Showing posts with label Majlis Presiden PH. Show all posts
Showing posts with label Majlis Presiden PH. Show all posts

Saturday, February 22, 2020

Peralihan kuasa: Otai Reformasi tetap turun ke jalan

Haspaizi Zain
Diterbitkan Hari ini 8:28 malam

BERITA

Otai Reformasi akan tetap turun ke jalan bagi menuntut peralihan kuasa, kata kumpulan aktivis veteran gerakan politik tahun 1998 itu.

Ini meski pun Presiden PKR Anwar Ibrahim meminta semua pihak akur kepada keputusan Majlis Presiden PH berhubung isu peralihan kuasa.

Setiausaha Otai Reformasi, Abdul Razak Ismail, berkata meskipun kumpulan itu pro-PH, tetapi mereka tidak terikat dengan arahan mana-mana pemimpin parti.

"Otai (Reformasi) adalah NGO bebas, walaupun pro-PH tetapi tidak terikat dengan arahan mana-mana pemimpin parti.

"Perbincangan dengan NGO-NGO sahabat untuk merangka bentuk mobilisasi dan jumlah turun ke jalan raya (bagi) NGO masing-masing," katanya kepada Malaysiakini, petang tadi.

Sebelum itu, dalam satu majlis hari ini Anwar mengarahkan anggota PKR supaya menghormati keputusan berhubung peralihan kuasa yang dicapai dalam mesyuarat Majlis Presiden PH semalam
Anwar juga menggesa penyokongnya dan sekutu PH lain agar menghormati keputusan itu, yang antara lain menyerahkan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menetapkan tarikh peralihan kuasa selepas Sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di ibu negara Nov depan.

"(Apa) yang kita capai semalam adalah konsensus, termasuk (melibatkan) PKR, oleh demikian PKR harus hormat keputusan tersebut, begitu juga rakan-rakan lain.

"Tapi saya boleh arah parti saja, yang lain saya boleh gesa agar mereka hormati keputusan, kerana tumpuan kita adalah tentang ekonomi yang berdepan sedikit kesan daripada Koronavirus," katanya kepada pemberita ketika ditemui di program Himpunan Enam Dekad Keluarga Besar Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di Bangi.

Terdahulu hari ini, FMT melaporkan kumpulan pro-Anwar, Otai Reformis berkata keputusan semalam tidak berpihak kepada Anwar dan mereka akan turun ke jalan bagi mendesak peralihan kuasa dibuat pada Mei ini.

Dalam sidang media selepas mesyuarat semalam, Mahathir berkata PH secara sebulat suara memutuskan untuk menyerahkan penetapan tarikh peralihan kepadanya.

Ketua Pemuda PKR (AMK) Selangor Najwan Halimi pula berkata, pihaknya menghormati keputusan presiden supaya menghormati pendirian Majis Presiden PH.

"Bagi pihak AMK, kami hormati saranan dan nasihat daripada presiden parti

"Ya, pendirian kami seperti yang dinyatakan oleh presiden," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Dr M digesa tetapkan tarikh, Bersatu beri amaran keluar PH

Kow Gah Chie & Zikri Kamarulzaman
Diterbitkan Hari ini 11:02 tengahari

BERITA

Meskipun ketika sidang medianya semalam Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dilihat tersenyum mengumumkan bahawa Majlis Presiden PH sebulat suara bersetuju membenarkan beliau membuat keputusan bagi peralihan jawatan perdana menteri, tetapi difahamkan mesyuarat itu tegang.

Tiga sumber dari kedua belah pihak mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa PH terutama daripada Amanah dan DAP menggesa Dr Mahathir menetapkan tarikh bagi menyerahkan kuasa kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, pemimpin Bersatu dalam mesyuarat tersebut dikatakan telah memberi amaran bahawa Bersatu akan mempertimbangkan keluar PH sekiranya mereka terus menekan Dr Mahathir.

Berikutan kemenangan sejak pilihan raya umum lepas, PH dan sekutunya Warisan mempunyai 138 kerusi di Dewan Rakyat.

Jika Bersatu keluar, PH akan kehilangan 26 kerusi, meninggalkan kerajaan dengan hanya 112 kerusi.

Sekiranya sebahagian ahli parlimen PKR yang menyokong Dr Mahathir turut keluar PH, kerajaan akan jatuh.

Bagaimanapun, dua sumber yang rapat dengan pemimpin dalam mesyuarat itu berkata, Presiden Amanah Mohamad Sabu, atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, tidak gentar dengan amaran dari pemimpin Bersatu yang berkata mereka akan keluar PH.

“Mat Sabu dengan tegas jawab, kami tak ada masalah, puluh tahun dah kami jadi pembangkang dan disambut dan disokong padu wakil DAP,” kata sumber itu.

Pada mesyuarat semalam juga, Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, yang kini dilhat tidak sehaluan dengan Anwar, dikatakan memberikan sokongan agar Dr Mahathir dikekalkan sehingga habis penggal.

“Dia (Azmin) pun keluarkan cadangan untuk Tun (Dr Mahathir) kekal sepenggal,” kata salah satu sumber.

Menurut sumber ketiga yang berada dalam mesyuarat berkenaan, ketika para pemimpin berbalas hujah, Dr Mahathir tenang dan memberi sepenuh perhatian sepanjang mesyuarat itu.

“Dia tenang, dengar semua hujah…..dan berikan satu penyelesaian,” kata sumber.

Sumber itu turut menambah, Anwar kemudian cuba meredakan keadaan dengan meminta agar Dr Mahathir dibenarkan menentukan tarikh peralihan kuasa tersebut selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) yang akan berakhir pada bulan November.

Pada sidang media selepas mesyuarat tersebut, Anwar – yang dilihat duduk sebelah Dr Mahathir - mengulangi pendiriannya.

“Saya cadang Tun (Dr Mahathir) diberi peluang mentadbir negara dan tetapkan bila masa yang sesuai.

“Sementara itu saya kena bersabar,” katanya.

Selepas mesyuarat tersebut, Azmin sambil tersenyum berkata: “(Saya) senyum kerana perdana menteri tegas dalam menjamin kestabilan ekonomi dan politik."

Sementara itu, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang enggan memberikan ulasan apabila diminta pemberita.

Meskipun Anwar telah mengumumkan kedudukannya, namun ia tidak memberi jaminan bahawa penyokong Anwar akan berhenti menggesa Dr Mahathir melepaskan jawatan perdana menteri itu, genap dua tahun tempoh pemerintahannya.

Dr Mahathir sebelum ini pernah berkata beliau memerluka dua hingga tiga tahun sebagai perdana menteri. Dr Mahathir juga sebelum ini berulang kali menegaskan akan menyerahkan kuasa selepas Apec, tempoh selepas Apec yang dimaksudkannya.

Pada pilihan raya umum lalu, PH bersetuju melantik Dr Mahathir sebagai pemimpin dengan syarat beliau kemudian akan menyerahkan kuasa kepada Anwar yang ketika itu masih berada di dalam penjara.

PH serah pada Dr M tarikh peralihan kuasa

Diterbitkan Hari ini 12:21 pagi

BERITA

Majlis Presiden PH menyerahkan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk memutuskan tarikh peralihan kuasa selepas Sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di ibu negara Nov depan.

Bercakap pada sidang media lewat malam di Putrajaya, Mahathir berkata PH membuat keputusan itu sebulat suara.

"Kita telah bincang panjang lebar berkenaan dengan masa depan parti.

"Akhirnya saya tak payah lah ulang apa yang kita capaikan. Terdapat dua pendapat.

"Akhirnya semuanya diserah kepada saya. Apa yang saya cakap mereka akan turut. Peralihan akan berlaku lepas Apec.

"Tiada tempoh masa (timeframe), terpulang kepada saya sama ada saya nak lepas atau tidak. Itulah kepercayaan yang kita persetujui oleh (Majlis Presiden) parti kepada saya. Alhamdulillah,” katanya.

Pada sidang media itu juga, Dr Mahathir diapit oleh bakal penggantinya Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Turut hadir pimpinan tertinggi parti-parti dalam gabungan PH, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali tidak kelihatan pada sidang akhbar itu.

Sementara itu, Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata semua pihak tidak ada keraguan terhadap Dr Mahathir selaku perdana menteri.

“Saya cadang Tun diberi peluang mentadbir negara dan tetapkan bila masa yang sesuai. Sementara itu saya kena bersabar,” kata Anwar.

Dalam perkembangan lain, Mahathir berkata, mesyuarat malam ini juga berbincang tentang Pilihan Raya Sarawak bagi penyusunan kerusi untuk memastikan tidak berlaku pertembungan sesama sendiri.

Jelas beliau, PH akan mengadakan satu konvensyen bagi membincang dan menyeleraskan pilihan raya negeri Sarawak.

Thursday, January 16, 2020

'Tiada sebab Majlis Presiden PH tak boleh tetapkan tarikh peralihan PM'

BERITA

Tidak ada sebab untuk Majlis Presiden PH tidak menetapkan tarikh penyerah kuasa daripada Dr Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim, kata pemimpin pemuda PKR hari ini.

Menurut Najwan Halimi berkata hal yang sama pernah berlaku pada 2002.

Ketua Pemuda PKR Selangor itu menjelaskankan semasa Dr Mahathir mengumumkan keputusannya untuk berundur daripada jawatan perdana menteri dan presiden Umno pemimpin BN meminta beliau agar tidak berbuat demikian serta-merta.

Justeru, kata Najwan, pemimpin parti dalam kerajaan kira-kira 18 tahun lalu berbincang dan menetapkan tarikh untuk Mahathir berundur dan menyerahkan jawatan tersebut kepada penggantinya, Abdullah Ahmad Badawi.

"Justeru, Mahathir dan Abdullah memutuskan tarikh peralihan jawatan perdana menteri adalah pada 31 Okt 2003.

"Sepanjang tempoh menanti tarikh peralihan kuasa itu, pentadbiran negara berjalan seperti biasa tanpa sebarang masalah dan isu besar," katanya dalam satu kenyataan.

Isu penggantian perdana menteri semakin melatari kebanyakan perkembangan politik sejak akhir-akhir ini.

Boleh bergerak ke depan

Ketika penyokong Anwar mahu presiden PKR itu dilantik pada Mei tahun ini, Mahathir pula menegaskan beliau tetap menghormati persefahaman PH dan akan melakukannya selepas persidangan Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec).

Persidangan antarabangsa itu dijadual berlangsung Nov ini.

Beberapa pihak pula mendakwa, tanpa tarikh yang jelas untuk peralihan kuasa itu, ia membawa kepada ketidaktentuan dalam kalangan pelabur.
Najwan berkata semua pihak perlu menghormati pendirian serta komitmen Mahathir yang secara konsisten menyatakan akan berundur untuk memberikan laluan kepada Anwar.

"Sama ada peralihan kuasa ini berlaku pada Mei 2020 atau selepas Apec, apa yang mustahak ialah keperluan agar ditetapkan satu tarikh khusus bagi tujuan tersebut.

"Ini penting bagi menghentikan segala spekulasi serta desas-desus politik yang tidak sihat sehingga menganggu urusan pentadbiran kerajaan selain mewujudkan suasana ketidaktentuan dalam kalangan pelabur," katanya.

Pada masa sama, Adun Kota Anggerik itu menyatakan, Anwar sendiri berulang kali menegaskan bahawa beliau mahukan peralihan kuasa berlaku secara aman dan teratur.

"Jika pada 2002, tarikh peralihan kuasa di antara Mahathir dan Abdullah dapat diputuskan dan dilaksanakan dengan baik, maka tiada sebab untuk Majlis Presiden PH tidak dapat menetapkan hal yang sama.

"Muktamadkan segera tarikh peralihan kuasa agar semua pihak boleh terus bergerak ke depan untuk meneruskan khidmat dan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat tanpa perlu membuang masa melayan spekulasi remeh dan intrigue politik yang tidak berkesudahan," katanya.

Wednesday, October 23, 2019

Adun Jeram cabar Ronnie Liu usul buang Bersatu dari PH


Adun Jeram Mohd Shaid Rosli mencabar Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP Ronnie Liu mencadangkan kepada Majlis Presiden PH untuk membuang Bersatu dari gabungan itu.

Adun Bersatu itu berkata demikian sebagai mengkritik kenyataan Liu sebelum ini yang menyifatkan PH akan tetap berjaya tanpa Bersatu.

"Saya cabar Ronnie Liu dan kepimpinan tertinggi DAP untuk membawa satu usul untuk membuang Bersatu dari komponen parti PH di dalam mesyuarat Majlis Presiden PH," kata Mohd Said dalam kenyataan media hari ini.

Liu yang merupakan Adun Sungai Pelek sebelum ini turut berkata ketika PH sedang mengetengahkan agenda pelbagai kaum, Dr Mahathir Mohamad sebaliknya mengejar model parti dominan Melayu ala BN.

Liu memberi contoh tindakan Dr Mahathir menerima bekas pemimpin Umno dalam Bersatu, selain mempersoalkan berhubung ketiadaan tarikh jelas peralihan kuasa perdana menteri.

Sementara itu, Mohd Shaid dalam kenyataannya menyifatkan bahawa kenyataan Liu sebagai "keterlaluan dan sudah melampaui batas" sehingga boleh menjejaskan hubungan dan kerjasama antara parti di dalam PH.

Katanya, kenyataan Liu itu mempersoalkan kredibiliti Dr Mahathir.

"Atas kesedaran ini, saya bersedia untuk keluar daripada kerajaan PH di Selangor sekiranya Ronnie Liu tidak menghormati kepimpinan tertinggi PH.

"Ini adalah tindakan protes saya kepada DAP," katanya.

Tanpa menyatakan secara spesifik, Mohd Said juga berkata Dr Mahathir dapat membina "kerajaan Melayu Islam" baru tanpa DAP.

"Saya yakin dan percaya bahawa Dr Mahathir mampu membina satu kerajaan baru tanpa DAP sekaligus memadamkan keegoan DAP dengan membentuk gabungan kerajaan Melayu Islam yang baru," katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-