Showing posts with label Nasrudin Hassan. Show all posts
Showing posts with label Nasrudin Hassan. Show all posts

Monday, May 13, 2019

Hadi nafi beri restu pada menantu

Anne Muhammad dan Mariam Nizar


Presiden PAS Abdul Hadi Awang hari ini menegaskan beliau tidak memberi restu kepada menantunya membuat pendedahan mengenai "kartel dedak" seperti yang berlaku sekarang.

Bercakap kepada media di Ampang, Selangor hari ini Abdul Hadi berkata beliau tidak pernah berbuat demikian dan kenyataan dibuat Zaharudin Muhammad di luar pengetahuannya.

“(Saya) restu itu, tak betul... saya tak ada restu,” tegasnya pasda sidang media sebelum majlis berbuka puasa anjuran PAS Pusat di De Palma Ampang hari ini.

Anggota Parlimen Marang itu juga berkata, pendedahan "kartel dedak" yang dikisahkan secara bersiri oleh menantunya itu boleh diibaratkan sebagai filem lama yang sengaja ditayangkan semula.

"Itu (isu didedahkan Zaharudin) filem lama yang sudah ditayang, ia sudah selesai.

"Kita anggap perkara itu dah selesai, ia melibatkan disiplin," ujar Abdul Hadi.

Hadir sama dalam sidang media itu Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, tiga naib presiden, Mohd Amar Nik Abdullah, Iskandar Abdul Samad, dan Idris Ahmad, serta setiausaha agung, Takiyuddin Hassan.

Langgar disiplin parti

Isu "kartel dedak" mula memanas selepas Zaharudin memuat naik siri hantaran di media sosial sejak beberapa hari lalu menceritakan mengenai isu melibatkan beberapa pemimpin kanan PAS.

Antara yang disebut secara jelas ialah dua anggota parlimen PAS iaitu Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan Dr Khairuddin Aman Razali yang masing-masing mewakilli kawasan Bachok, Kelantan, dan Kuala Nerus, Terengganu.

Turut dilibatkan dalam dakwaan Zaharudin ialah Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan.

Beliau turut mengaitkan isu penerimaan wang daripada Umno atau orang Umno itu dengan dua tokoh lain yang tidak dinamakan secara jelas.

Semalam Zaharudin - yang mengaku menjadi "komander" untuk menyingkirkan kumpulan "jebon" sebelum ini - memberitahu pendedahannya mengenai kumpulan terbabit direstui Abdul Hadi.

Baca Zaharudin dakwa dapat restu Hadi

Nik Abduh pula sebelum ini mendakwa Abdul Hadi merestui beliau agar tidak bercakap benar semasa ditanya mengenai kesahihan audio satu ucapan dalam majlis dihadirinya bersama Zaharudin beberapa tahun lalu.

Zaharuddin menerusi kenyataan di Facebook juga menjelaskan tindakannya mendedahkan gerakan "kartel dedah" itu bertujuan mengelak serangan parti lawan serta menjarakkan pimpinan PAS daripada isu wang Umno.

Sementara itu mengulas isu sama, Takiyuddin berkata Jawatankuasa Disiplin PAS sudah menerima aduan mengenai tindakan yang dipercayai melanggar peraturan parti.
Takiyuddin Hassan
"Kita dimaklumkan, kita terima aduan berhubung perlanggaran tatatertib parti.

"Jawatankuasa Disiplin PAS akan buat keputusan. Aduan itu akan disiasat dan dibuat pendakwaan," katanya.

Takiyuddin yang juga anggota parlimen Kota Bharu menambah itu tersebut tidak wajar diungkit semula.

Katanya ada kemungkinan Zaharudin akan dikenakan tindakan disiplin jika jawatankuasa yang menyiasat aduan tersebut berpendapat ia adalah perlu.

Sementara itu Nik Abduh ketika ditemui sebelum bermulanya sidang media dan ditanya isu "kartel dedak" itu enggan mengulas lanjut.

Beliau sebaliknya mengarahkan pemberita bertanya kepada Abdul Hadi terus.

"Jangan tanya saya, pergi tanya di dalam (bilik sidang media) di sana ada semua jawapan," katanya ringkas.

Sunday, June 3, 2018

Peguam Negara perlu mampu pertahankan Islam

WARTAWAN SINAR HARIAN
3 JUN 2018

Nasrudin Hassan

SHAH ALAM - Peguam negara perlu dilantik dalam kalangan mereka yang mampu mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, lebih-lebih lagi antara tugas utama peguam negara adalah menjadi penasihat undang-undang utama kepada kerajaan Malaysia.

“Islam adalah agama Persekutuan dan pelantikan peguam negara mesti bertitik tolak dari situ. Sumpah Yang di-Pertuan Agong adalah berdasarkan Perlembagaan Persekutuan di mana baginda bersumpah ‘memelihara pada setiap masa agama Islam’.

“Maka peguam negara yang dicadangkan kerajaan untuk dilantik oleh Agong mestilah mampu untuk memelihara agama Islam bagi pihak baginda. Agak janggal sekiranya peguam negara dilantik daripada yang bukan Islam atau mana-mana individu yang tidak mampu untuk menggalas tugas tersebut dengan berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pelantikan peguam negara juga mesti menepati kehendak majoriti penduduk negara yang beragama Islam.

“Sensitiviti umat Islam wajar dipelihara. Mestilah mengelak daripada melantik seorang peguam negara yang kecenderungan pemikirannya adalah bercanggah dengan Islam sebagai agama negara,” katanya.

Katanya, Pas turut menyokong sekiranya Agong menolak cadangan Pakatan Harapan untuk melantik Tommy Thomas sebagai peguam negara.

“Umat Islam serta mereka yang mengutamakan keharmonian dan menghormati institusi raja-raja Melayu juga harus bersama memberi sokongan yang padu,” katanya.

Friday, October 27, 2017

Bajet 2018 hanya indah didengar

NUR HASMIRA MOHAMAD
 27 OCTOBER 2017

AHLI Parlimen Temerloh, Ustaz Nasrudin Hassan menyifatkan pembentangan bajet 2018 hanya indah didengar pada hari pembentangan dan rakyat senyum lebar selepas mendengar pelbagai angka yang bakal dinikmati walau hanya seketika.
Menurut beliau, ia berikutan saban tahun Ketua Audit Negara melaporkan pelbagai ketirisan, kerugian, pembaziran, perbelanjaan yang tidak bijak dan sebagainya malah situasi seperti ini masih belum ada kesudahannya.

"Saya bukan bersikap prejudis terhadap bajet yang dibentang, tetapi dalam masa yang sama, bajet juga jangan sekadar menjadi alunan muzik klasik untuk menghibur dan mendodoi pendengar sahaja, tetapi tidak pernah memberi nilai kepuasan yang sebenar dan kekal lama.

"Insya-Allah, kami akan mengambil bahagian secara aktif, kritis dan konstruktif dalam perbahasan bajet sepanjang sidang parlimen kali ini. Untuk menilai secara terperinci mengikut sektor-sektornya. Pasti sahaja nanti ia terbuka kepada pro dan kontra.

Sikap kita mudah, yang baik untuk negara dan rakyat kita sokong. Sementara yang tidak memulangkan manfaat kepada negara dan rakyat, kita bantah, kritik dan tegur kerajaan melalui perbahasan di parlimen kelak," katanya memberi pandangan awal selepas pembentangan bajet 2018 pada 27 Oktober lalu.

Tambah beliau, seperti biasa PAS akan mendengar dan berbincang dengan pakar ekonomi terlebih dahulu mengenai bajet 2018 sebelum menentukan sikap terhadap Bajet 2018. 

– HARAKAHDAILY 

Monday, May 22, 2017

PAS: Suara Islam mesti dua pertiga di parlimen


PAS menggesa umat Islam bersatu dan memastikan dua pertiga anggota parlimen di Dewan Rakyat beragama Islam bagi mengukuhkan kuasa politik mereka.

Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata, meskipun Islam merupakan agama persekutuan dan majoriti penduduk adalah muslim, namun masyarakat Islam di negara ini masih lemah.

"Islam sebagai agama Persekutuan. Majoriti penghuni negara ini ialah muslim. Pemimpin utama negara beragama Islam. Tapi umat Islam masih lemah dalam jumlah mereka yang ramai, hina di hadapan kaum bangsa sendiri, bangsat di atas tanahair sendiri.

"Kuasa politik Islam wajib diperkasa. Suara Islam mestilah 2/3 majoriti di parlimen," jelas Nasrudin dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, umat Islam perlu bangkit dari lena yang panjang dan keluar dari zon selesa mereka.

"Umat Islam wajib bersatu untuk mengembalikan maruah dan izzah ummah," kata Nasrudin.

Pada masa ini, terdapat seramai 135 anggota parlimen beragama Islam di Dewan Rakyat atau bersaaman 61 peratus daripada keseluruhan 222 anggota parlimen.

Gesaan Nasrudin itu adalah jauh berbeza dengan slogan "PAS untuk semua" pada dua pilihan raya umum yang lalu.

PAS baru-baru ini memutuskan hubungan dengan PKR dan merancang untuk bertanding sekurang-kurangnya 100 kerusi parlimen di seluruh negara.

Friday, May 6, 2016

Pas masuk Sarawak bukan mahu 'mengajar'

RAZIATUL HANUM A.RAJAK
6 MEI 2016
Nasrudin Hassan
SHAH ALAM – Pas menyifatkan kehadirannya ke Sarawak demi membantu rakyat negeri itu supaya mereka dapat menikmati hak yang sepatutnya diterima.

Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata, kehadiran parti Islam itu juga untuk mengangkat suara rakyat yang diwakili ke Dun Sarawak agar mendapat perhatian wajar dari kerajaan yang memerintah.

“Bukanlah bermaksud untuk mengajar rakyat Sarawak yang pastinya bijak menentukan pilihan dan masa depan mereka.

“Namun hadirnya kita adalah untuk mengajak rakyat Sarawak memimpin kebangkitan dan melakukan perubahan ‘Untukmu Sarawak’ demi Sarawak sejahtera, makmur dan membangun dengan adil dan saksama,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, beliau juga menyifatkan negeri itu memerlukan pembangkang yang konstruktif dan baik ke arah mewujudkan suasana semak dan imbang dalam pentadbiran dan pemerintahan negeri itu.

“Ini sangat penting demi memulangkan sesuatu yang positif kepada rakyat. Pas bertanding 11 kerusi sahaja (dalam Pilihan Paya Negeri Sarawak) dan bersedia untuk menjadi pembangkang yang membina sekaligus menyuburkan proses demokrasi di Dun Sarawak.

“Pada masa yang sama, Pas mengemukakan calon yang berwibawa, berilmu dan mempunyai moral yang tinggi sebagai asas kepercayaan yang layak diharapkan oleh rakyat Sarawak,” katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-