Showing posts with label Siam. Show all posts
Showing posts with label Siam. Show all posts

Friday, February 7, 2025

Kenapa kaum bukan Islam Kelantan tahu batasan agama?

harakahdaily.net
February 7, 2025


TUMPAT: Masyarakat bukan-Islam di Kelantan telah memahami apa yang menjadi larangan terhadap umat Islam untuk diamalkan terutama melibatkan makanan.

Kefahaman itu berlaku hasil hubungan baik masyarakat berkenaan dengan umat Islam di negeri ini sejak sekian lama.

Perkara itu didedahkan Ahli Dewan Negeri (ADUN) Wakaf Bharu, Rusli Abdullah pada Majlis Penerangan dan Pemimpin Bersama Rakyat sempena Tahun Baru Cina Peringkat DUN Wakaf Bharu petang semalam.

Majlis anjuran Urusetia Penerangan, Komunikasi dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan (UPKN) itu diadakan di Taman Perumahan Kulim, dekat sini.

Turut hadir pada majlis itu, Pegawai Khas Hubungan Antara Kaum Pejabat Menteri Besar Lim Guang Seng dan pemimpin masyarakat setempat.

Tambah beliau, masyarakat Tionghua di Kelantan khususnya lebih memahami batasan agama dalam meraikan perayaan bersama masyarakat Islam.

“Sebagai contoh, jika mengundang umat Islam ke majlis mereka, mereka akan memastikan makanan ditempah daripada penyedia halal dari luar serta menyediakan minuman seperti air kotak atau air mineral sebagai tanda hormat terhadap sensitiviti agama,” jelasnya.

Menurutnya lagi, selagi sesuatu perayaan tidak bercanggah dengan ajaran Islam, kerajaan negeri bersedia untuk turut serta meraikannya bersama masyarakat.

Pada masa sama, Rusli turut menasihati rakyat agar tidak terpengaruh persepsi negatif pihak luar yang tidak faham keharmonian sebenar di Kelantan.

Beliau berkata, walaupun komuniti bukan-Islam kecil, mereka tetap diraikan sebagai sebahagian daripada masyarakat Kelantan yang harmoni.
“Walaupun jumlah mereka hanya sekitar lima peratus, perpaduan kaum di negeri ini amat kukuh. Wakaf Bharu sendiri dihuni masyarakat berbilang kaum, termasuk Melayu, Cina, Siam dan India,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusetia Penerangan, Komunikasi dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan (UPKN) Razuan Awang Hamad memberitahu, kerajaan negeri terus aktif merai kepelbagaian budaya kaum minoriti di negeri ini.

Katanya, keraian itu termasuk melalui penganjuran sambutan Perayaan Tahun Baharu Cina (CNY) yang diadakan setiap tahun.

Beliau berkata, program seperti itu bertujuan memastikan kaum minoriti turut merasai manfaat di bawah pentadbiran kerajaan negeri yang berlandaskan dasar ‘Membangun Bersama Islam’.

“Kerajaan Negeri Kelantan melalui UPKN sentiasa komited menganjurkan program sambutan perayaan bagi kaum minoriti, termasuk Tahun Baharu Cina.

“Ini membuktikan semangat perpaduan yang kukuh dalam masyarakat tanpa menyentuh sensitiviti agama,” katanya.

Menurutnya, UPKN juga berperanan dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat minoriti, khususnya masyarakat Tionghua, agar mereka tidak terpinggir daripada agenda pembangunan negeri. 

– HARAKAHDAILY 7/2/2025

Saturday, October 19, 2024

Toleransi agama, kaum subur bawah Kerajaan Kelantan

harakahdaily.net
October 19, 2024

KOTA BHARU: Lebih 500 individu bukan Islam dibawa melawat Pasar Pokok Pinang di sini bagi menunjukan tahap toleransi kerajaan negeri yang ditadbir PAS sejak tahun 1990 hingga kini.

Di situ, masyarakat bukan Islam tidak dinafikan hak mereka menjalani kehidupan harian, malah boleh mendapatkan bahan keperluan harian walaupun bertentangan dengan ajaran agama.

Seperti daging khinzir masih boleh didapati di bandar Kota Bharu, yang dijual di Pasar Pokok Pinang yang terletak tidak jauh daripada Pejabat Perhubungan PAS Negeri Kelantan.

Lokasi sebenar adalah di Jalan Hilir Pasar yang terletak bersebelahan dengan stesen teksi di mana pelbagai barangan boleh didapati di Pasar Pokok Pinang termasuk ayam, makanan laut dan makanan kering.

Di pasar itu terdapat tujuh peniaga yang diberi lesen menjual daging khinzir di gerai khas yang disediakan dengan terdapat kira-kira 50 peniaga Melayu, Cina dan Siam mencari rezeki di situ.

Selain itu peserta Karnival Perpaduan Nasional ‘Kelantan Model Perpaduan’ turut dibawa melawat rumah ibadah bukan Islam seperti Buddha dan Hindu yang terdapat sekitar negeri terbabit.

Meskipun Kelantan dikenali negeri Serambi Makkah, namun banyak juga rumah ibadah bukan Islam yang menjadi mercu tanda serta keunikannya bertanding negeri-negeri di Malaysia.

Terdapat tiga patung Buddha terbesar di Asia Tenggara terletak di negeri ini iaitu Wat Phothikyan terletak di Bachok, dekat sini yang turut dikenali Wat Dua Naga atau Naga Kembar.

Wat Machimmaran terletak di Bunohan, Tumpat yang dipanggil ‘The Sitting Buddha’ dengan ketinggiannya mencecah 30 meter menjadikan patung Buddha terbesar di Asia Tenggara.

Seterusnya tokong besar terdapat di Wat Photivihan juga di Tumpat, ia dikenali dengan ‘The Sleeping Buddha’ di mana panjangnya mencecah 40 meter yang dibia pada tahun 1979.

Pengerusi Pusat Intergrasi Antara Kaum Kelantan (PEKA), Lim Guan Seng berkata, pihaknya diberi amanah oleh kerajaan negeri menjadi ‘pemandu pelancong’ kepada pelawat itu.

“Kita membawa mereka ini dari seluruh negara melihat sendiri keterbukaan dan kebebasan beragama diamalkan di Kelantan menjadi pegangan pimpinan kerajaan sejak 1990,” katanya.

 – HARAKAHDAILY 19/10/2024

Wednesday, September 20, 2023

Beras tempatan di Kelantan tak terjejas, beras Siam pilihan utama

malaysiakini.com
N Faizal Ghazali
Diterbitkan: Sep 20, 2023 
Ketika isu kekurangan bekalan beras tempatan di negeri-negeri lain, situasi sedemikian didapati tidak berlaku di Kelantan.

Ia susulan permintaan terhadap bekalan beras tempatan di negeri Cik Siti Wan Kembang kurang memberangsangkan kerana kebanyakan penduduk lebih sinonim menggunakan beras Siam.

Malah bekalan beras yang di seludup dari negara jiran mudah didapati di kedai-kedai runcit termasuk di kawasan kampung.

Tinjauan Malaysiakini mendapati di beberapa pasar raya utama, bekalan beras tempatan mencukupi dan kurang mendapat sambutan.

Walaupun harga ditawarkan sekampit beras Siam lima kilogram lebih mahal berbanding harga beras putih tempatan, boleh dikatakan majoriti pengguna di Kelantan lebih memilih beras Siam.

“Beras tempatan orang beli juga tapi jualannya tak laju sangat, jadi bekalan sentiasa cukup setakat ini.

“Mungkin sebab orang Kelantan lebih suka beli beras Siam,” kata seorang pekerja pasar raya yang enggan disiarkan namanya.
Harga beras putih tempatan dijual dengan harga RM13 bagi kampit lima kilogram (kg) hingga RM26 bagi kampit 10kg.

Harga bagi lima beras Siam pula antara RM20 hingga RM30 sekampit berbanding harga beras tempatan sekitar RM13 hingga RM15 bagi sukatan sama.

Beras Siam kampit 10kg pula jarang dijual lebih kurang RM40 tetapi penawarannya amat kurang berbanding kampit 5kg.

Seorang peniaga kedai runcit mahu dikenali sebagai Helmi, 35, berkata dia memilih untuk menjual beras Siam sepenuhnya kerana permintaan tinggi daripada pengguna.

“Kalau di kawasan kampung ini orang tak beli beras Malaysia (tempatan), orang cari beras Siam belaka. Kalau saya jual beras Malaysia pun payah laku.

“Orang di sini beli beras Malaysia kalau tak ada pilihan, apabila beras Siam tiada stok jadi terpaksa beli yang mana ada.

“Harga beras Siam lebih mahal tetapi mungkin jadi pilihan sebab kualiti lebih bagus,” katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di Kota Bharu.

‘Nasi lambat basi’

Sementara itu seorang peniaga restoran Suraini Mustapha, 48, berkata dia juga menggunakan beras Siam untuk menyediakan nasi yang dijual di kedainya.

Katanya, sebagai peniaga mereka mengutamakan kualiti nasi yang baik untuk dihidang kepada pelanggan.

“Beras Siam ini lebih berkualiti misalnya nasi susah basi, lebih kembang, lembut dan rasa lebih sedap.

“Kebanyakan peniaga nasi di Kelantan memang akan guna beras Siam. Ia lebih mudahkan kita untuk memasak,” katanya yang juga pemilik restoran Su Tomyam di Kubang Kerian.
Rosli Zakaria
Seorang pengguna Rosli Zakaria, 42, berkata dia sekeluarga menggunakan beras Siam sejak sekian lama kerana kualiti yang lebih baik.

“Saya memang guna beras Siam sebab lebih berkualiti, jadi isu bekalan beras tempatan berkurang kita tak ambil kisah sangat.

“Kita di sini tak terasa sangatlah (beras tempatan kurang),” katanya yang juga seorang tukang jahit.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-