Showing posts with label Mohd Shafie Apdal. Show all posts
Showing posts with label Mohd Shafie Apdal. Show all posts

Sunday, February 16, 2025

Skandal Sabah: Pasal apa tak tangkap, dulu saya pakai baju oren - Shafie

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 16, 2025 
Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal menyoal mengapa masih tiada tangkapan dilakukan dalam kontroversi rasuah di Sabah.

Menurutnya, perkara itu lebih menghairankan kerana dia sendiri pernah ditahan untuk siasatan berkaitan skandal 1MDB.

"Saya soal (tentang 1MDB), terus masuk (lokap). Saya direman.

"Berapa minggu, tidur lantai, pakai baju oren. Itu Muhyiddin kes pakai tie (tali leher), itu Najib masuk mahkamah pakai kot, saya pakai (baju lokap SPRM warna) oren tidur lantai lagi.
"Ini video punya orang, YB keluar video, baju oren pun tidak ada, tidur lantai pun tidak, pasal apa itu," katanya pada satu majlis sambutan Chap Goh Mei di Tenom, Sabah, malam tadi.

Video yang dirujuk Shafie merupakan siri video yang didedahkan oleh seorang pemberi maklumat kepada Malaysiakini yang mendakwa lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) terlibat dalam menerima rasuah.

Shafie pernah ditahan berkaitan 1MDB

Pada tahun 2016, Shafie digantung keahlian Umno walaupun ketika itu dia memegang jawatan naib presiden parti kerana lantang mengkritik bekas perdana menteri Najib berhubung skandal 1MDB.

Dia kemudian mengumumkan keluar daripada Umno dan menubuhkan Warisan, sebuah parti berasaskan Sabah, dalam usaha untuk menyingkirkan parti lamanya daripada pentadbiran negeri.

Pada tahun 2017, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahannya atas dakwaan penyelewengan sekurang-kurangnya RM1.5 bilion dana pembangunan Sabah semasa dia menjadi menteri pembangunan luar bandar dan wilayah.

Penahanan itu dilihat bermotifkan politik kerana Najib telah memecat Shafie daripada jawatan menteri pada tahun 2015 selepas dia mencabar kepimpinannya dalam menangani skandal 1MDB.

Umno mahu kerjasama Warisan?

Pada majlis sama, Shafie turut mendakwa Umno telah menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan Warisan dalam pilihan raya negeri Sabah yang akan datang.

"Lepas (pendedahan video) itu, Umno dia bilang dia mahu kerjasama sama Warisan. Saya bagi tahu Warisan tidak kerjasama mana-mana parti. Warisan kerjasama dengan orang Sabah, rakyat Sabah," katanya.

Bagaimanapun, semalam, Umno Sabah mengesahkan parti itu belum mencapai sebarang persefahaman pilihan raya dengan Warisan.

Ketua Penerangan Umno Sabah, Suhaimi Nasir berkata parti itu masih belum membuat keputusan untuk bersekutu dengan mana-mana pihak di negeri itu.

Kenyataan itu dibuat sebagai maklum balas kepada Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking, yang sebelum ini menafikan sebarang rundingan dengan Umno Sabah.

Menurut Bernama, sebuah portal berita semalam melaporkan Warisan dan BN Sabah telah membincangkan kompromi bagi menghadapi pilihan raya negeri.

Laporan itu mendakwa kedua-dua parti bersetuju untuk tidak bertanding menentang satu sama lain di 50 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

[Baca berita asal]

Friday, May 25, 2018

Tindakan Shahidan tidak bijak - Shafie

Diterbitkan 25 Mei 2018, 10:01 pagi


Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyifatkan pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim kurang bijak kerana mempertikai keputusan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail melantik Datuk Seri Azlan Man sebagai menteri besar.

Menurutnya raja pemerintah sesebuah negeri atau Yang Dipertua Negeri mempunyai hak yang harus di hormati dan ini termasuk mereka untuk kuasa melantik Menteri Besar atau Ketua Menteri.

“Dalam hubungan ini Shahidan bertindak di luar norma. Pada pandangan saya institusi diraja hendaklah dihormati. Shahidan patut menyelesaikan isu memilih menteri besar dengan bijaksana,” kata Shafie kepada media di Kota Kinabalu malam tadi.

Beliau diminta mengulas tindakan Umno Perlis memecat Azlan sebagai anggota parti itu selepas anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Bintong itu mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar di hadapan Tuanku Syed Sirajuddin di Istana Arau pagi semalam.

Semua sembilan ADUN Barisan Nasional (BN) tidak hadir pada istiadat angkat sumpah itu sehingga Tuanku Syed Sirajuddin murka.

Shafie ditemui selepas berbuka puasa bersama Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) Kota Kinabalu di institut tersebut di Kota Kinabalu.

Tuanku Syed Faizuddin mengetuai delegasi kerajaan Perlis dalam Ops Pasir 2018 di kawasan Timur Sabah (ESSZONE) bermula semalam hingga Ahad ini.

Shafie berkata kemelut yang melanda Perlis itu walaupun berbeza degnan yang berlaku di Sabah namun beliau masih tetap menghormati Yang diPertua Negeri dan tidak mengambil tindakan terburu-buru selepas Datuk Seri Musa Aman mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri.

- Bernama

Monday, January 22, 2018

Mohd. Shafie anggap Rela hanya untuk jaga kenduri

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal

KOTA KINABALU 22 Jan. - Hanya layak menjaga kelancaran trafik ketika majlis keraian.

Demikian pandangan yang ditegaskan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang sebelum ini didesak meminta maaf atas kenyataannya mempersoal kredibiliti anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang ditugaskan membantu pasukan keselamatan di sempadan negara.

Mohd. Shafie berkata, pasukan beruniform itu tidak mempunyai kredibiliti untuk membantu pihak berkuasa menjaga kedaulatan negara daripada diceroboh kerana tiada kepakaran.

Sehubungan itu katanya, tiada permohonan maaf akan dibuat terhadap pasukan itu meskipun mereka berkhidmat untuk negara dan sanggup mempertaruhkan nyawa mempertahankan tanahair daripada diceroboh.

“Saya nampak, peranan mereka hanya menjaga trafik dan mengambil bahagian dalam majlis keraian seperti kenduri rakyat.

“Pasukan ini juga tidak mempunyai kepakaran, latihan dan kelengkapan khususnya senjata api untuk ditempatkan sebagai anggota yang mempertahankan keselamatan negara,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tahun lalu, Mesyuarat Lembaga Penasihat Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) bersetuju menugaskan anggota Rela sebagai pasukan sokongan kepada pihak berkuasa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah ( Esscom) di Esszone yang terdedah kepada ancaman jenayah rentas sempadan.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan setiap anggota yang ditugaskan akan terlebih dahulu menerima latihan bersesuaian untuk memastikan mereka mampu memikul amanah yang diberikan.

Bagaimanapun, ketika menyampaikan ceramah politik di Tuaran minggu lalu, Mohd. Shafie mempersoal keputusan berkenaan dengan menganggap anggota Rela tidak mampu melaksanakan tanggungjawab berkenaan.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-