Showing posts with label ADUN. Show all posts
Showing posts with label ADUN. Show all posts

Wednesday, June 26, 2024

TINJAUAN l 96 peratus mahu pencen MP ditukar ke caruman KWSP

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jun 26, 2024 

Pembaca Malaysiakini jelas mahu pencen untuk ahli parlimen digantikan dengan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menurut tinjauan Makmal Berita Kini, sebanyak 96 peratus daripada 8,035 responden setuju dengan cadangan ini.

Sementara itu, 93 peratus daripada 7,778 responden setuju dengan cadangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim agar ahli parlimen hanya menerima satu pencen, walaupun mereka boleh menerima beberapa pencen melalui jawatan yang dipegang di peringkat persekutuan dan negeri.

Respons yang diterima kali ini jauh lebih banyak berbanding tinjauan Makmal Berita Kini sebelum ini, antaranya berkenaan belanjawan negara dan berkenaan tahun pertama Anwar sebagai perdana menteri, yang mendapat kira-kira 3,000 respons.

Tinjauan ini sebahagian daripada laporan dua bahagian Makmal Berita Kini berkenaan jumlah pencen dan elaun yang boleh dinikmati ahli parlimen.

Keputusan tinjauan dibuat daripada respons yang diberi pembaca bermula jam 9 pagi, 19 Jun hingga jam 10 pagi, 25 Jun.

Perlu dinyatakan ini bukan tinjauan saintifik dan secara teknikalnya, sesiapa saja boleh mengundi beberapa kali menggunakan peranti dan pelayar web yang berbeza.

Namun, ruangan komen laporan ini - yang memerlukan pembaca untuk log masuk menerusi emel - menunjukkan sentiman yang sama dengan keputusan tinjauan. Sebanyak 300 pembaca yang telah meninggalkan komen mereka.
ADS

Baca lanjut: Berapa banyak pencen wakil rakyat?


Suara hati pesara kerajaan
Seorang pembaca, yang menyatakan dia berkhidmat sebagai penjawat awam selama 30 tahun dalam agensi tenaga, menyuarakan rasa kecewa kerana menerima pencen yang sedikit, walaupun jika dibandingkan dengan pencen Adun, apatah lagi ahli parlimen yang hanya berkhidmat selama satu penggal.

"Saya berkhidmat...dengan keringat, air mata dan sehingga tak tidur malam untuk menangani gangguan tenaga sebelum penswastaan (agensi tenaga itu), selama lebih 30 tahun.

"Pencen saya hanya RM2,200 sebulan, sedangkan seseorang yang jadi Adun selama 36 bulan dapat lebih RM3,000 sebulan. Memang tak adil," tulisnya.

Pembaca lain pula mempersoalkan jika ahli parlimen memang layak menerima pencen dan elaun jika mereka gagal memberi khidmat kepada rakyat seperti yang diharapkan.

"Macam mana kalau ahli parlimen hanya makan elaun dan gaji buta dan tak bantu rakyat di kawasan mereka? Kalau ikutkan, memang tak adil (dapat) elaun yang banyak, selain tuntutan yang boleh dibuat.

"Bila rakyat minta bantuan dekat pejabat wakil rakyat, kerenah birokrasi panjang sampai susah nak dapat bantuan," kata pembaca yang ingin dikenali sebagai Zatie.

Dia mencadangkan agar elaun ahli parlimen dipotong jika mereka tidak hadir ke sidang Dewan Rakyat, memandangkan ada banyak kerusi kosong ketika sesi-sesi sebelum ini.

Sementara itu, Matthew Robert membangkitkan askar yang mengabdikan diri demi keselamatan negara tidak layak menerima pencen jika berkhidmat tidak sampai 20 tahun, manakala ahli parlimen hanya perlu sepenggal untuk layak mendapatnya.

"Ahli parlimen harus memartabatkan lagi skim pencen tentera, dan bukan membisu daripada membela hak dan hal ehwal pesara tentera. Saya sama sekali tidak akan menyokong ahli politik yang hipokrit ini," katanya.

Beberapa responden membangkitkan isu konflik kepentingan, memandangkan ahli parlimen sendiri yang menetapkan gaji dan pencen mereka.

"Isu sebenarnya adalah mengapa ahli parlimen ada kuasa untuk meluluskan gaji atau pencen yang mereka fikir sesuai? Seperti beri kuasa kepada pekerja untuk menetapkan gaji mereka. Pastinya ini akan disalah guna," kata Peter.

Ada juga yang menggesa kelayakan pencen untuk semua penjawat awam, termasuk ahli parlimen, dipiawaikan dan disemak semula, atau sekurang-kurangnya tempoh perkhidmatan minimum untuk layak menerima pencen ditingkatkan daripada tiga tahun kepada dua hingga tiga penggal.


Bekas MP tak setuju mansuh pencen

Beberapa bekas ahli parlimen tidak setuju dengan cadangan pencen digantikan dengan caruman KWSP, dengan berkata caruman KWSP sepanjang satu penggal perkhidmatan tidak cukup untuk persaraan mereka.

Mereka juga berkata berbeza dengan penjawat awam, tiada jaminan untuk tempoh perkhidmatan mereka.

Selain itu, mereka berkata penjimatan yang diraih dengan menukar skim pencen kepada caruman KWSP tidak memadai untuk menjustifikasikan kos pentadbiran untuk melakukan perubahan itu.

Namun, pakar ekonomi Muhammad Khalid mengaggarkan menerusi penukaran itu, kerajaan dapat melakukan penjimatan sebanyak RM2.4 juta bagi setiap ahli parlimen, bersamaan kira-kira setengah bilion ringgit bagi satu kohort anggota Dewan Rakyat.

Walaupun itu jumlah kecil dalam seluruh perbelanjaan kerajaan, dia berkata ia boleh digunakan untuk keperluan lain yang lebih mendesak seperti menaikkan gaji jururawat, guru dan anggota polis berpangkat rendah.

Sementara itu, bekas ahli parlimen Batu Kawan P Ramasamy berkata tidak adil untuk membuat perubahan secara tiba-tiba dalam skim pencen ahli parlimen untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

Menurut Ramasamy, caruman KWSP boleh menjadi "antara jawapan kepada isu pencen berganda" namun reformasi dalam perkara itu perlu dilaksanakan secara menyeluruh.

"Kerajaanlah yang perlu mencadangkan formula berkesan untuk sistem pencen yang diperbaharui.

"Anda tak boleh menimbang untuk mengurangkan pencen berganda kepada satu pencen hanya kerana kerajaan tak cukup wang. Kita tidak boleh salahkan penerima pencen atas hutang kerajaan," katanya yang juga pengerusi Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai).

Ramasamy pernah menjadi Adun Seberang Perang, Exco dan timbalan ketua menteri Pulau Pinang, dan menerima dua pencen daripada jawatan di peringkat negeri dan persekutuan.

Laporan tambahan oleh G Vinod

Tuesday, November 22, 2022

Mohd Shukri MB baharu Perlis

agendaily.com
22/11/2022
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang Mohd Shukri Ramli, menerima watikah Menteri Besar daripada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, hari ini (Selasa, 22 November 2022).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis Mohd Shukri Ramli hari ini (22 November 2022) mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu di Istana Arau.

Pesuruhjaya PAS Perlis itu itu mengangkat sumpah Menteri Besar Perlis ke-8 kira-kira jam 4.15 petang, selepas diperkenankan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Mohd Shukri, 61, menjadi Menteri Besar pertama dari gabungan PN yang mentadbir Perlis buat julung kalinya sejak merdeka selepas gabungan itu berjaya memenangi 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu lalu (19 November).

Kejayaan itu juga sekali gus menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) di negeri itu yang sudah mentadbir Perlis sejak 65 tahun lalu. BN kalah semua kerusi DUN dan tiga Parlimen di Perlis.

Turut berangkat pada majlis itu angkat sumpah itu adalah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Hadir sama dalam majlis berkenaan adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad; Speaker DUN Perlis, Datuk Hamdan Bahari, barisan ADUN Perlis yang baharu termasuk, seorang daripada Pakatan Harapan (PH) dan Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad.

Mohd Shukri dikenali sebagai Cikgu Shukri dalam kalangan masyarakat tempatan, adalah pesara guru yang berpengalaman luas dalam profesion pendidikan selama 37 tahun serta pernah berkhidmat sebagai guru di pelbagai sekolah di Sarawak dan Perlis.

Beliau sudah berkahwin dan dikurniakan enam anak dan selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau menyambung pendidikan di Institut Perguruan Rajang yang kini dikenali sebagai Institut Pendidikan Guru Kampus Rajang, Bintangor, Sarawak.

Mohd Sukri kemudian memulakan karier sebagai pendidik di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Beraya, Miri, SK Pulo, Kuching dan lima lagi sekolah rendah di Perlis bermula 1985 sehingga bersara pada 2013 untuk ‘terjun’ ke bidang politik.

Mohd Shukri mula menjadi ADUN Sanglang selepas menang di kerusi DUN itu pada PRU-13 pada 2013 sebelum terus mempertahankan kerusi berkenaan sehingga kini.

Kariernya dalam politik bermula apabila beliau pernah dilantik menjadi Ketua Penerangan PAS Perlis dan Setiausaha Perhubungan PAS Perlis sebelum diangkat menjadi Pesuruhjaya PAS Perlis dan Pengerusi PN Negeri Perlis malah beliau juga adalah Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) Negeri Perlis sebelum ini.

Dalam pembabitan aktiviti dan kerja kemasyarakatan pula, anak kelahiran Sanglang itu pernah menjadi Setiausaha Masjid Dato Jaafar Hassan, Simpang Empat, Ketua Unit Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) Sungai Padang, Pengerusi Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Lukmanul Hakim, Sungai Padang selain menjadi penaung kepada badan bukan kerajaan (NGO) di Arau dan Sanglang.

Pada PRU-15 lalu, Mohd Shukri mempertahankan kerusi DUN Sanglang yang dimenanginya sejak PRU2013 lalu dalam saingan empat penjuru menewaskan calon Barisan Nasional, Sharipudin Ahmad, calon Pakatan Harapan, Dr Ahmad Fadhzil Mohamad dan Zainudin Yom dari Parti Warisan Sabah dengan majoriti 3,335 undi.

Monday, November 21, 2022

Lapan ADUN UMNO Perak khianati Melayu, Islam demi diri, kuasa

agendaily.com
21/11/2022
ADUN UMNO Perak yang bersekongkol dengan DAP.

Memetik kata-kata Tan Sri Annuar Musa “Nak membina memakan masa bertahun-tahun oleh berjuta ahli. Nak meruntuhkan hanya memerlukan seorang desperado yang nak menjaga tengkoknya”, akhirnya lapan ADUN UMNO Perak menjual diri mereka kepada DAP apabila bersetuju bekerjasama dengan parti yang menjadi musuh nombor satu Bangsa Melayu.

Semangat Datuk Maharajalela iaitu Pahlawan Melayu yang menentang Inggeris kini sudah hilang dalam diri ADUN UMNO itu apabila bersetuju bersekongkol dengan 18 ADUN DAP, menubuhkan kerajaan negeri Perak.

Sebelum ini, pemimpin UMNO pernah mengeluarkan kenyataan membidas DAP yang jelas menghina, biadap dan menggugat umat Islam.

Diketuai ADUN N04 Kota Tampan Saarani Mohamad, semua ADUN UMNO Perak itu kini berpeluk mesra dengan pemimpin DAP, setelah mereka menolak kerjasama dengan Perikatan Nasional yang menang 26 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Pakatan Harapan (PH) Perak diketuai DAP menang di 24 kerusi DUN, manakala BN diketuai UMNO menang sembilan kerusi.

Bagaimanapun, kerana gilakan jawatan Menteri Besar, Saarani sanggup mengkhianati agama, bangsa dan negeri itu, dengan bersetuju bersekongkol dengan DAP, menubuhkan kerajaan Perak.

Saarani, dijadual mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak petang ini.

Perkara itu dimaklumkan Ahli Dewan Negara Perak, Tan Sri Mohd Annuar Zaini, selepas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak itu dinamakan sebagai calon tunggal untuk mengisi jawatan berkenaan.

Beliau berkata, majlis mengangkat sumpah Menteri Besar Perak yang baharu akan berlangsung di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar jam 5.30 petang ini.

Terdahulu, pada jam 12.30 tengah hari ADUN Kota Tampan mewakili BN bersama ADUN Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari mewakili PH menyembahkan persetujuan kedua-dua pihak.

Berikut adalah nama ADUN UMNO yang menyokong bekerjasama dengan PH/DAP menubuhkan kerajaan negeri Perak:Salbiah Mohamad – N02 Temengor;
Saarani Mohamad – N04 Kota Tampan;
Haji Mohd Zolkafly Haji Harun – N21 Lintang;
Azman Noh (Cikgu Man) – N36 Pengkalan Baharu;
Khairudin Abu Hanipah (Cikgu Din) – N39 Belanja;
Haji Ishsam Haji Shahruddin – N48 Ayer Kuning;
Salina Samsudin – N59 Behrang; dan
Shahrul Zaman Yahya – N53 Rungkup.

Friday, January 14, 2022

Laporan: Polis tahan Adun Perak disyaki ambil dadah

malaysiakini.com

Diterbitkan: Jan 14, 2022 7:00 PM

Seorang Adun Perak dilaporkan telah ditahan di Perai, Pulau Pinang malam tadi kerana disyaki melakukan kesalahan dadah.

Menurut laporan Free Malaysia Today, polis telah menyerbu sebuah kelab malam di situ malam tadi dan mendapati Adun itu bersama 35 orang lain berada di kelab malam berkenaan. Polis dikatakan menahan Adun itu selepas didapati positif dadah.

“Difahamkan Adun itu dibawa ke Mahkamah Majistret hari ini untuk permohonan perintah reman.

"Keputusan prosiding reman masih belum diketahui, namun difahamkan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya," kata laporan itu, memetik sumber polis.

Malaysiakini sedang menghubungi polis untuk pengesahan.

Seksyen 15(1)(a) ADB menyentuh tentang pengambilan sendiri dadah terlarang. Ia boleh dihukum denda sehingga RM5,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Untuk rekod, aktiviti kelab malam juga tidak dibenarkan di bawah Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara. Pelanggaran SOP boleh dikompaun sehingga RM1,000.

Thursday, October 8, 2020

Setiausaha PAS Sabah dilantik jadi Adun

malaysiakini.com
Dikemaskini Hari ini 12:11 pm

PAS akhirnya mempunyai wakil Dewan Perundangan Negeri Sabah, setelah setiausaha negeri Aliakbar Gulasan dilantik mengisi jawatan Adun lantikan di negeri itu.

Aliakbar dilantik hari ini bersama 5 yang lain, iaitu bekas ketua menteri Yong Teck Lee, Suhaimi Nasir dan Raimie Unggi dari Umno, serta Jaffari Walliam dan Amisah Yassin dari Bersatu.

Amisah adalah satu-satunya wanita yang dilantik meskipun terdapat gesaan untuk jumlah perwakilan wanita yang lebih besar di DUN.

DUN Sabah mempunyai 73 Adun yang dipilih.

Bagaimanapun, perlembagaan negara membenarkan ketua menteri melantik enam lagi Adun - yang mempunyai kuasa mengundi di dewan undangan negeri.

Melalui ciapan di Twitter, Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kerana melantik Aliakbar.

"PAS menyifatkan pelantikan julung kali ini akan membuka lembaran baharu kepada PAS Sabah bagi menjalin hubungan yang lebih erat dengan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik di Sabah," katanya.

[Berita lanjut menyusul]

Saturday, April 4, 2020

Semua Adun Pulau Pinang sumbang 30% gaji untuk tabung Covid-19

Pandemik Covid-19 menjadi keutamaan negara untuk ditangani ketika ini. 
– Gambar fail The Malaysian Insight, February 14, 2020.

SEMUA Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Pulau Pinang termasuk pembangkang akan menyumbangkan sebanyak 30 peratus gaji mereka kepada Tabung Covid-19 negeri ini.

Ketua penyokong kerajaan negeri, Teh Lai Heng, berkata potongan itu adalah selaras dengan usaha kerajaan negeri dalam menangani pandemik wabak Covid-19 serta pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Semua Adun Pulau Pinang termasuk barisan Adun pembangkang telah bersetuju untuk menyalurkan 30 peratus daripada gaji masing-masing ke dalam Tabung Covid-19 Pulau Pinang.

“Usaha ini merupakan inisiatif Adun sendiri selepas pengumuman Ketua Menteri, Chow Kon Yeow serta barisan pimpinan exco yang akan menyalurkan sebulan gaji kepada tabung sama pada 27 Mac lalu,” katanya dalam satu kenyataan bersama dengan Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Muhamad Yusoff Mohd Noor, hari ini.

Teh berkata barisan Adun di negeri ini turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada ketua menteri di atas peruntukan RM30,000 yang disalurkan kepada setiap Adun di bawah Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang.

“Turut dihargai adalah sumbangan penutup hidung dan mulut dan kelengkapan lain untuk kegunaan serta keperluan komuniti setempat di Kawasan Dewan Undangan Negeri (Kadun) masing masing,” katanya.

Beliau berkata umumnya adalah diharapkan segala usaha serta inisiatif kerajaan negeri (membendung Covid-19) menerusi sumbangan 30 peratus gaji itu dapat dipertingkatkan,” katanya. 

– Bernama, 
   4 April, 2020.

Thursday, March 5, 2020

PH Selangor singkir Bersatu serta-merta

Oleh MALAYSIA DATELINE
March 5, 2020 3:39 pm

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor menyingkirkan Bersatu berkuat kuasa serta-merta, selain membekukan peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu.

Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira situasi politik di peringkat Persekutuan.

“Pimpinan tinggi Pakatan Harapan memaklumkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bahawa pentadbiran Selangor tidak lagi dianggotai Bersatu dan secara automatik bukan lagi dalam gabungan Kerajaan Selangor.

“Kerajaan negeri turut akan bekukan peruntukan lima ADUN Bersatu dan dua ADUN Bebas.

“Pembabitan semua pimpinan dan ahli Bersatu adalah terkeluar daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, pihak berkuasa tempatan, Majlis Permuafakatan Ketua Kampung (MPKK), anak-anak syarikat kerajaan negeri serta seluruh rangkaiannya yang berkaitan, sesuai dengan keadaan politik semasa,” jelas Amirudin lagi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Pimpinan Pakatan Harapan Negeri Selangor di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, Shah Alam hari ini.

Selangor dilihat negeri paling selesa bagi PH dengan penguasaan 50 daripada 56 kerusi DUN sebelum ini.

Gabungan PH di negeri itu terdiri daripada PKR dengan 21 kerusi, DAP (16), AMANAH (8) dan Bersatu (5).

Pembangkang pula hanya mempunyai enam kerusi iaitu lima dari Umno manakala Pas hanya memiliki kerusi DUN tunggal.

Walaupun Bersatu disingkirkan, PH masih menguasai Selangor dengan 45 kerusi DUN.

Berita penuh https://malaysiadateline.com/ph-selangor-singkir-bersatu-serta-merta/

Thursday, February 27, 2020

PH tumbang di Johor, tak cukup 2 Adun

BERITA

Gabungan baru akan menggantikan pentadbiran Pakatan Harapan di Johor, kata setiausaha sulit sultan Johor Jaba Mohd Noah.

Katanya, keputusan itu diambil selepas sultan Johor berpuas hati gabungan itu memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Katanya, 28 anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) memilih gabungan baru manakala 26 lagi memilih Pakatan Harapan.

“Oleh yang demikian, gabungan parti yang baharu berhak untuk memberikan cadangan nama calon menteri besar, sebelum sususan barisan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri yang baru dilantik,” katanya.

Tuesday, March 19, 2019

Umno tetap akan saman semua wakil rakyat lompat parti

B Nantha Kumar


Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa hari ini mengesahkan akan meneruskan saman terhadap bekas wakil rakyatnya yang keluar parti selepas gabungan BN ditumpaskan pada PRU14.

Mengulas lanjut laporan bahawa Umno kemungkinan tidak akan meneruskan saman terhadap bekas wakil rakyatnya, Annuar berkata laporan tersebut sebagai tidak tepat.

“Laporan itu tidak tepat. Saya baca di Malaysiakini tulis sesuatu pasal Umno tidak saman.

“Saya ingin mengesahkan adalah tidak benar laporan Umno menarik balik saman terhadap bekas wakil rakyat parti tersebut kerana kos yang tinggi,” katanya menjawab soalan pemberita di lobi parlimen.
Annuar Musa
Malaysiakini semalam memetik laporan The Malaysian Insight yang menyatakan sumber Umno memberitahu bahawa parti itu tidak akan meneruskan saman terhadap bekas wakil rakyatnya.

Memetik sumber, portal itu melaporkan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dilapor berpendapat adalah lebih baik parti itu menumpukan usaha untuk mengukuhkan parti, selain faktor kos menjadi pertimbangan.

Sementara itu, Annuar yang juga MP kawasan parlimen Ketereh berkata Umno akan menyaman kesemua ADUN dan MP yang bertindak keluar daripada Umno.

“Saya boleh pastikan hari ini kesemua ADUN dan MP yang meninggalkan parti akan disaman.

“Lebih kurang 30 daripadanya, 20 dari Sabah dan lagi 10 ADUN dan MP dari semenanjung masing dua ADUN di Johor dan Perak serta satu di Kedah akan diheret,” jelasnya.

“Jadi tiada sesiapa tertinggal,” katanya sambil menambah bahawa partinya tidak akan berkongsi maklumat kos guaman kepada awam.

Tambahnya, beliau telah berbincang dengan Mohamad dan bendahari Umno dan juga peguam yang mengendalikan kes ini bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan.

Sunday, May 13, 2018

Sebelas ‘YB katak’ setakat ini 2 di Perak, 3 di Johor dan 6 di Sarawak

 firdaus.sayeda 
12/05/2018


BANGI, 26 Syaaban 1439H, Sabtu – Masuk hari ketiga selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) berlalu, sekurang-kurangnya sebelas ADUN telah melompat ke parti lain (menjadi YB katak).

Tindakan lompat parti ini mendapat reaksi berbeza daripada orang ramai. Ada yang melihatnya sebagai menyelamatkan keadaan bagi penubuhan kerajaan negeri dan ada yang melihatnya sebagai satu pengkhiatan kepada parti asal.

Di Perak, dilaporkan dua ADUN Barisan Nasional telah menyertai Pakatan Harapan seterusnya membantu PH membentuk kerajaan negeri baharu hari ini setelah mendapat majoriti mudah 31 kerusi daripada keseluruhan 59 kerusi DUN.

Media mendedahkan dua ADUN itu ialah ADUN Tualang Sekah Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan ADUN Sungai Manik Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

Di Johor, tiga ADUN BN juga telah menyertai PPBM. Mereka ialah ADUN Johor Lama, Haji Rosleli Jahari; ADUN Sedili, Rasman Ithnain; dan ADUN Endau, Alwiyah Talib.

Susulan itu, PH mendapat mandat membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 36 kerusi DUN Johor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), manakala BN mendapat 19 kerusi dan PAS dengan satu kerusi.

ADUN Sedili, Rasman Ithnain dalam sidang media siang tadi berkata, tindakan mereka adalah sukarela demi membela rakyat.

Di Sarawak, Bernama melaporkan dakwaan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin bahawa enam pemimpin politik negeri itu termasuk dua anggota Parlimen sertai PKR.

Di Kedah, semalam ditularkan berita seorang ADUN BN lompat parti ke PH namun ia hanyalah sekadar khabar angin.

Pakatan Harapan Kedah berjaya menubuhkan kerajaan negeri baharu di negeri itu setelah mendapat persetujuan pihak istana meskipun tidak mendapat majoriti mudah setelah memenangi 18 kerusi DUN berbanding PAS (15 kerusi) dan BN (3 kerusi).

Monday, May 15, 2017

PAS optimis sapu bersih DUN & parlimen Terengganu

15 MEI: Di ibaratkan misi untuk menawan kembali Terengganu, kepimpinan PAS negeri itu mengumumkan untuk bertanding kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lapan kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Husain Awang berkata parti itu ‘optimis’ memenangi lebih banyak kerusi berbanding jumlah semasa yang disandangnya ketika ini berikutan kemantapan barisan kepimpinan PAS negeri yang baharu selepas rombakan dilakukan baru-baru ini.

“Kita akan bertanding semua kerusi Parlimen dan DUN negeri. Kita bersedia menghadapi apa jua keadaan dan suasana termasuk pertandingan tiga penjuru,” katanya, Isnin.

Pada ketika ini, PAS Terengganu hanya mempunyai tiga kerusi parlimen dan 15 kerusi DUN.

Tindakan itu dilihat mengikut jejak langkah PAS Wilayah Persekutuan yang membuat keputusan bakal bertanding di sembilan kerusi daripada 13 kerusi parlimen yang ditawarkan.

Terdahulu, Husain mengumumkan ahli jawatankuasa baharu Badan Perhubungan PAS Terengganu Sesi 2017-2019 dengan ADUN Paka, Satiful Bahri Mamat yang sebelum ini Pesurujaya negeri kini menyandang jawatan Timbalan Pesuruhjaya I manakala ADUN Bukit Tunggal, Dr Alias Razak dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya II.

Mengulas mengenai rombakan beberapa barisan kepimpinan PAS negeri oleh kepimpinan pusat baru-baru ini, Husain menafikan tindakan itu berpunca daripada pergolakan dalaman parti.

“Sebaliknya, ahli jawatankuasa Badan Perhubungan PAS negeri yang baharu akan menguatkan lagi saf kepimpinan di samping meneruskan legasi peimpin terdahulu.

Sementara itu, ditanya sama ada PAS Terengganu sudah menyenaraikan calon bagi semua kerusi yang bakal ditandingi pada PRU akan datang, beliau berkata perkara tersebut belum diputuskan.

Husain bagaimanapun juga tidak menolak kemungkinan bertanding pada pilihanraya umum.

Saturday, June 27, 2015

Kurma ADUN Semambu difitnah tidak halal

FMT Reporters

Pengendali Facebook 1M4BN mendakwa sukarelawan menyentuh anjing ketika membungkus kurma yang diedarkan kepada umat Islam sempena Ramadan.


PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Lee Chean Chung kecewa apabila difitnah mengedarkan kurma tidak halal kepada umat Islam sempena Ramadan.

Fitnah itu dibuat oleh pengendali laman sosial Facebook yang menggunakan nama 1M4BN yang mendakwa sukarelawan menyentuh anjing ketika membungkus kurma.

Ketua Penerangan Angkatan Muda PKR itu berkata, sudah empat tahun pihaknya mengedarkan kurma sempena Ramadan dengan bantuan sukarelawan pelbagai bangsa.

Katanya, fitnah itu boleh menjejaskan permuafakatan rakyat pelbagai agama dan bangsa yang membantu secara sukarela membungkus kurma berkenaan.

“Saya minta UMNO dan MCA menyatakan pendirian mereka. Hentikan fitnah terhadap sukarelawan yang ikhlas membantu. Hentikan perobohan muafakat rakyat,” tulisnya di Facebook.

- See more at: http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2015/06/26/kurma-adun-semambu-difitnah-tidak-halal/#sthash.vnI4tQDI.dpuf

Friday, June 26, 2015

Speaker dikritik kerana bertudung


KUALA LUMPUR, 26: JAN: Speaker DUN Selangor Hannah Yeoh berkata, pandangan melampau (ekstrem) wujud dalam setiap agama dan bangsa.


Mengulas kritikan kolumnis Cina terhadapnya kerana bertudung ketika melawat masjid, Hannah berkata pandangan sebegitu perlu ditolak.

Dalam kiriman di laman Facebooknya semalam, beliau berkata penolakan itu perlu dibuat semua pihak yang ingin melihat Malaysia maju.

Kenyataan itu dibuat ekoran gambar dimuat naik oleh Hannah di Facebook.

Gambar berkenaan diambil ketika ADUN Subang Jaya itu menyertai majlis berbuka puasa di Masjid al-Falah di kawasannya.

Hannah turut menegaskan, sebab utama beliau menyertai politik adalah untuk mengambil pendirian tegas terhadap pemikiran sedemikian.

“Saya tidak akan memohon maaf atas pendirian saya,” tegas Hannah


Pengguna Facebook yang membaca kenyataan Hannah turut menyatakan sokongan.

Seorang pengguna dikenali sebagai Hua Hing berkata, Hannah mungkin perlu mengabaikan kolumnis tersebut kerana tidak faham tentang agama dan perkara yang sewajarnya dilakukan.

“Pengkritik seolah tidak menghargai orang lain dalam kehidupan seharian mereka. Teruskan kerja yang baik YB Hannah,” tulis Hua Hing.

Dalam majlis berbuka puasa di Masjid al-Falah itu Hannah turut menyampaikan sumbangan Ramadan kepada enam buah masjid dengan jumlah RM2,000 setiap satu dan 18 buah surau (RM1000 setiap satu) daripada peruntukan ADUN.

“Ini kita laksanakan setiap tahun. Pejabat saya turut berdialog dan berbuka puasa bersama semua wakil masjid dan surau,” kata Hannah.

Hadir sama dalam majlis penyerahan sumbangan semalam ialah Ahli Parlimen Kelana Jaya Wong Chen dan bekas Pengerusi Proton Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir. – Roketkini.com

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-