Thursday, September 26, 2024

Sultan Selangor berkenan menerima permohonan ampun Menteri Besar Kedah

bharian.com.my
Oleh Norzamira Che Noh 
bhnews@bh.com.my
- September 26, 2024 
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah. Gambar kecil, Muhammad Sanusi Md Nor.

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima permohonan ampun dan maaf daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Menerusi surat titah yang dimuatnaik Selangor Royal Office, baginda menerima permohonan itu atas nama ukhwah sesama Islam serta bangsa Melayu.

"Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, semoga Datuk Seri berada di dalam keadaan sihat dan sejahtera. Permohonan ampun dan maaf Datuk Seri berkenaan kenyataan Datuk Seri pada 11 Julai 2023 di Taman Selayang Mutiara, Gombak, Selangor telah beta pertimbangkan.

"Beta dengan ini berkenan untuk menerima permohonan ampun dan maaf daripada Datuk Seri di atas nama ukhwah sesama Islam serta bangsa Melayu.

"Beta tidak mahu umat Islam sentiasa bermusuhan antara satu sama lain dan kita sesama umat Islam hendaklah sentiasa memaafkan sekiranya yang memohon maaf itu ikhlas dalam permohonan maafnya," titah baginda.

Dalam perutusan itu juga, baginda menasihati Muhammad Sanusi agar sentiasa menjaga tutur kata serta tatasusila dan jangan terlalu beremosi serta menggunakan perkataan-perkataan yang tidak baik dalam memberi syarahan kepada rakyat jelata terutama sekali apabila berada di Selangor.
"Beta tidak mahu rakyat khususnya di Selangor terpengaruh dan terbiasa mendengar kata-kata yang kesat dan tohmahan yang tidak berasas terutama sekali daripada golongan pemimpin.

"Kelakuan dan tutur kata yang baik ini amatlah penting untuk masa depan karier politik Datuk Seri.

"Sebagai seorang pemimpin, Datuk Seri harus memikirkan kesan yang akan diperolehi dari setiap tindak tanduk yang telah dilakukan. Akhir sekali, beta berharap semoga Datuk Seri akan terus berjaya dan dipermudahkan di dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab," titah Sultan Sharafuddin lagi.

Semalam, media melaporkan Muhammad Sanusi sekali lagi mengemukakan permohonan maaf kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ia berhubung kenyataannya yang didakwa mempertikaikan kewibawaan institusi kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besar negeri berkenaan.

Itu adalah permohonan maaf kedua oleh Menteri Besar Kedah itu kepada Sultan Selangor selepas kali pertama pada 14 Julai tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-