Showing posts with label Rancangan Malaysia Ke-11. Show all posts
Showing posts with label Rancangan Malaysia Ke-11. Show all posts

Wednesday, January 23, 2019

Lebih 100 undang-undang akan digubal, pinda, perbaharui atau mansuh

Liew Vui Keong.

PUTRAJAYA 23 Jan. - Lebih 100 undang-undang akan digubal, dipinda, diperbaharui dan dimansuhkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Datuk Liew Vui Keong.

Liew berkata lebih 100 senarai cadangan undang-undang yang perlu penggubalan, pembaharuan, pindaan dan pemansuhan dibentangkan dalam mesyuarat yang dipengerusikannya di sini hari ini bersama wakil semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.

"Senarai undang-undang yang akan digubal, diperbaharui, dipinda atau dimansuhkan oleh kementerian, jabatan dan agensi kerajaan dan senarai yang dikemukakan adalah tidak muktamad dan akan dikemaskini dari semasa ke semasa," katanya dalam kenyataan bersempena mesyuarat itu.

Antara senarai undang-undang yang dikemukakan ialah Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Pencegahan Keganasan 2015, Akta Hasutan 1948, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Perhimpunan Aman 2012.

Undang-undang lain termasuk Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Kerja 1955, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, Rang Undang-Undang Gangguan Seksual, Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.

Liew berkata cadangan undang-undang yang perlu penggubalan, pembaharuan, pindaan dan pemansuhan daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) pula termasuk Akta Audit 1957, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 dan Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan).

Turut dicadangkan ialah Akta Insolvensi 1967, Akta Majlis Keselamatan Negara 2016, Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018, Akta Tabung Haji 1995, Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Ombudsman Malaysia dan penggubalan Draf Rang Undang-undang Suruhanjaya Bebas Aduan Dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Liew berkata senarai itu dikemukakan berdasarkan Manifesto Pakatan Harapan dan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Beliau berkata senarai itu akan dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang mengikut jangka masa yang sesuai.

Thursday, October 18, 2018

Ini dokumen lengkap reformasi negara - Dr Mahathir

Diterbitkan 18 Okt 2018, 5:38 petang


Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) (2016-2020), yang disifatkannya sebagai dokumen komprehensif dalam mereformasikan negara dan memastikan agenda pembangunan negara di landasan terbaik.

Beliau berkata KSP RMK11 yang juga merupakan dokumen dasar pertama kerajaan Pakatan Harapan (PH) sejak memenangi Pilihanraya Umum pada 9 Mei lepas, mampu memastikan Malaysia mencapai status negara maju dan inklusif selaras dengan aspirasi Wawasan 2020 – wawasan yang dililhamkannya semasa membentangkan RMK6 pada 1991.

"Dokumen ini memperlihatkan anjakan pemikiran berkaitan pembangunan. Kita tidak lagi melihat pembangunan mengikut ​​​​ukuran pertumbuhan ekonomi atau keluaran dalam negara kasar (KDNK) semata-mata.

"Kita melihat pembangunan dari aspek peningkatan kuasa beli rakyat dan pembangunan perlu dinikmati oleh semua rakyat atau 'shared prosperity',” katanya semasa membentangkan usul mengenai KSP RMK11 di Dewan Rakyat.

Beliau berkata dasar baharu itu akan memastikan tidak wujud jurang pendapatan yang terlalu lebar antara miskin dan kaya antara kaum dan suku kaum.

Bebas dari cengkaman politik

"Tidak harus ada golongan yang merasakan mereka terpinggir dari arus perdana pembangunan. Pembangunan juga tidak boleh meninggalkan negeri atau wilayah tertentu di belakang," katanya.

Perdana menteri berkata pembangunan dalam erti kata sebenar perlu menyumbang kepada pembangunan bangsa Malaysia dan pertumbuhan ekonomi berterusan serta bebas dari cengkaman politik.

Beliau berkata melalui baki pelaksanaan tempoh RMK-11, kerajaan PH menggariskan keutamaan dan penekanan baharu berkaitan falsafah, dasar dan strategi pembangunan negara yang diyakini seiring dengan aspirasi rakyat dan azam kerajaan.

Perdana Menteri berkata dokumen itu juga membuat anjakan dan penyesuaian ke atas dasar dan strategi jangka sederhana dan menilai pencapaian dalam tempoh 2016-2017 selain menyemak semula sasaran, strategi dan inisiatif bagi baki tempoh 2018-2020.

Enam tonggak reformasi tadbir urus

Beliau berkata bagi tempoh dua tahun ini, kerajaan akan mempergiatkan usaha untuk meningkatkan daya tahan asas ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat dengan keutamaan dan penekanan baharu berasaskan enam tonggak.

Enam tonggak itu adalah mereformasi tadbir urus ke arah meningkatkan ketelusan dan kecekapan perkhidmatan awam; memperkukuh pembangunan inklusif dan kesejahteraan rakyat; menuju ke arah pembangunan wilayah yang seimbang; memperkasa modal insan; mempertingkat kemampanan alam sekitar melalui pertumbuhan hijau; dan memperkukuh pertumbuhan ekonomi.

Dr Mahathir berkata semua strategi yang dibentangkan itu semata-mata untuk memperkukuh ekonomi, institusi awam dan tadbir urus kerajaan dengan harapan dapat menebus maruah negara dan dihormati dunia.

"Apa yang saya bentangkan adalah untuk rakyat. Untuk semua rakyat dari Perlis hingga Sabah. Untuk orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Murut dan Orang Asli dan etnik-etnik lain yang semua bernaung di bawah langit Malaysia.

"Kita mahu Malaysia yang bersatu padu. Kita mahu rakyat Malaysia berjaya dan menikmati kekayaan negara. Saya mengajak semua rakyat Malaysia menggalas tanggungjawab ini," katanya.

Daripada kletokrat menjadi harimau Asia

Perdana Menteri berkata jika semua yang terkandung dalam dokumen itu dilaksanakan, beliau yakin Malaysia "akan mengaum kembali sebagai Harimau Asia" dan imej negara akan bertukar dari sebuah negara kleptokrat kepada sebuah negara demokrasi tulen dengan kerajaan yang bersih, luhur dan berintegriti.

Katanya, rakyat Malaysia di seluruh pelusuk dunia juga boleh berbangga untuk memperkenalkan diri sebagai rakyat Malaysia.

Dr Mahathir turut menaruh harapan supaya golongan muda yang menjadi warisan negara dapat mempelajari segala ilmu, mendapatkan segala kemahiran, perkukuh jati diri, berpegang teguh kepada agama dan nilai murni dan menolak rasuah sekeras-kerasnya.

"Sebahagian besar generasi saya telah pergi. Kepada siapa akan kami tinggalkan nasib bangsa dan negara ini, kalau tidak kepada generasi muda.

“Ayuh, marilah kita semua berganding bahu dan bersatu untuk mencipta masa depan Malaysia yang lebih gemilang,” kata Dr Mahathir mengakhiri ucapannya selama satu jam.

Usul itu kemudiannya disokong oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

- Bernama

Tuesday, May 26, 2015

Kemiskinan: Kerajaan tidak berpijak di bumi nyata


KUALA LUMPUR, 26 MEI: Walaupun kerajaan bertegas mendakwa masalah kemiskinan di Malaysia hampir dibasmi, realiti menunjukkan sebaliknya.

Hal ini, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, dapat dilihat jika seseorang melawat sendiri ke kawasan masyarakat biasa, termasuk di Kuala Lumpur.

Berucap ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) di parlimen semalam Guan Eng berkata, ketidaksamaan dan kemiskinan masih belum ditangani dengan baik oleh kerajaan.

Walaupun menteri menunjukkan kadar kemiskinan kurang daripada 1% pada 2014 dengan purata pendapatan bulan isi rumah ialah RM6,141.

“Tetapi apabila kita turun ke jalan raya di Kuala Lumpur dan melawat rumah panjang atau kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak, kita boleh lihat dengan mata sendiri, kemiskinan masih jauh untuk dihapuskan.

“Apabila kita mengunjungi penduduk di kawasan perumahan di bandar, memang ketara sebahagian besar daripada kelas pertengahan mempunyai pendapatan yang kurang daripada RM6,000 sebulan,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan itu juga bertanya, adakah itu menunjukkan RMK-11 adalah kerajaan melaksanakan rancangan yang tidak berasaskan kepada realiti kebanyakan warganegara Malaysia.

“Adakah ini satu rancangan disediakan para konsultan bergaji tinggi tetapi tidak turun padang untuk mengetahui realiti sebenarnya?” tanyanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-