Monday, February 10, 2025

Loke digesa jelaskan pemilihan syarikat pemeriksa kenderaan

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 10, 2025 1:08 PM
Seorang aktivis PAS mempersoalkan bagaimana Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan kementeriannya memilih tiga syarikat yang dilantik untuk menjalankan pemeriksaan kenderaan.

Nurul Islam Mohammed Yusoff berkata walaupun dia menyokong langkah kerajaan untuk memecahkan monopoli Puspakom terhadap pemeriksaan kenderaan, dia mempersoalkan latar belakang syarikat yang dilantik.

Ini kerana, katanya, tiada satu pun daripada tiga syarikat yang dipilih mempunyai rekod prestasi yang terbukti dalam sektor automotif.

“Bagaimana kementerian boleh melantik syarikat baru, syarikat tiada pengalaman berkaitan untuk menjalankan proses pemeriksaan kenderaan yang bakal melibatkan nyawa dan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya dalam catatan Facebook semalam.

Berdasarkan rekod Suruhanjaya Syarikat - yang turut disemak oleh Malaysiakini - Nurul Islam menegaskan bahawa Pakatan Petroleum Sdn Bhd dan Beriman Gold Sdn Bhd kedua-duanya terlibat dalam perniagaan yang tidak berkaitan dengan automotif.

Perniagaan Pakatan Petroleum adalah perdagangan petroleum, gas, dan perniagaan yang berkaitan, manakala Beriman Gold terlibat dalam pembinaan, telekomunikasi dan multimedia, serta keselamatan dan sistem IT.

Sementara itu, syarikat ketiga - Wawasan Bintang Sdn Bhd - menyenaraikan pemeriksaan kenderaan bermotor sebagai perniagaannya.

Bagaimanapun, Nurul Islam berkata syarikat itu baru berusia lapan bulan dan tidak mempunyai rekod prestasi awam.

"Carian aku tak jumpa sebarang pengalaman syarikat ni dalam bidang automotif," katanya.

Selanjutnya, dia mempersoalkan bagaimana sebuah syarikat berusia lapan bulan yang masih belum memfailkan penyata kewangan dan laporan audit membuktikan bahawa ia mempunyai kewangan yang kukuh.
Kewangan yang kukuh adalah salah satu kriteria utama yang Loke sebutkan semasa memilih syarikat berkenaan.

Kriteria lain yang dinyatakan ialah mempunyai sekurang-kurangnya RM10 juta modal berbayar, dimiliki anak tempatan, dan mematuhi garis panduan permohonan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan bermotor.

Nurul Islam seterusnya mempersoalkan mengapa Wawasan Bintang dianugerahkan tiga lokasi manakala dua lagi syarikat hanya diberi dua lokasi setiap satu.

Loke mengumumkan pelantikan ketiga-tiga syarikat itu pada Jumaat lalu.

Dia dilaporkan sebagai berkata bahawa pemohon yang tidak berjaya gagal memenuhi kriteria yang ketat, termasuk mengelakkan konflik kepentingan dalam perkhidmatan pembaikan, perdagangan atau pengubahsuaian kenderaan.

‘Bukan perkara mengejutkan’

Mengulas isu itu, Ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Nik Mohd Hasyudeen Yusoff dalam perkongsian di Facebooknya tampil menjelaskan mengenai isu syarikat baru yang mendapat kontrak besar.

Menurutnya situasi seperti dalam kes lantikan tiga syarikat oleh Kementerian Pengangkutan itu biasa berlaku dan bukan perkara yang mengejutkan.

"Pernah dengar ‘syarikat tujuan khas’ atau ‘special purpose vehicle’ (SPV)? Ia syarikat yang digunakan untuk tujuan tertentu sama ada oleh satu pihak atau pun usahasama. Kita ambil contoh mudah, penyenaraian syarikat pegangan pelaburan.

"Perkara ini biasa berlaku, jangan terkejut beruk pula. Katakan seorang usahawan ada tiga perniagaan yang berasingan yang jika digabungkan prestasi, kedudukan kewangan dan potensinya melayakkan syarikat-syarikat berkenaan untuk disenaraikan sahamnya.

"Jadi, usahawan berkenaan boleh memilih sebuah syarikat, sama ada yang baharu diperbadankan atau yang dah lama wujud sebagai satu syarikat kelonsong (dormant company) sebagai SPV.

"Ketiga-tiga syarikat yang nak disenaraikan itu akan disuntik ke dalam SPV berkenaan dan saham-saham baharu diterbitkan kepada pemilik asal. Jika SPV ni baru berusia sehari, adakah ia tak layak? Yang melayakkan penyenaraian saham ini ialah gabungan ketiga-tiga syarikat tadi melalui SPV sebagai syarikat pegangan pelaburan," katanya.

Tambahnya prestasi ketiga-tiga syarikat akan digabungkan secara “profoma” atau seolah-olah mereka sudah beroperasi sebagai satu kumpulan dari hari pertama lagi.

"Biasanya Bank Pelaburan selaku penasihat akan mempastikan proforma ini disediakan dengan kaedah yang mengikut undang-undang dan piawaian perakaunan.

"Jadi, janganlah pelik jika ada syarikat yang baharu ditubuhkan diberikan kontrak atau pun konsesi," katanya yang juga bekas Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-