Saturday, October 19, 2024

Toleransi agama, kaum subur bawah Kerajaan Kelantan

harakahdaily.net
October 19, 2024

KOTA BHARU: Lebih 500 individu bukan Islam dibawa melawat Pasar Pokok Pinang di sini bagi menunjukan tahap toleransi kerajaan negeri yang ditadbir PAS sejak tahun 1990 hingga kini.

Di situ, masyarakat bukan Islam tidak dinafikan hak mereka menjalani kehidupan harian, malah boleh mendapatkan bahan keperluan harian walaupun bertentangan dengan ajaran agama.

Seperti daging khinzir masih boleh didapati di bandar Kota Bharu, yang dijual di Pasar Pokok Pinang yang terletak tidak jauh daripada Pejabat Perhubungan PAS Negeri Kelantan.

Lokasi sebenar adalah di Jalan Hilir Pasar yang terletak bersebelahan dengan stesen teksi di mana pelbagai barangan boleh didapati di Pasar Pokok Pinang termasuk ayam, makanan laut dan makanan kering.

Di pasar itu terdapat tujuh peniaga yang diberi lesen menjual daging khinzir di gerai khas yang disediakan dengan terdapat kira-kira 50 peniaga Melayu, Cina dan Siam mencari rezeki di situ.

Selain itu peserta Karnival Perpaduan Nasional ‘Kelantan Model Perpaduan’ turut dibawa melawat rumah ibadah bukan Islam seperti Buddha dan Hindu yang terdapat sekitar negeri terbabit.

Meskipun Kelantan dikenali negeri Serambi Makkah, namun banyak juga rumah ibadah bukan Islam yang menjadi mercu tanda serta keunikannya bertanding negeri-negeri di Malaysia.

Terdapat tiga patung Buddha terbesar di Asia Tenggara terletak di negeri ini iaitu Wat Phothikyan terletak di Bachok, dekat sini yang turut dikenali Wat Dua Naga atau Naga Kembar.

Wat Machimmaran terletak di Bunohan, Tumpat yang dipanggil ‘The Sitting Buddha’ dengan ketinggiannya mencecah 30 meter menjadikan patung Buddha terbesar di Asia Tenggara.

Seterusnya tokong besar terdapat di Wat Photivihan juga di Tumpat, ia dikenali dengan ‘The Sleeping Buddha’ di mana panjangnya mencecah 40 meter yang dibia pada tahun 1979.

Pengerusi Pusat Intergrasi Antara Kaum Kelantan (PEKA), Lim Guan Seng berkata, pihaknya diberi amanah oleh kerajaan negeri menjadi ‘pemandu pelancong’ kepada pelawat itu.

“Kita membawa mereka ini dari seluruh negara melihat sendiri keterbukaan dan kebebasan beragama diamalkan di Kelantan menjadi pegangan pimpinan kerajaan sejak 1990,” katanya.

 – HARAKAHDAILY 19/10/2024

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-