Showing posts with label Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam). Show all posts
Showing posts with label Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam). Show all posts

Sunday, September 22, 2024

ULASAN | OKU dipukul: AG jangan terus membisu - Suhakam

malaysiakini.com
Suhakam
Diterbitkan: Sep 22, 2024 9:24 AM
ULASAN | Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyatakan kebimbangan mendalam terhadap apa yang dilihat sebagai pengabaian berterusan terhadap isu hak asasi manusia yang kritikal dan menjejaskan komuniti rentan.

Ini walaupun terdapat seruan daripada pihak kami (Suhakam) serta seruan berulang kali daripada masyarakat sivil dan individu yang terjejas.

Khususnya, Suhakam merujuk kepada aduan serangan yang didakwa dilakukan terhadap Encik Ong In Keong, seorang pemandu teksi e-hailing yang merupakan orang kelainan upaya, oleh seorang pegawai polis.

Kejadian yang didakwa berlaku pada Mei 2024, kira-kira hampir empat bulan lalu. Namun, hingga kini, tiada tindakan pendakwaan diambil terhadap pegawai polis tersebut.
Suhakam mengulangi apa yang telah kami nyatakan dalam kenyataan media terdahulu pada 16 Ogos 2024.

Suhakam sangat kecewa Peguam Negara merangkap Pendakwa Raya membisu berkenaan isu sama ada tindakan pendakwaan akan diambil terhadap pegawai polis tersebut atau sebaliknya.

Jika Peguam Negara merangkap Pendakwa Raya berpendirian dia tidak berniat untuk mendakwa pegawai polis berkenaan, dia mesti mengumumkannya kepada umum dengan memberikan alasan yang jelas atas keputusan tidak mendakwa tersebut.

Sebaliknya, jika Peguam Negara merancang untuk mendakwa pegawai polis tersebut, dengan hormat, mengapa begitu lama untuk berbuat demikian, kerana ini kes serangan yang mudah di bawah Kanun Keseksaan.
Peguam Negara yang arif tidak perlu diingatkan keadilan yang tertangguh itu keadilan yang dinafikan kepada Encik Ong, mangsa yang didakwa.

Di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, setiap orang sama di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama di bawah undang-undang – dan ini termasuk Encik Ong.

Kami dengan tegas mengulangi apa yang kami katakan sebelum ini.

Tiada seorang pun patut dinafikan hak asasi manusianya, apatah lagi seseorang yang tergolong dalam komuniti rentan.
Memandangkan ini kes berkepentingan awam yang melibatkan orang kelainan upaya, ahli komuniti rentan, Peguam Negara, sebagai penjaga hati nurani awam mempunyai tanggungjawab perlembagaan dan moral untuk menangani isu ini secara terbuka.

Tadbir urus yang baik, prinsip ketelusan dan kedaulatan undang-undang mengharapkan dia melakukan perkara itu.

Berdiam diri bukanlah pilihan bagi Peguam Negara.

Tidak sepatutnya wujud persepsi umum bahawa sistem keadilan jenayah telah dikompromi atau dilemahkan.

Suhakam menunggu respons daripada Peguam Negara.

SUHAKAM Suruhanjaya Hak Asasi Manusia.

Artikel ini asalnya kenyataan akhbar Suhakam dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Friday, November 18, 2016

Cuepacs: Jangan sertai perhimpunan, nanti hilang periuk nasi

Khairil Ashraf

Kesatuan kakitangan kerajaan itu berkata penjawat awam boleh menyertai banyak lagi perhimpunan lain yang mendapat kelulusan pihak berkuasa.
PETALING JAYA: Menjelang Bersih 5 esok, kesatuan mewakili penjawat awam Cuepacs berkata ia tidak menggalakkan kakitangan kerajaan menyertai sebarang perhimpunan kerana bimbang tindakan tatatertib yang bakal dikenakan ke atas mereka.

“Kalau mereka dikenakan tindakan, siapa nak tolong dia?” soal Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda.

“Tak ada orang nak pergi tolong. Percayalah saya cakap. Kita bersimpati untuk masa depan anak-anak mereka. Jadi apakah salah sebagai langkah persediaan kita?”

Semalam, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa berkata penjawat awam yang menyertai perhimpunan di ibu kota esok boleh diambil tindakan tata tertib, termasuk pemotongan gaji.

Bagaimanapun, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berkata penjawat awam berhak menyertai perhimpunan aman kerana ia merupakan hak perlembagaan.

Bersih 2.0 akan mengadakan perhimpunan ke-5 esok di tengah bandar raya, walaupun polis sebelum ini berkata notis yang diberikan tidak memenuhi syarat. Gerakan Baju Merah pimpinan Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos, juga dijangka berkumpul pada hari sama, dalam usaha menghalang Bersih 5.

Azih berkata Cuepacs tidak ada masalah sekiranya kakitangan kerajaan menyertai perhimpunan yang diluluskan pihak berkuasa.

“Kami bermesyuarat agung berhimpun, kami berjumpa dengan ahli kami berhimpun, banyak lagi perhimpunan. Yang itu tak apa,” katanya kepada FMT.

“Suhakam nak menegur, itu hak dia tapi pada pandangan kita, kita tak boleh nak halalkan cara dengan cara ini.”

Thursday, August 27, 2015

Polis akan ambil tindakan tegas terhadap peserta Bersih, kata KPN

Published: 27 August 2015 6:01 PM
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis akan mengambil tindakan tegas berlandaskan undang-undang kerana perhimpunan itu adalah haram kerana tidak memenuhi syarat apabila pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak membenarkan perhimpunan itu diadakan di sekitar ibu kota khususnya Dataran Merdeka. – Gambar fail The Malaysian Insider, 27 Ogos, 2015.

"Berani buat berani tanggung, kalau masih kekal untuk langgar undang-undang, kita akan ambil tindakan," tegas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar kepada penganjur dan individu yang menyertai perhimpunan Bersih 4 pada hujung minggu ini.

Beliau berkata polis akan mengambil tindakan tegas berlandaskan undang-undang kerana perhimpunan itu adalah haram kerana tidak memenuhi syarat apabila pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak membenarkan perhimpunan itu diadakan di sekitar ibu kota khususnya Dataran Merdeka.

"Negara kita ini ada undang-undang, kalau dia (penganjur) masih lagi kekal dengan keputusan melanggar undang-undang (mengadakan perhimpunan), apa boleh kami buat.

"Kami ini penguat kuasa undang-undang, tanggungjawab kami adalah mengambil tindakan mengikut undang-undang, Jangan marah polis kalau kami ambil tindakan sebab kami sudah bagi nasihat, sudah berunding, sudah beri pilihan, terima sahajalah akibatnya nanti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Istiadat Pengurniaan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Kuantan hari ini.

Majlis pengurniaan pingat kepada 234 pesara polis yang pernah berkhidmat pada zaman darurat itu disempurnakan oleh Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah. Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani

Khalid berkata demikian sebagai mengulas tindakan penganjur Bersih 4 yang tetap berdegil untuk meng­adakan perhimpunan pada hujung minggu ini walaupun telah diisytiharkan sebagai haram kerana tidak memenuhi syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).

Katanya, polis khuatir perhimpunan pada hujung minggu ini akan menjadi tidak terkawal apabila satu kumpulan lain yang menggelarkan diri mereka "Anti Bersih 4.0" turut bersama-sama berkumpul bagi menentang perhimpunan tersebut.

"Itu sebabnya kita minta mereka tidak mengadakannya di kawasan terbuka seperti di (kawasan pusat beli-belah) Sogo dan Dataran Merdeka, kita sudah menjangka perkara sebegini, ada yang menentang... membantah.

"Kalau mereka adakan perhimpunan di stadium senang dikawal, tidak menggangu peniaga, orang ramai dan lalu lintas," katanya.

Bagaimanapun, katanya polis sudahpun bersedia termasuk dari segi keanggotaan untuk menghadapi segala kemungkinan termasuk provokasi-provokasi yang mungkin akan ditimbulkan oleh peserta dan penganjur perhimpunan haram itu.

Dalam masa yang sama, Ketua Polis Negara turut kesal dengan tindakan pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang dilaporkan mahu mengawasi tindakan pihak berkuasa dalam menangani peserta Bersih 4.

Beliau menegaskan Suhakam sepatutnya mengawasi pihak yang melanggar peraturan dan bukannya pihak polis yang menegakkan undang-undang. – Bernama, 27 Ogos, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/polis-akan-ambil-tindakan-tegas-terhadap-peserta-bersih-kata-kpn#sthash.yqhw2os9.dpuf

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-