Showing posts with label Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Show all posts
Showing posts with label Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Show all posts

Friday, February 21, 2025

Senjata rahsia elit untuk kuasai hartanah rakyat?

harakahdaily.net
February 21, 2025

Akta Pembaharuan Semula Bandar


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim menegaskan bahawa salah satu bahaya besar Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) ialah apabila jentera kerajaan digunakan oleh elit yang memegang kuasa, sama ada di peringkat kerajaan atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Beliau berkata, pihak berkuasa akan cuba ‘dibeli’, dirasuah atau melalui proses pendanaan politik yang licik oleh kapitalis besar yang bekerjasama melaksanakan projek pembangunan semula bandar dengan pelbagai janji manis kepada rakyat.

“Melalui undang-undang yang digubal, mereka dapat punca kuasa untuk melaksanakan,” katanya yang juga Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurut Ahmad Amzad, DAP sentiasa menuntut diadakan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan, dan beberapa hari lalu, Ahli Parlimen Cheras dari DAP dalam ucapannya di Dewan Rakyat mendesak agar Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan disegerakan.

Untuk memberi gambaran mengenai apa yang boleh berlaku di masa hadapan, beliau merujuk kepada filem RoboCop (1987) dan pembangunan Delta City oleh OmniCorp di dalam filem tersebut.

“Tema pembangunan semula bandar dan penindasan terhadap penduduk asal sangat jelas digambarkan dalam filem RoboCop (1987).

“Dalam filem ini, syarikat korporat mega bernama Omni Consumer Products (OCP) merancang untuk menggantikan Detroit yang miskin dan penuh jenayah dengan sebuah bandar futuristik yang dikenali sebagai Delta City,” katanya.

Beliau menyenaraikan tiga taktik kotor yang digunakan dalam filem tersebut, iaitu pertamanya membiarkan jenayah berleluasa.

OCP jelasnya, secara sengaja membiarkan jenayah meningkat supaya masyarakat melihat perlunya pembangunan semula yang dikendalikan oleh syarikat mereka.

Taktik kotor kedua katanya, adalah menggunakan keganasan dan pemindahan paksa, di mana penduduk asal, kebanyakannya dari kelas pekerja, ditindas dan dipaksa keluar untuk memberi laluan kepada pembangunan mewah.

Taktik ketiga menurutnya, adalah menggunakan teknologi sebagai alat kawalan, di mana OCP mencipta RoboCop sebagai alat kawalan jenayah.

Namun, pada masa yang sama jelasnya, ia juga menjadi simbol bagaimana korporat menggunakan kuasa untuk mengawal masyarakat.

Beliau berkata, filem itu menggambarkan bagaimana pembangunan bandar boleh menjadi alat eksploitasi korporat yang sering mengorbankan penduduk asal demi keuntungan dan kepentingan golongan elit.

“Tema ini masih relevan hingga hari ini, terutama dalam isu-isu gentrifikasi dan pembangunan semula bandar di seluruh dunia,” katanya.

Menurutnya, cadangan penggubalan Akta Pembaharuan Semula Bandar itu asalnya datang daripada Kerajaan DAP Pulau Pinang dan undang-undang seperti itu pernah ada di negara lain serta menimbulkan banyak masalah.

Beliau menyenaraikan beberapa isu utama yang sering timbul akibat pelaksanaan akta sebegini antaranya, pertama adalah pengusiran dan pemindahan paksa.

Menurutnya, penduduk yang telah lama menetap di sesuatu kawasan sering terpaksa berpindah akibat pembangunan baru.

Beliau berkata, pampasan yang diberikan mungkin tidak mencukupi untuk mereka mendapatkan tempat tinggal setanding.

Isu kedua jelasnya, adalah gentrifikasi, di mana apabila sesuatu kawasan diperbaharui dengan projek mewah, kos sara hidup dan harga rumah meningkat.

Akibatnya beliau berkata, penduduk asal, terutama golongan berpendapatan rendah, tidak lagi mampu untuk tinggal di kawasan tersebut.

“Isu ketiga adalah ketidakseimbangan sosial dan ekonomi. Pembaharuan bandar sering memberi manfaat kepada pemaju dan pelabur tetapi mengabaikan kepentingan penduduk asal. Wujud jurang antara golongan kaya dan miskin yang semakin melebar.

“Isu keempat adalah kehilangan identiti budaya. Banyak bangunan atau tapak warisan sejarah dimusnahkan untuk memberi laluan kepada pembangunan moden. Komuniti yang mempunyai nilai budaya tinggi mungkin lenyap akibat perubahan drastik.

“Isu kelima adalah kesan alam sekitar. Projek pembangunan besar boleh menyebabkan pencemaran udara, bunyi, dan air. Kawasan hijau dan ekosistem semula jadi sering dikorbankan untuk pembinaan infrastruktur baru.

“Isu keenam adalah kurangnya penyertaan awam. Keputusan pembaharuan bandar sering dibuat oleh kerajaan dan pemaju tanpa rundingan menyeluruh dengan masyarakat setempat. Ini boleh menimbulkan ketidakpuasan hati dan protes dari penduduk yang terkesan,” ujarnya.

Ahmad Amzad menegaskan bahawa masalah-masalah itu menunjukkan bahawa pembaharuan bandar harus dirancang dengan lebih teliti, mengambil kira kepentingan sosial, ekonomi dan alam sekitar bagi memastikan pembangunan yang lebih adil serta lestari. 

– HARAKAHDAILY 21/2/2025

Sunday, October 13, 2024

DAP cadang Akta IbukotaPersekutuan 1960 dipinda

bharian.com.my
Oleh Noor Atiqah Sulaiman
nooratiqah.sulaiman@bh.com.my
 - Oktober 13, 2024 
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bergambar dengan peserta Konvensyen Biasa Negeri DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2024. - Foto /NABILA ADLINA AZAHARI

KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadangkan meminda Akta Ibukota Persekutuan 1960 bagi membolehkan Ahli Majlis dilantik sama seperti dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negara.

Naib Presiden DAP, Teresa Kok berkata, akta yang diguna pakai oleh Kuala Lumpur tidak sama seperti PBT dan sebab itu Ahli Majlis tidak boleh dilantik di wilayah berkenaan.

"Semua PBT di seluruh negara adalah di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976, tetapi disebabkan Kuala Lumpur adalah sebuah ibu kota jadi akta yang ditadbir adalah Akta Ibukota.

"Jika dibandingkan dengan kandungan kedua-dua akta berkenaan, memang tiada pelantikan jawatan Ahli Majlis seperti termaktub dalam Akta Ibukota.

"Adalah sangat penting bagi Kerajaan Madani untuk meminda akta berkenaan supaya Kuala Lumpur akan sama seperti semua PBT di seluruh negara," katanya dalam sidang media sempena Konvensyen Biasa Negeri DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2024, hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi DAP Negeri Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai dalam ucapan aluannya sempena konvensyen itu berkata, parti itu bersama rakan dalam Pakatan Harapan (PH) sedang berusaha mencadangkan reformasi dengan melaksanakan sistem pelantikan Ahli Majlis untuk Kuala Lumpur seperti diamalkan oleh PBT.

Beliau berkata, langkah itu mampu memperkasakan demokrasi tempatan dan membawa sistem pentadbiran Kuala Lumpur ke arah pilihan raya Kerajaan Tempatan.

Mengulas perkara yang sama, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata ia adalah satu perkara yang baik.

"Kami memahami bahawa sentimen dan realiti politik untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan kerana ia pastinya mendapat tentangan daripada banyak pihak.

"Ketika ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hanya mempunyai Lembaga Penasihat dan bukannya Ahli Majlis dilantik. Dalam PBT, terdapat Ahli Majlis dilantik dan ia bertanggungjawab dalam setiap keputusan dibuat.

"Saya rasa sebagai langkah pertama, sistem pelantikan ini boleh digunakan, dan akhirnya matlamat utama kita adalah untuk mengadakan pilihan raya majlis tempatan, sambil mengambil kira beberapa kekangan yang ada ketika ini.

"Ini mungkin satu pendekatan progresif yang boleh dipertimbangkan. Sudah tentu, kita perlu membawanya ke Majlis Pakatan Harapan untuk pertimbangan sebelum dibawa ke peringkat lebih tinggi," katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-