Tuesday, February 4, 2025

Politikus ada salah memang akan takut kepada ulama

harakahdaily.com
February 4, 2025
KUALA LUMPUR: Ulama adalah pewaris para Nabi dan bukan sekadar mengajar agama di masjid, tetapi juga bertanggungjawab dalam membimbing masyarakat termasuk dalam hal politik.

Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin berkata, ulama turut mengambil berat mengenai politik bagi menjaga kepentingan umat Islam dalam pemerintahan.

“Kalau ulama tak peduli pasal politik, siapa lagi yang nak jaga kepentingan umat Islam dalam pemerintahan? Politik bukan sekadar mengenai kuasa.

“Tapi berkaitan dasar yang mempengaruhi kehidupan rakyat, halal haram ekonomi, pendidikan anak-anak, keadilan sosial dan banyak lagi.

“Kalau ulama tidak peduli soal politik, maka mereka membiarkan urusan umat Islam ditentukan oleh mereka yang mungkin tidak memahami atau tidak peduli kepada hukum Allah.

“Sedangkan Islam sendiri menuntut kita untuk mengambil berat urusan kepimpinan dan pemerintahan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook.

Jelas beliau, ulama juga akan menjadi ‘suara’ jika terdapat pemerintah yang tidak menjalankan tanggungjawab mereka dengan betul.

“Mereka perlu bersuara apabila ada ketidakadilan, memberi nasihat kepada pemimpin, dan jika perlu, terlibat secara langsung dalam sistem politik untuk memastikan pemerintahan berjalan atas dasar Islam.

“Jika mereka diam, mereka membiarkan umat ditadbir oleh sistem yang mungkin jauh daripada nilai-nilai Islam. Jadi, ulama bukan sekadar jadi pemerhati.

“Mereka perlu berperanan sebagai penasihat, pemimpin, atau sekurang-kurangnya suara yang menegur pemerintah bila ada yang tak betul.

“Sebab akhirnya, politik yang baik boleh membawa kebaikan pada umat, dan politik yang rosak boleh menghancurkan masyarakat. Hanya pemimpin yang banyak melakukan kesalahan sahaja takut pada ulama politik,” katanya.

Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini menyatakan bahawa beliau hanya menghormati ulama agama, dan bukannya ulama politik dalam satu temubual audio siar.

 – HARAKAHDAILY 4/2/2025

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-