Showing posts with label Sabah dan Sarawak. Show all posts
Showing posts with label Sabah dan Sarawak. Show all posts

Tuesday, December 29, 2015

Umno mahu sokongan Melayu, Pas mahu hudud

KUALA LUMPUR – Umno menghulurkan kerjasama dengan Pas kerana mahukan undi majoriti Melayu, manakala Pas pula mungkin menyambut kerjasama yang dimahukan kerana mahu mendapat sokongan terhadap pelaksanaan hudud.

Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, ia tidak mustahil memandangkan Umno mungkin tidak akan dapat sokongan daripada bukan Melayu dalam PRU akan datang.

“Pandangan saya dari segi keadaan dalam negara sekarang, barangkali Umno membawa cadangan ini kerana ia merupakan strategi bagi Umno untuk berkawan dan bekerjasama dengan Pas,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Tabung Kemanusiaan Pelajar Melayu Mesir, di Kelab Sultan Sulaiman, di sini, hari ini.

Manakala bagi Pas pula, kata Tengku, selain faktor hudud, kebersamaan kerjasama Pas dengan Umno dibuat mungkin kerana parti Islam itu tidak lagi dianggap sebagai rakan dalam perjuangan PR dahulu.

“Pas sekarang ini terpencil sebagai sebuah parti lama yang hanya mempunyai pengikut-pengikut dalam kawasan tradisinya. Jadi sukar untuk Pas mendapat sokongan banyak, dan perjuangannya juga memerlukan sokongan pihak yang berkuasa seperti Umno. Kerana Pas nak jalankan hukum hudud.

“Dan ini tidak boleh dijalankan melainkan satu; Enakmen Syariah dipinda di peringkat Parlimen bagi membolehkan enakmen di negeri Kelantan dan Terengganu dilaksana, dan kemungkinan kedua; mendapat sokongan 2/3 untuk meminda perlembagaan negara dan kalaulah kedua-dua parti ini berpakat mungkin boleh dilakukan semua yang dicadangkan itu,” jelasnya.

Bagaimanapun menurut Tengku lagi, meskipun kini terlibat dengan kerjasama Pas, Umno tetap perlu menumpukan perhatian terhadap Sabah dan Sarawak.

“Umno kena beri perhatian dengan rakyat Sabah dan Sarawak yang memikirkan mungkin kerjasama dengan Pas tidak boleh membela kepentingan mereka di Sabah dan Sarawak.

“Kerana Sabah dan Sarawak tidak menganggap Islam sebagai agama rasmi negeri-negeri berkenaan,” katanya lagi.

Tuesday, October 20, 2015

Menteri 'pusing jauh' jawab isu perjanjian Sabah, Sarawak

KUALA LUMPUR 20 OKT: Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong Sze Phin kesal berikutan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berdolak dalik dalam isu membabitkan kepentingan Sabah dan Sarawak.

“Soalannya mudah. Adakah perjanjian 20 perkara Sabah dan 18 perkara di Sarawak sudah dilaksanakan? Mengapa menteri pusing jauh?” katanya sambil mengingatkan perjanjian berkenaan menjadi intipati kepada pembentukan Malaysia.
Beliau berkata demikian merujuk jawapan Nancy terhadap soalan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail hari ini sama ada keseluruhan perjanjian itu sudah dipenuhi atau sebaliknya.

Nancy pada sidang Parlimen didakwa tidak menjawab soalan sebaliknya berlegar kepada persoalan ‘perjanjian Malaysia 1963 dengan 18 perkara Sarawak dan 20 perkara Sabah adalah dua perkara berbeza’.

Mengingatkan BN supaya tidak memandang remeh tuntutan itu, Jimmy juga menekankan kepentingan Batu Sumpah Peringatan Perlembagaan yang didirikan di Keningau pada 31 Ogos 1964 yang menjadi aspirasi masyarakat pedalaman di Sabah.

“Adakah kerajaan akan memperakui semula segala jaminan pada Batu Sumpah lebih 50 tahun lalu? Jika benar-benar komited terhadap hak dan aspirasi Sabahan, BN perlu buktikan. Jangan sekadar berpolitik,” kata Pengerusi DAP Sabah itu.

Wednesday, September 16, 2015

Muhyiddin: Guna saluran betul perjuang maruah Melayu

Sambutan Hari Malaysia wajar dizahirkan dengan acara-acara yang melambangkan kesepaduan rakyat dan kecintaan kita yang tidak berbelah bahagi kepada ibu pertiwi, kata Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Janganlah pula Hari Malaysia disambut dengan perarakan atau perhimpunan yang boleh ditafsirkan sebagai berbaur perkauman walau apapun motif di sebaliknya," kata beliau yang juga timbalan pengerusi BN dalam perutusan Hari Malaysia.

Pastinya, tegas beliau, perhimpunan yang dijadualkan pada 16 September telah mengundang pelbagai persepsi negatif masyarakat baik dari sudut objektifnya mahupun cara penganjurannya.

"Jika benar hendak memperjuangkan maruah Melayu, maka nasihat saya gunalah saluran yang betul iaitu melalui parti Umno yang menerajui kerajaan, bukan dengan cara membangkitkan sentimen perkauman.

"Saya secara peribadi ingin menasihatkan pihak-pihak yang berkenaan supaya mengambil langkah yang bijaksana dalam memutuskan penganjuran apa-apa perhimpunan atau perarakan pada Hari Malaysia.

"Ini penting supaya sambutan Hari Malaysia tidak dicemari dengan peristiwa yang boleh menimbulkan perasaan persengketaan dan permusuhan antara kaum.

"Dalam kita menghormati hak individu untuk berhimpun, harus diingat isu yang juga tidak kurang penting ialah kesejahteraan dan keharmonian antara kaum serta keselamatan negara.

"Sempena sambutan Hari Malaysia ke-52, marilah kita bersama-sama berdoa agar Malaysia sentiasa dilimpahi dengan nikmat perpaduan, keamanan dan kemakmuran yang berkekalan," tambahnya.

Berikut adalah perutusan penuh Hari Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin:

Malaysia telah mencapai 52 tahun penubuhannya. Sepanjang tempoh ini, negara kita telah menempa pelbagai kejayaan dan mengharungi pelbagai cabaran.

Sebagai sebuah negara bangsa, kita telah berusaha untuk memupuk integrasi nasional antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak, membasmi kemiskinan, memacu pertumbuhan ekonomi yang mapan, mewujudkan kestabilan politik, memelihara keharmonian kaum dan mengekalkan keamanan negara.

Berkat persefahaman yang dipupuk dalam kalangan masyarakat majmuk, kita telah menangani masalah perbezaan kaum, bahasa, agama dan wilayah untuk mewujudkan sebuah negara bangsa yang bersatu padu, bebas, aman dan berdaulat.

Walaupun seringkali berhadapan dengan pelbagai cabaran, termasuk sentimen kewilayahan yang ada ketikanya dieksploitasi oleh segelintir pihak untuk menangguk di air yang keruh, cabaran ini berjaya kita atasi dan sehingga kini Malaysia terus berdiri megah sebagai negara yang berdaulat.

Saya menghargai hakikat bahawa keseimbangan pembangunan antara wilayah dan hubungan yang baik antara kerajaan persekutuan dan negeri adalah penting untuk memelihara keutuhan negara kita. Tidak boleh ada mana-mana wilayah yang tertinggal dari segi pembangunan ekonomi, pendidikan, sosial, budaya dan lain-lain.

Ini termasuk pembangunan di Sabah dan Sarawak. Kita sedar bahawa kedudukan geografi negeri Sabah dan Sarawak yang luas dengan keadaan muka bumi yang berbukit-bukau dan bergunung-ganang, usaha untuk membangunkan Sabah dan Sarawak memerlukan sumber kewangan, tenaga dan kepakaran yang besar. Bukan setakat itu sahaja, setiap keperluan bagi projek pembangunan di negeri Sabah dan Sarawak perlu diputuskan dengan segera dan dipantau dengan rapi oleh pegawai-pegawai di kedua-dua negeri berkenaan.

Oleh sebab itu, saya berpandangan adalah wajar bagi kerajaan persekutuan menurunkan sebahagian kuasa untuk melulus dan memantau projek-projek pembangunan yang kritikal di Sabah dan Sarawak kepada ketua-ketua jabatan kerajaan di kedua-dua negeri ini. Saya percaya penurunan kuasa ini akan mempercepatkan proses kelulusan projek-projek pembangunan yang kritikal dan meningkatkan keberkesanan pemantauan projek. Pada masa yang sama, jabatan-jabatan ini juga perlu diberikan sokongan dari segi sumber dan kepakaran untuk meningkatkan kecekapan.

Saya menyokong sebarang usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk meningkatkan pembangunan di Sabah dan Sarawak demi untuk memajukan kedua-dua negeri ini dan menyejahterakan rakyat. Saya berharap agar kerajaan terus memberikan keutamaan kepada pembangunan di kedua-dua negeri ini agar jurang antara wilayah dapat kita rapatkan dan dengan itu semangat dan roh integrasi nasional akan menjadi lebih bermakna.

Kita juga berbangga dengan taraf pendidikan dan sosio-ekonomi rakyat Malaysia yang semakin meningkat. Ditambah dengan kemajuan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi menjadikan rakyat negara kita lebih bersikap terbuka dalam menerima maklumat dan peka terhadap isu-isu semasa.

Mereka menginginkan pembangunan yang lebih mapan, peluang pekerjaan dengan pendapatan yang lebih tinggi, peluang untuk memiliki rumah sendiri yang lebih selesa, kos sara hidup yang munasabah, kualiti pendidikan yang lebih baik dan perkhidmatan kerajaan yang lebih cekap.

Lebih penting lagi, rakyat mengharapkan kepimpinan kerajaan yang berintegriti, jujur dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap rakyat dan negara. Mereka mahukan kerajaan ditadbir secara telus dan baik. Dalam menghadapi persaingan dunia yang semakin kompetitif hari ini, tadbirurus kerajaan yang baik (good governance) merupakan kunci kepada kejayaan Malaysia yang seterusnya.

Negara kita mempunyai sumber kekayaan yang banyak, baik dari segi sumber asli, hasil percukaian mahupun bakat rakyatnya, namun jika sumber kekayaan negara tidak diurus dengan cekap dan baik, oleh sebab berlaku penyelewangan, ketirisan dan pecah amanah, maka kepercayaan rakyat, komuniti perniagaan serta pelabur tempatan dan antarabangsa terhadap negara kita akan terhakis dan daya saing negara akan terjejas.

Malaysia tentunya akan menghadapi lebih banyak cabaran pada masa hadapan disebabkan persaingan dunia yang semakin sengit. Keupayaan mengekalkan kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat pada masa hadapan bergantung kepada sejauhmana negara kita dapat ditadbir secara cekap dan amanah dan mengekalkan daya saing untuk bertanding di peringkat antarabangsa.

Semua ini menuntut kerajaan supaya bersikap lebih responsif terhadap tuntutan dan harapan rakyat dalam mentadbir negara dan mengurus ekonomi. Tingkatkan integriti dalam pentadbiran dan ambil langkah-langkah bijaksana untuk mengatasi permasalahan rakyat.

Saya percaya jika negara kita ditadbir dengan cekap dan amanah, maka Malaysia akan kembali berada pada landasan yang betul untuk mencapai wawasan menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi dan bersatu padu. Ini adalah tanggungjawab dan amanah besar yang dipikul oleh kerajaan. Rakyat pula bertanggungjawab untuk menumpahkan taat dan setia kepada negara serta sentiasa memelihara keamanan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama.

Sehubungan itu, sambutan Hari Malaysia wajar dizahirkan dengan acara-acara yang melambangkan kesepaduan rakyat dan kecintaan kita yang tidak berbelah bahagi kepada ibu pertiwi. Janganlah pula Hari Malaysia disambut dengan perarakan atau perhimpunan yang boleh ditafsirkan sebagai berbaur perkauman walau apapun motif di sebaliknya.

Pastinya perhimpunan yang dijadualkan pada 16 September ini telah mengundang pelbagai persepsi negatif masyarakat baik dari sudut objektifnya mahupun cara penganjurannya. Jika benar hendak memperjuangkan maruah Melayu, maka nasihat saya gunalah saluran yang betul iaitu melalui parti Umno yang menerajui kerajaan, bukan dengan cara membangkitkan sentimen perkauman.

Saya secara peribadi ingin menasihatkan pihak-pihak yang berkenaan supaya mengambil langkah yang bijaksana dalam memutuskan penganjuran apa-apa perhimpunan atau perarakan pada Hari Malaysia. Ini penting supaya sambutan Hari Malaysia tidak dicemari dengan peristiwa yang boleh menimbulkan perasaan persengketaan dan permusuhan antara kaum.

Dalam kita menghormati hak individu untuk berhimpun, harus diingat isu yang juga tidak kurang penting ialah kesejahteraan dan keharmonian antara kaum serta keselamatan negara.

Sempena sambutan Hari Malaysia ke-52, marilah kita bersama-sama berdoa agar Malaysia sentiasa dilimpahi dengan nikmat perpaduan, keamanan dan kemakmuran yang berkekalan.

Saturday, May 30, 2015

Hudud: Perangkap UMNO mengena?

GELANG PATAH, 30 MEI: Pembentangan Hudud Kelantan di Parlimen yang masih tidak nampak kelibatnya seolah-olah mebenarkan hakikat PAS sudah terjatuh dalam perangkap UMNO dan BN.

Menurut Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, usaha Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan menemui jalan buntu berikutan realiti politik semasa yang dihadapai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Kit Siang menyatakan Najib sedang berada dalam krisis keyakinan terhadap kepimpinannya dan terpaksa memilih antara dua blok iaitu 48 orang ahli parlimen Sabah dan Sarawak yang tidak menyokong Hudud dan 21 ahli parlimen PAS.

“Adakah Najib bersedia hilang sokongan daripada 48 orang Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak, sekaligus hilang sokongan majoriti di parlimen dan jawatan perdana menteri?

“Atau dia akan sokong usul PAS oleh Hadi bagi menarik minat 21 orang Ahli Parlimen PAS?” soal Kit Siang.

Hadi sebelum ini bertegas Hudud Kelantan akan mendapat sokongan UMNO di Parlimen ekoran kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang mengatakan Pusat akan menyokong Hadi dalam pelaksanaan undang-undang itu.

Namun permainan licik UMNO-BN itu sedikit demi sedikit terserlah apabila sehingga kini hudud Kelantan masih tidak mendapat ruang dalam sidang parlimen.

“Dalam keadaan itu, tidak hairanlah usul persendirian rang undang-undang syariah Presiden PAS tidak muncul-muncul walaupun di dalam kertas perintah mesyuarat parlimen sekarang,” kata Kit Siang. – Roketkini.com

Tuesday, May 26, 2015

Kemiskinan: Kerajaan tidak berpijak di bumi nyata


KUALA LUMPUR, 26 MEI: Walaupun kerajaan bertegas mendakwa masalah kemiskinan di Malaysia hampir dibasmi, realiti menunjukkan sebaliknya.

Hal ini, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, dapat dilihat jika seseorang melawat sendiri ke kawasan masyarakat biasa, termasuk di Kuala Lumpur.

Berucap ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) di parlimen semalam Guan Eng berkata, ketidaksamaan dan kemiskinan masih belum ditangani dengan baik oleh kerajaan.

Walaupun menteri menunjukkan kadar kemiskinan kurang daripada 1% pada 2014 dengan purata pendapatan bulan isi rumah ialah RM6,141.

“Tetapi apabila kita turun ke jalan raya di Kuala Lumpur dan melawat rumah panjang atau kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak, kita boleh lihat dengan mata sendiri, kemiskinan masih jauh untuk dihapuskan.

“Apabila kita mengunjungi penduduk di kawasan perumahan di bandar, memang ketara sebahagian besar daripada kelas pertengahan mempunyai pendapatan yang kurang daripada RM6,000 sebulan,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan itu juga bertanya, adakah itu menunjukkan RMK-11 adalah kerajaan melaksanakan rancangan yang tidak berasaskan kepada realiti kebanyakan warganegara Malaysia.

“Adakah ini satu rancangan disediakan para konsultan bergaji tinggi tetapi tidak turun padang untuk mengetahui realiti sebenarnya?” tanyanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-