Showing posts with label Jabatan Imigresen. Show all posts
Showing posts with label Jabatan Imigresen. Show all posts

Saturday, February 15, 2020

Insiden halang tugas di Batu Caves, Imigresen buat laporan polis

Bernama
-February 15, 2020 6:31 PM

Semalam, tular di media sosial insiden kira-kira 50 anggota penguat kuasa Imigresen Selangor dihalau keluar dari kawasan peniaga haram dari India dan Pakistan oleh ahli jawatankuasa kuil Batu Caves.

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen akan membuat laporan polis berhubung anggota penguat kuasa Imigresen Selangor dipercayai dihalau daripada melakukan tugas operasi di kawasan peniaga haram di Batu Caves, di sini, baru-baru ini.

Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya memandang serius tindakan provokasi itu dan menganggap ia sebagai perbuatan menghalang tugas penjawat awam.

“Satu laporan polis akan dibuat oleh pejabat Imigresen Selangor…dalam perkara ini, Imigresen tidak gentar dengan sebarang tindakan provokasi oleh pihak-pihak yang melindungi pendatang tanpa izin di negara ini.

“Tindakan berundur yang diambil adalah bertujuan untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Gombak, Arifai Tarawe berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian rusuhan seperti yang dinyatakan.

“Apa yang berlaku adalah pertengkaran pihak Imigresen dan beberapa lelaki yang tidak berpuas hati dengan kehadiran mereka (Imigresen) di kuil berkenaan semasa segelintir penganut masih beribadat serta membeli-belah pada saat akhir perayaan Thaipusam.

“Tiada sebarang kecederaan atau kerosakan harta benda yang dialami oleh mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menularkan atau menyebarkan berita yang tidak benar demi keharmonian pelbagai kaum dan sensitiviti masyarakat sentiasa terjamin.

Semalam, tular di media sosial bahawa kira-kira 50 anggota penguat kuasa Imigresen Selangor dihalau keluar dari kawasan peniaga haram dari India dan Pakistan oleh ahli jawatankuasa kuil Batu Caves.

Selain itu, mereka juga dicemuh dengan bahasa kesat.

Saturday, June 22, 2019

Imigresen: Kos makanan pendatang tanpa izin di depot tahanan RM3.5 juta sebulan

Bernama
-June 22, 2019 10:24 AM

Setakat 18 Jun, seramai 9,654 orang pendatang tanpa izin ditahan di 14 depot seluruh negara dengan 7,650 adalah lelaki dan1,664 wanita serta selebihnya kanak-kanak. (Gambar Bernama)

SERDANG:   Kerajaan membelanjakan hampir RM3.5 juta sebulan bagi menampung kos makanan pendatang tanpa izin yang ditahan di 14 depot Jabatan Imigresen di seluruh negara, kata Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud.

Beliau berkata, purata kos makanan yang ditanggung kerajaan adalah sebanyak RM12 sehari untuk seorang dan kebanyakan mereka terpaksa berada di depot dalam tempoh 1 hingga 2 bulan sebelum dihantar pulang ke negara asal masing-masing.

“Kos perbelanjaan yang ditanggung kerajaan itu bagi memastikan hak asasi pendatang tanpa izin terpelihara dan perkara itu turut dilaksanakan di semua depot Imigresen di luar negara.

“Pengurangan kos makanan dapat diatasi sekiranya proses dokumen perjalanan yang disediakan pihak kedutaan berkaitan dapat dilaksanakan dengan cepat,” katanya ketika ditemui pada majlis Hari Raya Aidilfitri Kementerian Dalam Negeri.

“Beliau berkata, jabatan itu menjalinkan kerjasama dengan pihak kedutaan untuk mempercepatkan proses mengeluarkan dokumen perjalanan untuk pendatang tanpa izin itu dihantar pulang dan perkara ini dapat mengurangkan bilangan penghuni di depot,” katanya.
Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud.
Menurutnya, setakat 18 Jun, seramai 9,654 orang pendatang tanpa izin ditahan di 14 depot seluruh negara dengan 7,650 adalah lelaki dan1,664 wanita serta selebihnya kanak-kanak.

Beliau berkata, tahanan pendatang tanpa izin paling tinggi adalah rakyat Indonesia iaitu 3,767 orang diikuti Myanmar (2,105), Bangladesh (1,594), India (525), Vietnam (294), Pakistan (263), Thailand (226), Filipina (222), Nepal (193), Nigeria (150) dan lain-lain warganegara (315).

Khairul Dzaimee berkata, sebanyak 8,277 operasi dilaksanakan Jabatan Imigresen sejak awal tahun ini hingga Selasa lepas dengan keseluruhannya 103,224 orang warga asing diperiksa.

“Empat depot iaitu di Bukit Jalil, Kuala Lumpur; Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang; Lenggeng, Negeri Sembilan dan Juru, Pulau Pinang mengalami lebihan jumlah tahanan pendatang tanpa izin berbanding kapasiti depot yang direkodkan sehingga 18 Jun.

“Kami cuba mempercepatkan proses untuk menghantar mereka pulang ke negara masing-masing serta memindahkan mereka ke depot yang berdekatan bagi mengelak kesesakan,” katanya.

Saturday, January 26, 2019

Bekas pengarah imigresen gesa kerajaan ketat syarat kahwini warga asing

Mohamad Fadli
-January 26, 2019 9:37 AM

Lelaki warga asing dilaporkan mengahwini wanita tempatan untuk menceburi bidang perniagaan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA:  Kerajaan digesa memperketatkan syarat kepada warga asing yang ingin mengahwini wanita tempatan bagi mengelakkan mereka tinggal lebih lama di negara ini untuk berniaga.

Bekas pengarah penguat kuasa Jabatan Imigresen, Datuk Ishak Mohamed berkata pendaftar nikah dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) perlu bekerjasama dengan Jabatan Imigresen.

“Saya rasa masalah ini perlu penguatkuasaan undang-undang dan peraturan sedia ada perlu diperketatkan lagi. Antaranya mesti dapat kelulusan secara bertulis dari Jabatan Imigresen.

“Pendaftar nikah dan JPN juga perlu dapat kelulusan daripada Jabatan Imigresen. Selain mengadakan kerjasama dengan kedutaan warga asing itu dengan menyemak sama ada mereka sudah berkahwin atau belum,” katanya kepada FMT.
Ishak Mohamed.
Beliau berkata demikian mengulas trend lelaki warga asing mengahwini wanita tempatan atas alasan mahu tinggal lebih lama di negara ini untuk berniaga.

Pengarah Jabatan Imigresen Kelantan, Azhar Abdul Hamid berkata pihaknya mendapat rungutan masyarakat terutama peniaga tempatan apabila semakin ramai warganegara terbabit mengambil kesempatan berkenaan.

“Setakat ini kami mendapati 400 pasangan warga Pakistan berkahwin dengan wanita tempatan di negeri ini dan sebanyak 10 hingga 15 kes dibatalkan permit ekoran melakukan kegiatan yang mana pihak kami mengesan warganegara itu tidak tinggal dengan isteri dan hanya berkahwin untuk tujuan tertentu.

“Agak tidak wajar warga asing itu berusia 20 hingga 30-an dilihat sanggup berkahwin dengan wanita tempatan walaupun berusia lebih separuh abad bagi mendapatkan lesen mudah untuk tinggal di Malaysia dan menjalankan perniagaan,” kata Azhar.

Mengulas lanjut, Ishak yang berkhidmat dengan Jabatan Imigresen sekitar 2003 hingga 2008 tidak terkejut dengan trend tersebut.

Katanya, ketika beliau bertugas di Imigresen dulu, sudah banyak taktik warga asing itu dikesan dan antara yang paling ramai dari Indonesia, Bangladesh, India dan Pakistan.

Ishak mendedahkan ramai yang menjadi mangsa warga asing terdiri daripada kumpulan wanita tempatan yang sudah berumur.

“Selalu wanita itu tidak ada peluang untuk berkahwin dan mereka terima sahaja lamaran daripada warga asing,” katanya.

Beliau juga berkata kerajaan perlu perketatkan syarat berikutan tidak mahu negara rugi berikutan lambakan warga asing yang semakin bertambah.

“Jika wanita tempatan berkahwin dengan warga asing dari golongan profesional seperti pensyarah, tidak apa sebab beri kebaikan kepada negara.

“Tetapi jika daripada kelas bawahan, perlulah disemak dengan teliti latar belakang mereka,” katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-