Showing posts with label M Kulasegaran. Show all posts
Showing posts with label M Kulasegaran. Show all posts

Monday, August 9, 2021

Beli sokongan: Kulasegaran, setiausaha sulit bakal dipanggil SPRM

bebasnews.my
By Admin
-09/08/2021


IPOH – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak akan memanggil Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran dalam masa terdekat untuk membantu siasatan berhubung pendedahannya mengenai tawaran wang RM30 juta dan jawatan sebagai menteri.

Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad berkata, selain Kulasegaran, Suruhanjaya itu juga akan memanggil setiausaha sulitnya, Jeremy Chuah untuk dirakam percakapan.

“Saya sahkan ada menerima kes rujukan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dakwaan tersebut dan siasatan akan dijalankan segera.

“Kami akan memanggil Kulasegaran dan beberapa pihak lain termasuk setiausaha sulitnya untuk dirakam percakapan dalam masa terdekat,” katanya, lapor Utusan.

Dalam laporan media pada Sabtu lalu, Kulasegaran yang merupakan Ahli Parlimen daripada DAP itu mendakwa ditawarkan jawatan sebagai menteri dan sejumlah wang untuk menukar sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Tawaran yang juga melibatkan peruntukan penuh untuk Parlimen Ipoh Barat itu didakwa diterima melalui aplikasi WhatsApp di telefon bimbit milik Jeremy.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kes tersebut telah dirujuk kepada SPRM Perak untuk siasatan dan tindakan lanjut.

BebasNews

Saturday, August 7, 2021

MP DAP ditawar jawatan menteri, disogok supaya sokong Muhyiddin

themalaysialife.com
August 7, 2021 3:59 pm


Bekas menteri penuh kabinet, M Kula Segaran mendakwa dirinya ditawarkan wang dan kedudukan sebagai menteri sebagai pertukaran jika menyokong pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ahli Parlimen Ipoh Barat daripada DAP itu berkata, tawaran itu dibuat melalui pesanan WhatsApp menerusi telefon setiausaha sulitnya, Jeremy Chuah pada 6 Ogos lepas.

Menurutnya, tawaran itu antara lain menyebut ganjaran wang, kedudukan sebagai menteri, peruntukan penuh kepada konsituensi Ipoh Barat dan insentif-insentif lain.

“Bagi saya keadaan ini bukan sesuatu yang mengejutkan kerana tahu PN ketika ini begitu terdesak untuk mengekalkan kuasa hingga sanggup mendekati ahli Parlimen dengan cara begini.

“Apa yang boleh saya katakan, daripada cuba mendapatkan sokongan ahli Parlimen melalui tawaran sebegini, lebih baik mereka mengambil langkah sewajarnya untuk memperbaiki kelemahan dan kegagalan mentadbir kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini pada Sabtu.

Laporan berkenaan dibuat Jeremy yang antara lain menggesa tindakan dan siasatan dilakukan ke atas individu terlibat kerana mendakwa tawaran itu mengandungi unsur korupsi untuk membeli ahli Parlimen Ipoh Barat.

Dalam perkembangan sama, Kula Segaran berkata, pendiriannya sama seperti semua 42 ahli Parlimen DAP lain untuk setia kepada parti dan menolak menyokong pentadbiran PN yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri.

Katanya, dalam keadaan sekarang wang dan kedudukan bukanlah faktor yang boleh mempengaruhi mereka untuk mengkhianati pendirian parti.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/154316/BERITA/Semasa/Ahli-Parlimen-Ipoh-Barat-dakwa-ditawarkan-wang-kedudukan-menteri

Saturday, July 28, 2018

'Utusan fitnah saya kata Melayu pendatang'

Diterbitkan 28 Jul 2018, 2:28 petang


Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran menafikan laporan Utusan Malaysia hari ini berhubung kenyataannya yang menyifatkan orang Melayu sebagai pendatang.

Beliau yang juga naib pengerusi DAP berkata, beliau sama sekali tidak mengeluarkan kenyataan itu atau menyebut tentang orang Melayu.

Beliau merujuk laporan Utusan Malaysia hari ini bertajuk 'Kula Segaran dakwa Melayu bangsa pendatang' yang memetik rakaman ucapannya dalam satu program di Nilai, Negeri Sembilan pada bulan lalu.

"Ia satu fitnah dan pembohongan. Saya tidak pernah berkata begitu, ia diputarbelitkan tanpa latar atau konteks yang sebenar," katanya dalam kenyataan.

Dalam majlis keagamaan Hindu di Nilai itu, katanya lagi, beliau berucap tentang gelaran pendatang terhadap mana-mana kaum, termasuk India, yang tidak sepatutnya berlaku.

"Apa yang saya jelaskan dalam majlis itu adalah orang India berada di Tanah Melayu sejak 2,500 tahun lalu. Agama Hindu dibawa oleh Orang India...(Ia) agama awal yang dianuti penduduk tempatan (ketika itu).

"Hasil penemuan arkeologi di kawasan Lembah Bujang, terutamanya penemuan Sungai Batu di Kedah telah membuktikan hal ini. Jadi tidak adil jika kaum India digelar pendatang, berdasarkan faktor sejarah ini.

"Dalam majlis berbahasa Tamil itu, saya tidak menyebut sama sekali tentang orang Melayu," katanya lagi.

Menurut laporan itu, Kula juga dipetik berkata bahawa orang Melayu sebenarnya pendatang di negara ini.

“Apabila kitalah yang berada di negara ini terlebih dahulu, maka, merekalah (Melayu) yang sebenarnya pendatang! Kita dan Melayu adalah setaraf. Ini tanah air kita!” katanya dipetik laporan itu.

'Transmigrasi adalah normal'

Beliau juga dilaporkan mengkritik mata pelajaran Sejarah yang hanya menyatakan asal-usul orang India yang menetap di negara ini sejak 100 tahun lalu saja.

Berhubung perkara itu, Kulasegaran berkata beliau mahu menekankan sejarah dengan fakta yang tepat dan lengkap agar setiap warga Malaysia tahu sejarah mereka sendiri.

Katanya lagi, transmigrasi (penghijrahan) adalah proses natural yang terjadi di seluruh dunia dan pelbagai kaum berhijrah mengikut keperluan semasa.

"Kita sama-sama berkongsi kehidupan di Malaysia," katanya lagi dan mendakwa Utusan sengaja memainkan isu itu untuk menimbulkan ketegangan.

Friday, June 22, 2018

Kulasegaran: Hanya tukang masak tempatan dibenarkan mulai tahun depan

Bernama | June 22, 2018

Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran, berkata pengusaha diberi tempoh hingga hujung tahun ini untuk memastikan hanya tukang masak tempatan bekerja di restoran mereka.
Kulasegaran berkata langkah ini dapat mengurangkan kebergantungan restoran tempatan terhadap pekerja asing, sekali gus menjaga kualiti makanan tempatan.

PETALING JAYA: Kementerian Sumber Manusia menggesa semua restoran di negara ini mengambil tukang masak tempatan untuk bekerja di restoran masing-masing mulai 1 Julai ini.

Menterinya M Kulasegaran berkata, bagaimanapun semua pengusaha diberi tempoh hingga hujung tahun ini untuk memastikan hanya tukang masak tempatan bekerja di restoran mereka dan peraturan baru itu dikuatkuasakan mulai 1 Jan 2019.

“Kami mahukan orang tempatan diambil bekerja sebagai tukang masak. Tiada kompromi…kami beri masa hingga 31 Dis untuk berbuat demikian. Jika gagal, kami tidak dapat bantu lagi,” katanya, semalam.

Sebelum itu, beliau mengadakan perjumpaan dengan anggota Persatuan Pengusaha Restoran India (Prisma) di Petaling Jaya.

Katanya kementerian akan mengadakan perjumpaan dengan PRISMA serta Persatuan Pengusaha Restoran India Muslim (Presma) dalam masa terdekat untuk membincangkan pelaksanaan tukang masak tempatan di restoran.

Kulasegaran berkata langkah ini dapat mengurangkan kebergantungan restoran tempatan terhadap pekerja asing, sekali gus menjaga kualiti makanan tempatan.

Beliau berkata tindakan kementeriannya ini selari dengan langkah diamalkan kerajaan negeri Pulau Pinang melarang warga asing menjadi tukang masak di kedai makan, restoran dan juga gerai sekitar pulau itu sejak 2014 dalam usaha memelihara warisan makanan negara.

Mengulas kenyataan Kulasegaran itu, Presiden Prisma P Muthusamy berkata keputusan itu agak mengejutkan dan bakal memberi implikasi besar kepada pengusaha.

“Sejak beberapa tahun lalu, kita menghadapi masalah mendapatkan tenaga kerja. Malah lebih 500 restoran ditutup sejak beberapa tahun lepas kerana kekurangan pekerja,” katanya.

Muthusamy berharap kementerian akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pengusaha kedai makanan di seluruh negara sebelum melaksanakan keputusan itu.

Presiden Presma, Ayub Khan pula berkata masalah pekerja di restoran semakin ketara kerana tidak ada pekerja tempatan mahu bekerja di restoran.

“Kami buat iklan, sanggup bayar gaji hingga RM2,500 pun orang tak nak datang (bekerja). Bukan senang (mahu) cari orang tempatan bekerja di restoran,” katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-