Showing posts with label Pulai. Show all posts
Showing posts with label Pulai. Show all posts

Saturday, September 2, 2023

Isu kerjasama UMNO-DAP buat akar umbi berterusan beralih hati

bharian.com.my
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid
bhnews@bh.com.my
 - September 2, 2023 @ 2:57pm
KUALA LUMPUR: Tindakan pemimpin UMNO yang memberi gambaran atau persepsi positif terhadap DAP dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai dan Simpang Jeram tidak mudah memikat 'hati' penyokong parti itu untuk mengundi calon Pakatan Harapan (PH).

Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr Azmi Hassan menjangka peralihan undi oleh pengundi atau penyokong UMNO yang tercetus semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini kepada Perikatan Nasional (PN) akan berlaku lagi dalam PRK Pulai, Simpang Jeram dan Pelangai.

"Mereka melihat UMNO tidak mampu menangani isu dominan DAP dalam Kerajaan Persekutuan. Ini menyebabkan (pengundi UMNO) beralih 'hati'.

"Alternatif mereka adalah PAS dan pengundi UMNO tidak akan berasa bersalah mengundi calon PAS serta tidak mengundi calon AMANAH dalam kes ini," katanya.

Beliau mengulas kenyataan pemimpin UMNO yang memberikan persepsi positif terhadap DAP bagi menarik pengundi parti itu untuk mengundi calon PH dalam PRK Pulai dan Simpang Jeram.

Turut sependapat, penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, yang menyatakan tidak ada jaminan penjelasan dibuat oleh pemimpin UMNO dalam memberikan persepsi positif terhadap DAP akan menambat hati penyokong mereka mengundi calon PH.

"Ini bergantung kepada sejauh mana penjelasan itu dapat diterima sepenuhnya atau diterima sebahagiannya.

"Yang penting, penjelasan itu perlu diberikan secara menyeluruh dan perlu ditembusi di setiap pusat daerah mengundi (PDM).

"Sejauh mana luasnya pencerahan itu, ia bergantung kepada gerak kerja yang ada. Tapi setakat ini, belum ada jaminan untuk mampu menambat 'hati' penyokong UMNO," katanya.

Awang Azman turut berpendapat pemimpin UMNO perlu kerap 'turun ke bawah' bagi menjelaskan mesej dan rasional kerjasama antara UMNO dengan PH supaya ia dapat difahami oleh akar umbi parti.

"Ramai yang keliru, tidak faham dan maklumat yang mereka terima itu tidak dikemaskini. Jadi, ia perlu dijelaskan kepada akar umbi," katanya.

Sunday, August 27, 2023

PRK: Undi calon PN untuk selamatkan negara; Islam, Hadi beritahu ahli Umno

freemalaysiatoday.com
Mohd Farhan Darwis
 - 27 Aug 2023

Abdul Hadi Awang meminta penyokong atas pagar Umno “insaf” dan bertanggungjawab selamatkan negara dan Islam.
Abdul Hadi Awang berkata PAS tidak pernah berhasrat menggantikan Umno, sebaliknya hanya berusaha menjayakan penyatuan ummah. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Presiden PAS Abdul Hadi Awang “memujuk” ahli Umno mengundi calon Perikatan Nasional (PN) di PRK DUN Simpang Jeram dengan alasan tindakan itu tanggungjawab mereka untuk menyelamatkan negara dan Islam.

Menurut Hadi, penyokong Umno juga perlu mengundi calon PN Dr Mohd Mazri Yahya atas alasan semak dan imbang walaupun kemenangan itu tidak mampu menukar kerajaan negeri dikuasai Barisan Nasional (BN).

“Orang Umno di Johor kena fikir panjang sebelum mengundi, ada kewajipan nak selamatkan negara, walaupun tidak memerintah, tetapi satu kerusi inilah amar makruf nahi mungkar di DUN demi selamatkan agama dan umat.

“Saya harap sahabat Umno atas pagar insaf, tanggungjawab nak selamatkan negara bersama Islam, walaupun satu kerusi makna sangat besar kerana kerusi ini akan jalankan amar makruf nahi mungkar di DUN,” katanya dalam ceramah di Muar malam tadi.

Pada PRK Simpang Jeram 9 Sept depan, Mazri ditentang Nazri Abdul Rahman dari Pakatan Harapan (PH) dan calon bebas S Jeganathan.

PRK diadakan susulan kekosongan luar jangka kerana kematian penyandangnya Salahuddin Ayub, 23 Julai lalu. Proses sama juga berlangsung di Parlimen Pulai yang turut diwakili bekas menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup itu.

Dalam ceramah itu, Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang turut menjelaskan partinya sama sekali tidak pernah berhasrat menggantikan Umno sebaliknya hanya berusaha untuk perpaduan dan penyatuan ummah.

“Bila masa PAS nak bunuh Umno?, itu sahaja dalam kepala dia (pemimpin Umno),” katanya

Sementara itu, AJK PAS Pusat Ahmad Amzad Hashim dalam ceramah sama juga menyentuh soal penyatuan ummah, merujuk kerjasama Umno dan PAS dalam Muafakat Nasional (MN) yang wujud selepas BN tewas PRU14.

Katanya, PAS sentiasa berpegang kepada hasrat tersebut dengan menjaga hubungan baik dengan sesama ahli Umno.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-