Friday, February 21, 2025

Senjata rahsia elit untuk kuasai hartanah rakyat?

harakahdaily.net
February 21, 2025

Akta Pembaharuan Semula Bandar


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim menegaskan bahawa salah satu bahaya besar Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) ialah apabila jentera kerajaan digunakan oleh elit yang memegang kuasa, sama ada di peringkat kerajaan atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Beliau berkata, pihak berkuasa akan cuba ‘dibeli’, dirasuah atau melalui proses pendanaan politik yang licik oleh kapitalis besar yang bekerjasama melaksanakan projek pembangunan semula bandar dengan pelbagai janji manis kepada rakyat.

“Melalui undang-undang yang digubal, mereka dapat punca kuasa untuk melaksanakan,” katanya yang juga Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurut Ahmad Amzad, DAP sentiasa menuntut diadakan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan, dan beberapa hari lalu, Ahli Parlimen Cheras dari DAP dalam ucapannya di Dewan Rakyat mendesak agar Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan disegerakan.

Untuk memberi gambaran mengenai apa yang boleh berlaku di masa hadapan, beliau merujuk kepada filem RoboCop (1987) dan pembangunan Delta City oleh OmniCorp di dalam filem tersebut.

“Tema pembangunan semula bandar dan penindasan terhadap penduduk asal sangat jelas digambarkan dalam filem RoboCop (1987).

“Dalam filem ini, syarikat korporat mega bernama Omni Consumer Products (OCP) merancang untuk menggantikan Detroit yang miskin dan penuh jenayah dengan sebuah bandar futuristik yang dikenali sebagai Delta City,” katanya.

Beliau menyenaraikan tiga taktik kotor yang digunakan dalam filem tersebut, iaitu pertamanya membiarkan jenayah berleluasa.

OCP jelasnya, secara sengaja membiarkan jenayah meningkat supaya masyarakat melihat perlunya pembangunan semula yang dikendalikan oleh syarikat mereka.

Taktik kotor kedua katanya, adalah menggunakan keganasan dan pemindahan paksa, di mana penduduk asal, kebanyakannya dari kelas pekerja, ditindas dan dipaksa keluar untuk memberi laluan kepada pembangunan mewah.

Taktik ketiga menurutnya, adalah menggunakan teknologi sebagai alat kawalan, di mana OCP mencipta RoboCop sebagai alat kawalan jenayah.

Namun, pada masa yang sama jelasnya, ia juga menjadi simbol bagaimana korporat menggunakan kuasa untuk mengawal masyarakat.

Beliau berkata, filem itu menggambarkan bagaimana pembangunan bandar boleh menjadi alat eksploitasi korporat yang sering mengorbankan penduduk asal demi keuntungan dan kepentingan golongan elit.

“Tema ini masih relevan hingga hari ini, terutama dalam isu-isu gentrifikasi dan pembangunan semula bandar di seluruh dunia,” katanya.

Menurutnya, cadangan penggubalan Akta Pembaharuan Semula Bandar itu asalnya datang daripada Kerajaan DAP Pulau Pinang dan undang-undang seperti itu pernah ada di negara lain serta menimbulkan banyak masalah.

Beliau menyenaraikan beberapa isu utama yang sering timbul akibat pelaksanaan akta sebegini antaranya, pertama adalah pengusiran dan pemindahan paksa.

Menurutnya, penduduk yang telah lama menetap di sesuatu kawasan sering terpaksa berpindah akibat pembangunan baru.

Beliau berkata, pampasan yang diberikan mungkin tidak mencukupi untuk mereka mendapatkan tempat tinggal setanding.

Isu kedua jelasnya, adalah gentrifikasi, di mana apabila sesuatu kawasan diperbaharui dengan projek mewah, kos sara hidup dan harga rumah meningkat.

Akibatnya beliau berkata, penduduk asal, terutama golongan berpendapatan rendah, tidak lagi mampu untuk tinggal di kawasan tersebut.

“Isu ketiga adalah ketidakseimbangan sosial dan ekonomi. Pembaharuan bandar sering memberi manfaat kepada pemaju dan pelabur tetapi mengabaikan kepentingan penduduk asal. Wujud jurang antara golongan kaya dan miskin yang semakin melebar.

“Isu keempat adalah kehilangan identiti budaya. Banyak bangunan atau tapak warisan sejarah dimusnahkan untuk memberi laluan kepada pembangunan moden. Komuniti yang mempunyai nilai budaya tinggi mungkin lenyap akibat perubahan drastik.

“Isu kelima adalah kesan alam sekitar. Projek pembangunan besar boleh menyebabkan pencemaran udara, bunyi, dan air. Kawasan hijau dan ekosistem semula jadi sering dikorbankan untuk pembinaan infrastruktur baru.

“Isu keenam adalah kurangnya penyertaan awam. Keputusan pembaharuan bandar sering dibuat oleh kerajaan dan pemaju tanpa rundingan menyeluruh dengan masyarakat setempat. Ini boleh menimbulkan ketidakpuasan hati dan protes dari penduduk yang terkesan,” ujarnya.

Ahmad Amzad menegaskan bahawa masalah-masalah itu menunjukkan bahawa pembaharuan bandar harus dirancang dengan lebih teliti, mengambil kira kepentingan sosial, ekonomi dan alam sekitar bagi memastikan pembangunan yang lebih adil serta lestari. 

HARAKAHDAILY 21/2/2025

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-