam dengan mendakwa Muhyddin hanyalah menyebutkan fakta iaitu Pengerusi PN terbabit mendapat sokongan 115 ahli parlimen sekali gus melayakkan dia menjadi perdana menteri ke-10.

[Laporan lanjut menyusul]
View Synonyms and Definitions

Ganti Muhyiddin jika tak mahu ditolak pada PRU16, PN diberitahu

freemalaysiatoday.com
Nora Mahpar
-20 Aug 2024

Penganalisis berkata kenyataan berunsur 3R pada PRK Nenggiri yang menyentuh kewibawaan Sultan Pahang ketika menjadi Agong berpotensi merosakkan reputasi PN.
Ucapan Muhyiddin Yassin pada kempen PRK Nenggiri dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang ketika baginda menjadi Agong. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) perlu mempertimbangkan pengganti Muhyiddin Yassin mengetuai gabungan itu susulan ‘beban’ ditanggung akibat kontroversi membabitkannya dengan institusi raja, kata penganalisis.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, kenyataan berunsur 3R (kaum, agama, raja) pada PRK Nenggiri yang menyentuh kewibawaan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong berpotensi merosakkan reputasi PN.

Katanya, kenyataan presiden Bersatu jika diulang olehnya atau pemimpin lain dalam PN boleh menyebabkan rakyat menolak gabungan itu pada masa depan memandangkan kesedaran terhadap isu 3R semakin meningkat.

“Ramai menyifatkan isu itu (3R) dalam kempen politik sebagai tidak bertanggungjawab. Ucapan keterlaluan hanya mendorong pengundi memilih alternatif lebih stabil dan bersifat sederhana, jika gagal tanganinya mereka boleh rugi untuk jangka panjang.
Awang Azman Pawi.
Kontroversi terkini membabitkan Muhyiddin dan Sultan Pahang sememangnya menambah tekanan kepada PN untuk pertimbang kepimpinan baharu, katanya kepada FMT.

Awang Azman berkata, sebagai ganti PN memerlukan pemimpin mempunyai kebijaksanaan politik, cekap mengurus krisis dan telus untuk memastikan kontroversi itu tidak berulang, pada masa sama menawarkan kepimpinan lebih sederhana dan diterima masyarakat.

Sebelum ini, tular di media sosial ucapan Ahli Parlimen Pagoh yang dikatakan menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Dalam ucapannya, Muhyiddin mendakwa mendapat sokongan 115 Ahli Parlimen selepas PRU15 dan sepatutnya dipanggil oleh Agong ketika itu untuk dilantik perdana menteri ke-10.

Semalam, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah murka terhadap kenyataan itu yang disifatkan memperlekeh peranan Sultan Abdullah ketika menjadi ketua negara.

Bagaimanapun, Muhyiddin menegaskan ucapannya adalah kenyataan fakta dan tidak bermaksud menghina institusi raja, sambil berkata akan menjelaskan perkara itu dalam siasatan polis yang keterangannya dijangka diambil hari ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim dilantik perdana menteri pasca PRU15 selepas menerima sokongan Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk mengetuai pentadbiran kerajaan perpaduan.

Tak boleh elak

Sementara itu, Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata tindakan Muhyiddin berkemungkinan dilakukan sesiapa sahaja sebagai pembangkang kerana keputusan tidak memihak kepada mereka dalam pelantikan perdana menteri.
Lau Zhe Wei.
Cuma kenyataan 3R Muhyiddin itu telah melampaui batas sehingga Tengku Mahkota Pahang mengeluarkan kenyataan murka, katanya membayangkan isu itu akan menjadi modal jangka panjang lawan PN.

Salawati Mat Basir dari Universiti Kebangsaan Malaysia bagaimanapun berpandangan, situasi itu tidak boleh dielakkan walaupun PN menampilkan ‘tokoh’ baharu sebagai pemimpinnya.

Kalau kita tampilkan tokoh baharu pun…kalau nak terlepas cakap dia akan terlepas juga, katanya memaklumkan pemimpin seterusnya mempunyai tugas berat untuk tidak terbawa-bawa dengan ucapan 3R yang sinonim dengan cara berkempen PN.

Kalau nak ada pemimpin baharu pun, mulut kena jaga tapi bagi saya tak boleh sebab ahli politik khususnya pembangkang sikap dia akan mengkritik.
Rephrase with Ginger (Ctrl+Alt+E)

Saturday, March 30, 2024

Video diedit larang sebut kafir - Fadhlina terima ugutan

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 30, 2024 9:03 PM
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menerima ugutan di alam maya susulan perkongsian video dan imej yang telah diedit pada hantaran di Facebook dan tular di media sosial.

Hantaran yang tular itu menuduh Fadhlina menyebut "perkataan kafir pun saya haramkan di rumah" dan "perkataan kafir pun saya haramkan di rumah saya."

Lantaran itu, Fadhlina berkata pihaknya telah melaporkan kepada pihak berkuasa dan akan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya.

"Ujaran kebencian, tuduhan tidak benar, malah ancaman keselamatan diterima di alam maya.

"Laporan polis telahpun dibuat, atas faktor keselamatan.

"Manakala atas nasihat pasukan peguam, kesemua bukti daripada hantaran, komentar, dan mesej peribadi di media sosial yang pelbagai sedang dikumpulkan dan tindakan undang-undang akan diambil.

"Mungkin ada yang memang bertindak dengan sengaja, ada pula bertindak melulu atas kejahilan," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan setiausaha politik kepada menteri pendidikan Atiqah Syairah Shaharuddin telah membuat laporan polis susulan hantaran tular itu.

Dalam laporan polis yang dilihat Malaysiakini, Atiqah berkata hantaran tersebut telah menyebabkan Fadhlina menerima pelbagai reaksi negatif daripada netizen.

"Saya bimbang keselamatan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek kerana isu ini akan menjadi isu 3R (kaum, agama dan raja-raja)," katanya pada laporan itu.

Thursday, March 21, 2024

Lelaki hina Islam berkait isu stoking kalimah Allah ditahan

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
21 Mar 2024, 05:21 PM

Lelaki berusia lingkungan 35 tahun ditahan di Cheras, semalam.
Minggu lalu tular di media sosial berhubung penjualan stoking kalimah Allah selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki berhubung hantaran menghina Islam di media sosial berkaitan isu penjualan stoking tertera kalimah Allah di kedai serbaneka KK Mart.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata lelaki berusia lingkungan 35 tahun yang juga pemilik serta pengendali akaun Facebook “Chiok Wai Loong” ditahan di Cheras, Kuala Lumpur, semalam.

“Permohonan reman bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dibenarkan selama empat hari mulai 21 hingga 24 Mac,” katanya dalam kenyataan.

Suhaily berkata, kes disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci atau niat jahat atau memudaratkan perpaduan.

Katanya, kes juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Polis menggesa orang ramai menjadi pengguna media sosial yang bijak dan berhemah serta elakkan daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan terutamanya melibatkan isu 3R (kaum, agama, raja),” katanya.

Minggu lalu, tular di media sosial berhubung penjualan stoking kalimah Allah di premis berkenaan selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Thursday, September 21, 2023

Muhyiddin ‘menghadap’ polis lagi, siasatan 3 jam

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 21, 2023 1:36 PM
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin hari ini ‘menghadap’ polis lagi bagi membantu siasatan berkaitan kes 3R (agama, raja dan kaum).

Media melaporkan disiasat di pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) di Kuala Lumpur.

Dia hadir pada jam kira-kira 9.15 pagi dan dan beredar kira-kira jam 12 tengah hari, hampir tiga jam.

Anggota parlimen Pagoh yang juga presiden Bersatu itu tidak memberikan sebarang kenyataan kepada media.

Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman menyiasat Muhyiddin bawah Seksyen 4(A) Akta Kesalahan Pilihan Raya dan Seksyen 233 serta Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Pada 3 September lalu, dia dikatakan mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dalam ceramah semasa kempen pilihan kecil raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Johor.

Dia antaranya berkata orang Melayu tidak lagi menguasai kerajaan.

Monday, August 7, 2023

ULASAN | Orang politik tak hirau nasihat Agong jaga adab, bicara

malaysiakini.com
Atriza Umar
Diterbitkan: Aug 7, 2023 8:00 PM
ULASAN | Masihkah kita ingat bahawa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, ulama dan tokoh agama sebelum ini berulang kali mengingatkan orang politik supaya menjaga adab, bicara dan lidah ketika berkempen?

Namun, nasihat yang diberikan itu seakan 'masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.’

Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu semakin mendekat.

Menjelang tarikh ‘pesta demokrasi’ itu berlangsung, setiap calon, parti yang bertanding gigih turun ke lapangan untuk berkempen dan mendekati para pengundi.

Tidak terkecuali, media sosial turut diperhangatkan dengan bahan-bahan kempen memperkenalkan calon-calon yang bertanding.

Paling banyak keluar dalam layar ‘muka buku’ ialah berkaitan biodata calon.

Setiap pengundi yang belum mengenali siapakah calon wakil rakyat mereka, tentunya ingin mengenali latar belakang calon agar dapat membuat pilihan yang terbaik.

Sentimen 3R

Parti yang bertanding berusaha ingin calonnya menang dalam pilihan raya. Namun, masih terdapat lagi segelintir calon dan ahli-ahli mahupun pimpinannya tidak mengamalkan politik yang matang.

Apa tidaknya, sikit-sikit akan mengaitkan sesuatu yang tidak sewajarnya terhadap parti lawan.

Sedarkah kita, antara tonggak utama dalam amalan demokrasi adalah dengan meraikan perbezaan?

Malah, berbeza pendapat dianggap sebagai hak yang harus sentiasa diraikan.

Sebab itu, ia antara komponen yang penting dalam perjalanan demokrasi sesebuah negara selain pilihan raya.

Namun, sangat berbeza dengan situasi politik di negara ini sewaktu berkempen.

Sesetengah calon, ahli mahupun pemimpinnya, masih menggunakan sentimen yang tidak sewajarnya iaitu 3R iaitu kaum (race), agama (religion) dan institusi diraja (royal) semata-mata untuk meraih sokongan para pengundi.

Hakikatnya, perkara itu tidak wajar kerana ia akan mencetuskan suasana yang tidak harmoni mahupun sejahtera.

Barangkali amalan demokrasi setiap kali pilihan raya diadakan ini masih belum difahami oleh semua peringkat terutamanya pucuk pimpinan parti, calon, ahli dan masyarakat.

Apa tidaknya, walaupun berkempen adalah sebahagian daripada proses demokrasi itu, namun masih wujud perbuatan saling mencela, menghina, mengutuk dan memburukkan pesaing.

Perbuatan ini amat bertentangan dengan seruan supaya semua parti serta calon berkempen secara berhemah dan beradab, bahkan ia amat bertentangan dengan ajaran Islam serta kepercayaan lain.

Kematangan politik Indonesia

Memetik kata-kata Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis, mungkin kita harus mencontohi Indonesia.

“Satu ketika dahulu kita jauh meninggalkan mereka dari segenap sudut.

Namun, Indonesia semakin dekat mengejar kita. Lihatlah bagaimana laporan Bank Dunia 2019 terhadap Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang berkembang sekitar 5.1 peratus berbanding Malaysia (4.6 peratus).”

Tambahnya lagi, KDNK itu berkembang walaupun ranking Indeks Daya Saing Global (GCI) World Economic Forum (WEF) 2019 meletakkan Malaysia di tangga ke-27 berbanding Indonesia (50).
“Apakah semua itu berlaku dengan secara tiba-tiba? Jawapannya sudah tentu tidak. Hal itu terjadi disebabkan adanya kematangan politik dan perasaan mendahulukan negara dalam setiap perkara,” ujarnya.

Indonesia pasca-Orde Baharu telah menukar cara berpolitik negara itu kepada yang lebih matang dan terbuka.

“Perubahan drastik sistem pemerintahan dan pendekatan baharu menggantikan cara lama mengubah hala tuju politik negara itu yang sinonim dengan amalan korupsi, kronisme dan nepotisme (KKN) kepada ketelusan dan keberhasilan.”

Dalam pada itu, tentunya semua itu berlaku kerana amalan politik yang matang dan budiman. Politik Indonesia selepas era reformasi berjaya membentuk nuansa baharu yang melihat politik sebagai medan membaiki negara.

Disebabkan itulah kita dapat menyaksikan peningkatan ketara dalam politik Indonesia hasil daripada perubahan itu.

Malaysia yang lebih baik

Terdahulu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mengingatkan semua pihak yang berkempen supaya menjaga adab dan tata susila sepanjang berkempen.

Begitu juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Dr Mohd Na'im Mokhtar turut memberikan peringatan yang sama meminta calon PRN di enam negeri menjaga adab dan mengelak menghina orang lain ketika berkempen, termasuk menjauhkan perbuatan memfitnah apatah lagi tingkah laku yang boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat.

Perlu disedari oleh setiap parti, calon dan jentera kempen, pilihan raya bukanlah medan memaki hamun, memburukkan orang lain dengan memfitnah.

Sebaliknya, ia adalah pentas untuk ‘mempromosikan’ calon dan parti dengan sesuatu tawaran yang baik dan menarik, agar rakyat memberi percaya untuk mengundi mereka, selain menerangkan perancangan ekonomi dan hal berkaitan kebajikan rakyat.

Dengan kata lain, pilihan raya adalah ruang untuk memberikan kefahaman yang jelas hasrat calon dan parti, apakah yang ingin dipersembahkan mereka bagi melihat kawasan yang ditandinginya lebih menyerlah daripada biasa, jika mereka menang nanti.

Justeru, kita sebagai rakyat khususnya calon yang bertanding seharusnya mengambil pedoman agar melaksanakan politik matang bagi merealisasikan negara Malaysia yang lebih baik.

Antaranya ketika berkempen, ceramah politik menyampaikan hasrat dan sasaran yang ingin dicapai jika menjadi calon yang menang di sesuatu kawasan tersebut, selain menghentikan budaya menghina, memfitnah dan memperlekehkan calon semata-mata unsur kebencian atau saingan.

Tinggalkanlah segala amalan buruk yang tidak memberi manfaat kepada parti dan pengundi.

ATRIZA UMAR ialah pegawai Jabatan Komunikasi dan Media, Pertubuhan Ikram Malaysia.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Tuesday, July 18, 2023

Sanusi tiba di mahkamah bagi berdepan tuduhan

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jul 18, 2023 9:21 AM
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tiba di Mahkamah Selayang di Kuala Lumpur pagi ini, bagi menghadapi pertuduhan berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja) dalam ceramah politiknya.

Muhammad Sanusi, 48, yang memakai kemeja putih dan berseluar hitam tiba di mahkamah pada 8.57 pagi.

Beliau yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Kedah dilihat tenang dan tersenyum kepada pihak media ketika berjalan masuk ke bangunan berkenaan.
Sementara itu, petugas media daripada pelbagai agensi berita mula berkumpul sejak 7 pagi untuk membuat liputan kes berkenaan.

Menerusi hantaran di laman Facebook Muhammad Sanusi, beliau ditahan polis kira-kira 3 pagi tadi di sebuah hotel di sini dan dibawa menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) polis ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.

Media baru-baru ini melaporkan ucapan Muhammad Sanusi pada satu ceramah politik di Selangor dikatakan menghina institusi diraja Selangor.

Muhammad Sanusi dalam video ucapannya yang tular dikatakan menghina Sultan Selangor ketika membandingkan urusan pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Kedah dan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor.

Susulan itu, pelbagai pihak tampil membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.
Pada 13 Julai, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain pada sidang media khas berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan terhadap Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional itu berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R dalam ceramah politiknya.

Razarudin berkata siasatan berkaitan 3R itu dibuat mengikut Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

- Bernama

Sunday, July 9, 2023

Sentuh isu 3R:Polis siasat Guan Eng

satuberita.my
By Admin
-July 9, 2023
Lim Guan Eng

TIMBALAN Pengarah (Forensik/Perancangan Strategik) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk G. S. Suresh Kumar hari ini mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.

Menurutnya, siasatan tersebut berhubung kenyataannya yang menyentuh isu 3R (agama, raja dan kaum).

Beliau berkata, siasatan dijalankan selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima beberapa laporan polis berkait perkara itu.

“Laporan polis yang diterima itu berkaitan kenyataan Guan Eng yang dipercayai menyentuh isu 3R dengan mendakwa ‘gelombang hijau’ bakal memusnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang.

“Kenyataan itu dipercayai diucapkan beliau semasa berucap dalam program ‘Tian Fu Gong Bai Long Wang Singapore – Malaysia Tour 2023’ di Tokong Batu, Jelutong, Pulau Pinang pada 7 Julai lalu.

“Pada 8 Julai lalu (semalam), portal berita Malaysianow turut menyiarkan artikel berhubung kenyataan Pengerusi DAP itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berikutan itu, beliau berkata, Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman kini memulakan siasatan terhadap Guan Eng berhubung isu berkenaan.

Jelasnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Siasatan masih dijalankan, justeru orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan,” katanya, lapor Berita Harian.

Suresh Kumar menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Terdahulu, sebuah portal berita tempatan yang memetik laporan akhbar Bahasa Mandarin melaporkan, Guan Eng memberi amaran kepada pengundi Pulau Pinang untuk menyekat ‘gelombang hijau’ daripada bertapak di negeri itu.

Guan Eng mendakwa, ia akan mengakibatkan tokong Buddha dimusnahkan dan orang bukan Islam berdepan pelbagai sekatan.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-