Showing posts with label PKPP. Show all posts
Showing posts with label PKPP. Show all posts

Monday, January 11, 2021

Rentas negeri tidak lagi dibenarkan di seluruh negara

mykmu.net
January 11, 2021


PETALING JAYA: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan di seluruh negara bermula Rabu ini.

Beliau berkata, bagi kawasan perintah kawalan pergerakan (PKP), pergerakan rentas daerah juga tidak dibenarkan.

“Susulan larangan pergerakan merentas negeri dan daerah ini, operasi sekatan jalan raya (SJR) akan mula berkuatkuasa pada 12.01 tengah malam, Rabu ini.

“Bagi negeri yang dilaksanakan PKP, pergerakan anda adalah terhad dalam 10km radius sahaja,” katanya dalam perutusan khas.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata bagi tujuan membeli barangan keperluan dari pasar raya atau kedai runcit berdekatan, hanya dua anggota isi rumah dibenarkan keluar dan berada dalam kenderaan sama.

Katanya, individu yang melanggar arahan itu boleh dikenakan kompaun maksimum RM1,000.

“Sepanjang pelaksanaan PKP kedai makan dan gerai penjaja dibenarkan beroperasi hanya untuk perkhidmatan ‘take away’ manakala bagi kawasan PKPB dan PKPP, kedua-duanya
dibenarkan beroperasi seperti biasa mengikut SOP ditetapkan.

“Perkhidmatan penghantaran makanan dibenarkan beroperasi,” katanya.

Muhyiddin berkata, pasar raya, perkhidmatan kesihatan termasuk klinik, hospital, farmasi dan bank dibenarkan beroperasi di kawasan PKP pada tahap berjaga-jaga.

Calon SPM

Beliau berkata, walaupun terdapat sekatan pergerakan yang ketat khususnya di negeri dikenakan PKP, pengecualian diberikan kepada pelajar dan calon peperiksaan utama termasuk peperiksaan SPM bagi sesi 2020 dan 2021.

“Mereka dibenarkan hadir ke sekolah dengan SOP yang ketat. Pihak Kementerian Pelajaran (KPM) akan memperincikan SOP ini,” katanya.

Katanya, bagi aktiviti keagamaan, hanya ahli jawatankuasa masjid atau rumah ibadat dibenarkan hadir di negeri yang dilaksanakan PKP dengan jumlah maksimum lima orang.

Perdana menteri berkata, bagi negeri dikenakan PKPP dan PKPB, aktiviti keagamaan masih dibenarkan dengan bilangan kehadiran minimum ditetapkan dalam SOP.

“Pihak berkuasa agama negeri disaran memberi penetapan bersesuaian dalam menetapkan jumlah kehadira dibenarkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata Malaysia dijangka menerima bekalan vaksin Pfizer untuk fasa pertama pada hujung Februari ini.

Katanya, bagi mencapai imuniti kelompok, sebanyak 60 hingga 70% atau 20 hingga 23 juta populasi Malaysia perlu diberikan vaksin Covid-19.

“Buat masa ini, kerajaan telah pun menandatangani perjanjian awal dengan fasiliti Covax, syarikat Pfizer dan AstraZeneca bagi perolehan vaksin Covid-19 untuk mendapatkan jaminan bekalan vaksin sebanyak 40% liputan populasi.

“Kerajaan juga sedang dalam proses rundingan akhir dengan Sinovac, CanSino dan Gamaleya bagi mendapatkan jaminan bekalan vaksin bertambah melebihi 80% jumlah populasi negara atau 26.5 juta,” katanya.

Sunday, June 7, 2020

PKP pemulihan mulai 10 Jun, rentas negeri dibenarkan

Adam Abu Bakar
-June 7, 2020 3:17 PM

Muhyiddin Yassin berkata, aktiviti pelancongan domestik dibenarkan, tetapi pelancongan ke luar negara dilarang kerana sempadan negara masih ditutup. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Muhyiddin Yassin mengumumkan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang akan berakhir 9 Jun ini digantikan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) sehingga 31 Ogos ini.

Perdana menteri berkata, keputusan melaksanakan PKPP itu dibuat selepas mendapati kadar kes dalam kalangan warga tempatan semakin baik dan terdapat tren penurunan kes.

Katanya, lebih banyak kelonggaran akan diberikan, termasuk perjalanan rentas negeri mulai 10 Jun ini, kecuali di kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

“Mereka yang ingin menziarahi ibu bapa tinggal berjauhan di negeri lain bolehlah berbuat demikian,” katanya dalam ucapan yang disiarkan di televisyen hari ini.

“Cuma nasihat saya sentiasalah jaga kebersihan diri, pakai pelitup muka apabila berada di tempat awam dan elakkan tempat sesak semasa pulang ke kampung.”

Beliau berkata, hampir semua aktiviti sosial, termasuk keagamaan akan dibuka semula secara peringkat.

Katanya, Putrajaya sedang memperhalusi kelonggaran untuk lebih ramai jemaah menunaikan solat berjemaah dan menyertai aktiviti keagamaan di masjid serta rumah ibadat mengikut ruang keluasan.

Beliau berkata, waktu operasi perniagaan akan kembali seperti biasa dan aktiviti komersial bukan dalam premis juga dibenarkan.

Beliau memberi contoh lawatan ke muzium, “indoor busking”, dobi layan diri, aktiviti perikanan rekreasi, termasuk kolam pancing komersial serta penggambaran filem.

“Mesyuarat dan bengkel juga dibenarkan dengan syarat mematuhi sepenuhnya protokol kesihatan dan mengoptimumkan ruang.

“Pasar terbuka, pasar pagi, pasar malam, pasar tamu, bazaria, medan selera, pusat penjaja, ‘food truck’ dan gerai makan juga akan dibenarkan.”

Muhyiddin berkata, aktiviti sukan dan rekreasi, termasuk latihan persediaan serta aktiviti sukan tidak melibatkan sentuhan badan seperti bowling, badminton, memanah dan konvoi motosikal dibenarkan.

“Yang masih tidak dibenarkan ialah pertandingan sukan atau permainan melibatkan perhimpunan penyokong atau penonton yang ramai seperti di stadium, sukan renang dan kolam renang awam, sukan bersentuhan seperti ragbi, gusti, tinju, bola sepak, bola keranjang dan hoki.”

Katanya, aktiviti pelancongan domestik turut dibenarkan, tetapi pelancongan ke luar negara dilarang kerana sempadan negara masih ditutup.

Beliau berkata, sambutan Hari Raya Aidiladha dan ibadah korban dibenarkan, tetapi tertakluk kepada SOP pihak berkuasa agama Islam.

Muhyiddin berkata, sekolah akan dibuka secara berperingkat dalam tempoh PKPP selepas Kementerian Pendidikan mendapat nasihat Kementerian Kesihatan.

Katanya, beberapa aktiviti atau sektor masih dilarang, termasuk pub, kelab malam, pusat hiburan, refleksologi, karaoke, taman tema, perarakan keagamaan dalam jumlah ramai, kenduri, rumah terbuka serta aktiviti lain melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan amalan penjarakan sosial dan pematuhan SOP.

PKPB mula dilaksanakan sejak 4 Mei lalu menggantikan PKP yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.

Antara larangan dilaksanakan Putrajaya di bawah PKPB termasuk perjalanan rentas negeri bagi tujuan balik kampung untuk berhari raya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-