Showing posts with label Abdul Azeez Abdul Rahim. Show all posts
Showing posts with label Abdul Azeez Abdul Rahim. Show all posts

Wednesday, January 16, 2019

Tabung Haji lapor polis: Hibah langgar undang-undang

Diterbitkan Hari ini 6:10 petang


Lembaga Tabung Haji membuat laporan polis mengenai penyata kewangannya pada tahun 2017 dan bagaimana representasi yang dibuat beberapa eksekutif membawa kepada pengisytiharan bayaran hibah yang melanggar Akta Tabung Haji 1995.

"Dalam laporan polis itu, Tabung Haji mengenal pasti dua kertas kerja eksekutif yang dibentangkan kepada Lembaga Pengarah Tabung Haji dalam dua mesyuaratnya pada 6 Februari dan 9 Februari 2018.

"Kertas kerja eksekutif itu disediakan ketua pegawai kewangan Rozaida Omar dan disokong oleh pengarah urusan kumpulan dan ketua eksekutif Johan Abdullah.

"Kertas kerja eksekutif iti mengandungi kenyataan dan representasi yang membawa kepada angka yang salah telah digambarkan di dalam penyata kewangan berkenaan yang diterima oleh lembaga pengarah," kata kenyataan Tabung Haji.

Menurut semakan kedudukan kewangannya pada 2017 oleh PwC, TH didapati membayar hibah menggunakan simpanan pendeposit.

Bagaimanapun, atas kertas, TH memberikan gambaran bahawa hibah dibayar menggunakan keuntungan syarikat, menurut suatu laporan yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Disember lalu.

Azeez tanda tangan penyata TH 2017

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa pada Disember tahun lalu mendedahkan Tabung Haji terus membayar hibah walaupun defisit sejak 2016.

Menurut Akta Tabung Haji 1995, dana berkenaan tidak boleh membayar dividen jika liabilitinya melebihi aset.

"Berdasarkan penyata kewangan tersebut, lembaga pengarah Tabung Haji membuat cadangan kepada menteri yang bertanggungjawab, yang kemudiannya meluluskan pengisytiharan hibah yang dapat diagihkan bagi tahun kewangan 2017 sebanyak 4.5 peratus dan Hibah Haji sebanyak 1.75 peratus yang bertentangan dengan seksyen 22 Akta Tabung Haji 1995.

"Penyata kewangan Tabung Haji yang telah diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 ditandatangani pada 3 April 2018 oleh pengerusi Abdul Azeez Abdul Rahim dan Johan bagi pihak lembaga Tabung Haji dan Rozaida sebagai pegawai utama yang bertanggungjawab ke atas kewangan pengurusan dan rekod perakaunan Tabung Haji," kata kenyataan lembaga pengarah dana jemaah haji itu lagi.

Azeez bayar ikat jamin RM800,000, abangnya RM500,000

Diterbitkan pada 16 January 2019

Datuk Seri Abdul Azeez Rahim meninggalkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 16 Januari 2018
Foto oleh Shafwan Zaidon

KUALA LUMPUR, 16 Jan — Anggota Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, yang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah serta sembilan pertuduhan pengubahan wang haram hampir RM140 juta, dibenar diikat jamin RM800,000 dengan seorang penjamin oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Abangnya, Datuk Abdul Latif Abdul Rahim, 61, yang mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan bersubahat dalam perlakuan kesalahan oleh Abdul Azeez, 52, dibenar diikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin.

Hakim Azura Alwi turut memerintahkan dua beradik itu membayar jaminan tersebut hari ini berserta syarat tambahan iaitu pasport mereka perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah juga membenarkan permohonan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang bertindak sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan supaya kes yang dihadapi Abdul Latif dibicarakan bersama dengan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi Abdul Azeez.

Hakim itu menetapkan 27 Mac untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.

Terdahulu, Sri Ram menawarkan jaminan masing-masing RM800,000 dan RM500,000 dengan seorang penjamin terhadap Abdul Azeez dan Abdul Latif dan jumlah itu tidak dibantah oleh peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili dua beradik itu.

Ketika pertuduhan kes rasuah dibacakan secara berasingan ke atas dua beradik itu oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azura, Abdul Azeez, yang lengkap bersut hitam dan abangnya, yang memakai kemeja biru dengan tenang berkata, “mohon dibicarakan”.

Abdul Azeez, yang merupakan Anggota Majlis Tertinggi UMNO, turut mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan pengubahan wang haram selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan di Mahkamah Sesyen berasingan di hadapan Hakim Rozina Ayob sebelum kes itu dipindahkan di hadapan Hakim Azura.

Prosiding itu turut dihadiri bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki dan Presiden Pemantau Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam.

Dua beradik itu tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 8.12 pagi dengan diiringi beberapa pegawai SPRM.

Mereka selesai membayar wang jaminan itu pada pukul 1.15 tengah hari.

 — Bernama

Azeez, abang dibawa keluar dari SPRM, menuju mahkamah

Bernama
Diterbitkan Hari ini 9:02 pagi 


Kenderaan yang membawa Anggota Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim dan abangnya, Datuk Abdul Latif Abdul Rahim dilihat keluar dari ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pukul 7.38 pagi ini.

Kenderaan Proton Preve dan Toyota Fortuner yang membawa Abdul Azeez dan abangnya secara berasingan, diiringi satu kereta peronda polis dan dua motosikal pengiring.

Abdul Azeez dan abangnya ditahan pada pukul 4.30 petang semalam ketika hadir ke Ibu Pejabat SPRM dan akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini.

Mereka akan menghadapi pertuduhan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

- Bernama

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-