Showing posts with label Rizal Mansor. Show all posts
Showing posts with label Rizal Mansor. Show all posts

Sunday, September 4, 2022

Siasat Rizal jika lakukan kesalahan lain, Kadir beritahu pihak berkuasa

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-September 4, 2022 9:39 AM
Rizal Mansor dilepas dan dibebaskan daripada empat tuduhan meminta serta menerima suapan bagi pihak Rosmah Mansor pada 8 Jan 2020. selepas pendakwaan menarik balik semua tuduhan terhadapnya dan dia kemudian menjadi saksi pendakwaan.

PETALING JAYA:
Wartawan veteran, A Kadir Jasin menggesa pihak berkuasa menyiasat bekas pembantu Rosmah Mansor, Rizal Mansor jika pernah melakukan kesalahan lain, selepas dia dilepas dan dibebaskan daripada empat tuduhan berhubung projek solar sekolah luar bandar Sarawak.

Katanya, tidak adil untuk individu yang bersubahat atau terbabit dalam rasuah dan penyalahgunaan kuasa, terlepas daripada hukuman selepas bertukar daripada tertuduh menjadi saksi pendakwaan.

“Boleh jadi pihak peguam negara, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat semula watak-watak seperti Rizal ini dengan kesalahan-kesalahan lain, dengan tujuan mendakwa mereka di mahkamah atau merampas aset yang diperoleh melalui wang atau kegiatan haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rizal pada mulanya didakwa atas empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM5.5 juta untuk dirinya dan Rosmah, berhubung projek solar sekolah luar bandar di Sarawak.

Bagaimanapun, pada 8 Jan 2020, mahkamah melepas dan membebaskan Rizal, selepas pendakwaan menarik balik semua pertuduhan terhadapnya dan dia kemudian menjadi saksi pendakwaan.

Rosmah, 70, didakwa meminta RM187.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, melalui Rizal, sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek berkenaan.

Isteri bekas perdana menteri, Najib Razak itu turut didakwa menerima rasuah berjumlah RM5 juta daripada Saidi, melalui Rizal di Seri Perdana, Putrajaya pada 20 Dis 2016, selain dikatakan menerima RM1.5 juta lagi daripada Saidi di Jalan Langgak Duta pada 7 Sept 2017.

Pada 1 Sept lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Rosmah bersalah atas tiga tuduhan rasuah berkaitan projek yang bernilai RM1.25 bilion itu.

Kadir memetik ungkapan bahasa Inggeris “honour among thieves” yang bermaksud pencuri pun saling hormat-menghormati dan tidak melakukan jenayah ke atas satu sama lain.

“Bila kena tangkap dan untuk selamatkan diri, mereka cerita habis. Macam bekas pegawai khas Rosmah, Rizal, berpaling tadah jadi saksi pendakwaan kes rasuah projek solar sekolah luar bandar Sarawak. Banyaklah rahsia Rosmah didedahkan sehingga sabit kesalahan.”

Beliau berkata, ketika Rosmah menjadi “First Lady of Malaysia”, Rizal berlagak lebih sudu daripada kuah.

“Dia pertahan Rosmah dengan mulut dan duit. Siapa saja yang kritik ‘lady boss’, dia akan diserang habis-habisan. Yang puji dibagi upahan.

“Dia ada peruntukan kewangan untuk upah ‘cybertroopers’ (laskar siber) pertahan Rosmah dan serang siapa saja yang bercakap buruk mengenai bosnya itu. Malah, dalam mahkamah, dia dedah siapa kepala-kepala laskar siber Rosmah.”

Sunday, November 19, 2017

'Sedarlah Izzah, siapa lawan sebenar bapa anda'


Datuk Rizal Mansor menyarankan Nurul Izzah Anwar membuka mata dan memikirkan perbezaan penentangan bapanya pada era Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Najib Razak.

Pegawai khas perdana menteri itu berkata demikian merujuk lawatan Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor ke atas bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 17 November lalu.

Menurut Rizal, jika dibandingkan keadaan Anwar ketika era Mahathir sebelum ini tentunya banyak perbezaan.

"Kata orang, satu gambar membawa seribu satu makna. Begitu juga gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib dan isteri melawat Anwar di hospital yang mendapat 1001 reaksi berbeza segenap lapisan masyarakat.

"Jika dibandingkan keadaan Anwar ketika lawan Mahathir suatu masa dulu dengan ketika ini menentang Datuk Seri Najib, tentunya ada banyak bezanya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut Rizal merujuk keadaan Anwar ketika penentangan pemimpin gerakan reformasi itu pada era Mahathir.

"Yang kita nampak mata lebam Anwar ketika era lawan Mahathir.

"Hari ini, Anwar tidak lagi bermata lebam dan ketika masuk hospital untuk rawatan, beliau terima lawatan Datuk Seri Najib," katanya.

Rizal menyarankan anak-anak Anwar khususnya Anggota Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah supaya membuka mata dan memikirkan perbezaan antara era Najib dan era Mahathir.

"Itu belum termasuk kesanggupan Datuk Seri Najib untuk meredah banjir di Pulau Pinang walaupun para pengundi di Pulau Mutiara itu secara majoritinya menyokong DAP.

"Sedarlah Nurul Izzah, siapa lawan sebenar bapa anda walaupun kini Nurul Izzah boleh terima orang yang pernah menjatuhkan bapanya untuk bekerjasama demi kuasa dan survival politiknya," jelasnya.

Semalam Anwar turut dikunjungi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Anwar kini dirawat di hospital selepas menjalani pembedahan di bahu, Ahad lalu.

Read more at https://www.malaysiakini.com/news/402536#ESDz2Pwlke7Y2QCS.99

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-