Showing posts with label bendera China. Show all posts
Showing posts with label bendera China. Show all posts

Sunday, January 26, 2025

Pamer bendera asing tanda luntur patriotik, cabar kedaulatan negara

bharian.com.my
Oleh Mohd Anwar Patho Rohman 
wananwar@bh.com.my
- Januari 26, 2025 @ 9:00am
Bendera China terpampang pada replika naga ketika perarakan kebudayaan di bandar Muar, pada 18 Januari lalu. - Foto tular

MENGIKUT Seksyen 3, Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 (Akta 193), ia memperuntukkan tiada seorang pun boleh mempamerkan mana-mana lambang kebangsaan, termasuk bendera negara asing di tempat awam atau premis kerajaan.

Namun, terdapat pengecualian kepada mana-mana orang ditauliahkan sebagai wakil diplomatik atau wakil konsular kuasa asing ke Malaysia mengikut Seksyen 4 akta berkenaan. Seksyen 5 akta itu pula memberi kuasa kepada menteri memberikan pengecualian atau permit.

Jika diimbas kembali, perbuatan mempamerkan lambang atau bendera negara asing di tempat awam di negara ini acap kali berlaku. Baru-baru ini, polis menyiasat perbuatan mempamer bendera China di Muar, Johor menerusi perarakan naga.

Sebelum itu, polis turut membuka kertas siasatan terhadap laporan mempamer bendera China pada roket di Tangkak, juga di Johor. Oktober tahun lalu, polis turut menyiasat penganjur perarakan di Dataran Teluk Intan, Perak mempamerkan bendera China.

Mempamerkan bendera China dalam acara tertentu di Malaysia sebenarnya mencetuskan kebimbangan dalam kalangan sesetengah rakyat Malaysia, walaupun pihak berkuasa berusaha meredakan kes ini bagi mengurangkan ketegangan dalam masyarakat.

Namun, perkara pokok yang tidak boleh dikompromi dalam isu ini adalah perbuatan mempamerkan bendera negara asing sebenarnya mencabar kedaulatan negara secara terbuka, menggambarkan masih ada rakyat tidak memiliki semangat patriotik terhadap negara.

Ia memberi gambaran seolah-olah kemasukan pengaruh luar ke negara ini cuba dinormalisasikan, sekali gus menjejaskan semangat kebangsaan yang seharusnya berteraskan identiti nasional Malaysia.

Isu mempamerkan bendera China atau bendera negara lain tanpa alasan munasabah juga mencabar sensitiviti politik Malaysia, terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, apatah lagi ia seperti menghalalkan usaha mempromosi fahaman komunis di negara ini.

Dalam konteks ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu memainkan peranan penting memastikan perkara boleh mencetuskan ketegangan antara kaum ini patut dielakkan.

KDN seharusnya lebih peka terhadap tanda atau elemen boleh menggugat keharmonian negara dan mengambil langkah proaktif mengawal perkara boleh menjejaskan kestabilan sosial. Jika ada pihak beranggapan isu ini sebagai masalah terpencil, ia mendedahkan betapa nipis semangat patriotik pada negara ini.

Bendera China atau sebarang simbol negara asing, jika digunakan dalam konteks tidak sesuai, boleh mencabar semangat kebangsaan Malaysia, terutama dalam kalangan masyarakat.

Walaupun hubungan antara Malaysia dan China adalah baik dari segi diplomatik, penting untuk memastikan identiti kebangsaan dan kedaulatan Malaysia tetap dihormati.

Sebagai negara berbilang kaum, Malaysia perlu mengekalkan keharmonian dan perpaduan antara etnik melalui pemahaman dan pengurusan sensitiviti bijaksana, supaya semangat kebangsaan terus kekal utuh.

Sikap 'senyap' parti nasionalisme

Antara aspek menimbulkan persoalan dalam isu ini adalah sikap 'senyap' ditunjukkan parti mendakwa memperjuangkan semangat nasionalisme, termaktub dalam Perlembagaan khususnya dalam mempertahan dan melindungi perkara teras iaitu agama, bangsa dan bahasa.

Jika sebelum ini, parti nasionalisme seperti UMNO pantas bertindak dan lantang bersuara menolak kemasukan elemen asing dalam negara, termasuk penggunaan bendera negara luar tanpa sebab, kini tiada lagi suara penentangan itu kedengaran.

Parti lain seperti BERSATU atau berteraskan Melayu dan Islam seperti PAS kurang menyengat daripada membangkitkan persoalan ini, seolah-olah reda dengan apa yang berlaku atau menganggap ia bukan satu isu penting perlu diambil berat untuk diuruskan.

Bagi ramai pihak, terutama mereka berpegang teguh kepada prinsip menjaga dan membela kedaulatan negara seperti termaktub dalam Perlembagaan, kehadiran simbol negara asing seperti bendera China boleh dilihat sebagai ancaman terhadap kedudukan semangat kebangsaan Malaysia.

Ketiadaan tindak balas ketara daripada parti nasionalis seperti UMNO menimbulkan tanda tanya mengenai bagaimana parti ini mengimbangi kepentingan politiknya, terutama hubungan dengan parti lain dalam kerajaan dengan kewajipan melindungi kepentingan negara secara keseluruhan.

Isu mempamerkan bendera China dalam negara ini yang bukan program rasmi sebenarnya mencabar kedaulatan negara serta sensitiviti politik serta sosial. Hal ini perlu ditangani berhati-hati bagi memastikan sensitiviti masyarakat Malaysia dijaga, dan sebarang pengaruh luar boleh menjejaskan keharmonian negara dikawal dengan bijak.

Semangat kebangsaan Malaysia berasaskan perpaduan antara kaum dan agama harus menjadi keutamaan dalam setiap tindakan dan keputusan diambil. Permasalahan ini bukan menyentuh soal prejudis dan subjudis, tetapi terarah memelihara kedaulatan negara.

Hakikat tidak boleh dinafikan, Malaysia dan China mempunyai hubungan diplomatik kukuh, terutama dalam bidang perdagangan dan ekonomi. Walaupun hubungan ini memberi manfaat besar kepada Malaysia, isu sensitif yang timbul seperti isu bendera tetap memberi kesan kepada identiti kebangsaan Malaysia.

Sebarang simbol atau tanda dikaitkan dengan negara asing, seperti bendera China dalam konteks tidak sesuai, misalnya dalam perhimpunan tidak relevan dengan konteks kebangsaan Malaysia, dianggap sebagai ancaman terhadap kedaulatan selain memberi isyarat salah tahap kesetiaan mereka pada negara.

Bagi memastikan semangat kebangsaan dan cintakan Malaysia terus terpelihara, penting untuk semua pihak mengelakkan penggunaan simbol asing yang boleh mencabar identiti kebangsaan atau menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan rakyat.

Malaysia perlu terus mengutamakan nilai kebangsaan menghormati semua kaum dan menjaga kesejahteraan bersama, tanpa mengorbankan hak serta kedudukan mana-mana bangsa.

Penulis adalah Penolong Pengarang Berita (Rencana) BH

Friday, October 25, 2024

'Cukup-cukuplah minta maaf '- Akmal kecam insiden kibar bendera China

malaysiakini.com
Diterbitkan: Oct 25, 2024
Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh menggesa kerajaan mengambil tindakan keras terhadap penganjur sambutan Guan Gong Sedunia berikutan insiden mengibarkan bendera China pada malam perarakan di Teluk Intan, semalam.

Dalam satu rakaman video, Akmal berkata pihaknya menolak permohonan maaf daripada penganjur terbabit.

"Apa kejadahnya, nak buat perarakan di tempat awam. Dahlah tak ada permit, angkat lagi bendera China. Tak ada satu langsung pun bendera Malaysia di situ.

"Cukup-cukuplah. Hari tu dah berlaku dalam sekolah. Hari ni nak bawa bendera China berarak di luar pula," katanya merujuk insiden di sebuah sekolah di Pulau Pinang baru-baru ini.

"Cukup-cukuplah untuk minta maaf," katanya.

Justeru, menurut Akmal, dia telah mengarahkan Pemuda Umno Perak untuk membuat laporan polis berhubung insiden itu.

"Saya nak minta juga pihak kerajaan untuk kenakan tindakan undang-undang yang keras terhadap mereka ini supaya boleh menjaga sensitiviti antara orang Malaysia.

"Tolonglah, jangan buat, dah buat nak minta maaf. Dah muak, dah bosan. Kita kenakan tindakan, kita minta polis ambil siasatan dan kita kenakan tindakan yang seberat-beratnya kepada mereka.

"Dahlah, cukuplah, asyik kita je yang kena bersabar," katanya.
Terdahulu, Persatuan Kebudayaan Guan Gong, yang menganjurkan acara itu, memohon maaf dan menjelaskan bahawa individu yang dirakam mengibarkan bendera terbabit adalah warga China dan bukan warga Malaysia.

Presiden persatuan itu, Soon Boon Hua berkata, tindakan mengibarkan bendera negara lain tidak dirancang dalam tentatif sedia ada oleh pihak pengelola.

Sementara itu, polis mengesahkan perarakan itu melanggar syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Ketua Polis Perak, Azizi Mat Aris berkata perarakan yang berunsurkan keagamaan dan melibatkan kereta berhias itu berlangsung dari pukul 8 malam hingga 11.30 malam semalam, dan disertai kira-kira 400 penonton.

"Polis telah memanggil penganjur untuk rakaman keterangan dan mereka juga akan diminta untuk mengemukakan semua peserta warga asing yang dipercayai dari China untuk membantu siasatan," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Azizi berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Lambang Kebangsaan 1949 kerana mempamerkan lambang kebangsaan negara asing di tempat awam.

'Utamakan patriotisme'

Sementara itu, Pemuda MCA menyifatkan insiden itu sebagai tindakan memalukan dan tidak patriotik terhadap Malaysia, kata ketua penerangan sayap itu Neow Choo Seong.
Dia menggesa semua pihak khususnya NGO supaya mendahulukan semangatkan cintakan negara dan patriotisme dalam setiap penganjuran acara atau apa jua majlis yang hendak diadaakn.

"'Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung' wajar dijadikan pegangan kepada kita semua, bahawa semangat patriotik dan cintakan kepada Malaysia perlu sentiasa diutamakan.

"Insiden di Menara Condong di Perak, dan sebelum itu, di sebuah sekolah di Pulau Pinang, tidak sepatutnya berlaku dan berulang lagi," katanya.

Dia berkata agensi kerajaan perlu lebih peka dan sensitif dalam memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk menganjurkan apa jua acara.

“Seharusnya setiap pengisian program diselit dengan elemen-elemen cintakan Malaysia.

“Dalam masa sama, pihak berkuasa juga perlu memberi pemantauan yang lebih terhadap penganjuran acara-acara sedemikian, lebih-lebih lagi acara yang diadakan di tempat awam, sekolah, dan destinasi pelancongan Malaysia," katanya.

Kibar bendera China: 'Kenakan tindakan tegas kepada penganjur' - Dr Akmal

bharian.com.my
Oleh Amir Mamat 
bhnews@bh.com.my
- Oktober 25, 2024 
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh. - Foto fail NSTP

MELAKA: Pemuda UMNO mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan segera ke atas insiden pengibaran bendera China ketika perarakan di Menara Condong Teluk Intan, Perak, malam tadi.

Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata ini kerana insiden itu jelas mengguris sensitiviti rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Justeru, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau mengarahkan Pemuda UMNO di semua peringkat di Perak supaya membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan segera diambil kepada penganjur perhimpunan terbabit.

"Buat perarakan di tempat awam, sudahlah tiada permit (berhimpun), kibar pula bendera China. Tiada satu pun bendera Malaysia.

"Sebelum ini sudah berlaku dalam sekolah (kehadiran tentera laut China), hari ini bawa bendera China berarak di luar pula (sehingga) Pengerusi Persatuan Kebudayaan Guan Gong selaku penganjur perarakan itu meminta maaf.

"Cukup-cukuplah minta maaf dan hari ini saya mengarahkan seluruh Pemuda UMNO di Perak untuk membuat laporan polis dan menjalankan siasatan serta mengenakan hukum keras kepada mereka," katanya menerusi video yang dimuat naik di laman sosialnya hari ini.

Ketua UMNO Bahagian Jasin itu turut meminta kerajaan memandang serius insiden berkenaan dan mengambil tindakan tegas sebagai peringatan kepada semua pihak supaya menjaga sensitiviti masyarakat majmuk di negara ini.

"Tolonglah, jangan dah buat kemudian minta maaf, orang dah muak dan bosan. Cukup-cukuplah asyik kita saja yang bersabar," katanya.

Terdahulu, media melaporkan, beberapa pihak termasuk parti politik menggesa pihak berkuasa menyiasat insiden tular bendera China dikibarkan di Menara Condong Teluk Intan.

Perkara itu didakwa menyalahi Seksyen 3 Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 iaitu tiada seorang pun boleh mempamer mana-mana lambang kebangsaan termasuk bendera negara asing di tempat awam atau di sekolah.

Justeru, tindakan terbabit boleh dianggap sebagai satu provokasi yang mencabar kedaulatan dan keharmonian negara.

Susulan itu, Pengerusi Persatuan Kebudayaan Guan Gong, Soon Boon Hua yang juga penganjur Sambutan Guan Gong Sedunia di Stesen Malaysia, memohon maaf atas insiden pengibaran bendera China itu.

Beliau dilaporkan berkata, perbuatan itu dilakukan rombongan yang berasal dari China dan tidak membabitkan warga Malaysia, malah tindakan mengibarkan bendera negara asing tidak sesekali dirancang dalam tentatif oleh pihak pengelola.

Bendera China dikibar di Teluk Intan: Penganjur mohon maaf

bharian.com.my
Oleh Muhamad Lokman Khairi
bhnews@bh.com.my
 - Oktober 25, 2024 @ 1:09pm
Laporan BH online.

TELUK INTAN: Penganjur Sambutan Guan Gong Sedunia di Stesen Malaysia, memohon maaf atas insiden pengibaran bendera China ketika perarakan di Menara Condong Teluk Intan, di sini, malam tadi.

Pengerusi Persatuan Kebudayaan Guan Gong, Soon Boon Hua, berkata perbuatan itu dilakukan rombongan yang berasal dari China dan tidak membabitkan warga Malaysia.

Beliau berkata, tindakan mengibarkan bendera negara asing tidak sesekali dirancang dalam tentatif oleh pihak pengelola.

"Sambutan Guan Gong Sedunia adalah program yang sudah berlangsung beberapa tahun dan dianjurkan dari Johor ke Kedah, dan Perak adalah salah satu stesen yang terbabit.

"Dalam setiap program sambutan ini di pelbagai negeri, pihak pengelola akan mengibarkan bendara Malaysia iaitu Jalur Gemilang sebagai simbol patriotisme. Perarakan dan sambutan di Teluk Intan adalah tidak terkecuali daripada itu.

"Sebagai pihak pengelola, saya sekali lagi memohon maaf atas insiden itu dan akan meneliti segala aspek yang perlu diperbaiki demi menjayakan program," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Pengakuan Boon Hua itu sekali gus menepis dakwaan insiden terbabit berlaku ketika Pesta Tanglung Teluk Intan yang turut dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, bulan lalu.
Sekumpulan individu dilihat mengibarkan bendera China pada Sambutan Guan Gong di Menara Condong Teluk Intan, malam tadi. - Foto tular.
Terdahulu, media melaporkan PAS Perak menggesa pihak berkuasa menyiasat insiden tular bendera China dikibarkan di Menara Condong Teluk Intan.

Pesuruhjaya PAS Negeri, Razman Zakaria mendakwa, perkara itu menyalahi Seksyen 3 Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 iaitu tiada seorang pun boleh mempamer mana-mana lambang kebangsaan termasuk bendera negara asing di tempat awam atau di sekolah.

Justeru, beliau menyifatkan tindakan terbabit boleh dianggap sebagai satu tindakan provokasi yang mencabar kedaulatan dan keharmonian negara.

Beberapa video tular di media sosial hari ini memaparkan sekumpulan individu dilihat mengibarkan bendera China di kawasan berhampiran Dataran Menara Condong Teluk Intan pada waktu malam sambil bersorak.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-