Showing posts with label Saifuddin Nasution. Show all posts
Showing posts with label Saifuddin Nasution. Show all posts

Wednesday, September 18, 2024

ULASAN l Saifudin, PKR jangan seperti ‘lepaskan anjing tersepit’ - Tuan Ibrahim

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 18, 2024 10:33 AM
ULASAN l Ketakutan dan kegelisahan Pakatan Harapan (PH) kepada PAS serta presiden parti, Abdul Hadi Awang secara khususnya amat terserlah.

Perasaan ini menyebabkan Saifuddin Nasution Ismail membuat satu kenyataan media atas kapasitinya sebagai menteri dalam negeri. Agak janggal apabila kenyataan media kementerian hanya menyemai kebencian terhadap presiden PAS dan bukan berkaitan keselamatan negara.

Sejak penubuhan PAS, Abdul Hadi adalah sosok yang telah berjaya mengangkat PAS bersama dengan Perikatan Nasional (PN) ke tahap tertinggi.
Ia tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun, termasuk Saifuddin yang hanya berniat jahat. Barangkali Saifuddin harus diingatkan bahawa PAS yang berpresidenkan Abdul Hadi adalah parti tunggal yang mempunyai wakil ahli Parlimen (MP) terbanyak di Dewan Rakyat ketika ini.

Walaupun Abdul Hadi difitnah dengan pelbagai perkara, namun dia berjaya membawa bersamanya 42 orang MP berbanding PKR yang mempunyai hanya 31 orang.


Jika kenyataan itu juga belum memadai untuk membuka mata beliau, bilang berapa negeri yang diperintah oleh PKR berbanding PAS yang menguasai empat buah negeri. Andai benar dakwaan jahat Saifuddin, mana mungkin masih ramai rakyat yang menyokong PAS sehingga ke tahap ini, alhamdulillah.

Dalam era kepimpinan beliau juga PKR menumpang kasih bekerjasama memenangi banyak kerusi pilihanraya. Bahkan kejayaan Abdul Hadi bermula dengan menafikan majoriti dua pertiga dan merampas beberapa negeri daripada kerajaan BN ketika itu.
Orang yang paling bertuah merasa sendiri kemenangan dalam pilihanraya adalah Saifuddin yang menggunakan lambang PAS, parti yang dicerca olehnya hari ini. Dengan persetujuan Abdul Hadi, dia diberi ruang bertanding dan memenangi parlimen Machang pada tahun 2008.

Diharapkan agar Saifuddin tidak lupa jasa Abdul Hadi. Atau mungkin juga Saifuddin perlu diingatkan apabila Anwar Ibrahim bertemu dengan presiden PAS dan arwah bekas mursyidul am PAS, Allahyarham Nik Aziz Nik Mat memohon agar mereka membantu PKR satu masa dulu.

Manusia mudah lupa ini bukan sahaja tidak mengenang jasa, sebaliknya menggigit tangan mereka yang membantunya dahulu.

Saya berharap agar Saifuddin tidak memadamkan fakta yang disebutkan dan memohon agar dia tidaklah seperti yang selalu diperkatakan dalam peribahasa Melayu ‘seperti melepaskan anjing tersepit’.

PAS sangat kesal dan berdukacita dengan kenyataan melampau serta tidak beradab ini. Hal ini kerana sepanjang muktamar tiada satu nama pun disebut dan diserang oleh presiden dalam ucapannya.
PAS dalam muktamar itu sentiasa memberi fokus kepada perkara dasar yang suatu ketika dahulu Saifuddin dan pendokong reformasi turut memperjuangkannya.

Saya yakin, kenyataan tidak beradab yang dikeluarkan oleh menteri dalam negeri ini tidak akan terhenti di sini. Kami menjangkakan pelbagai tindakan akan menyusul kerana semakin dekat PRU, semakin mengelabah dan tidak keruan pihak Saifuddin dan partinya. Mereka akan sedaya upaya cuba menjustifikasi kenyataan mereka agar mereka tidak dilihat berbohong.

Semoga Allah mempercepatkan kerajaan sedia ada hari ini tumbang. Kepada Allah kami berserah.

TUAN IBRAHIM TUAN MAN adalah timbalan presiden PAS.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Tuesday, September 17, 2024

PAS, Hadi tandus idea pada muktamar, kata Saifuddin

freemalaysiatoday.com
Bernama-17 Sep 2024

Ketua setiausaha PH itu berkata muktamar part itu jadi medan kemuncak politik kebencian dan maki hamun.
Saifuddin Nasution Ismail berkata hanya unsur cacian, kebencian, dan angan-angan dihidangkan pemimpin PAS, pada Muktamar PAS ke-70.

PUTRAJAYA: Hanya unsur cacian, kebencian, dan angan-angan dihidangkan pemimpin PAS dalam ucapan serta resolusi sepanjang lima hari berlangsungnya Muktamar PAS ke-70 yang melabuhkan tirai pada Ahad lalu, kata Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin yang juga menteri dalam negeri turut menyifatkan muktamar itu sebagai rakaman sejarah yang menjadi medan kemuncak politik kebencian serta membiakkan budaya fitnah, mencerca, dan memaki hamun di bawah pimpinan Presiden Abdul Hadi Awang.

“Umat Islam di Malaysia menghadapi pelbagai masalah seperti penagihan dadah, keganasan domestik, rasuah serta kemiskinan, namun PAS dan Abdul Hadi ketandusan idea dalam isu mendesak ini.

Sebaliknya, mereka lebih fokus berangan-angan ingin merampas kuasa kerajaan perpaduan dan mengabaikan agenda hudud yang dilaung sebagai prinsip PAS, katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, parti ditubuhkan pada 1951 itu telah menyimpang jauh daripada perjuangan asal diasaskan tokoh seperti Zulkifli Muhammad, Burhanuddin al-Helmi, Fadhil Noor, Yusuf Rawa, dan Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Saifuddin berkata, ahli PAS pasti menitiskan air mata melihat PAS mengalami kemerosotan termasuk kegagalan Hadi mempertahankan kemenangan di Terengganu pada PRU 1999, yang menyaksikan pemimpin berusia 76 tahun itu hanya menjadi menteri besar untuk tempoh sepenggal sahaja.

Abdul Hadi hanya dikenang kerana kepimpinan yang tidak kompeten dan lemah, katanya.

Beliau berkata, pemimpin PAS sering mendakwa diri sebagai ulama yang mengemudi kerajaan hidayah, namun semasa PAS dalam kerajaan Persekutuan pada 2020 hingga 2022, tiada usaha yang diambil untuk mengharamkan arak dan perjudian di negara ini.

Selama 30 bulan lebih PAS menyertai kerajaan ketika itu, ini membuktikan PAS sebenarnya lompong dan ketandusan idea dalam memimpin dan membangunkan negara. Kegagalan ini jelas apabila rakyat terpaksa memulakan Kempen Bendera Putih untuk membantu sesama sendiri (ketika pandemik Covid-19), katanya.

Saifuddin berkata, walaupun PAS sering mengkritik kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, perjuangan kerajaan tidak akan terhenti dan akan terus berusaha meningkatkan ekonomi negara demi membantu rakyat dan ia terbukti membuahkan hasil.

“Kita harus mengelakkan retorik yang memecah belah dan mengutamakan dialog konstruktif untuk menangani cabaran negara.

Sebagai pemimpin yang bertanggungjawab, kenyataan perlu berdasarkan fakta dan membawa perpaduan, bukan perpecahan. Kita juga harus kritis dalam menilai penggunaan agama, membezakan antara kepentingan politik dan kebaikan ummah secara tulen, katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-