Showing posts with label Sultan Perak. Show all posts
Showing posts with label Sultan Perak. Show all posts

Monday, July 29, 2024

Umat Islam perlu bersatu ketika konflik, titah Sultan Perak

freemalaysiatoday.com
Bernama
29 Jul 2024, 02:03 PM

Sultan Nazrin Shah bertitah ‘sebahagian daripada kita berkembang maju, manakala ada yang lain mengalami kesusahan dan deprivasi’.
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah pada perasmian Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) ke-7, di Ipoh, Perak. (Gambar Bernama)

IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah terdapat keperluan mendesak untuk umat Islam bersatu padu pada ketika konflik dan jurang ekonomi global yang semakin meningkat.

Baginda bertitah sejak Oktober 2022, dua konflik besar yang menjejaskan populasi majoriti Islam telah tercetus, iaitu perang saudara Sudan dan konflik di Gaza.

“Sementara perang di Ukraine yang bermula pada awal 2022, telah berlanjutan hingga ke tahun ketiga, menyebabkan kesusahan yang ketara dan berpanjangan kepada rakyat negara itu.

Merentasi konflik global ini, orang awam yang tidak berdosa dari pelbagai agama – Islam dan bukan Islam – termasuk ribuan wanita dan kanak-kanak, menanggung penderitaan: terbunuh, cedera, dipaksa keluar dari rumah mereka dan dalam banyak kes, kini kekurangan makanan yang semakin meruncing, titah Sultan Nazrin ketika menyempurnakan perasmian Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) ke-7, Berdiri Bersama: Umat Islam dan Kemanusiaan Sejagat.

Turut hadir Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, dan Menteri Besar Perak Saarani Mohamad.

Sultan Nazrin bertitah, berdasarkan kepada aliran Indeks Pembangunan Manusia (DHI) PBB dan konflik yang dahsyat, tumpuan harus diberikan kepada kemanusiaan.

“Tema tahun ini, seperti yang anda tahu, Berdiri Bersama: Umat Islam dan Kemanusiaan Sejagat. Dalam ucapan beta yang seterusnya, beta ingin memberi tumpuan kepada perkataan pertama itu, iaitu ‘bersama’.

Dengan jurang antara negara terkaya dan termiskin semakin meningkat dan konflik antarabangsa semakin meningkat, adalah jelas bahawa walaupun sebagai masyarakat Islam global, umat kita, kita pada masa ini tidak bersatu dalam pengalaman bersama. Kami tidak berdiri bersama. Sebahagian daripada kita berkembang maju, manakala ada yang lain pada ketika ini, mengalami kesusahan dan deprivasi, titah baginda.

Sultan Nazrin berharap melalui persidangan itu, ahli panel dapat berkongsi cara masyarakat Islam boleh membantu sebahagian daripada ahli masyarakat antarabangsa yang paling lemah – khususnya, mereka yang hidup dalam kemiskinan dan kesusahan, serta kanak-kanak dari semua latar belakang.

“Sebagai umat Islam, kita digesa untuk membantu semua untuk berdiri bersama, dan berdiri bersama dengan semua. Jadi kita perlu bertindak, dan segera, untuk membantu orang Islam dan bukan Islam yang lemah, sebelum terlambat.
Rephrase with Ginger (Ctrl+Alt+E)

Thursday, September 22, 2022

Rasuah antara punca rakyat tak dapat perkhidmatan sepatutnya, titah Sultan Nazrin

freemalaysiatoday.com
Bernama
-September 22, 2022 
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah bahawa negara juga memerlukan lebih ramai pendidik untuk tampil ke hadapan secara berani menggemakan mesej memerangi rasuah. (Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Gejala rasuah menjadi antara punca rakyat tidak mendapat perkhidmatan, pengagihan kekayaan tidak seimbang dan ketirisan khazanah negara, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Baginda bertitah rasuah juga mengakibatkan pembangunan tidak lestari, pencemaran alam sekitar, membantutkan pertumbuhan ekonomi, menghilangkan minat pelabur asing, meningkatkan kos pentadbiran dan urus niaga serta mendorong berlakunya ketidakstabilan politik.

“Banyak negara dianugerahi rahmat Ilahi dengan pelbagai sumber kekayaan, tetapi kerana rasuah ada yang terbenam dalam kemelut kemunduran dan tertimbus dalam lumpur kemiskinan. Kekayaan negara disalah guna – hasil mahsul lesap.

“Akibatnya, kemunduran terus melanda, kemiskinan terus merebak. Apabila tidak ada kesungguhan untuk membanteras rasuah, perlakuan rasuah akan tumbuh melebar…lalu diterima sebagai norma dan meresap menjadi budaya, akhirnya memusnahkan sesebuah negara bangsa,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada majlis pelancaran buku ‘Korupsi dan Kemunafikan dalam Politik Melayu; Perlunya Disegerakan Transformasi Moral Etika’ hasil tulisan Mohd Kamal Hassan.

Sultan Nazrin bertitah daripada 180 negara yang dilaksanakan penilaian oleh Transparency International, Malaysia jatuh daripada kedudukan ke-57 dengan skor 52 pada 2020, ke kedudukan ke-62 mencatat skor 48 pada tahun lepas dan kini Malaysia dikelompokkan dalam kumpulan dua pertiga negara yang mencapai skor di bawah 50.

“Oleh yang demikian, kita tidak boleh memandang ringan, bersifat leka, memilih melakukan penafian, memikirkan segala justifikasi – bersilat dengan segala helah mahu menidakkan kewujudan ‘gajah’ rasuah di hadapan mata,” titah baginda.

Baginda menegaskan masyarakat wajib bersifat berani mengakui realiti bahawa amalan rasuah sedang berlaku pada skala yang membahayakan berdasarkan teguran berulang kali yang terkandung dalam laporan Ketua Audit Negara dan pelbagai penemuan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.

“Bilangan aduan serta rungutan yang dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, subjek yang terkandung dalam surat layang, berita yang terpapar dalam media dan isu yang diuar-uarkan dalam media sosial, hendaklah dijadikan cermin serta dianggap petunjuk kepada situasi rasuah yang berlaku.

“Malah jalan raya berlopak, longkang tersumbat, bangunan runtuh, bumbung bocor, pencemaran alam, penerokaan haram, rumput dan taman yang tidak terurus, masing-masing mempunyai bahasa tersendiri, menyampaikan mesej akan standard tadbir urus yang sedang berlaku,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah bahawa negara juga memerlukan lebih ramai murabbi (pendidik) untuk tampil ke hadapan secara berani menggemakan mesej memerangi rasuah kerana golongan ini mempunyai peranan yang amat penting untuk mendidik dan menyuburkan kesedaran kerohanian serta moral.

Mengenai pelancaran buku hari ini, baginda bertitah bahawa pendekatan penulis, Mohd Kamal merupakan pendekatan baharu di luar kotak budaya bangsa melalui pemilihan dua kata kunci iaitu korupsi serta kemunafikan dan mengaitkannya dengan politik Melayu sebagai tajuk buku dan kandungan buku ini amat perlu disebarkan mesejnya ke setiap tempat dalam bahasa yang mudah difahami.

Monday, August 29, 2022

Penghakiman telus gambaran sistem keadilan berwibawa - Sultan Nazrin

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 29, 2022 11:48 AM

Sistem penghakiman yang telus menggambarkan proses keadilan yang berwibawa dan tidak dibayangi dengan perasaan gusar dan gentar pada sesiapa, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Baginda bertitah dalam sistem keadilan, hakim merupakan watak penting dan mempunyai peranan besar serta menjadi simbol dalam memastikan kredibiliti dan kewibawaan institusi kehakiman.

“Sebarang bentuk keraguan perlu dihindarkan dan seorang hakim itu perlu bebas daripada sebarang pengaruh mahupun tekanan.

“Dalam usaha mewujudkan Institusi Kehakiman Syariah yang berkredibiliti dan berwibawa, pegawai-pegawai kehakiman perlu dari semasa ke semasa diberi latihan, dilengkapi kemahiran dan didedahkan dengan pengalaman agar pengetahuan dan kecekapan mereka mentafsir undang-undang dan Hukum Syarak dapat ditingkatkan,” titah Sultan Nazrin sewaktu melancarkan Jurnal Syariah Perak Al-Qanun Vol.1 2022 di sini hari ini.

Baginda bertitah penulisan alasan penghakiman yang bernas dan berkualiti akan menjadi panduan dan rujukan kepada para pengamal undang-undang.

“Alasan penghakiman juga, menjadi pertimbangan kepada mana-mana pihak yang terkilan dengan keputusan yang diumumkan, bagi menilai kembali sama ada ingin meneruskan niat mereka untuk merayu atau sebaliknya.

“Sekiranya asas dan sandaran penghakiman itu lemah, perayu berhak untuk berhujah bahawa hakim telah terkhilaf dalam penghakimannya dan memohon untuk kesnya dinilai semula di mahkamah yang lebih tinggi.

“Peluang rayuan merupakan hak yang dijamin oleh undang-undang, menjadi medan bagi hakim-hakim mahkamah yang lebih tinggi untuk menilai semula alasan penghakiman yang diputuskan oleh hakim-hakim di mahkamah yang lebih rendah; sama ada berlaku kekhilafan atau sebaliknya,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah baginda selaku ketua agama Islam yang bertanggungjawab ke atas urusan hal ehwal agama Islam, mendukung sepenuhnya prinsip kebebasan kehakiman syariah di negeri ini demi kepentingan keadilan.

Baginda turut bertitah agar usaha menambah baik sistem kehakiman syariah dan memperkasakan Mahkamah Syariah hendaklah terus dirintis.

“Menerbitkan Al-Qanun, Jurnal Syariah Perak merupakan satu contoh usaha murni lagi terpuji. Semoga Al-Qanun dapat dijadikan bahan rujukan oleh para hakim serta pengamal undang-undang,” titah Sultan Nazrin.

- Bernama

Tuesday, January 12, 2021

Tolak mereka yang rasuah, salah guna kuasa dan hanya pentingkan laba politik, titah Sultan Nazrin

Bernama
freemalaysiatoday.com
-January 12, 2021 12:52 PM


IPOH: Umat Islam diingatkan supaya tidak menyerahkan amanah atau tanggungjawab kepada golongan yang bermoral rendah, terpalit dengan rasuah, salah guna kuasa, tidak jujur mahupun ikhlas.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah, umat Islam hendaklah dengan “segala daya dan kekuatan” menolak perlakuan golongan yang berimej mungkar dan munafik, kerana ia boleh mencemarkan nama baik ummah serta kesucian Islam.

Baginda bertitah, umat Islam wajib melindungi kesucian agama daripada sebarang bentuk penodaan atau pencemaran berpunca daripada persaingan untuk mendapatkan laba politik.

“Masyarakat Islam hendaklah dibina daripada kalangan ummah yang mengamalkan cara hidup Islam yang sempurna dalam semua lapangan, merangkumi kehidupan berkeluarga, berjiran tetangga, bermasyarakat dan bernegara.

“Masyarakat Islam hendaklah diserlahkan melalui kecemerlangan ummah menguasai ilmu dan pengetahuan, pekerjaan dan profesion, penguasaan ekonomi dan pemilikan kekayaan serta kehebatan budaya dan keagungan tamadun,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah peruntukan Perlembagaan yang memaktubkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja sebagai Ketua Agama Islam, memberi jaminan agama Islam dilindungi dan tidak akan terjejas walaupun berlaku perubahan kepimpinan politik negara serta negeri setiap kali selepas pilihan raya.

Baginda bertitah, kemuliaan Islam perlu diangkat dan tidak bergantung semata-mata kepada keistimewaan kedudukannya dalam Perlembagaan kerana tanpa pengisian, perkara yang termaktub dalam Perlembagaan hanya tinggal sebagai frasa perundangan.

“Tanggungjawab memberi erti, makna kepada frasa perundangan tersebut terletak di atas bahu setiap umat Islam yang wajib berusaha menjelmakan Islam secara terserlah dalam budaya hidup harian,” titah Sultan Nazrin.

Sultan Perak turut bertitah rakyat sedang memerhati, mendengar, mengikuti apa yang berlaku di dalam negara ketika ini dan menyifatkan ujian yang sedang dilalui kini berpunca daripada perbuatan zalim manusia.

“Ketika dunia sedang berhadapan pelbagai kemelut sama ada berbentuk wabak penyakit yang terus menular, bencana alam yang sering melanda, polemik politik yang semakin bergelombang dan suasana ekonomi yang suram, kuatkan pegangan dan kukuhkan iman sekalian hamba-Mu agar yakin kepada kuasa-Mu yang Esa,” titah Sultan Nazrin.

Sultan Nazrin bertitah demikian sempena Majlis Penganugerahan Watikah Pelantikan Anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Penggal 2021-2023, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, Hakim Mahkamah Utama Syariah Negeri Perak dan Ketua Pendakwa Syarie Negeri Perak di Dewan Al Ghazali, Kompleks Islam Darul Ridzuan.

Pada majlis itu, Sultan Nazrin berkenan menyampaikan watikah pelantikan kepada 18 daripada 19 anggota MAIPk yang hadir termasuk Menteri Besar Perak Saarani Mohamad dan Ahli Dewan Negara Perak yang juga Yang Dipertua MAIPk Mohd Annuar Zaini serta kepada empat daripada lima Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.

Turut menerima watikah ialah Mohd Naim Mokhtar yang dilantik sebagai Hakim Utama Mahkamah Syariah negeri Perak dan Ketua Pendakwa Syarie negeri Perak Mohd Asri Ghazali.

Friday, December 11, 2020

Tiga Adun PAS mohon ampun pada Sultan Perak

malaysiakini.com
Diterbitkan Hari ini 5:04 pm

Tiga Adun PAS Perak memohon ampun secara terbuka kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berikutan kegagalan mereka menghadap baginda pada Selasa lalu.

Pada sidang media di Ipoh hari ini, Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, dia dan dua Adun lain mengakui 'kekhilafan' mereka kerana tidak menghadap baginda sepertimana dititahkan.

"Sehubungan dengan itu PAS Perak juga akan mengutuskan surat bagi menzahirkan permohonan keampunan untuk kami," kata Razman pada sidang media ringkas berkenaan.

Razman bagaimanapun enggan mengulas lanjut sama ada Adun PAS akan dilantik dalam barisan exco negeri.

Pada Selasa lalu, Sultan Nazrin Shah memanggil menghadap Adun Bersatu dan PAS ke Istana Kinta di Ipoh berikutan kemelut politik di negeri itu.

Hanya Adun Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, yang merupakan wakil rakyat dari Bersatu hadir ke istana negeri.

Bekas menteri besar Perak Ahmad Faizal Azumu pula berkata Bersatu tidak menerima titah untuk menghadap Sultan Nazrin berhubung isu pelantikan penggantinya.

Bagaimanapun, Anggota Dewan Negara Perak, Mohd Annuar Zaini berkata baginda telah menitahkan agar Adun Bersatu dan PAS datang mengadap bagi membuktikan calon menteri besar daripada Umno mendapat sokongan majoriti dalam Dun.

Faizal digulingkan sebagai menteri besar Perak pada Jumaat minggu lalu melalui undi percaya yang diusulkan oleh seorang Adun Umno.

Berikutan itu, Umno berusaha membentuk kerajaan negeri bersama Pakatan Harapan (PH), namun rundingan itu menemui jalan buntu.

Umno, Bersatu dan PAS akhirnya bersetuju mencalonkan pengerusi Umno Perak, Saarani Mohamad sebagai calon menteri besar. Keputusan itu dibuat selepas Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi membuat permohonan maaf terhadap penyingkiran Ahmad Faizal.

Saarani yang juga Adun Kota Tampan mengangkat sumpah jawatan menteri besar Perak pagi semalam.

Hadi mohon menghadap Sultan Nazrin, istana belum tetapkan tarikh

malaysiakini.com
Ng Xiang Yi
Diterbitkan Hari ini 12:00 pm
Dikemaskini Hari ini 12:54 pm

Presiden PAS Abdul Hadi Awang memohon menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Bagaimanapun, sumber yang rapat dengan istana memberitahu Malaysiakini bahawa belum ada tarikh yang ditetapkan.

Semalam, Hadi mengirim sepucuk surat ke istana untuk memohon menghadap Sultan Nazrin.

Surat yang turut dilihat oleh Malaysiakini itu menyatakan niatnya untuk memberitahu Sultan mengenai "situasi politik yang melibatkan PAS".

Ini berlaku setelah Adun PAS Perak tidak hadir untuk sesi menghadap yang dijadualkan dengan Sultan Nazrin pada hari Selasa lalu di tengah ketidaktentuan politik mengenai calon menteri besar yang baru.

Laman web berita The Vibes memetik sumber dekat kepada Hadi yang tidak disebutkan namanya sebagai berkata bahawa Hadi memohon menghadap Sultan untuk "memohon pengampunan".

PAS sebelum ini menjelaskan bahawa ia memutuskan untuk "menangguhkan" menghadap Sultan Nazrin kerana kepemimpinan pusat parti itu belum memutuskan sokongannya terhadap Adun Kota Tampan, Saarani Mohamad sebagai menteri besar Perak yang baru.

Ia menolak tuduhan bahawa ketidakhadiran itu merupakan tindakan derhaka terhadap sultan.

Setelah Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu digulingkan sebagai menteri besar minggu lalu, pimpinan PAS Perak pada mulanya mengumumkan tidak akan menyertai pembentukan kerajaan negeri yang baru.

Bagaimanapun, pendirian parti itu berubah setelah presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi meminta maaf kepada Bersatu dan PAS atas tindakan menggulingkan Faizal sebagai menteri besar.

Perkembangan itu membuka jalan bagi Saarani untuk mengangkat sumpah sebagai menteri besar semalam.

Ini menandakan upacara mengangkat sumpah menteri besar Perak yang ketiga sejak pilihan raya 2018. Titah Sultan Nazrin, ia mencerminkan kegagalan dalam kepemimpinan.

Kumpulan pertama exco kerajaan negeri juga dilantik semalam - dianggotai oleh empat wakil Umno dan satu wakil Bersatu.

Walaupun PAS belum berada dalam barisan exco, Umno, PAS dan Bersatu mempunyai persetujuan mengenai pembahagian jawatan di kerajaan negeri.

Perlembagaan Perak membenarkan kerajaan negeri mempunyai 10 anggota exco.

Thursday, December 10, 2020

‘Kancil tersepit kerana gajah tak henti-henti beradu’

malaysiakini.com
Diterbitkan Hari ini 12:26 pm
Dikemaskini Hari ini 1:16 pm

Bimbang dengan semakin ramai rakyat jelata yang kehilangan pekerjaan dan pendapatan akibat penularan wabak Covid-19, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini mengingatakan pemimpin kerajaan supaya tidak menganiayai rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan miskin .

“Rakyat ‘jangan dijadikan kancil yang mati tersepit kerana gajah yang tidak berhenti-henti beradu.’

“Doa rakyat yang merasakan diri mereka teraniaya tidak ada dinding untuk dimakbulkan Ilahi, janganlah rakyat dianiayai kerana dipengaruhi emosi berdendam dan pemikiran politik yang jumud,” titah baginda sempena istiadat pelantikan Adun Kota Tampan, Saarani Mohamad sebagai menteri besar Perak yang baru di Istana Iskandariah, di Kuala Kangsar, hari ini.
Pada 4 Disember lalu, kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Adun Chenderiang yang juga Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu tumban apabila dia gagal mendapat sokongan majoriti daripada wakil-wakil rakyat negeri itu dalam undian percaya.

Sebanyak 48 undi menolak usul percaya itu berbanding 10 yang menyokongnya. satu undi rosak atau berkecuali. Dengan itu Ahmad Faizal akan berundur daripada jawatannya sebagai menteri besar.

Sebaliknya, selepas hampir seminggu berlalu, Umno, Bersatu dan PAS akhirnya bersetuju mencalonkan Pengerusi Umno Perak, Saarani Mohamad sebagai calon menteri besar yang baru.

Pada titahnya, hari ini, Sultan Nazri turut menyebut bahawa apa yang berlaku sebagai cerminan kegagalan dan bukannya kejayaan.

Sebelum pelantikan Saarani hari ini, Ahmad Faizal Azumu yang mewakili Bersatu telah mengangkat sumpah jawatan menteri besar sebanyak dua kali, pertama pada tahun 2018 selepas PRU14 sebagai ketua kerajaan Pakatan Harapan. Dia sekali lagi pada Mac tahun ini mengangkat sumpah jawatan sebagai ketua kerajaan Perikatan Nasional pula.
Titah baginda, sifat sebenar seseorang itu akan terserlah ketika beliau mendapat jawatan, kuasa, kekayaan dan harta, sehingga lenyapnya budaya kesederhanaan dan merendah diri, di sebaliknya menjelma sifat sombong dan gelagat bongkak.

"Perubahan sifat dan pertukaran watak lebih cepat berlaku apabila seseorang insan mula dikelilingi oleh orang-orang tamak yang berkepentingan sendiri, bermuka-muka, membisikkan kata-kata pujian dengan niat tersirat, lalu menyalahgunakan hubungan dengan pemimpin.

"Beringatlah, semakin tinggi kedudukan seseorang insan, semakin jauh pandangannya dari bumi tempat kakinya pernah berpijak. Jangan sama sekali membenarkan diri leka, terawang-awang dalam awan biru khayalan hingga lupa rumput hijau yang ditinggalkan mungkin berubah perang, gersang kerana terlalu lama, tidak lagi disirami hujan," titahnya.

Sultan Nazrin bertitah, pelbagai pihak daripada kalangan pakar perundangan, pegawai kerajaan, orang perseorangan serta pemimpin PN dan PH mengadap baginda bagi menyampaikan cadangan, pendapat dan saranan masing-masing.
"Kesemua mereka mempunyai niat dan tujuan yang murni mahu membantu supaya kemelut yang berlaku dapat ditangani. Kepada kesemua mereka beta menzahirkan penghargaan tinggi," titahnya.

Baginda juga menghargai peranan petugas media yang berkampung di hadapan Istana Kinta, di bawah terik panas matahari dan dibasahi hujan, untuk melaksanakan tugas melaporkan dan menyiarkan berita secara bertanggungjawab kepada rakyat.

"Demikian juga kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membantu mengawal keadaan membolehkan pelbagai pihak melaksanakan tugas masing-masing secara tenteram dan teratur," titahnya.

Wednesday, December 9, 2020

Tak mengadap Sultan: 'PAS tak mahu terkhilaf buat keputusan'

malaysiakini.com
Diterbitkan Hari ini 9:01 am
Takiyuddin Hassan

Keputusan untuk tidak mengadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah seperti yang dijadualkan semalam adalah untuk mengelak kesilapan dalam membuat keputusan, kata setiausaha agungnya Takiyuddin Hassan.

Bagaimanapun katanya, PAS telah mengarahkan semua Adun PAS untuk hadir ke istana setelah menerima titah mengadap.

Perkara itu dinyatakan Takiyuddin dalam satu kenyataan malam tadi.

"PAS sebagai parti yang sentiasa menghormati dan menjunjung kedaulatan institusi beraja sentiasa memastikan selayaknya sebarang urusan yang berkaitan dengannya perlu ditekuni dengan penuh teliti dan beradab.

"Adapun dalam hal kehadiran ke Istana Perak, disebabkan PAS tidak mahu terkhilaf dalam membuat keputusan terutama jika ianya bersabit dengan titah Sultan, maka PAS mengarahkan semua Adun PAS untuk hadir ke Istana setelah menerima titah mengadap tuanku sultan," katanya.

Takiyuddin berkata PAS akan berusaha menyelesaikan kemelut politik di Perak secara berhemat bersama-sama parti Perikatan Nasional (PN) yang lain.

Wakil PAS sepatutnya mengadap Sultan Nazrin di Istana Kinta di Ipoh pada jam tiga petang semalam.

Mengesahkan perkara itu, Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria berkata pembatalan itu kerana mereka belum ada sebarang keputusan berhubung soal kerajaan Perak yang baru.

Sumber dari istana pula berkata pembatalan itu selepas wakil PAS menarik balik janji temu itu dengan alasan mendapat arahan pimpinan tertinggi parti.

Umno dan PH telah pun mengadap Sultan Nazrin pada minggu lalu.

Untuk rekod PAS mempunyai tiga Adun dalam DUN Perak. Selain Razman, dua yang lain ialah Mohd Akmal Kamarudin (Selama) dan Khalil Yahaya (Kubu Gajah).

Dalam undian usul percaya ke atas Ahmad Faizal pada 4 Dis lalu ketiga-tiga Adun PAS memberikan sokongan kepada menteri besar terbabit.

Pada hari sama, Takiyuddin mengeluarkan kenyataan bahawa PAS tidak akan terlibat dalam pembentukan kerajaan baru di Perak.

Bagaimanapun dua hari kemudian Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata mereka tetap akan mempertahankan dan mengukuhkan kerajaan PN dan rundingan akan dibuat berkenaannya.

Berdalih menghadap “bila-bila masa”, Pas cuba pertahan nafi derhaka Sultan Perak


December 9, 2020 7:43 am



Hujah yang cuba mewajarkan ADUN Pas tidak menghadap Sultan Perak ini bertebaran dikongsi penyokong parti.

Rata-rata penyokong Pas dilihat cuba mempertahan tindakan kepimpinan mereka yang membatalkan rancangan menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, di Istana Kinta, Ipoh semalam.

“Bukan kata Pas nak derhaka Sultan Perak tak mahu mengadap baginda. Baginda panggil datang bila-bila masa, bukan ada spesifik masa.

“Kalau ada spesifik masa, tak pergi jugak barulah dikira derhaka,” dipetik ungkapan yang bertebaran di media sosial oleh penyokong Pas.

Antaranya, pengguna Twitter, Najib Azna yang menegaskan penangguhan itu kerana mendakwa kepimpinan belum ada keputusan daripada Pas Pusat.

Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas Perak sepatutnya mengadap Sultan pada jam 3 petang semalam.

Mereka terdiri daripada Razman Zakaria (Gunong Semanggol); Mohd Akmal Kamaruddin (Selama) dan Khalil Yahaya (Kubu Gajah).

Razman yang juga Pesuruhjaya Pas negeri, berkata keputusan pembatalan untuk menghadap Sultan dibuat atas arahan pucuk pimpinan parti.

Walau bagaimanapun, aktivis Muhamad Harris Nasril berpendapat penyokong Pas menggugurkan perkataan “hari ini” yang jelas disebut Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini.

“Oleh kerana itu, selanjutnya baginda menitahkan ADUN daripada Bersatu dan Pas untuk mengadap pada bila-bila masa masa hari ini,” kata Annuar memaklumkan titah Sultan pada sidang media di hadapan perkarangan Istana Kinta semalam.

Justeru, Harris mengingatkan alasan penyokong Pas tentang tempoh menghadap Sultan “bila-bila masa” itu hanya terhad pada hari semalam sahaja.

“Jelas Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini kata bila-bila masa “hari ini”. Kenapa kau (penyokong Pas) pergi buang perkataan “hari ini” tu?

“Kau ingat istana nak bagi korang sweet time sampai tahun depan ke nak beritahu siapa calon MB (Menteri Besar) korang?

“Ini nak buat kerajaan bro, bukan nak buat ceramah Pas. Benda kena cepat. Agak-agaklah nak membekap pun,” tempelak Harris lagi.
Tempoh “bila-bila masa” itu hanya berlaku pada bila-bila waktu pada hari semalam sahaja jika berdasarkan kenyataan Ahli Dewan Negara Perak.
Oleh FAZLI RADZI

Tuesday, December 8, 2020

PAS, Bersatu akan mohon menghadap selepas mesyuarat

by1Media.my
-December 08, 2020


IPOH - PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka akan memohon untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam masa terdekat.

Menurut sumber PAS Perak, ketika ini sedang berlangsung mesyuarat khas antara pimpinan kedua-dua parti di Kuala Lumpur.

"Bukan kita tak mahu menghadap Sultan Nazrin, tapi kita tangguhkan dahulu kerana pimpinan masih mengadakan mesyuarat.

"Selepas mesyuarat, kita akan memohon untuk menghadap baginda bagi mempersembahkan keputusan mesyuarat yang dicapai," katanya yang juga seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kepada Sinar Harian, di sini.

Terdahulu, Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria yang juga ADUN Gunung Semanggol mengesahkan bahawa semua wakil rakyat dari parti itu tidak menghadap Sultan Nazrin di Istana Kinta, di sini hari ini.

Selain Razman, PAS turut diwakili ADUN Selama, Mohd Akmal Kamarudin dan ADUN Kubu Gajah, Khalil Yahaya.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/113862/BERITA/Politik/Pas-Bersatu-akan-mohon-menghadap-selepas-mesyuarat

Kemelut kerajaan baharu Perak berterusan? PAS arah ADUNnya batal menghadap Sultan Perak

FMT Reporters
-December 8, 2020 3:45 PM


IPOH: PAS Pusat mengarahkan ketiga-tiga ADUNnya membatalkan menghadap Sultan Perak, yang pagi tadi mengarahkan mereka datang menghadapnya berhubung pelantikan menteri besar baharu.

Arahan PAS Pusat itu sekaligus mencetuskan spekulasi kemelut penubuhan kerajaan baharu melibatkan UMNO, PAS, dan PPBM masih berterusan.

Perkembangan terbaru ini juga menimbulkan kemungkinan sidang Dewan Negeri Perak yang dijadualkan esok terpaksa ditangguhkan, kerana menteri besar masih belum diputuskan.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, sebelum ini berkata parti itu tidak akan menyertai pembentukan kerajaan baharu di Perak susulan penyingkiran Timbalan Presiden PPBM, Ahmad Faizal Azumu, sebagai menteri besar menerusi usul percaya yang dibawa UMNO.

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengarahkan semua tiga ADUN PAS menghadap baginda hari ini bagi membuktikan sokongan mereka untuk membentuk pentadbiran baharu, selepas pertemuan dengan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, pagi tadi.

Selepas pertemuan itu, Zahid mengumumkan kepada pemberita calon partinya sudah mempunyai majoriti mencukupi untuk diangkat sebagai menteri besar Perak baharu.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, ketika ditanya mengenai sokongan kepada calon pilihan Umno bagaimanapun berkata mereka masih menunggu keputusan daripada PAS Pusat.

Tidak lama selepas membuat kenyataan itu, PAS Pusat memberikan arahan untuk tiga ADUNnya membatalkan menghadap Sultan Perak hari ini. Tidak ada butiran lanjut di sebalik keputusan itu.

Sementara itu, tiga pemimpin Pakatan Harapan Perak tiba di Istana Kinta petang tadi bagi memenuhi titah menghadap.

Pengerusi PKR, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, dan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming, tiba pada 2.55 petang tadi, diikuti Pengerusi Amanah, Asmuni Awi pada 3.05 petang.

Turut dipanggil menghadap hari ini adalah lima ADUN PPBM.

Zahid, Saarani tiba di Istana Kinta untuk menghadap Sultan Perak

Shaq Ismail
-December 8, 2020 10:19 AM
Kenderaan membawa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tiba di Istana Kinta untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah pagi ini.

IPOH: Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tiba di Istana Kinta untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Kenderaan membawa beliau dilihat tiba 9.50 pagi dan memasuki perkarangan istana dan difahamkan pertemuan kali kedua itu bagi menyerahkan dan memuktamadkan nama calon menteri besar daripada Umno.

Beberapa minit kemudian, kenderaan membawa Pengerusi Umno Perak Saarani Mohamad turut dilihat memasuki perkarangan istana.

Saarani dijangka dicalonkan sebagai menteri besar baharu, menggantikan Ahmad Faizal Azumu yang tewas dalam undian usul percaya terhadapnya di DUN Perak minggu lalu.

Pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno berlangsung semalam, Saarani dilaporkan turut hadir.

Sabtu lalu, Zahid sudah menghadap Sultan Perak, bagi memaklumkan situasi semasa selepas Faizal dijatuhkan melalui usul percaya terhadapnya.

Faizal adalah timbalan presiden PPBM dan kejatuhannya sebagai menteri besar menimbulkan ketegangan dalam hubungan parti itu dengan Umno.

Saturday, December 5, 2020

Selepas 3 pimpinan PH, pengerusi Umno Perak menghadap Sultan Nazrin

Shaq Ismail
-December 5, 2020 12:30 PM
Pengerusi Umno Perak Saarani Mohamad menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah di Istana Kinta pagi ini selepas 3 pemimpin PH negeri diterima menghadap.

IPOH: Pengerusi Umno Perak, Saarani Mohamad tiba di Istana Kinta untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah selepas tiga pemimpin Pakatan Harapan (PH) negeri selesai menghadap jam 11.35 pagi tadi.

Ketiga-tiga pemimpin PH negeri yang menghadap Sultan Perak jam 11 pagi tadi adalah Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador dan Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi.

Ketiga-tiga kenderaan yang membawa mereka kemudian dilihat keluar, sementara kenderaan membawa Saarani dilihat memasuki Istana Kinta jam 11.40 pagi dan keluar dari pekarangan istana kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Beliau bagaimanapun enggan memberikan sebarang ulasan kepada pemberita yang menghampiri kenderaannya.

Sebelum ini difahamkan hanya pemimpin PH negeri dijadualkan menghadap selepas permohonan mereka diperkenankan.

Semalam, Menteri Besar Ahmad Faizal Azumummenghadap Sultan Perak bagi menyembah maklum situasi terkini kerajaan Perikatan Nasional (PN) Perak berikutan keputusan usul undi percaya terhadap beliau yang diputuskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Turut menghadap Sultan Nazrin semalam ialah Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Azmir Shah Zainal Abidin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Mohamad Zahir Abdul Khalid.

Friday, December 4, 2020

Ahmad Faizal tiba di Istana Kinta untuk mengadap Sultan Perak

Shaq Ismail
-December 4, 2020 6:06 PM
Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu yang akan berundur tiba di Istana Kinta untuk menghadap Sultan Perak.

IPOH: Kereta Toyota Camry yang membawa Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu tiba di Istana Kinta pada 5.15 petang untuk mengadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, berkenaan situasi semasa kerajaan Perak.

Faizal hilang sokongan majoriti selepas usul percaya yang dikemukakan terhadapnya oleh ADUN Pengkalan Baru, Abdul Manaf Hashim diundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) pagi tadi.

Dalam undian yang dipengerusikan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Mohamad Zahir Abdul Khalid, hanya 10 ADUN menyokong kepimpinan Faizal, berbanding 48 yang membantah dan satu undi rosak.

Sebelum itu, kenderaan yang membawa Speaker Mohamad Zahir Abdul Khalid tiba di Istana Kinta kira-kira 4.40 petang.

Beliau kemudian dilihat keluar dari perkarangan istana pada 5.10 petang selepas kira-kira 30 minit.

Terdahulu kenderaan yang membawa Setiausaha Kerajaan Negeri, Ahmad Suaidi Abdul Rahim, dan Penasihat Undang-undang Negeri, Azmir Shah Zainal Abidin, paling awal tiba di istana, manakala kenderaan yang membawa Sultan Perak, tiba 3.45 petang.

Thursday, March 12, 2020

MB Perak Masih Belum Di Namakan


IPOH- Menteri Besar ke-13 yang bakal menerajui negeri Perak masih belum dinamakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Pengerusi Parti Peribumi Bersatu Perak (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau bersama pemimpin Perikatan Nasional (PN) Perak telah menyerahkan kepada Baginda warkah untuk diperkenankan menjadi Menteri Besar yang baru.

“Pada petang ini dan kami menyembahkan sepucuk warkah buat Tuanku supaya baginda perkenankan pilihan seorang Menteri Besar baru bagi Negeri Perak.

“Kami tidak berhajat untuk berkata lebih daripada itu selain daripada ingin menyampaikan warkah yang telah kami persembahkan telahpun diperkenankan oleh baginda untuk dikongsi.

“Menurut tuanku nama belum diputuskan, perkara ini terpulang kepada Tuanku,” katanya kepada media di perkarangan Istana Kinta hari ini.

Menurut beliau, ktiga-tiga parti mencadangkan tiga nama untuk Tuanku pilih sebagai Menteri Besar iaitu beliau sendiri, Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria dan Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad.

Tambah beliau mewakili kepimpinan PN, beliau berharap semua rakyat dapat bersabar dan bertenang sementara menantikan pengumuman yang akan dibuat oleh Sultan Perak.

“Saya juga ingin menasihati semua rakyat agar bersabar dan bertenang sambil menantikan pengumuman yang akan dibuat oleh Sultan Perak berkenaan dengan Menteri Besar yang ke-13.

“Saya harap semua kekal sihat dan jaga kesihan seperti titah baginda agar kami semua ahli politik dan rakyat lebih mementingkan kepada kestabilan politik, tidak bercakaran sesama sendiri dan mementingkan keselamatan kesihatan dan buat seluruh rakyat,” katanya.

Sementara itu, beliau sempat mengucapkan terima kasih kepada pihak media yang sabar menantikan keputusan berkenaan hampir dua minggu.

Tuesday, March 10, 2020

MB Perak sembah maklum situasi politik kepada Sultan Nazrin hari ini

Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mendakwa wujud usaha menjatuhkan karier politiknya oleh Pakatan Harapan (PH) dalam kerajaan sebelum ini.
 — Foto oleh Farhan Najib

IPOH, 10 Mac — Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pagi ini bagi menyembah maklum mengenai situasi politik terkini di negeri itu.

Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar, Zulkefli Abdullah menerusi satu kenyataan ringkas malam tadi memaklumkan pertemuan akan berlangsung di Istana Kinta di sini pada 10 pagi.

Semalam, Ahmad Faizal dalam sidang media di sini mengumumkan Perikatan Nasional Perak terdiri daripada UMNO, PAS dan Bersatu mendapat sokongan 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi membentuk kerajaan baharu di negeri itu.

Bercakap pada sidang media sulung Perikatan Nasional itu, Ahmad Faizal berkata sokongan adalah daripada 25 ADUN Barisan Nasional yang semuanya UMNO, PAS (tiga) dan Bersatu (empat).

Selain itu, semalam juga menyaksikan empat ADUN daripada Pakatan Harapan (PH) bertindak meninggalkan parti masing-masing dengan seorang ADUN PKR menyertai Bersatu, serta dua ADUN DAP dan seorang ADUN Amanah meninggalkan parti dan mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat Bebas.

Mereka ialah ADUN PKR Kuala Kurau Datuk Abdul Yunus Jamahri yang menyertai Bersatu, manakala ADUN Tronoh Paul Yong Choo Kiong dan ADUN Buntong A.Sivasubramaniam kedua-duanya daripada DAP serta ADUN Titi Serong Hasnul Zulkarnain Abd Munaim dari AMANAH memilih menjadi Bebas.

Yong, Sivasubramaniam dan Hasnul Zulkarnain bagaimanapun menyokong Perikatan Nasional yang akan mengambil tampuk pemerintahan negeri daripada PH selaras dengan jajaran politik baharu di negeri itu.

 — Bernama

Tuesday, March 3, 2020

Ahmad Faizal menghadap Sultan Nazrin

MyMetro
Zahratulhayat Mat Arif
zahratulhayat@nst.com.my


Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. FOTO NSTP

MENTERI Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, hari ini.

Pertemuan itu akan diadakan di Istana Iskandariah selepas Sultan Nazrin dan Ahmad Faizal selesai menghadiri Program Hari Landskap Peringkat Negeri di Laman Budaya, di Kuala Kangsar.

“Saya dipanggil untuk menghadap Duli Yang Maha Mulia Sultan,” katanya kepada pemberita.

Bagaimanapun, Ahmad Faizal berkata, pertemuan itu tidak disertai barisan Pengerusi Jawatankuasa (EXCO) yang lain.

“Tidak, saya sendiri. Saya akan bertemu anda semua (pengamal media) nanti,” katanya yang turut meminta maaf kepada pemberita.

Ditanya tujuan pertemuan itu diadakan, Ahmad Faizal hanya menjawab ‘Wallahualam’ kepada pemberita.

Ahmad Faizal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang sehingga kini masih mengunci mulut mengenai status pentadbiran di Perak.

Semalam, Ketua Pembangkang Perak, Datuk Saarani Mohamad mengumumkan Perikatan Nasional terdiri daripada Barisan Nasional (BN) dan PAS sedia bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 12:58 PM

Sunday, March 1, 2020

Saya Akan Mengadap Sultan Perak- MB

MARCH 1, 2020

IPOH- Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memaklumkan bahawa beliau akan segera berjumpa dengan Sultan Perak berhubung kedudukan semasa di negeri ini.

Menurut Ahmad Faizal, beliau sedang dalam perjalanan ke sana.

“I’m going now,” katanya ringkas kepada media hari ini.

Sementara itu, ketika disoal sama ada beliau akan berkerjasama bersama UMNO dan Pas, katanya beliau akan membincangkan perkara tersebut dan ianya akan diumumkan nanti.

Katanya lagi, kedudukan negeri Perak sudahpun ditentukan.

“Dah kot, sekarang ni ‘OK’,” katanya.

Walaubagaimanpun ketika disoal sama ada akan ada perubahan di negeri Perak, beliau harap tiada perubahan.

“Jangan doakan, doa lah saya kekal,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan syukur setelah selesainya lantikan Perdana Menteri yang baru.

“Alhamdulillah kita dah ada PM yang angkat sumpah dan kita harap negara kita dapat kita pulihkan dari segala permasalahan yang ada.

“Saya harap semua rakyat akan memberi sokongan kepada PM baru dan kebinet yang akan beliau tubuhkan nanti,” katanya.

Tuesday, July 9, 2019

Sultan titah exco Perak tangguh angkat sumpah

Diterbitkan 09 July 2019

Sultan Nazrin Shah menitahkan agar Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Exco Perak ditunda. 
— Foto oleh Hari Anggara

IPOH,
9 Julai — Sultan Perak Sultan Nazrin Shah menitahkan agar Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (Exco) yang dijadual Khamis ini ditunda.

Menurut kenyataan Pejabat Sultan Perak, istiadat tersebut yang sepatutnya berlangsung pada pukul 10 pagi di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar ditunda ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Istiadat itu dibuat setiap tahun bagi memperbaharui ikrar sebagai exco kerajaan negeri.

Kerajaan negeri Perak ditadbir Pakatan Harapan dengan dipimpin Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Perak mempunyai 10 lagi Exco dengan lima daripadanya dari DAP, Amanah (3) dan PKR (2). — BernamaSultan titah exco Perak tangguh angkat sumpah

— Bernama

Tuesday, May 28, 2019

PAS Perak akur titah tidak salah guna masjid

MOHD SYAMIL AZHAR
28 MAY 2019

IPOH :  PAS Negeri Perak akur dengan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah supaya masjid dan surau, termasuk segala kemudahannya tidak disalah guna untuk kepentingan politik kepartian.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, larangan supaya masjid dan surau tidak disalah guna itu termasuklah pemasangan sepanduk yang mempamerkan lambang parti sama ada di dalam bangunan atau di pekarangannya.

Menurutnya, kepatuhan terhadap titah Baginda Sultan itu hendaklah diikuti oleh semua parti, tidak ke atas parti-parti bukan kerajaan sahaja, termasuk PAS.

"PAS Perak akur dengan titah Baginda Sultan dan PAS berharap kepatuhan itu hendaklah diikuti oleh semua parti, termasuk parti-parti yang memerintah.

"Memang selama ini kita akur dengan titah Baginda Sultan dan juga pekeliling yang dikeluarkan Jabatan Agama Ialam Perak (JAIPk) mengenai perkara itu," katanya kepada Harakahdaily semalam.

Sultan Perak bertitah demikian ke atas semua parti politik baru-baru ini, berikutan laporan dibuat oleh Ketua Pemuda PAN Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim terhadap parti bukan kerajaan.

Laporan khususnya ke atas PAS dan Umno atas kes tersebut dengan Hasnul mendakwa tidak menghormati institusi agama yang diletakkan di bawah kuasa Sultan dan JAIPk.

Razman berkata, dalam hal-hal berkaitan masjid dan surau sebenarnya tidak dapat melarikan diri daripada kenyataan bahawa orang yang terlibat dengan institusi berkenaan juga sebahagian besarnya adalah orang politik.

Malah menurutnya lagi, orang politik juga adalah sebahagian anggota masyarakat, manakala masjid dan surau sebagai tempat menimba ilmu dan merekalah tenaga-tenaga penting yang mengimarahkannya.

"Oleh sebab itu jangan kita lihat mereka atas nama politik, tapi lihatlah atas faktor individu, sama ada mereka imam, bilal, siak, ustaz yang mengajar atau yang nenyampaikan tazkirah dan sebagainya.

"Jika dia seorang ahli PAS, mungkin dia naib kadi, guru takmir, imam, ustaz yang mengajar. Jadi tentulah mereka tidak boleh lari daripada tanggungjawab sekiranya dijemput dalam program-program di masjid atau surau," ujarnya. 

- HARAKAHDAILY 
  28/5/2019

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-