Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Jan 22, 2025 1:15 PM
BICARA 1MDB l Najib Razak dalam keterangannya hari ini memaklumkan bahawa adalah amalan biasa bagi peguam negara (AG) untuk memberi taklimat kepada perdana menterimengenai kes berkepentingan awam.
Bekas perdana menteri itu memberitahu Mahkamah Tinggi yang bersidang di Putrajaya hari ini bagi menolak tuduhan pendakwaan bahawa dia cuba campur tangan dalam siasatan 1MDB melalui panggilan telefon pada tahun 2016 kepada timbalan pendakwa raya ketika itu, Dzulkifli Ahmad.
Najib memberikan penjelasannya semasa perbicaraan kes penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan penyelwengan dana RM2.27 bilion 1MDB terhadap dirinya. Peguam bela utamanya, Muhammad Shafee Abdullah, sedang menjalankan pemeriksaan semula.
Shafee: Adakah biasa bagi seorang peguam negara atau mana-mana timbalannya yang diberikan tugas untuk memberi taklimat kepada perdana menteri dari semasa ke semasa mengenai kes berkepentingan awam?
Najib: Ya, itu adalah amalan biasa, tetapi kami sedar untuk tidak campur tangan dalam tindakan pendakwa raya dalam kes berkepentingan awam.
Shafee: Adakah Datuk Seri boleh memberi arahan tertentu kepada Peguam Negara atau Pendakwa Raya berkaitan kes jenayah?
Najib: Tidak.
Muhammad Shafee Abdullah
Semalam, semasa pemeriksaan balas, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berhujah bahawa tidak wajar bagi perdana menteri ketika itu, Najib, untuk berbual dengan Dzulkifli berkenaan siasatan 1MDB.Semasa pemeriksaan semula oleh Shafee hari ini, Najib mengimbas kembali insiden di mana bekas menteri pengangkutan, Ling Liong Sik, didakwa di mahkamah berdasarkan keputusan peguam negara (AG), tetapi perdana menteri ketika itu tetap dipersalahkan secara tidak adil.
"Malah, saya baru teringat ada ketika seseorang didakwa dan saya yang dipersalahkan, walaupun itu keputusan AG. Saya tidak campur tangan, tetapi saya tetap dipersalahkan sebagai perdana menteri ketika itu.
"Liong Sik didakwa, itu adalah keputusan (bekas AG) Gani (Patail), tetapi saya yang dipersalahkan. Sejak itu, saya dan Ling tidak lagi bercakap," kata Najib.
Najib merujuk kepada insiden pada tahun 2010 ketika Ling didakwa di mahkamah berhubung tuduhan penipuan yang dikaitkan dengan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), satu skandal bernilai berbilion ringgit.
Namun, Ling telah dilepas dan dibebaskan pada tahun 2013.
Kes prima facie
Pada 30 Oktober, mahkamah jenayah mengarahkan Najib untuk membela diri terhadap empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana RM2.27 bilion daripada dana kekayaan berdaulat 1MDB.
Hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib berhubung syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).
Hakim memutuskan bahawa Najib perlu menjawab pertuduhan tersebut berdasarkan keterangan 50 saksi semasa peringkat pendakwaan yang berlangsung selama enam tahun sejak perbicaraan bermula pada 2019. Tertuduh pertama kali didakwa pada 2018.
Sejak keputusan prima facie, Najib telah memberi keterangan membela diri terhadap pertuduhan jenayah 1MDB.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.