Showing posts with label Perhimpunan Agung Umno 2017. Show all posts
Showing posts with label Perhimpunan Agung Umno 2017. Show all posts

Thursday, December 7, 2017

Mimpi ngeri jika pembangkang perintah negara

ATIRAH HASLI
7 DISEMBER 2017
Persidangan Perhimpunan Agung Umno 2017 - Foto Bernama
KUALA LUMPUR -   Datuk Seri Najib Tun Razak tidak dapat membayangkan mimpi ngeri dan nasib buruk yang bakal menimpa seluruh masyarakat sekiranya masa depan negara terletak di tangan pembangkang.

Presiden Umno itu berkata, segala yang dibina selama ini oleh kerajaan akan hancur berkecai jika kuasa pemerintahan beralih arah.

"Ternyata ini bukan soal main-mainan, sebabnya percaturan perjuangan kali ini, cukup serius dan tidak ada tawar menawarnya lagi.

"Jika kali ini negara tergadai dan terlepas jatuh kepada pihak yang salah dan tidak

bertanggungjawab, apa yang bapa-bapa terdahulu dan kita semua bina

dengan segala susah payah selama ini, akan ranap dan musnah, hancur berkecai di depan mata," katanya dalam ucapan Persidangan Perhimpunan Agung Umno 2017 di PWTC di sini, hari ini.

Oleh itu, katanya lagi, pilihan raya kali ini bakal meletakkan seluruh negara di satu persimpangan pemutus lagi monumental.

"Sebabnya di tangan kita adalah pilihan, yang akan menjadi penentu kepada negara ini.

"Peri-pentingnya, ahli-ahli dan jentera parti, hendaklah selalu berwaspada dan berada dalam mode kesiap-siagaan kerana tak berapa lama lagi kita akan menempuh satu episod pilihan raya yang tergenting lagi berkemuncak cabarannya.

"Bukan sahaja kepada bangsa Melayu Bumiputera, Umno dan BN, kestabilan serta kedaulatan negara, masa depan Syiar Islam, bahkan yang terpenting adalah nasib anak cucu keturunan kita, agar tak melarat dek untung, tersungku merempat di tanah sendiri," katanya lagi.

Tuesday, December 5, 2017

Tunggu gendang perang UMNO - Zahid

KUALA LUMPUR: Seluruh perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO 2017 diharap menunjukkan semangat cukup tinggi menunggu gendang perang menuju Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dipalu oleh Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang memangku tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO melahirkan harapan itu ketika ditemu bual oleh Utusan Online ketika melawat Laman Media di Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pagi.

Beliau yang ditanya harapan terhadap lebih 5000 perwakilan ke perhimpunan kali ini yang dianggap terbesar dan paling signifikan menjelang PRU-14.

"Semangat cukup tinggi terutama apabila tunggu gendang perang dipalu oleh Presiden pada waktu sama, kali ini mungkin hampir kesemua ketua cawangan seluruh negara akan berada di PWTC dan semangat ini memperlihatkan kebersamaan akar umbi ke atas," katanya.

- Utusan Online

Saturday, December 2, 2017

Umno terus bawa rakyat Malaysia ke lembah kejayaan, kata Najib

Perdana Menteri Najib Razal berkata perjuangan Umno adalah perjuangan berasaskan nurani yang luhur, ikhlas dan murni demi agama, bangsa, dan negara. Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Disember, 2017.

UMNO akan terus gagah memikul tanggungjawab dan menjadi nakhoda yang membawa Melayu, Bumiputera, serta seluruh rakyat Malaysia dalam pelayaran menuju lembah kejayaan, kata Presiden Umno Najib Razak.

Perdana menteri berkata ini kerana perjuangan Umno adalah perjuangan berasaskan nurani yang luhur, ikhlas dan murni demi agama, bangsa, dan negara.

“Menjelang Perhimpunan Agung Umno ke-71 ini, sama-sama kita hayati sejauh mana Umno telah memimpin Melayu dan Bumiputera, dan secara langsungnya juga negara, ke arah kejayaan yang kita kecapi hari ini.

“Kesemua kejayaan ini adalah hasil perjuangan Umno, atau lebih tepat lagi, hasil kesanggupan, hasil titisan darah dan keringat, hasil kesetiaan dan wala’ tidak berbelah bahagi kesemua ahli-ahli Umno, dari setiap lapisan masyarakat, dari akar umbi ke pucuk kepimpinan,” kata Najib menerusi catatan dalam blog najibrazak.com, hari ini.

Beliau berkata bagi parti yang bertanggungjawab membawa kemerdekaan dan memimpin bangsa dan negara ke arah kejayaan, usia 71 tahun masih boleh dianggap muda, baharu dan masih belia.

“Alhamdulillah, meskipun dalam usia muda ini, kita telah mencapai begitu banyak untuk Melayu, untuk Bumiputera, untuk Islam, dan untuk negara Malaysia.

“Kerana Umno adalah parti yang bertunjangkan kepentingan rakyat, memperjuangkan nasib rakyat. Umno adalah parti yang cintakan negaranya, yang sanggup berkorban hingga ke titisan darah terakhir demi Malaysia. Umno adalah parti rakyat, hak dan milik ahli-ahlinya, bukan parti milik mana-mana individu,” kata Najib.

Dalam pada itu, Najib berkata semenjak beliau mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada 2009, pelbagai inisiatif telah kerajaan Barisan Nasional laksanakan termasuk ada yang ditambah baik daripada kepimpinan terdahulu untuk terus memperkasa agenda Bumiputera sebagai agenda nasional.

“Antara lain, hasil usaha berterusan kita menyaksikan pendapatan kasar bulanan isi rumah Bumiputera meningkat daripada RM3,624 pada tahun 2009 sewaktu saya mula memimpin, kepada RM6,267 tahun lalu, peningkatan hampir dua kali ganda.

“Manakala insiden kemiskinan Bumiputera juga berjaya kita turunkan, daripada 5.3 peratus pada tahun 2009, kepada 0.5 peratus tahun lalu,” katanya.

Justeru, Najib berkata Umno akan sentiasa memastikan Melayu dan Bumiputera terus berdaya saing antara lain dalam pendidikan, pekerjaan dan pemilikan aset.

“Semua ini saya rangkumkan dalam Transformasi Kesejahteraan Bumiputera yang dilancarkan pada awal tahun ini, yang menyingkap segenap pencapaian dan juga aspirasi masa hadapan kita untuk Melayu dan Bumiputera di Malaysia,” katanya.

Perhimpunan Agung Umno 2017 akan berlangsung bermula 5 hingga 9 Disember ini di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur dengan 5,739 perwakilan dijadualkan menghadiri perhimpunan itu. 

Bernama, 
   2 Disember, 2017.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-