Showing posts with label Sultan Nazrin. Show all posts
Showing posts with label Sultan Nazrin. Show all posts

Monday, August 29, 2022

Penghakiman telus gambaran sistem keadilan berwibawa - Sultan Nazrin

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 29, 2022 11:48 AM

Sistem penghakiman yang telus menggambarkan proses keadilan yang berwibawa dan tidak dibayangi dengan perasaan gusar dan gentar pada sesiapa, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Baginda bertitah dalam sistem keadilan, hakim merupakan watak penting dan mempunyai peranan besar serta menjadi simbol dalam memastikan kredibiliti dan kewibawaan institusi kehakiman.

“Sebarang bentuk keraguan perlu dihindarkan dan seorang hakim itu perlu bebas daripada sebarang pengaruh mahupun tekanan.

“Dalam usaha mewujudkan Institusi Kehakiman Syariah yang berkredibiliti dan berwibawa, pegawai-pegawai kehakiman perlu dari semasa ke semasa diberi latihan, dilengkapi kemahiran dan didedahkan dengan pengalaman agar pengetahuan dan kecekapan mereka mentafsir undang-undang dan Hukum Syarak dapat ditingkatkan,” titah Sultan Nazrin sewaktu melancarkan Jurnal Syariah Perak Al-Qanun Vol.1 2022 di sini hari ini.

Baginda bertitah penulisan alasan penghakiman yang bernas dan berkualiti akan menjadi panduan dan rujukan kepada para pengamal undang-undang.

“Alasan penghakiman juga, menjadi pertimbangan kepada mana-mana pihak yang terkilan dengan keputusan yang diumumkan, bagi menilai kembali sama ada ingin meneruskan niat mereka untuk merayu atau sebaliknya.

“Sekiranya asas dan sandaran penghakiman itu lemah, perayu berhak untuk berhujah bahawa hakim telah terkhilaf dalam penghakimannya dan memohon untuk kesnya dinilai semula di mahkamah yang lebih tinggi.

“Peluang rayuan merupakan hak yang dijamin oleh undang-undang, menjadi medan bagi hakim-hakim mahkamah yang lebih tinggi untuk menilai semula alasan penghakiman yang diputuskan oleh hakim-hakim di mahkamah yang lebih rendah; sama ada berlaku kekhilafan atau sebaliknya,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah baginda selaku ketua agama Islam yang bertanggungjawab ke atas urusan hal ehwal agama Islam, mendukung sepenuhnya prinsip kebebasan kehakiman syariah di negeri ini demi kepentingan keadilan.

Baginda turut bertitah agar usaha menambah baik sistem kehakiman syariah dan memperkasakan Mahkamah Syariah hendaklah terus dirintis.

“Menerbitkan Al-Qanun, Jurnal Syariah Perak merupakan satu contoh usaha murni lagi terpuji. Semoga Al-Qanun dapat dijadikan bahan rujukan oleh para hakim serta pengamal undang-undang,” titah Sultan Nazrin.

- Bernama

Thursday, March 12, 2020

7 bekas exco dijangka menghadap Sultan Perak

Bernama

Tujuh daripada 10 bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak dijangka menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, hari ini.

Menurut sumber, tujuh bekas exco daripada kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH) akan menjunjung kasih ke atas Sultan Nazrin di Istana Kinta di Ipoh, pada jam 5 petang.

Semalam, Sultan Nazrin memberi perkenan peletakan jawatan Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak ke-12 sekali gus menyaksikan pelucutan jawatan semua anggota exco berkenaan.

Pada Isnin, Ahmad Faizal mengumumkan Perikatan Nasional Perak terdiri daripada Umno, PAS dan Bersatu mendapat sokongan majoriti 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada keseluruhan 59 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri yang baru.

Friday, December 7, 2018

Sultan Nazrin: Orang Melayu terperangkap perlumbaan conteng arang ke muka sendiri

Bernama
-December 7, 2018 2:49 PM

Sultan Nazrin bertitah, orang Melayu beransur lemah kerana hilang semangat ukhuwah, lemah jati diri, hanyut dalam perlumbaan kebendaan dan mabuk dilambung gelombang persaingan kuasa. (Gambar Bernama)

MELAKA:  Umat Melayu Islam sedang terperangkap dalam perlumbaan menconteng arang sesama sendiri, masing-masing ghairah menepuk air di dulang dan airnya semakin terpercik ke muka sendiri, titah Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Titah baginda, budaya politik negara ini menjelmakan ketaksuban baru, menghidupkan budaya asabiah dan menganjurkan pemikiran mengutamakan kesetiaan kumpulan daripada kepentingan menerima kebenaran; malah mencanai minda mementingkan kumpulan daripada kelangsungan ummah lebih menyeluruh.

Sultan Nazrin bertitah, umat Melayu hari ini kelihatan beransur lemah kerana telah kehilangan semangat ukhuwah, lemah jati diri, semakin hanyut dalam perlumbaan kebendaan dan semakin mabuk dilambung gelombang persaingan kuasa.

“Islam telah membina umat Melayu berdisiplin, amanah, jujur, luhur dan ikhlas; Islam telah menyatukan umat Melayu dengan membina ukhuwah hingga umat Melayu bersatu teguh sehingga muncul sebagai umat yang kuat; tetapi hari ini umat Melayu kelihatan beransur lemah,” titah Sultan Nazrin di Bandar Hilir di sini, hari ini.

Baginda bertitah sedemikian ketika menyempurnakan Majlis Pelantikan Ahli Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Majlis Hakim-hakim dan Pendaftar Mahkamah Syariah Negeri Melaka di sini yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob; Anggota Jemaah Pemangku Raja Perak, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin; dan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.

Pada majlis itu Sultan Nazrin berkenan menyampaikan watikah pelantikan Ahli Majlis Agama Islam Melaka kepada 15 individu diketuai Adly selaku pengerusi MAIM; dan seramai 21 individu menerima watikah pelantikan Hakim-hakim dan Pendaftar Mahkamah Syariah Negeri Melaka.

Sultan Nazrin bertitah, ilmuan Islam Ibnu Khaldun meninggalkan catatan mengenai peristiwa perpecahan politik dan perebutan kuasa yang amat dahsyat berlaku di Afrika Utara dan Andalusia, hingga mengakibatkan kejatuhan tamadun dan pemerintahan Islam.

Titah baginda, Ibnu Khaldun menyaksikan kesediaan pemerintah melakukan apa sahaja untuk memastikan kuasa berada di tangan mereka, termasuk memperalatkan para ulama.

“Ulama yang pada era kegemilangan Islam bersifat jujur, bersifat ikhlas. Sebahagiannya kerana tergoda dengan kemegahan harta, jawatan dan gelaran bertukar dan membenarkan diri menjadi pemanfaatan bagi kepentingan peribadi umara tertentu,” titah baginda.

Titah Sultan Nazrin, ulama berperanan sangat penting membantu pemerintahan berlaku adil dan saksama bersandarkan hukum yang dikenali dengan istilah adat semasa era pemerintahan Kesultanan Melayu.

Sultan Nazrin bertitah, Yang di-Pertuan Agong Kesembilan Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ketika berangkat mengadakan lawatan rasmi ke Melaka pada 12 hingga 14 Julai 1990 bertitah, di sebalik sejarah kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka terdapat titik hitam yang harus direnungkan bersama agar ia tidak berulang.

Baginda bertitah Almarhum Sultan Azlan, juga Ayahanda Sultan Nazrin, menzahirkan titah: “di samping berbangga dengan kejayaan Melaka, semua pihak harus menjaga perpaduan kerana perpecahan, perselisihan faham dan perebutan kuasa adalah antara faktor menjatuhkan keagungan Kesultanan Melaka sehingga Melaka dijajah kuasa Barat.

“Sultan Azlan Shah mangkat pada 28 Mei 2014. Kata-kata yang dizahirkan lebih 28 tahun yang lalu, merupakan peringatan yang kekal hidup, dan wajib dijadikan renungan.

“Ia agar umat Islam di bumi ini, tidak tercicir yang dikendong, tidak berakhir dengan menang menjadi arang, kalah menjadi abu kerana kecenderungan untuk terus bersengketa,” titah Sultan Nazrin.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-