Showing posts with label Nurul Izzah Anwar. Show all posts
Showing posts with label Nurul Izzah Anwar. Show all posts

Sunday, August 6, 2023

Jangan pilih pemimpin 'loqlaq' - Nurul Izzah

hmetro.com.my
Hamzah Osman
am@hmetro.com.my
NURUL Izzah (tengah) ketika berucap pada Sembang Santai Bersama Orang Muda di Warung Bangau Sawah, Langkawi. FOTO Hamzah Osman

Langkawi: Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menggesa pengundi memilih calon yang dapat mewakili suara rakyat, bukan yang hanya tahu bercakap kasar dan bersikap 'loqlaq'.

Naib Presiden PKR itu berkata, pilihan raya juga bukan pertandingan mencari pemimpin 'penghibur' di aplikasi sosial TikTok.

"Pilihan raya sekarang cukup mencabar, khususnya zaman kemunculan (media sosial) TikTok berleluasa ini, kita seolah-olah diheret (ke pertandingan) siapa lagi banyak (cakap) kasar dan 'loqlaq'.

"Sepatutnya, kita cari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mahu kerja, cari pelaburan dan memajukan ekonomi," katanya ketika berucap pada Sembang Santai Bersama Orang Muda di Warung bangau Sawah di sini, malam tadi.

Hadir sama calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hangat, Hisham Suhaily Othman dan calon DUN Kuah daripada PKR, Ahmad Fauzi Chik.

Nurul Izzah yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah berkata, kesungguhan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan BN untuk menang di negeri 'Jelapang Padi' bertujuan menjaga kebajikan rakyat.

"Kedah perlu dipimpin kerajaan yang seragam dan serasi dengan (kerajaan) Pusat supaya memudahkan pelaksanaan segala projek dirancang kerana sesetengahnya perlu sokongan kerajaan Pusat.

"Undi wakil rakyat yang boleh membina dan memelihara dengan baik jambatan dengan kerajaan Persekutuan, jangan sesekali memberi ruang kepada individu yang mewakili parti yang tidak sehaluan," katanya.

Disiarkan pada: Ogos 6, 2023

Saturday, October 22, 2022

PRU-15: Untuk bentuk kerajaan gabungan, terus-terang itu penting – Nurul Izzah

satuberita.my
By SatuBerita
-October 22, 2022

NAIB Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar tidak menolak kemungkinan terbentuknya kerajaan gabungan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Namun, bagi beliau, parti-parti yang akan membentuk kesepakatan untuk bekerjasama nanti perlu ada ketelusan dalam perhubungan supaya jelas segala matlamat yang didukung bersama.

Bukan sahaja dengan rakyat, yang sememangnya menjadi keutamaan, tetapi pimpinan parti yang terlibat dalam rundingan juga perlu berterus-terang dengan ahli parti supaya batasan yang ditetapkan serta hala tuju kerjasama itu dapat dihadam mereka sebaiknya.

“Saya rasa yang paling kecewa bila saya sendiri, bila ada keputusan diambil, pimpinan tak berterus-terang dengan saya.

“Kalau kita amalkan prinsip (yang didukung parti), kita berterus-terang, kita communicate, ini keputusan yang kita buat, ini adalah agenda kita dan semua parti yang mahu bersama mengangkat agenda tersebut… kami bersama anda,” katanya, lapor Astro AWANI.

Sementara itu, katanya, perlu juga dilihat rekod lampau parti-parti yang mahu menjalin kerjasama, sama ada wakil-wakil rakyatnya memiliki reputasi baik dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing sebelum ini.

Di samping itu, ujar Nurul Izzah, ada yang diketahui bergelumang dengan amalan korup selain bertindak khianat maka soal integriti juga menjadi faktor penting untuk dipertimbangkan.

“Jadi pada saya kalau kita boleh tetapkan perkara ini, kita tunjukkan gabungan ini secara rasional, objektif, nak berunding dengan emosi itu terpulang tapi ada garis panduannya, ia lebih baik.

“Ia akan menjadi sesuatu yang tidak mudah, tapi di sinilah kita perlukan kematangan, kebijakan dan kesabaran,” kata Nurul Izzah lagi.

Saturday, August 6, 2022

Nurul Izzah selamat diijab kabul, pilih Yin Shao Loong jadi teman hidup

satuberita.my
By SatuBerita
-August 6, 2022
Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar selamat diijab kabul pada petang Jumaat (5 Ogos), dengan pilihan hatinya, Yin Shao Loong dalam sebuah majlis yang dihadiri ahli keluarga dan kenalan terdekat, di ibu negara.

Pengumuman tersebut disampaikan dalam satu kenyataan ringkas yang dikeluarkan pada Jumaat malam, lapor Astro AWANI.

Nurul Izzah dan suaminya memaklumkan pernikahan mereka berwalikan ayahanda pengantin perempuan.

Kenyataan itu disertakan bersama gambar pasangan pengantin baharu itu, yang diapit ayah dan ibu Nurul Izzah, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Shao Loong merupakan seorang Penyelidik Kanan di Institut Penyelidikan Khazanah, yang antara tumpuan bidangnya adalah dalam hal dasar industri, perubahan iklim dan teknologi masa depan.

Nurul Izzah pernah mengahwini Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim pada tahun 2003, bagaimanapun pernikahan mereka berakhir pada 2015.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata.

Tuesday, March 26, 2019

PH perlu terima teguran Nurul Izzah, kata Wan Azizah

Omar Zin
-March 26, 2019 11:14 PM

Wan Azizah berkata perdana menteri bersetuju dengan kekecewaan Nurul Izzah.

KUALA LUMPUR:  Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan Pakatan Harapan perlu menerima teguran Nurul Izzah Anwar dengan baik bagi meningkatkan prestasi pada masa akan datang.

Timbalan perdana menteri berkata pandangan anaknya itu tidak seharusnya diperlekeh begitu sahaja kerana Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad senada dengan ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

“Saya baca mengenainya dan perdana menteri pun setuju dengan kekecewaan Izzah jadi ia tidak menjadi masalah.

“Adakah satu kesalahan? Dia tidak sentuh pasal penyelewengan, isu ambil duit negara atau apa jua isu lain. Kita sebagai kerajaan perlu ambil sebagai teguran yang membina,” katanya di majlis makan malam dan perasmian Hari Wanita Sedunia 2019 malam tadi.

Sebelum ini, Izzah dalam temubual dengan Straits Times mengakui beliau “patah hati” dengan perkembangan politik negara selepas pilihan raya umum tahun lalu.

Beliau juga tidak berpuas hati dengan kekurangan naratif jelas mengenai usaha memperkuatkan aliran pertengahan dan penyertaan bekas ahli Parlimen Umno dalam Pakatan Harapan.

Katanya, tidak mudah bekerja dengan “bekas diktator” yang menjadi punca begitu banyak kerosakan berlaku.

Di Parlimen petang tadi, Izzah mempertahankan gelaran “bekas diktator” yang digunakan terhadap Mahathir.

“Untuk rekod, ia berfakta. Saya sebut sebelum pilihan raya, saya sebut semasa himpunan Bersih.

“Saya tak faham kenapa menyebutnya dalam forum berbeza, tetapi mengandungi mesej yang sama, jadi masalah,” katanya.

Ditanya mengenai kenyataannya bahawa reformasi negara bergerak perlahan, Izzah mengiyakan kenyataan tersebut dan tertanya adakah beliau tidak boleh mengulas perkara itu.

“Adakah salah? Saya fikir sesiapa sahaja boleh memberi komen mengenai langkah reformasi dan kita bekerja ke arahnya bersama-sama.”

Izzah tak cukup matang komen negatif Dr M, kata setpol PM

News | Diterbitkan 25 Mac 2019, 11:40 malam


Anggota Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar tidak sepatutnya mengeluarkan komen tidak baik terhadap Dr Mahathir Mohamad, apatah lagi menerusi wawancara media Singapura The Straits Times pada Jumaat lepas.

Setiausaha Politik Perdana Menteri Abu Bakar Yahya berkata Nurul Izzah yang arif dalam arena politik, masih belum cukup matang, tidak rasional serta emosi dalam memahami pendirian Dr Mahathir serta kerajaan.

"Apa yang dilakukan oleh perdana menteri dan kerajaan ketika ini tidak harus dilihat secara peribadi oleh Nurul Izzah, sebaliknya perlu dilihat secara menyeluruh demi kepentingan rakyat dan negara.

"Sebagai seorang daripada anggota parlimen dan bekas Naib Presiden PKR, saya yakin Nurul Izzah tidak lupa bahawa kedudukan Dr Mahathir sebagai perdana menteri adalah keputusan sebulat suara majlis pimpinan Pakatan Harapan (PH), manakala segala keputusan membabitkan hal ehwal pentadbiran kerajaan diputuskan bersama oleh jemaah menteri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

"Saya juga percaya Nurul Izzah faham serta akui bahawa tanpa YAB Tun, mustahil PH menang PRU14 serta mampu membentuk kerajaan pada hari ini," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, ketika wawancaranya bersama akhbar Singapura, The Straits Times, Nurul Izzah meluahkan rasa kecewanya dengan kerajaan PH yang gagal menunaikan janji dan gagal menggerakkan agenda reformasi sepertimana sepatutnya selain meluahkan isi hati beliau yang beliau sukar bekerja dengan Dr Mahathir.

- Bernama

Friday, December 21, 2018

Izzah mual dan muak, kata Anwar

Diterbitkan 21 Dis 2018, 7:03 petang |



Nurul Izzah Anwar mual dan muak dengan "telatah golongan yang lebih sibuk dengan politik kepartian daripada bekerja untuk rakyat," kata presiden PKR yang juga ayah kepada MP Permatang Pauh itu.

Anwar Ibrahim menjelaskan misalnya Izzah kecewa dengan tindakan anggota parlimen yang keluar parti.

"Saya telah berbincang bersama Nurul Izzah dengan panjang lebar tentang niat beliau untuk melepaskan kesemua jawatan yang disandang.

"... yang jelas adalah kerancakan perkembangan politik yang terus menerus sejak 9 bulan yang lalu membuatkan beliau mual dan muak dengan perangai dan telatah golongan yang lebih sibuk dengan politik kepartian daripada bekerja untuk rakyat.

"Sebagai contoh, beliau menyatakan kekecewaan dengan aksi ahli-ahli parlimen yang melompat menyelamatkan nyawa politik, tetapi apa yang lebih parah adalah mereka dimanfaatkan untuk rencana yang jelek," kata Anwar dalam suatu kenyataan hari ini.

'Pemimpin parti tamak'

Menurut MP Port Dickson itu lagi, tindakan Izzah melepaskan semua jawatan parti termasuk jawatan naib presiden PKR yang meraih undi tertinggi secara tidak langsung mengkritik segelintir pemimpin parti yang "tamakkan kepentingan peribadi."

"Saya beranggapan ianya sememangnya konsisten dengan watak beliau yang berani menyatakan pendapat dan prinsipnya.

"Dengan (melepaskan semua jawatan PKR) secara tidak langsung, Nurul Izzah mengkritik (beberapa) kerat pimpinan parti yang lebih tamakkan kepentingan peribadi daripada kesatuan parti," katanya.

Anwar juga berkata kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 tidak memberi sebarang makna jika agenda reformasi disabotaj.

"Peristiwa 9 Mei sesungguhnya adalah suatu anjakan besar buat negara yang membawa pelbagai maksud, tetapi kejayaan kita dalam usaha perluasan dan pemekaran ruang demokratik tidak akan ada sebarang makna sekiranya agenda reformasi disabotaj," jelasnya lagi.

Nurul Izzah yang juga anak pasangan presiden PKR dan Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail membuat kejutan baru-baru ini apabila mengumumkan keputusannya melepaskan semua jawatan dalam parti, termasuk naib presiden.

Bagaimanapun, beliau kekal anggota parlimen Permatang Pauh dan ahli biasa PKR.

Thursday, December 20, 2018

Gantikan Waytha Moorthy dengan Nurul Izzah – Amanah

DECEMBER 20, 2018
Facebook


Ketika penolakan rakyat terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waythamoorthy, dilihat berterusan Pemuda Amanah Terengganu tampil mencadangkan agar Nurul Izzah Anwar dilantik menggantikan senator terbabit.

Ketuanya Mohd Hasbie Muda berkata ketika ini penolakan rakyat terhadap Waythamoorthy sukar untuk dipertahankan lagi.

Justeru katanya pemimpin Parti Hindraf Malaysia itu perlu ditukar dan pengganti yang sesuai kini ialah anggota parlimen Permatang Pauh berkenaan.

"Nurul Izzah adalah wajah segar dalam politik negara. Beliau pemimpin muda yang mengambil pendekatan sederhana dan memahami kerencaman masyarakat.

"Beliau terbukti diterima di kawasan parlimen majoriti Melayu di Permatang Pauh serta kerusi majoriti campuran di Lembah Pantai sebelum ini, " katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu gesaan supaya Waythamoorthy meletakkan jawatan semakin kuat susulan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Muhammad Adib, 24, meninggal dunia Isnin lalu selepas hampir tiga minggu bertarung nyawa susulan kecederaan akibat dipukul dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya 26 Nov lalu.

Rehatkan senator

Waythamoorthy didakwa memburukkan keadaan apabila beliau dan tiga menteri yang lain dalam satu sidang media menyalahkan polis yang membuat kenyataan mengaitkan insiden berkenaan dengan pergaduhan antara "dua kumpulan India".

Kempen petisyen di media sosial yang menggesa Waythamoorthy meletakkan jawatan sudah mendapat 300,000 tandatangan.

Malam tadi, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memberi gambaran bahawa beliau berpuas hati dengan prestasi Waythamoorthy sebagai menteri yang ditugaskan untuk mengurus hal-hal perpaduan.
Waytha Moorthy bersama beberapa Ahli Parlimen pada sidang media menyalahkan pihak Polis dan mahu bertanggungjawab ke atas rusuhan di kuil Maha Sri Mariamman.

Beliau juga berkata terpulang kepada dirinya untuk memutuskan sama ada Waythamoorthy akan dipecat atau tidak.

"Orang ramai boleh menyatakan pendapat mereka, tapi terserah kepada saya untuk putuskan," katanya.

Sementara itu Mohd Hasbie berkata, walaupun perdana menteri memiliki sebab yang kukuh sewaktu melantik Waythamoorthy selaku menteri sebelum ini, keberkesanan beliau dalam menjalankan tugas jelas dipertikaikan secara konsisten dan berterusan oleh netizen.

"Saya percaya bahawa sebagai sebuah kerajaan yang mendengar suara rakyat, keputusan segera perlu dibuat untuk merehatkan Waythamoorthy," jelasnya. 

Monday, December 17, 2018

Izzah letak jawatan - Dr M tak tahu, Azmin mahu jawapan

Diterbitkan 17 Dis 2018, 2:29 petang


Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata tidak tahu-menahu punca Nurul Izzah Anwar meletakkan jawatan sebagai naib presiden PKR.

"Apa? Oh, (letak jawatan) naib presiden. Bukan dari PKR.

"Saya tidak tahu, beliau mesti mempunyai sebabnya. Saya tidak tahu apa-apa mengenai apa yang terjadi kepada PKR," jawab beliau ketika ditanya mengenai perletakan jawatan tersebut.

Mahathir yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) ditemui pada suatu majlis di Cyberjaya tengahari ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali yang bercakap dengan pemberita di tempat yang sama berharap mendapat penjelasan daripada Izzah.

"Saya baru tahu mengenainya pagi tadi,"

"Saya akan cuba bercakap dengannya dan memahami apa yang sebenarnya terjadi. Saya tiada apa-apa lagi nak ulas," katanya menjawab soalan mengenai perletakan jawatan itu.

Perkembangan pantas politik

Selain, meletak jawatan sebagai naib presiden PKR, Nurul menyatakan beliau juga tidak lagi berkhidmat dengan kerajaan persekutuan dalam apa jua kapasiti.

Nurul yang juga anak perempuan Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail sedang mengetahui petugas khas kerajaan mengenai latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Dalam kenyataan media sebelum ini, Nurul berkata beliau akan kekal sebagai MP Permatang Pauh tetapi akan melepaskan jawatannya sebagai pengerusi PKR Pulau Pinang.

“Satu-satunya kekesalan saya ialah, pengumuman ini sepatutnya dibuat lebih awal, tetapi ia bukan mudah.

"Perkembangan politik berlaku dengan pantas sejak sembilan bulan terakhir ini dengan pemilihan parti menyusul selepas kempen pilihan raya umum yang melelahkan," katanya.

[Berita penuh menyusul]

Sunday, November 18, 2018

Pakatan Harapan Akan Tewas Pada PRU-15 – Nurul Izzah

SUARA TV
Suara Tanpa Sempadan
Admin  November 18, 2018 

SHAH ALAM – Nurul Izzah Anwar berkata Pakatan Harapan akan tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) jika gagal membuktikan membawa Malaysia Baharu yang dijulang-julang sebelum ini.

Katanya sehingga kini rakyat tetap menantikan apakah PKR relevan untuk diharapkan.

“Apa itu Malaysia Baru? Rakyat masih menanti maknanya…Ia bukan stesen terakhir bagi PKR. Kita harus merumuskan formulanya.

“Jika gagal (berbuat demikian) kita akan menanti hukuman (daripada) rakyat,” katanya di Pusat Konvensyen IDCC Shah Alam, hari ini.

“Tiada jaminan untuk kita menang dalam PRU ke-15. Relevannya PKR apabila kita relevan dengan suara rakyat,”katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kongres Nasional Keadilan Ke-13 hari ini.

Mengulas mengenai pemilihan parti yang berlangsung sebelum ini berkata, anggota parti itu yang tidak memiliki sikap sabar sehingga menjadi punca berlakunya pertelingkahan.

“Memandangkan pemilihan kita kali ini begitu sukar, kita kena berterima kasih yang tak menang, yang menang, yang menjalankan tugasan kerana kita bersama hari ini, ada yang tercalar teruk, ada yang berdarah, tak habis-habis berdarah sehingga ke saat ini.

“Kita mengharungi laluan sistem satu ahli satu undi secara teorinya kita mahu jadi parti demokrasi kalis masa depan yang mendepani cabaran namun ada juga tercalar.

“Dan Presiden asal (Wan Azizah Wan Ismail) 20 tahun ,Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail terima kasih kerana bersabar, kalaulah ramai orang mampu bersabar seperti ini mungkin kurang sedikit pertelingkahan kita,”tambahnya.

-SuaraTv

Saturday, September 15, 2018

Nepotisme: Jangan beri kontrak, dana kepada ahli keluarga - Nurul Izzah

Bernama
September 15, 2018 18:19 MYT

Nurul Izzah mengingatkan mana-mana pemimpin yang memegang jawatan dalam kerajaan diingatkan supaya tidak memberi kontrak dan dana kepada ahli keluarga mereka. -Gambar fail

BUKIT MERTAJAM: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar menghormati pandangan aktivis Datuk S Ambiga mengenai isu nepotisme, namun menegaskan beliau tidak memegang jawatan di dalam kerajaan sebaliknya hanya menjadi seorang wakil rakyat.

Nurul Izzah berkata beliau menerima pandangan banyak pihak mengenai perkara itu dan menjelaskan tumpuannya kini adalah untuk berkhidmat kepada rakyat di kawasan yang diwakilinya iaitu Permatang Pauh.

Namun, tegasnya, bagi mengelak berlakunya amalan nepotisme, Nurul Izzah berkata mana-mana pemimpin yang memegang jawatan dalam kerajaan diingatkan supaya tidak memberi kontrak dan dana kepada individu yang tergolong dalam ahli keluarga mereka.

"Pada saya kita ambil secara positif dan kita juga dengan penuh rendah diri memahami dalam skop akan ada suara-suara yang tidak bersetuju dengan kita. Alhamdulilah saya tidak termasuk dan tergolong dalam Kerajaan Pusat , saya amat-amat bersyukur diberikan peluang oleh rakyat Permatang Pauh yang menjadi suara kepada isu-isu termasuklah pemerkasaan anak-anak muda dalam Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

"Pada saya, kita harus pastikan jangan diberikan juga pemberian kontrak atau pemberian berupa dana kepada mereka yang tergolong dalam keluarga kita, bila kita memegang jawatan dalam kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Malaysiaku Mini RTC Pulau Pinang di Mengkuang Titi, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ambiga yang memberi amaran kepada Pakatan Harapan (PH) mengenai bahaya nepotisme susulan keputusan mengadakan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Port Dickson bagi memberi laluan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke Parlimen.

Pada Jumaat, Ambiga berkata perkara itu tidak akan dianggap nepotisme sekiranya Anwar, Timbalan Perdana Menteri Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, dan Nurul Izzah adalah Ahli Parlimen. Namun ia akan berlaku sekiranya mereka mempunyai jawatan dalam kerajaan.

Selain itu, Ambiga berkata sekiranya Anwar menjadi Perdana Menteri seperti yang dirancang, Wan Azizah perlu meletakkan jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Sunday, March 4, 2018

'Kami sudah puas pujuk Pas', kata Nurul Izzah

By MT Webmaster
On Mar 4, 2018


(Malaysian Gazette) – Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, gabungan Pakatan Harapan (PH) sudah puas memujuk Pas agar bersama-sama menyertai PH bagi menakluki Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) kelak.

Nurul Izzah yang turun ke Perak baru-baru ini berkata, partinya bersama-sama DAP, DAP, Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sudah menjalankan pelbagai aktiviti termasuk menghantar PPBM untuk bekerjasama dengan Pas, namun semua langkah itu menemui jalan buntu.

“Kita sudah puas pujuk Pas (untuk menyertai PH dalam mendepani BN),” katanya memetik laporan media pro pembangkang semalam.

Nurul berkata demikan menjawab persoalan perwakilan PH Perak dalam Taklimat Penerangan dan Komunikasi PH Perak di SSL Trader Hotel, Kamunting Perak.

PH dianggotai PKR, DAP, Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebelum ini membentuk gabungan baru pembangkang tanpa Pas dalam mendepani Barisan Nasional (BN) dalam PRU-14 kelak.

Manakala Pas bertindak membentuk gabungan sendiri yang dinamakan Gagasan Sejahtera.

Sebelum itu timbul persoalan di kalangan ahli pembangkang perihal Pas yang tidak bersama dalam PH untuk PRU14 yang akan datang ini.

Mengulas lanjut, Nurul Izzah berkata jentera PH perlu bekerja lebih kuat dalam menarik pengundi Pas pada PRU-14 kelak.

“Orang Pas tidak semestinya akan undi Pas pada PRU-14 ini!

“Calon-calon kita, jentera kita buat baik kepada mereka. Beri penerangan kepada mereka, mereka akan undi PH pada PRU14 nanti,” tambah Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

Sunday, November 19, 2017

'Sedarlah Izzah, siapa lawan sebenar bapa anda'


Datuk Rizal Mansor menyarankan Nurul Izzah Anwar membuka mata dan memikirkan perbezaan penentangan bapanya pada era Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Najib Razak.

Pegawai khas perdana menteri itu berkata demikian merujuk lawatan Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor ke atas bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 17 November lalu.

Menurut Rizal, jika dibandingkan keadaan Anwar ketika era Mahathir sebelum ini tentunya banyak perbezaan.

"Kata orang, satu gambar membawa seribu satu makna. Begitu juga gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib dan isteri melawat Anwar di hospital yang mendapat 1001 reaksi berbeza segenap lapisan masyarakat.

"Jika dibandingkan keadaan Anwar ketika lawan Mahathir suatu masa dulu dengan ketika ini menentang Datuk Seri Najib, tentunya ada banyak bezanya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut Rizal merujuk keadaan Anwar ketika penentangan pemimpin gerakan reformasi itu pada era Mahathir.

"Yang kita nampak mata lebam Anwar ketika era lawan Mahathir.

"Hari ini, Anwar tidak lagi bermata lebam dan ketika masuk hospital untuk rawatan, beliau terima lawatan Datuk Seri Najib," katanya.

Rizal menyarankan anak-anak Anwar khususnya Anggota Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah supaya membuka mata dan memikirkan perbezaan antara era Najib dan era Mahathir.

"Itu belum termasuk kesanggupan Datuk Seri Najib untuk meredah banjir di Pulau Pinang walaupun para pengundi di Pulau Mutiara itu secara majoritinya menyokong DAP.

"Sedarlah Nurul Izzah, siapa lawan sebenar bapa anda walaupun kini Nurul Izzah boleh terima orang yang pernah menjatuhkan bapanya untuk bekerjasama demi kuasa dan survival politiknya," jelasnya.

Semalam Anwar turut dikunjungi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Anwar kini dirawat di hospital selepas menjalani pembedahan di bahu, Ahad lalu.

Read more at https://www.malaysiakini.com/news/402536#ESDz2Pwlke7Y2QCS.99

Thursday, July 6, 2017

Pertemuan Nurul Izzah-Dr Mahathir di London dijangka selesai kemelut pimpinan PH

Amin Iskandar
(Dari kiri) Dr Mahathir Mohamad, Nurul Izzah Anwar dan Siti Hasmah Mohd Ali semasa pertemuan di London awal minggu ini. Dr Mahathir dan Nurul Izzah bertemu bagi menyelesaikan masalah kepimpinan yang melanda Pakatan Harapan.Gambar The Malaysian Insight, 6 Julai, 2017.

KEMELUT kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dijangka selesai seawal minggu ini selepas perbincangan berlaku di antara Nurul Izzah Anwar dan Dr Mahathir Mohamad di London baru-baru ini.

Difahamkan, pertemuan itu adalah untuk menyelesaikan isu berbangkit dalam gabungan pembangkang PH.

“Pertemuan berjalan dengan baik,” kata Nurul Izzah yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai kepada The Malaysian Insight.

“Kami berbincang mengenai masa depan Malaysia dan komitmen terhadap agenda reformasi.”

Naib presiden PKR itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut apabila ditanya tentang apakah persetujuan yang dicapai di antaranya dan Dr Mahathir berhubung senarai pimpinan PH.

Senarai pimpinan termasuk pengerusi dan presiden diperlukan untuk PH berdaftar secara rasmi dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS) supaya boleh menggunakan satu logo dan bendera pada pilihan raya umum akan datang.

“Sila tunggu mesyuarat rasmi PH yang akan diadakan tidak lama lagi. Kami akan umumkan ketika itu,” kata Nurul Izzah.

The Malaysian Insight difahamkan, pimpinan tertinggi PH akan bertemu minggu ini bagi menyelesaikan isu yang menyebabkan penyokong gabungan dan aktivis kecewa.

Pertemuan di antara Nurul Izzah dan pengerusi Bersatu itu berlangsung pada Isnin.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berada di London untuk bertemu dengan peguam ayahnya Anwar Ibrahim manakala Dr Mahathir pula bagi tujuan menyambut Aidilfitri bersama anak dan cucunya.

Seorang lagi pemimpin Husam Musa mengatakan PH akan mengumumkan senarai pimpinan selepas Dr Mahathir pulang dari London tidak lama lagi.

“PH akan bermesyuarat terlebih dahulu dan umumkan senarai pimpinan selepas itu,” Share this quote Share this quote katanya yang juga naib presiden Amanah.

Sebelum ini dilaporkan PH beberapa kali menangguhkan pengumuman senarai pimpinan mereka selepas sebahagian pemimpin PKR dikatakan tidak bersetuju dengan cadangan menamakan Dr Mahathir sebagai pengerusi.

Gabungan pembangkang itu terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan Bersatu dan keputusan atas nama PH dibuat secara konsensus.

Difahamkan, DAP dan Amanah sudah bersetuju dengan cadangan Bersatu akan tetapi dibantah sebahagian pemimpin PKR.

Bersatu mencadangkan agar Dr Mahathir menjadi pengerusi majlis presiden PH sementara Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail dilantik sebagai presiden.

Sementara semua ketua parti komponen PH dicadangkan sebagai naib pengerusi iaitu Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Dalam laporan sebelum ini, Nurul Izzah memberitahu The Malaysian Insight pengerusi PH bukanlah secara automatiknya menjadi calon perdana menteri.

Katanya, isu tentang siapakah bakal perdana menteri hanya akan dibincang dan dirundingkan di antara parti komponen PH jika mereka berjaya mengambil alih Putrajaya.

Kenyataan Nurul Izzah dikeluarkan selepas Anwar yang kini terpenjara menarik diri sebagai calon perdana menteri PH. 

Tuesday, March 29, 2016

Kerana 'puteri' Sulu, puteri reformasi mengadap JK Khas

Zulaikha Zulkifli Hari ini, 3:55 petang Hari ini, 3:56 petang
Anggota parlimen PKR Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai) dan Tian Chua (Batu) hari ini memberi penjelasan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung pertemuan mereka bersama Jacel H Kiram pada November tahun lalu.

Bagaimanapun, Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, dalam mesyuarat hari ini, masih tiada keputusan dibuat berkaitan pertemuan kedua-dua mereka dengan 'puteri' Sulu itu.

Malah, mesyuarat jawatankuasa itu juga akan disambung pada Rabu depan.

"Kita tangguh mesyuarat pada Rabu akan datang. Saya tak boleh jelaskan lagi keputusan.

"Benda-benda yang dibincangkan di sini (mesyuarat) tak boleh diumum hingga penyata lengkap dan dibentang di mesyuarat (jawatankuasa)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen hari ini.

Pada Disember tahun lalu parlimen meluluskan usul merujuk kedua-dua naib presiden PKR itu ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen susulan pertemuannya dengan Jacel, anak perempuan Jamalul Kiram III yang mengarahkan pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah pada 2013.

Selain itu, ditanya sama ada berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan dua wakil rakyat itu, Pandikar yang juga pengerusi jawatankuasa tersebut hanya berkata:

"Puas hati atau tidak bukan itu soalnnya. Saya terpaksa dengar juga sama ada merah telinga atau apa. Pokoknya mereka sudah bagi penjelasan," katanya.

Sementara itu, Nurul Izzah, yang pernah digelar 'puteri reformasi' ketika era reformasi 1998, berkata, beliau bersama Tian Chua telah membangkitkan beberapa isu dan menyerahkan segala keputusan terhadap jawatankuasa tersebut.

"Mereka akan mempertimbangkan terhadap perkara yang kami bangkitkan dan kita patut tunggu.

"Mereka akan membuat pertimbangan dan membuat keputusan sewajarnya," katanya.

Tuesday, November 24, 2015

Apa rasional Izzah didakwa di bawah SOSMA?

Khairil Ashraf 
November 24, 2015

Prof Madya Dr Azmi Sharom berpandangan, SOSMA hanya digunakan kepada individu yang melakukan keganasan dan perbuatan Nurul Izzah bergambar adalah subjektif
PETALING JAYA : Cadangan supaya Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dikenakan dakwaan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Seksyen 124 Kanun Keseksaan kerana menderhaka dianggap menggelirukan.

Pensyarah Undang-undang Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Azmi Sharom berpandangan, SOSMA hanya digunakan kepada individu yang melakukan keganasan.

“Soalan itu tidak dijawab..berasaskan kesalahan apa dia (Nurul Izzah) dituduh? Sebelum kita menyiasat sesuatu, kita ada kesalahan seperti mencuri ke, bunuh ke..jadi apa kesalahan dia?Saya tak faham.

“Saya rasa soalan itu perlu ditanya kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar. Apakah kesalahan dia yang menjustifikasikan penggunaan SOSMA untuk menyiasat dia. Sebab SOSMA itu seharusnya digunakan atas kesalahan keganasan dan sebagainya,” katanya kepada FMT.

Azmi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Khalid, di mana Nurul Izzah boleh ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Seksyen 124 Kanun Keseksaan berikutan pertemuannya yang dibuatnya dengan waris kesultanan Sulu, Jacel Kiram pada 9 November lalu.

Ditanya apakah tindakan Nurul Izzah bergambar itu boleh dianggap menderhaka?

Pensyarah undang-undang itu berpendapat ia sesuatu yang subjektif.

“Kita tidak tahu situasinya. Mungkin perkara itu berlaku secara spontan. Bukan dia yang jemput (ke majlis itu). Mereka semua tetamu kepada kerajaan Filipina.

“Kerana dia bergambar dengan anak Sultan Sulu bukan semestinya dia menyokong Sultan Sulu. Kitapun tak tahu anak Sultan Sulu sokong bapa dia atau tidak. Kalau macam itu, kalau saya ambil gambar dengan Marina Mahathir, adakah saya menyokong (Tun Dr) Mahathir Mohamad,” soalnya.

Monday, November 23, 2015

Tian Chua dalang pertemuan Jacel Kiram?

NIZAM ZAIN
23 NOVEMBER 2015
Tian Chua
KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR Tian Chua dipercayai menjadi dalang yang mengaturkan pertemuan pemimpin partinya dengan anak perempuan bekas ketua pengganas, Jacel H. Kiram.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Tian Chua bertanggungjawab menjalankan tindakan 'cara halus' untuk menghubungkan Kesultanan Sulu dengan pemimpin pembangkang di negara ini.

"Tian Chua, dia ialah orang di belakangnya, dia telah mengatur perjumpaan itu.

"Saya harap Tian Chua berhati-hati terhadap perbuatannya, Tian Chua harus lebih teliti dalam mengaturkan program pemimpin-pemimpin partinya," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang mengadakan pertemuan dengan puteri bekas ketua kumpulan pengganas itu.

Perkara itu mendapat perhatian netizen apabila Jacel memuat naik empat keping gambar bertarikh 9 November dalam akaun Facebook beliau berhubung pertemuannya dengan Naib Presiden PKR itu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Nurul Izzah dikritik hebat, kenapa Najib tidak?]

Tindakan Nurul Izzah mendapat kecaman pelbagai pihak kerana tidak menghormati rakyat Sabah khususnya mereka yang menjadi mangsa insiden pencerobohan pengganas Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada Februari 2013.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga menegaskan tindakan Nurul Izzah itu boleh dikaitkan dengan perbuatan jenayah kerana soal kedaulatan negara tidak boleh di kompromi.

"Kita boleh berbeza pendapat, kita boleh meraikan perbezaan pandangan, soal kedaulatan negara, soal maruah negara, harus tiada kompromi ke atasnya," katanya lagi.

Sunday, November 22, 2015

Sekeping foto 'tewaskan' Nurul Izzah

OLEH NORLAILI ABD RAHMAN
DI KUALA LUMPUR - 22 NOV 2015
Apatah lagi hanya 15 tetamu sahaja yang dijumpat oleh penganjur program yang mana sudah pasti program tersebut dijalankan di dalam keadaan yang rapat dan mesra. Pencerobohan Lahad Datu di Sabah sehingga mengorbankan perwira-perwira negara hanya berlaku dua tahun lalu.
Setelah dikritik oleh pelbagai pihak, baru semalam Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar membuat permohonan terbuka sambil memberi penjelasan sebenar mengenai isu bergambar dengan Jacel Kiram pada 9 November lalu.

Menurut Nurul Izzah, beliau tidak mengenali wanita tersebut dan tidak mengadakan sebarang mesyuarat atau pertemuan dengan anak penceroboh Lahad Datu, Sultan Jamalul Kiram.

Katanya Itu hanyalah gambar biasa yang diambil oleh setiap peserta program yang dianjurkan Majlis Hubungan Filipina dan Institut Demokrasi Asia di Manila, Filipina.

“Semua yang hadir di program tersebut telah bergambar dengan saya sebagai tanda sokongan terhadap laporan Kumpulan Kerja Mengenai Penahanan Tanpa Bicara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nation Working Group on Arbitrary Detention) yang menggesa agar Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan serta-merta,” katanya di dalam satu kenyataan media semalam.

Sengaja atau tidak, Nurul Izzah, 35, sepatutnya sudah matang untuk menilai impak daripada tindakannya bergambar dengan Jacel. Biarpun mendakwa tidak pernah berkenalan dengan Jacel, apakah mungkin anak sulung Ketua Pembangkang itu langsung tidak perasan tentang kewujudan Jacel?

Apatah lagi hanya 15 tetamu sahaja yang dijumpat oleh penganjur program yang mana sudah pasti program tersebut dijalankan di dalam keadaan yang rapat dan mesra. Pencerobohan Lahad Datu di Sabah sehingga mengorbankan perwira-perwira negara hanya berlaku dua tahun lalu.

Kubur-kubur mereka masih merah, memori rakyat Malaysia terhadap kekejaman pengganas Sultan Jamalul Kiram masih belum luput dan keluarga mangsa masih meratapi pemergian orang yang mereka kasihi demi mempertahankan negara.

Tidak sepatutnya Nurul Izzah bersikap tidak sensitif di dalam hal ini.

Tidakkah sebagai seorang pemimpin rakyat yang mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi, Nurul Izzah tidak boleh membuat keputusan segera untuk mengelakkan daripada melakukan perbuatan yang boleh mengguris hati rakyatnya sendiri? Tidakkah beliau arif bahawa sekeping gambar boleh membawa 1001 cerita, sama ada benar atau dusta?

Nampak gayanya, Nurul Izzah kalah mudah di dalam perang persepsi ini hanya kerana dek sekeping gambar atau mungkin kerana terlalu ghairah untuk membebaskan bapanya daripada penjara tanpa mengira dengan siapa beliau bersekutu. Perjuangan peribadi ini nampak gayanya memakan diri sendiri.

Walau apapun, ucapan maaf telah dihulurkan selepas hampir dua minggu gambar tersebut diambil dan kemudiannya disebarkan.

Agak lama masa yang diambil oleh anak kesayangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail ini untuk memberi penjelasan dan dalam masa yang sama sanggup membiarkan hati-hati ahli keluarga perwira negara dan rakyat Malaysia amnya terguris dengan tindakan beliau.


Tidakkah beliau arif bahawa sekeping gambar boleh membawa 1001 cerita, sama ada benar atau dusta?

Sedangkan ungkapan maaf tersebut boleh dibuat sesegera mungkin sebagai tanda beliau memang terkhilaf dan tidak berniat untuk menyakiti hati sesiapa sebagaimana yang diucapkan di dalam kenyataan medianya semalam.

Semoga insiden ini memberi iktibar kepada semua supaya tidak mudah bermain api.

Biar apa pun pegangan politik kita, jangan sesekali kita lupa ini tanah kita yang selamanya perlu dipertahankan walau dengan apa cara sekali pun termasuklah bergadai nyawa atau bermandi darah.-MalaysiaGazette

Nurul Izzah perjelas pertemuan dengan Jacel Kiram

Nurul Izzah berkata Jacel Kiram merupakan antara 15 tetamu yang dijemput penganjur program, iaitu Council on Philippine Affairs & The Asian Institute for Democracy, pejabat Datuk Bandar Manila dan pejabat Naib Presiden Filipina. - Foto TRP/Adib Hakim
KUALA LUMPUR, 21 November:

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar tampil menegaskan mengenai gambar kontroversinya bahawa beliau tidak sekali-kali memanggil mesyuarat atau pertemuan dan tidak pernah berkenalan dengan anak perempuan Sultan Sulu, Puteri Jacel Kiram pada 9 November lalu.

Sambil berasa kesal dengan kecaman yang diterima ekoran kontroversi itu, kata Nurul Izzah, Jacel merupakan antara 15 tetamu yang dijemput penganjur program, iaitu Council on Philippine Affairs & The Asian Institute for Democracy, pejabat Datuk Bandar Manila dan pejabat Naib Presiden Filipina.

Malah katanya, semua yang hadir di program itu juga turut bergambar dengannya.

“Semua yang hadir di program tersebut telah bergambar dengan saya sebagai tanda sokongan terhadap laporan Kumpulan Kerja Mengenai Penahanan Tanpa Bicara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nation Working Group on Arbitrary Detention) yang menggesa agar Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan serta-merta.

“Saya tahu dan faham ahli-ahli keluarga patriot dan perajurit yang terkorban akibat pencerobohan Lahad Datu dan rakyat Malaysia amnya cukup terasa dan marah akibat gambar saya dan Jacel Kiram, dan saya berasa amat kesal atas hakikat ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai itu lagi, beliau akan sentiasa mempertahankan Sabah sebagai sebahagian daripada negara Malaysia yang tercinta.

Nurul Izzah juga bersedia memberikan kerjasama dengan pihak berkuasa berhubung kontroversi isu tersebut.

“Simpati dan sokongan saya dari dulu hingga bila-bila adalah kepada para perajurit pahlawan negara yang terkorban serta komuniti-komuniti yang masih terkesan akibat konflik ini serta desakan puak pemisah.

“Tidak ada apa-apa yang hendak saya sembunyikan, dan saya bersedia untuk memberi kerjasama dengan pihak berkuasa untuk menjelaskan lawatan saya itu.

Sementara itu, ketika dihubungi The Rakyat Post, Nurul Izzah berkata setakat ini masih tidak mendapat panggilan daripada pihak polis.

“Setakat ini masih tidak dapat panggilan daripada pihak polis. Namun saya dimaklumkan ada tiga laporan polis sudah dibuat terhadap saya,” katanya.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/11/21/nurul-izzah-perjelas-pertemuan-dengan-jacel-kiram/#ixzz3s8IhhhXG

Friday, November 20, 2015

Kenapa diam Najib jumpa Netanyahu?

FMT Reporters
| November 20, 2015

Serangan terhadap Nurul Izzah memperlihatkan sikap hipokrit pemimpin UMNO dan serangan itu bermotifkan politik.
PETALING JAYA: Serangan terhadap Nurul Izzah Anwar kerana berjumpa dengan Puteri Sultan Sulu, Jacel Kiram pada 9 November lalu dalam satu majlis rasmi menunjukkan sikap hipokrit pemimpin UMNO.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Latheefa Koya berkata, pemimpin UMNO sebaliknya hanya diam membisu apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjumpa dan berjabat tangan dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu

“Ini memperlihatkan sikap hipokrasi dan serangan terhadap Izzah hanyalah bermotifkan politik.

“Kerajaan sepatutnya menjawab pelbagai isu yang belum selesai seperti skandal 1MDB bukan mengalih perhatian kepada isu seperti ini,” katanya dalam kenyataan media.

Latheefa berkata, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said supaya Izzah dibawa ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen adalah tidak terpakai.

Ini kerana, katanya, perjumpaan itu tidak ada mengena dengan prosedur Parlimen dan berlaku di luar bidang kuasa Parlimen.

“Ini adalah perkara asas dan agak membingungkan apabila menteri yang bertanggungjawab tidak sedar perkara ini,” katanya.

Dia berkata, Izzah telah menerangkan perjumpaan itu diatur oleh penganjur dan majlis itu diturut dihadiri Datuk Bandar Manila dan Naib Presiden Filipina.

Tuesday, September 8, 2015

Ini baru betul berani.........

Dikait mahu beli data 1MDB, Izzah saman dua akhbar

WARTAWAN SINAR HARIAN
8 SEPTEMBER 2015
Nurul Izzah
SHAH ALAM - "Saya telah memberi arahan kepada peguam untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap The News Straits Times (NST) dan Berita Harian (BH)," kata Nurul Izzah Anwar.

Nurul Izzah mengumumkan perkara berkenaan susulan muka depan akhbar NST hari ini yang memetik bekas pegawai PetroSaudi International Ltd, Xavier Andre Justo, kononnya Naib Presiden PKR itu berminat membeli data mengenai 1MDB yang dicurinya pada tahun 2011.

Dalam satu kenyataan hari ini, Nurul Izzah turut menafikan menawarkan AS$2 juta dalam bentuk kontrak kerajaan kepada Justo jika pembangkang berjaya mengambil alih pemerintahan.

"Saya tidak pernah bertemu beliau sebelum ini," tegas Nurul Izzah.

Katanya, soalan sebenar bukanlah berkaitan dokumen yang dicuri oleh Justo, tetapi kandungan dokumen tersebut dan laporan Wall Street Journal, Sarawak Report dan The Edge mengenai rasuah, pengubalan wang haram, isu 1MDB dan lain-lain.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-