Showing posts with label PAU 2020. Show all posts
Showing posts with label PAU 2020. Show all posts

Monday, April 26, 2021

‘Rakyat tunggu bila nak tarik diri dari PN, tapi Umno pengecut’

Oleh SITI NUR ZAWANI MISCON 
April 26, 2021


Tiada apa yang luar biasa pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada semalam, bahkan tiada keputusan besar mahupun dahsyat yang berlaku, kata Adun AMANAH.

Adun Durian Tunggal, Datuk Sofi Wahab berkata, hasil mesyuarat itu sama sahaja dengan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 yang hanya berkokok seperti ayam jantan seolah-olah berani menelan parti Bersatu.

“(Tapi mesyuarat) sekadar untuk tentukan tarikh pemilihan. Kalau begitulah hasil mesyuarat tak perlu berkokok kuat sebelum mesyuarat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.

Sofi berkata, ramai menantikan keputusan yang menggemparkan antaranya tarikh untuk Umno menarik sokongan dari kerajaan PN dan tarikh menteri-menteri Umno untuk meletakkan jawatan.

Namun katanya, ia tidak jadi kenyataan kerana Umno pengecut dan pemimpinnya tidak berani keluar dari kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Mereka takut hilang jawatan. Takut hilang keistimewaan sebagai menteri, gaji dan elaun. Takut hilang kuasa. Lebih baik mereka tunggu. Umno pun tak berani mengarahkan menteri mereka letak jawatan.

“Itulah Umno dan rupa sebenar Umno. Semua orang sudah kenal. Ramai orang sudah mual dan muak dengan perangai Umno,” katanya lagi.

Pada semalam, mesyuarat MKT Umno antara lain mendesak dan mengesyorkan kerajaan agar Parlimen dibenarkan bersidang selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat.

Mesyuarat juga mendesak melalui menteri-menteri Kabinet Umno untuk kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menyiasat segala pendedahan dalam kandungan buku terbitan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Selain itu mereka juga akan meminta nasihat kepada Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mendapatkan garis panduan menjalankan pemilihan parti tahun ini.

Sementara itu, Sofi berkata, Umno sememangnya tidak boleh diharap kerana mereka tidak akan berani membuat keputusan drastik dan tidak sanggup kehilangan apa yang mereka ada sekarang.

Menurutnya, Umno kini sedang mencongak untuk PRU15, dan jika mereka rasa tidak boleh bergerak berseorangan, Umno akan melakukan ‘u turn’.

“Tak percaya tengok nanti.

“Mahiaddin tahu mereka semua ‘tiada telur’. Pemimpin Umno itu penakut dan bacul. Hanya berani bercakap. Tetapi takut untuk mengotakan cakap besar mereka.

“Kalau ikut kepada cakap pada PAU dahulu, Mahiaddin sudah ditelan. Tetapi Mahiaddin senyum sahaja. Tidak rasa takut. Mahiaddin tahu semua itu hanya retorik panglima tahi minyak Umno,” ujarnya.

Monday, April 12, 2021

Motif Umno 3.0 bukan tolak Zahid, Tok Mat sahaja, dakwa pemimpin Umno


     April 12, 2021


Pemimpin Umno yakin, motif utama kumpulan yang mahukan pemilihan parti itu disegera bukan sekadar mahu membuang Datuk Seri Ahamd Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hassan tetapi ada agenda lebih besar.

“Motif mereka bukan semata mata mahu buang Zahid dan Mohammad Hassan. Ia ada agenda lebih besar dari itu.
“Motif utama mereka ialah Umno mesti kekal dalam kerajaan PN. Sekaligus jawatan mereka kekal,” kata anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi.

Atas dasar itu, beliau bersetuju dengan gesaan Datuk Seri Nazri Aziz agar semua menteri Umno meletak jawatan.

Kata Puad, ada segelintir melihat dengan jawatan Menteri mereka lebih mudah menang jika bertanding jawatan utama parti termasuk MKT.

“Bila tidak berjawatan utama dalam parti, nama mereka tenggelam.
“Jawatan Menteri jadikan mereka masih relevan dalam politik negara,” kata bekas Ketua Pengarah Jasa, badan propaganda kerajaan BN dahulu itu.

Menurut bekas timbalan menteri itu juga, ada sebahagian dari mereka mahu kekal jawatan menteri untuk mengelakkan siasatan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Ada juga yang rasa lebih selamat bila jadi menteri. Mereka bimbang gangguan LHDN dan SPRM.

“Sebelum jadi menteri mereka beberapa kali dipanggil SPRM,” kata beliau.

Bagi Puad, apa pun matlamat kumpulan yang dinamakan Umno 3.0 ini, mereka pasti gagal jika berniat untuk ubah keputusan PAU 2020 di mana Umno mesti keluar dari kerajaan PN.

“Pada mereka buang Zahid memudahkan usaha untuk batal mandat PAU kepada Presiden untuk tentukan tarikh keluar dari kerajaan PN.

“Hampir 99% kluster Menteri berdiri dan angkat tangan sokong Umno keluar dari kerajaan PN.

“Maka apa maruah pendokong UMNO 3.0 jika menentang keputusan PAU 2020?” tanya beliau lagi.

Sebuah laman berita baru-baru ini, mendakwa wujudnya kumpulan Umno 3.0.

“Betulkah? Ada Individu tertentu menafikannya. Mereka tidak mahu isu audio perbualan Zahid-Anwar tenggelam,” kata Puad.

Bagi beliau, nama kumpulan tidak penting.

Sesiapapun boleh nafi, katanya. Tetapi perancangan mereka itu yang jadi isu.

“Apakah ia wujud? Ternyata tindak tanduk mereka bukan lagi rahsia.

“Siapa mereka? Ia juga bukan rahsia.

“Ada yang buat kenyataan terbuka supaya pemilihan parti disegerakan. Mereka yakin masalah parti selesai jika pemilihan parti disegerakan,” katanya.
Oleh MALAYSIA DATELINE 

Monday, March 29, 2021

PAU 2020: Umno cuma tumpu isu kuasa, abai kemelut orang Melayu

malaysiakini.com
M Fakhrull Halim
Diterbitkan 29 Mar 2021, 9:50 pm

Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 yang melabuhkan tirai semalam gagal mengangkat isu-isu yang didepani orang Melayu, menurut pengamanatan penganalisis politik Prof Mohammad Agus Yusoff.

Katanya, PAU 2020 hanya menyentuh soal kuasa - iaitu isu kemenangan, penjajaran baru, gabungan politik, dan sebagainya - namun tidak menyentuh isu lebih besar orang Melayu seperti keadilan, kesejahteraan dan ekonomi rakyat.

“Melayu itu bukan hanya untuk kuasa.

“Semalam ada kita bincangkan tentang Covid-19? Tentang prosedur operasi standard (SOP)? Tentang masa depan negara? Ada kita bincangkan tentang agenda rakyat? Adakah benda-benda seperti itu (dibincangkan)? Ada?

“Tak ada,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Seperti hantaran di Facebooknya semalam, Mohammad Agus mengaitkan orang Melayu dengan konsep staatsvolk, perkataan Jerman yang membawa erti rakyat terbanyak, atau menurut Agus, “dominasi etnik majoriti dalam sesebuah negara”.

Menerusi hantaran itu Mohammad Agus berkata, staatsvolk penting untuk memastikan kestabilan politik dalam sebuah negara multietnik.

Sekiranya staatsvolk tidak kuat dan bersatu, katanya, ia boleh menimbulkan ketidakpuasan hati etnik majoriti dan boleh membawa kekacauan.

Katanya, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang dirangka Suruhanjaya Lord Reid juga memastikan staatsvolk dipelihara, iaitu dari segi kedudukan raja-raja Melayu, hak istimewa orang Melayu, bahasa Melayu, Islam, dan tanah simpanan Melayu tanpa menafikan atau mendiskriminasi hak kaum lain .

Pun begitu, katanya, setelah 64 tahun merdeka Umno tidak berubah dan hanya melihat staatsvolk Melayu dalam konteks menjaga kuasa semata-mata.

Hal itu kata Agus dapat dilihat daripada ucapan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya Mohamad Hasan yang hanya memfokuskan kepada persaingan dalam PRU ke-15.

Terbatas soal kuasa, kemenangan

Sedangkan isu kaum dan agama yang mencabar staatsvolk Melayu, kata Mohammad Agus, serta kebimbangan golongan bukan Melayu yang hidup dalam lingkungan orang Melayu tidak mendapat perhatian wajar.

PAU kali ini memang menjadi perhatian banyak pihak kerana sejak awal, fokusnya lebih tertumpu kepada keputusan Umno terhadap hubungan kerjasama mereka dengan Bersatu.

Sepanjang dua hari berlangsungnya PAU, sememangnya isu hubungan dengan Bersatu itulah yang dominan manakala hal-hal lain menjadi agenda sampingan termasuk DAP, Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan (PH).

Meskipun kenyataan Ahmad Zahid semalam jelas bahawa BN - yang diketuai Umno - akan bergerak bersendirian pada PRU ke-15 nanti, ketidakpastian tetap tidak terhapus apabila tokoh-tokoh Umno memberi kenyataan bersifat kata dua kepada PAS.
Secara keseluruhan PAS diminta memilih sama ada bersama parti itu dalam Muafakat Nasional atau kekal bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).

Setakat ini, PAS masih tetap dengan pendirian untuk mempertahankan “perpaduan ummah” seperti pendirian mereka selama ini, iaitu tidak meninggalkan Bersatu mahupun Umno.

“Kita bataskan semangat Melayu itu hanya pada soal kuasa dan kemenangan. Saya tak fikir itu betul.

“Semalam sepatutnya perhimpunan itu kena menjadi lebih besar dan luas lagi untuk membincangkan tentang masa depan Melayu, masa depan ekonominya, pekerjaaannya,” kata Mohammad Agus.

Menurutnya lagi apa yang kurang dalam PAU semalam ialah agenda untuk menyelesaikan isu-isu yang dihadapi orang Melayu, manakala yang menonjol hanya agenda untuk kuasa Umno semata-mata.

“Rugilah... rugi. Pada saya itu satu kerugian,” katanya lagi.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-