Showing posts with label Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali. Show all posts
Showing posts with label Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali. Show all posts

Thursday, October 13, 2016

Ibrahim Ali 'rela mati seorang diri', takkan gadai prinsip'

Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali berkata beliau lebih rela mati seorang diri daripada menggadaikan prinsip perjuangannya yang mahu membela Melayu Islam bumiputera.

Katanya, beliau kini sudah tidak kisah dengan mana-mana parti di negara ini yang sanggup mengetepikan dirinya demi mendapatkan undi bangsa lain.

“Biar saya mati terbujur seorang diri, biar saya mati tak ada orang kebumi bila meninggal, saya tak kisah, jenazah reput orang tak nak usung kerana takut nak usung jenazah Ibrahim Ali kerana orang lain takut tidak dapat undi.

“Saya tak kisah, saya tak kesal sedikit pun, malah saya bangga kerana sehingga kini tiada parti yang serasi dengan saya. Saya tidak sanggup gadai prinsip (bela Melayu Islam Bumiputera) saya yang saya pegang selama ini.

“Saya tetap dengan prinsip ini, tiada dayung, dengan lidi saya kayuh kerana saya tidak akan berkompromi dengan matlamat menghalalkan cara,” tegasnya dalam wawancara bersamaMalaysiakini dan FMT di Ibu pejabat PERKASA di Kuala Lumpur semalam.

Ibrahim berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan yang dibuat sebelum ini bahawa beliau akan kembali aktif berpolitik dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Katanya, sesetengah pihak menganggapnya tidak memberikan keuntungan kepada sesebuah parti dan hanya akan menghilangkan undi Cina sekiranya beliau menyertai parti itu.

Beliau turut berkata, seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sendiri kini telah menjalinkan kerjasama dengan PKR dan DAP yang dipelopori oleh pemikiran Datuk Seri Anwar Ibrahim, setiausaha agung DAP Lim Guang Eng dan veteran DAP Lim Kit Siang.

Katanya, sejujurnya beliau sendiri tidak menggemari sosok seperti Anwar, Guang Eng dan Kit Siang menyebabkan beliau tidak memilih untuk bersama BERSATU.

“Bagi orang lain saya tak menguntungkan. Ambil Ibrahim Ali hilang undi Cina, bila ambil Ibrahim Ali ada parti yang tidak suka.

“Seperti PKR, de factor parti itu adalah Anwar, mungkin Anwar tak suka saya tapi saya jelas tidak menyukai Anwar (ia) sama juga seperti saya tidak suka DAP dan PKR kerjasama dengan BERSATU,” katanya yang kini berusia 65 tahun.

Bagaimanapun bekas anggota parlimen Pasir Mas itu tidak berkecil hati dengan rakan-rakan politiknya termasuk pengerusi BERSATU Tun Dr Mahathir Mohamad, sebaliknya beliau hanya takut sekiranya Allah berkecil hati dengannya.

“Bila BERSATU ambil saya hanya akan menyusahkan BERSATU sebab ambil hati Kit Siang, Guang Eng lebih penting dari ambil hati Ibrahim Ali, sebab Ibrahim Ali Melayu, sebab Ibrahim Ali tak boleh bagi undi.

“(Tapi) saya tak kecil hati dengan kawan-kawan yang tinggal saya, sokong saya, mengata belakang saya, yang saya takut Allah yang kecil hati dengan saya," tambahnya.

Dalam pada itu Ibrahim berkata beliau kini mengintai mana-mana parti politik yang sesuai dengan perjuangannya.

Sekiranya sudah bertemu wadah tersebut beliau akan melepaskan jawatannya dalam PERKASA dan memberi fokus kepada politik.

“Saya kata kalau saya sertai mana-mana parti politik dan pegang jawatan dalam parti politik, saya akan melepas jawatan presiden PERKASA.

“Oleh kerana BERSATU parti baru, jadi saya nak tengok dulu apakah parti ini sesuai dengan jiwa perjuangan saya yang berteraskan Islam dan Melayu.

“Saya juga nak lihat langkah politik mereka walaupun saya menghormati Tun Mahathir dan anggap beliau negarawan terbilang tapi pada masa yang sama saya perlu melihat kemana fokus parti ini,” katanya.

Thursday, March 24, 2016

PERKASA cabar Lim bukti 'kejantanan', undur sementara

Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali berkata Lim Guan Eng perlu membuktikan “kejantanannya” dengan meletak jawatan sebagai ketua menteri Pulau Pinang sementara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan.

Kata Ibrahim, sekiranya siasatan yang dilakukan mendapati Lim bersih dari sebarang salah laku rasuah, beliau boleh mendapatkan jawatannya semula sebagai seorang hero.

“Wahai Lim Guan Eng, buktikanlah kejantananmu dengan mengambil langkah undur diri sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang (dan) biar SPRM menyiasat ke akar umbi.

“Dan apabila selesai penyiasatan, jika didapati bersih dan tiada unsur rasuah atau apa-apa sahaja yang boleh dikaitkan sebagai perbuatan salah, Lim Guan Eng akan kembali sebagai ketua menteri Pulau Pinang dan seorang hero,” kata Ibrahim.

Sebelum ini anggota parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya membangkitkan pembelian rumah Lim yang RM2.8 juta bawah harga pasaran.

Shabudin juga mendakwa pembelian rumah pada 2015 itu mempunyai hubungan dengan jualan sebidang tanah kerajaan negeri di Taman Manggis pada 2012.

Kes itu kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sementara itu, Ibrahim berkata sekiranya Lim mengambil langkah melepaskan jawatannya ia akan menunjukkan setiausaha agung DAP seorang yang konsisten dalam memerangi isu rasuah.

“Lim Guan Eng mesti tunjuk sikap konsistennya dalam memerangi rasuah atau penyalahgunaan kuasa. Keengganannya untuk bercuti atau undur diri hanya meletakkan diri nya sebagai cakap tak serupa bikin atau bersifat hipokrit.

“Apakah Lim Guan Eng ini ibarat kata dulang paku serpih, mengata orang kita yang lebih sebelum ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Lim hari ini enggan melayan desakan supaya beliau mengambil cuti sementara menunggu siasatan SPRM.

Menurutnya, desakan sama kepada Datuk Seri Najib Razak tidak dibuat dalam isu kemasukan wang RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya.

Thursday, March 10, 2016

Kenapa Ibrahim Ali tak mahu tandatangan Deklarasi Rakyat

Anne Muhammad
Datuk Ibrahim Ali berkata, beliau tidak mahu menandatangani Deklarasi Rakyat kerana "namanya dan PERKASA tidak boleh dipisahkan".

Presiden PERKASA itu berkata, walaupun mereka yang menandatanganinya atas kapasiti individu "tapi maklumlah zaman internet, pihak-pihak akan membuat pentafsiran masing-masing".

"Itulah sebabnya mengapa saya tidak menandatangani deklarasi tersebut," kata Ibrahim.

Katanya, dasar PERKASA sebagai sebuah NGO, tidak memihak kepada mana-mana parti politik.

“NGO kita (PERKASA) bukan parti politik. (Namun) kita (semua pihak) tidak dapat terlepas dari membicarakan isu berkaitan agama, bangsa, negara.

"Semua ini adalah salah satu bahagian daripada politik, kita tak boleh jarakkan diri kita dengan isu berkaitan politik atau nama perjuangan alif ba ta," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini.

Ibrahim menjelaskan demikian sebagai mengulas mengapa beliau tidak menandatangani deklarasi tersebut, walaupun hadir di majlis berkenaan,

Minggu lalu, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan pembangkang telah menandatangani deklarasi yang menuntut penyingkiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Mereka yang menandatanganinya termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik.

Mengulas lanjut katanya, sebelum ini apa yang diusulkan dalam Deklarasi Rakyat telah disuarakan oleh PERKASA.

Malah, katanya, isu mengenai beliau tidak menandatanganinya tidak seharusnya timbul.

“Isu ini sudah lama kita suarakan, apa yang Deklarasi Rakyat sebut tu, PERKASA sudah lama sebutkan dulu dan kita akan terus istiqamah untuk terus menyuarakannya,” katanya.

Ibrahim berkata beliau menghadiri majlis tersebut atas jemputan Dr Mahathir.

Bagaimanapun, bekas ahli Parlimen Pasir Mas itu tidak memasuki dewan berkenaan kerana sampai lambat ekoran kelewatan penerbangannya dari Kota Bharu.

“Saya hadir kerana jemputan Tun Mahathir, saya rapat dengan Tun Mahathir, banyak majlis PERKASA Tun Mahatir hadir.

"Bila dia (Dr Mahathir) jemput saya hadir dan saya beritahu saya tak dapat tandatangan kerana mahu jaga nama baik PERKASA supaya tidak ada salah faham," katanya.

Sunday, February 21, 2016

Keputusan tangguh kemasukan pekerja asing hanya drama, kata Ibrahim Ali

Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali mendakwa keputusan membeku kemasukan pekerja asing hanya untuk meredakan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Inisder, 21 Februari, 2016.

Rakyat diminta tidak terlalu teruja dengan keputusan kerajaan menangguhkan pengambilan pekerja warga asing kerana ia disifatkan presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali hanya drama bagi meredakan kemarahan rakyat.

Menerusi video dimuat naik blogger Minaq Jinggo, Ibrahim mendakwa, kerajaan sebenarnya akan tetap meneruskan kemasukan 1.5 juta pekerja dari Bangladesh meskipun wujud arahan pembekuan.

"Rakyat jangan bertepuk tangan apabila Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi buat pengumuman menghentikan kemasukan 1.5 tenaga pekerja asing.

"Kita jangan mudah teruja dengan drama, di mana, setakat penangguhan ini, untuk meredakan kemarahan rakyat.

"Tetapi sebenarnya, pekerja akan tetap dibawa masuk dengan jumlah 1.5 juta," katanya dipetik daripada video tersebut.

Tambahnya, kerajaan sebelum ini juga ada mengumumkan pemansuhan sementara kemasukan pekerja asing namun ia diteruskan secara senyap-senyap.

"Dulu pun Kabinet kata bekukan, tetapi dalam senyap-senyap meneruskan, termasuk kuota pekerja asing, peringkat demi peringkat, sampai kita lihat, berapa banyak jumlah membanjiri negara kita hari ini," katanya.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan rancangan membawa masuk 1.5 juta pekerja asing warga Bangladesh bagi memenuhi permintaan majikan dan industri.

Ia menerima bantahan pelbagai pihak tetapi satu memorandum persefahaman tetap ditandatangani antara Putrajaya dan Dhaka pada 18 Februari lalu.

Bagaimanapun, keesokan harinya Zahid mengumumkan penangguhan pengambilan pekerja asing dari semua negara sumber, termasuk Bangladesh, sehingga kerajaan berpuas hati terhadap keperluan sebenar tenaga kerja asing itu.

Sehubungan itu, Ibrahim menggesa kerajaan menghentikan drama memutar belit serta mengelirukan rakyat dengan keputusan yang tidak tetap.

“Jangan terus bermain drama, terus memutarbelitkan rakyat, kerana yang kita nak lihat, pembatalan terus secara muktamad, tidak ada lagi pekerja warga asing.

“Masalah kekurangan pekerja boleh kita uruskan dengan cara yang lain, banyak lagi kaedah dan bukan dengan jalan mudah,” katanya.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/keputusan-tangguh-kemasukan-pekerja-asing-hanya-drama-kata-ibrahim-ali#sthash.0fthSNC7.dpuf

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-