Saturday, February 1, 2025

Demo antirasuah: AMK bantah polis panggil 13 mahasiswa

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 1, 2025 2:05 PM
Pemuda PKR menyatakan bantahan terhadap tindakan pihak berkuasa memanggil 13 orang individu dalam kalangan mahasiswa yang menyertai Himpunan Rakyat Benci Rasuah, baru-baru ini.

Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan (AMK) Haziq Azfar berkata tindakan itu adalah tidak wajar memandangkan kerajaan tidak menghalang perhimpunan berkenaan.

“Ini kerana perdana menteri telah pun memberi jaminan kepada orang ramai sebelum perhimpunan itu bahawa kerajaan tidak akan menghalang perhimpunan berkenaan.

“Walaupun pihak berkuasa bertindak berdasarkan prosedur, keputusan memanggil peserta perhimpunan aman bagi memberi keterangan wajar dinilai semula dan ditarik balik kerana tidak sejajar dengan dasar dan pendekatan kerajaan semasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu pihak polis memanggil 13 pelajar universiti yang terlibat dalam perhimpunan antirasuah pada 25 Januari lalu untuk memberikan keterangan.

Penyelaras mobilisasi penganjur perhimpunan itu, Tobey Qi-Sean ketika dihubungi Malaysiakini memaklumkan dia menerima panggilan daripada pihak polis yang memaklumkan perkara itu.

“Saya menerima panggilan dan pesanan ringkas daripada polis hari ini sekitar jam 12.30 tengah hari (semalam).

“Senarai 13 nama pelajar telah diberikan dan kami dikehendaki memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada Ahad ini pada pukul 1 tengah hari,” katanya.

Himpunan yang diadakan Sabtu lalu mengumpulkan kira-kira 200 peserta yang berarak dari pusat beli-belah Sogo ke Dataran Merdeka di ibu negara.

Perhimpunan itu mendapat perhatian berikutan kebimbangan dibangkitkan penganjur mengenai syarat yang dikenakan oleh pihak polis.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil sebelum ini turut mempertahankan pendirian pihak berkuasa.

Bagaimanapun sehari sebelum perhimpunan itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengatakan dia tidak mempunyai masalah untuk perhimpunan itu diteruskan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-