Showing posts with label National Feedlot Corporation Sd Bhd (NFCorp. Show all posts
Showing posts with label National Feedlot Corporation Sd Bhd (NFCorp. Show all posts

Thursday, May 23, 2019

Saya tidak boleh dedahkan syarikat yang ambil alih NFCorp – Salahuddin

By Kumara Sabapatty
- 23 Mei 2019

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub bercakap kepada media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Dewan Serbaguna MOA, Wisma Tani, Putrajaya.
 foto NOOREEZA HASHIM, 23 MEI 2019.

PUTRAJAYA –  Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tidak boleh mendedahkan identiti syarikat yang merancang mengambil alih National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp).

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, beliau tidak boleh mendedahkan identiti serta butiran lanjut mengenai syarikat terbabit kerana pengambilalihan itu masih belum dimuktamadkan lagi.

“Kita masih dalam proses rundingan tetapi Kementerian Kewangan kata mereka akan membayar balik jumlah pinjaman RM250 juta dan memenuhi terma dan syarat yang ditetapkan kerajaan.

“Kementerian Kewangan juga menyatakan tidak ada masalah untuk mereka membimbing syarikat baharu itu,” katanya dalam sidang media Perhimpunan Bulanan kementerian itu sempena pencapaian setahun kerajaan PH di sini.

Tambahnya, setakat ini hanya satu syarikat sahaja yang tampil menyatakan kesediaan untuk mengambil alih NFCorp dan ia merupakan syarikat tempatan.

Kata Salahuddin, apabila pengambilalihan itu dimuktamadkan, pihaknya akan meneliti tindakan lanjut dan memberi bimbingan kepada syarikat tersebut.

Ditanya sama ada kerajaan berkemungkinan memberi pengecualian cukai kepada syarikat berkenaan sebagai menggalakkan industri pengeluaran haiwan ruminan (lembu), kata Ahli Parlimen Pulai itu, perkara tersebut akan dibincangkan.

‘Kita nak memastikan mereka selesaikan proses pembayaran pinjaman dan pengambilalihan NFC itu dulu,” katanya.

Ditanya wujud keperluan untuk kerajaan meletakkan seorang penyelia operasi syarikat dalam NFCorp selepas pengambilalihan bagi mengelak ketirisan daripada berulang lagi, Salahuddin menjelaskan, keperluan itu tidak wujud buat masa sekarang.

“Syarikat berkenaan ada pakar perunding dan kepakaran menguruskan NFCorp dan sudah tentu mereka akan melihat keseluruhan proses pengoperasian supaya berjalan lancar dan berintegriti.

“Bagaimanapun kementerian kami cuma nak pastikan mereka mematuhi semua syarat syarat itu supaya tidak menjejaskan kepentingan pertanian dan pinjaman itu dapat bayar balik kepada MOF kita hanya akan beri peluang mereka untuk membina industri ruminan berkembang subur untuk memanfaatkan pertanian negara,” ujarnya.

Monday, May 20, 2019

Putrajaya tuntut bayaran balik penuh pinjaman RM250 juta kepada NFCorp

FMT Reporters
-May 20, 2019 12:37 PM

Mohamad Salleh Ismail kini disenaraikan sebagai satu-satunya pengarah National Feedlot Corporation Sdn Bhd. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Putrajaya memutuskan untuk menuntut sepenuhnya jumlah pinjaman RM250 juta yang diberikan kepada National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) pada 2008, bersama dengan kadar faedah dan faedah lewat sehingga 30 April tahun ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini berkata, jumlah keseluruhan yang perlu dibayar oleh NFCorp kepada kerajaan Persekutuan adalah RM253,618,455.03.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM110,840,854.28 merupakan jumlah bayaran tertunggak kepada kerajaan Persekutuan setakat tarikh tersebut, iaitu tunggakan pokok pinjaman sebanyak RM81,987,629.65, faedah sebanyak RM22,967,131.55 dan faedah lewat sebanyak RM5,886,093.08,” katanya.

Menurut Lim, pada 9 Januari 2008, NFCorp menerima kemudahan pinjaman daripada kerajaan Persekutuan berjumlah RM250 juta pada kadar faedah 2% dengan tempoh pinjaman selama 20 tahun dan tempoh penangguhan selama 3 tahun.

Pinjaman itu adalah bersandarkan debentur yang ditanda tangani bersama perjanjian pinjaman pada 6 Disember 2007.

Lim berkata, berdasarkan laporan usaha wajar syarikat perakaunan PwC, ahli Lembaga Pengarah NFCorp bagi tempoh 6 Disember 2007 sehingga 31 Disember 2011 terdiri daripada Mohamad Salleh Ismail dan anak-anaknya, Izran Salleh, Izmir Salleh, Izzana Salleh bersama wakil-wakil kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri.

“Bagaimanapun carian SSM pada 17 Mei 2019 merekodkan Mohamad Salleh Ismail sebagai satu-satunya ahli Lembaga Pengarah NFCorp bersama 2 orang setiausaha syarikat,” katanya.

Jelasnya, pada 4 September 2014, satu notis pengisytiharan keingkaran selaras dengan klausa 14 perjanjian pinjaman di antara kerajaan Persekutuan dan NFCorp dikeluarkan kepada NFCorp.

“Kementerian Kewangan kini sudah mengambil keputusan menuntut sepenuhnya jumlah pinjaman daripada NFCorp dan perkara ini telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara pada 29 Ogos 2018 untuk tindakan selanjutnya.

“Perkara ini sedang diuruskan pihak Jabatan Peguam Negara yang akan mengumumkan perkembangan kemajuan selanjutnya,” katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-