Friday, January 24, 2025

PAS desak AGC rayu hukuman pada Iswardy demi wibawa Agong

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jan 24, 2025 10:15 AM
Membandingkan beberapa kes lain melibatkan Yang di-Pertuan Agong, PAS hari ini menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan berhubung hukuman ke atas seorang pemimpin PKR Sarawak semalam.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari, berkata rayuan berkenaan penting "demi memelihara wibawa institusi Yang di-Pertuan Agong dan menjamin keadilan untuk semua rakyat".

Katanya berbanding apa yang dikenakan ke atas Iswardy Morni, hukuman ke atas buruh dan suri rumah sebelum ini adalah lebih berat.

Jika tiada rayuan dikemukakan, katanya, kerajaan akan dilihat memperlekehkan institusi diraja.

"Bandingkan kes ini dengan kes buruh dan suri rumah yang masing-masing dihukum penjara enam dan lapan bulan atas kesalahan serupa.

"Perbezaan ini menimbulkan persoalan besar mengenai keadilan serta ketelusan dalam pelaksanaan undang-undang.

"Adakah status politik atau kedudukan sosial menjadi faktor yang mempengaruhi hukuman?" katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Iswardy yang juga Pengarah Strategi Jabatan Pilihan Raya PKR Sarawak didenda RM5,000 kerana disabitkan bersalah menghina Agong kira-kira empat tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, M Edwin Paramjothy, berkata Iswardy memang membuat hantaran di Facebook dengan menujukannya kepada Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Dia juga menyatakan untuk pesalah kali pertama seperti Iswardy pada umumnya mendapat beberapa tahap mitigasi, kecuali untuk kes melibatkan kesalahan sangat teruk.

Hakim juga antara lain menegaskan tiada bukti menunjukkan bahawa tertuduh melakukan salah laku yang lazim atau berulang.

Iswardy, 48, diarah menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal melangsaikan denda tersebut.

Menurut Ahmad Fadhli, jika AGC tidak mengemukakan rayuan terhadap hukuman ke atas Iswardy, persepsi orang ramai bahawa kerajaan tidak serius mempertahankan institusi tertinggi negara akan bertambah tebal.

"Justeru, demi memelihara wibawa institusi Yang di-Pertuan Agong dan menjamin keadilan untuk semua rakyat tanpa mengira status, kerajaan mesti memastikan rayuan terhadap hukuman ini difailkan.

"Kegagalan berbuat demikian bukan sahaja mencemarkan nama baik institusi raja tetapi juga mengundang ketidakpercayaan rakyat terhadap kesungguhan kerajaan dalam menegakkan kedaulatan undang-undang," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-