Showing posts with label Mohamed Nazri Aziz. Show all posts
Showing posts with label Mohamed Nazri Aziz. Show all posts

Thursday, June 24, 2021

‘Saya Ditipu Zahid Untuk Tarik Sokongan Terhadap PN’, Kata Nazri Aziz

By MT Webmaster 
On Jun 24, 2021


(Malaysia Now) – Pemimpin veteran Umno, Mohamed Nazri Aziz mendedahkan, tindakannya menarik kembali sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada Januari disebabkan “ditipu” oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, tindakannya yang disusuli selepas Ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakob menarik kembali sokongan terhadap kerajaan PN merupakan perancangan yang dilakukan Zahid.

“Dia (Zahid) yang merancang lepas tu dia sendiri tak tarik diri, dia tipu kalau tidak kenapa saya nak tarik diri takde sebab. Saya memang rasa saya ditipu,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Benda ini dirancang oleh presiden. Dalam kalangan kumpulan ahli Parlimen ketika itu presiden membuat keputusan kita tarik diri satu demi satu.”

Pada Januari, Nazri yang juga bekas menteri Kabinet sewaktu Barisan Nasional (BN) memerintah mengumumkan menarik kembali sokongan terhadap kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Keputusannya itu diumumkan beberapa jam selepas Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat keselamatan bagi memerangi pandemik Covid-19.

“Atas mandat yang diberikan bahagian saya dan Majlis Tertinggi Umno, maka saya pada hari ini hendak mengumumkan saya Mohamed Nazri Aziz, ketua Umno Padang Rengas merangkap ahli Parlimen BN dengan rasminya menarik sokongan yang diberikan kepada Muhyiddin Yassin.”

Nazri berkata, kini beliau berpendirian untuk mematuhi keputusan yang dibuat Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini untuk kekal bersama kerajaan PN sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Jadi saya ikut parti punya keputusan saya orang parti jadi saya ikutlah,” katanya.

Nazri berkata, pada 2018 beliau menyatakan sokongan terhadap Anwar Ibrahim semata-mata untuk menyelamatkan Umno daripada diharamkan sekiranya presiden PKR itu menjadi perdana menteri.

“Ketika itu, saya rasa perlu rapat dengan PM akan datang, dan kemudian pujuk dia supaya tidak bubarkan Umno.

“Perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad mahu bubarkan Umno, jadi saya fikir saya perlu buat sesuatu untuk selamatkan Umno,” katanya kepada MalaysiaNow.

Bagaimanapun, selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada Februari 2020, segalanya berubah terutamanya apabila Umno kembali menyertai kerajaan.

“Sekarang saya yakin Umno tak akan dibubarkan, jadi saya tidak perlukan lagi Anwar.”

Nazri mengulangi pengakuannya, menjadi penggerak dalam mengumpulkan tandatangan akuan berkanun (SD) bagi 25 daripada 41 ahli Parlimen Umno supaya Menteri Luar Hishammuddin Hussein dapat menyampaikan hasrat parti itu kepada Agong.

“Saya ambil inisiatif itu kerana saya tahu Zahid and team apabila Agong panggil nak jumpa ketua parti dia akan cakap benda yang tidak dipersetujui oleh kita.

“Saya tahu perangai dia,” katanya.

Friday, July 26, 2019

Nazri: Ramai netizen bodoh, cuma tahu merungut

Anne Muhammad 
Diterbitkan Hari ini 8:49 pagi 


Bekas menteri BN, Mohamed Nazri Aziz, hari ini tampil membela kerajaan PH dalam isu logo mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2020.

Beliau berkata, menteri yang bertanggungjawab bagi portfolio itu wajar mengabaikan saja kritikan yang dibuat pengguna media sosial, sebaliknya menumpukan perhatian meningkatkan promosi untuk menarik lebih ramai pelancong ke negara ini pada tahun depan.

Bahkan, kata Nazri, logo hanya memainkan peranan kecil saja untuk menarik pelancong berbanding langkah yang diambil melalui kaedah promosi lain.

“Tak usah peduli apa netizen cakap. Netizen bukan cerdik pun, buat apa semua tak kena.

"Netizen ni bodoh… buat apa semua tak kena, semua cuma tahu nak merungut," katanya kepada Malaysiakini.

Justeru Nazri yang sebelum ini ditugaskan mengepalai Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan berharap kerajaan melakukan tugas yang sepatutnya bagi membawa pelancong asing mengunjungi Malaysia.

Nazri berkata demikian ketika diminta mengulas kritikan pengguna media sosial terhadap logo Tahun Melawat Malaysia 2020 yang baru dilancarkan perdana menteri pada 22 Julai lalu.

Itu tanda setia

Ia adalah gantian kepada logo terdahulu yang turut mendapat kecaman ramai kerana dianggap tidak memiliki nilai seni yang sepatutnya dan tidak berkualiti.

Logo itu ciptaan Alfred Phua Hong Fook, 23, yang dituduh menciplak idea orang lain, serta mempunyai kesilapan tata bahasa.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi, pula berkata logo tersebut dihasilkan oleh pereka berkelulusan memiliki ijazah seni reka grafik kelas pertama dari institusi pengajian tinggi.

Baca Logo baru Tahun Melawat Malaysia 2020 diumum Mei

“Graduan ijazah kelas pertama tidak akan melakukan perbuatan tiru-meniru kerana dia tidak berminat memalukan dirinya sendiri.

“Hanya orang yang tidak pandai lukis akan meniru,” katanya.

Mengenai penggunaan bahasa Inggeris dalam logo berkenaan, Mohamaddin berkata, ia sudah betul dan hanya dianggap salah jika seseorang tidak mendalami bahasa Inggeris.

Nazri berkata tidak timbul isu beliau menyatakan sokongan kepada kerajaan walaupun statusnya ketika ini seorang anggota parlimen pembangkang.

Sebaliknya kata pemimpin Umno yang terkenal dengan sikap suka berterus-terang itu, ia dibuat sebagai menyatakan kesetiaannya kepada negara.

“Pendapat ini sebagai tanda kesetiaan saya kepada Malaysia,” katanya.

Sunday, July 14, 2019

KJ: Kami bukan binatang jalang dari kumpulan terbuang

News | Diterbitkan Hari ini 11:59 tengahari


Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata pandangan yang dilontarkannya berhubung keputusan kepimpinan Umno adalah demi kebaikan parti.

Berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Padang Rengas hari ini, Khairy berkata demikian sebagai merujuk pandangannya berhubung pelantikan Najib Razak sebagai pengerusi BN.

Memetik baris sajak penyair Indonesia, Khairy berkata: "Kepada pemimpin parti, janganlah anggap kita sebagai binatang jalang yang dibuang dari kumpulannya.

"Mungkin kami tiada jawatan. Tapi kami bukan pengkhianat yang akan tinggalkan parti yang dan menyeberang ke Pakatan Harapan.

"Yang kami cakap ini hanya untuk kebaikan parti. Kerana kita tidak mahu budaya lama berulang."

Turut berada di pentas, Ahli Parlimen Padang Rengas Mohamed Nazri Abdul Aziz, yang juga merupakan bekas setiausaha agung BN.

Pada 10 Julai lalu, ketika diminta mengulas pelantikan Najib sebagai pengerusi penasihat BN, Khairy berkata dia tidak gembira dengan keputusan itu.

Sementara Nazri menyifatkan pelantikan Najib sebagai langkah ke belakang serta menyifatkan perkembangan tersebut tidak baik buat Umno.

Dalam ucapannya hari ini, Khairy turut berpesan kepada Presiden Umno Zahid Hamidi untuk tidak mengenepikan teguran dari ahli parti.

"Kita terima beliau (Zahid) kembali menjalankan tugas sebagai presiden. Tapi janganlah mengulangi kesilapan yang lepas.

"Apabila ada teguran, jangan diketepikan. Apabila ada ayat 'yes boss', itu saja menjadi halwa telinga. Kalau itu budaya dalam Umno, PRU15 tiada harapan buat kita.

"Saya dan Nazri, walaupun mulut kita kadang-kadang laser, toreh badan ini, dalamnya darah daging Umno," katanya.

Thursday, July 11, 2019

BN kalah, Najib mahu nasihat apa, soal Nazri

Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyifatkan pelantikan Datuk Seri Najib Razak selaku pengerusi Lembaga Penasihat BN sebagai ‘langkah ke belakang’. 
— Foto oleh Hari Anggara

KUALA LUMPUR, 10 Julai — Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz hari ini menyifatkan pelantikan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak selaku pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) sebagai ‘langkah ke belakang’.

“Kita (BN) kalah di bawah siapa? Apa bentuk nasihat yang dia boleh berikan kepada kita?” kata bekas ahli Majlis Tertinggi Umno itu kepada pemberita di lobi Parlimen ketika ditanya mengenai perkara itu.

“Saya rasa ia langkah ke belakang,” katanya.

Setiausaha Agung BN Tengku Adnan Tengku Mansor dalam satu kenyataan semalam berkata, pelantikan itu dibuat berdasarkan keputusan sebulat suara Dewan Tertinggi BN.

Ketika ditanya perkara sama, Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin dengan ringkas menjawab: “Tiba-tiba saya tidak suka di mana saya berada”.

— Bernama

Tuesday, August 14, 2018

Selepas ajak berdebat tahun lalu, Nazri kini sokong Dr M

Khairil Ashraf | August 14, 2018

Bekas menteri pelancongan dan kebudayaan itu berkata sepanjang 28 tahun menjadi ahli politik, tiada rekod beliau melawan perdana menteri itu.

Nazri Aziz juga berkata beliau terkejut apabila Dr Mahathir mendedahkan mengenai perhiasan Rosmah Mansor dan skandal SRC International.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz hari ini secara terbuka melahirkan sokongan kepada pentadbiran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selepas berlaku perang mulut menerusi media tahun lalu.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, sepanjang 28 tahun menjadi ahli politik, tiada rekod beliau pernah melawan perdana menteri itu.

Katanya, beliau tiada masalah menyokong Dr Mahathir kerana pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu merupakan perdana menterinya suatu ketika dulu.

“Saya tak pernah tinggalkan Umno, dia tinggalkan Umno, tapi dia perdana menteri sekarang, kita kena sokonglah… tiada rekod saya melawan perdana menteri.

“Lagi pun kita sokong perdana menteri apa dia buat sekarang ini,” katanya kepada pemberita di luar Parlimen hari ini.

Bekas menteri pelancongan dan kebudayaan itu berkata, pendedahan dibuat kerajaan pimpinan Dr Mahathir seperti isu perhiasan isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan SRC International, tidak diketahuinya semasa dalam pentadbiran kerajaan.

“Saya tidak tahu tentang perhiasan Rosmah dan saya tak tahu tentang SRC. Jadi kita kena benarkan perdana menteri untuk membuat penyiasatan. Kalau ada kes prima facie, dakwalah,” katanya.

Nazri berkata, beliau juga terkejut apabila pendedahan berkenaan dibuat.

“Kita sebagai ahli parti macam zaman Dr Mahathir dulu, dia presiden, apa dia cakap kita tak siasat dah, dia tuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim begitu begini, kita setia.

“Dan Datuk Seri Najib Razak, kalau apa yang mereka tak cerita pada kita, kita akan sokong,” katanya.

Nazri berkata beliau juga akan “duduk diam” dan memilih untuk tidak bercakap banyak sekarang kerana mahu melihat apa yang akan didedahkan lagi.

Sebelum ini, ketika PH masih lagi pembangkang, Nazri dengan lantang mengkritik Dr Mahathir.

Malah, April tahun lalu, Nazri menyahut cabaran Dr Mahathir untuk berdebat isu 1MDB dan skandal Bumiputera Malaysia Finance (BMF), namun debat itu terpaksa dibatalkan atas faktor keselamatan.

Mengulas lanjut, Nazri menyokong agar Umno menjauhkan diri daripada Najib.

“Kita susah selagi dia tidak ‘let us free’, kita masih lagi bawah bayang-bayang dia.

“Dia mesti memahami, dia mesti ikut jejak langkah Dr Mahathir dan Tun Abdullah Ahmad Badawi,” katanya.

Nazri berkata, Najib juga perlu menjarakkan diri agar Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi boleh memimpin parti.

Monday, March 5, 2018

Perbalahan dengan Nazri jejas usaha MCA raih semula undi kaum Cina

Melati A. Jalil, Asila Jalil
Kegagalan MCA memperbaiki imejnya sebagai 'wira' bagi kaum Cina akan menjejaskan sokongan pada Pilihan Raya Umum ke-14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mac, 2018.

PERANG mulut antara menteri Umno dan sekutunya MCA berhubung jutawan Malaysia, Robert Kuok mengancam segala usaha parti berasaskan kaum Cina itu bagi mendapatkan semula sokongan komuniti itua pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata penganalisis.

Pada masa yang sama, komen Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Mohamed Nazri Aziz mengenai Kuok menyebabkan ahli perniagaan itu, yang secara tradisinya menyokong MCA beralih arah kepada pembangkang.

Seorang penganalisis percaya tindakan MCA menentang Umno akan memperbaiki imejnya hancur dan membantu memulihkan semula peranannya sebagai "wira" masyarakat Cina.

Kegagalan berbuat demikian akan menyukarkan MCA, parti komponen kedua terbesar Barisan Nasional (BN), untuk memperoleh semula popularitinya yang hilang pada PRU14.


MCA kehilangan hampir semua kerusi dalam PRU13 lima tahun lalu, dan bergelut untuk kekal relevan kepada pengundi Cina yang bertindak meninggalkkannya dan menyokong DAP.
Menurut Dr Wong Chin Huat (gambar, kiri) daripada Institut Pulau Pinang, Kuok merupakan seorang hartawan gula yang dikenali sebagai ikon perniagaan kaum Cina kata

"Kebanyakan orang Cina akan mengundi pembangkang tetapi serangan biadab Nazri terhadap Kuok mungkin menyebabkan beberapa ahli perniagaan Cina yang selama ini menyokong Barisan Nasional (BN) bertindak sebaliknya.

"Dan juga menyebabkan pengundi Cina lain yang pada mulanya enggan mengundi, keluar dan mengundi menentang BN," katanya kepada The Malaysian Insight.

Minggu lalu, pemimpin Umno menyerang hartawan berusia 94 tahun itu yang berpangkalan di Hong Kong berikutan beberapa siri artikel oleh penulis blog Raja Petra Kamarudin yang mengatakan hartawan itu membiayai DAP.

Nazri yang merupakan ahli majlis tertinggi Umno, memanggil Kuok "pondan" dan "ayam betina" yang bersembunyi di Hong Kong.

Nazri turut mencabar Kuok kembali ke Malaysia untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang. Seorang lagi pemimpin Umno, Tajuddin Abdul Rahman juga mengingatkan Kuok "tidak lupa daratan".

Para pemimpin MCA dan beberapa akhbar berbahasa Cina mengkritik menteri itu berhubung kenyataannya, dengan mengatakan ia akan melemahkan hubungan komunal dan memberi kesan bagi sokongan kaum Cina terhadap BN.

Ia memaksa Presiden MCA Liow Tiong Lai menyatakan secara terbuka yang beliau mengkritik Nazri di mesyuarat Kabinet baru-baru ini dan menuduhnya membuat pakatan sulit dengan pembangkang.

Wong berkata, perbalahan terkini menyerlahkan kedudukan MCA dalam gabungan pemerintah yang tidak mempunyai kuasa memaksa sebarang kompromi daripada mana-mana menteri Umno.

"Kritikan Robert Kuok berhubung kegagalan Dasar Ekonomi Baru adalah apa yang dikatakan oleh ramai bukan Melayu. Secara peribadi, popularitinya menyebabkan beberapa tindakan boikot terhadap jenama roti beberapa tahun lalu.

"Umno bijak mengabaikan buku Kuok yang keluar sejak Disember lalu, sehingga pandangan kritisnya tidak mendapat perhatian.

"Tindakan luar jangka Raja Petra kini menyebabkan bencana kepada Umno, kerana Kuok dihormati oleh beberapa orang elit Melayu termasuk Nazir Razak," katanya merujuk kepada adik Perdana Menteri Najib Razak.

Penganalisis bebas Khoo Kay Peng berkata tindakan MCA mempertahankan Kuok tidak mampu memperoleh semula kedudukannya di kalangan masyarakat Cina.

"MCA sudah berakhir, parti itu ingin mempercayai yang dengan mempertahankan Kuok, ia akan membantu parti.

"Parti memerlukan transformasi menyeluruh, kerana ia sudah ketinggalan zaman dan tidak lagi menarik kepada generasi pengundi Cina sekarang yang tidak melihat diri mereka bersekutu dengan kaum sebagaimana permintaan mereka terhadap tadbir urus yang baik," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis Prof Dr Hoo Ke Ping berkata MCA mengambil kesempatan daripada perbalahan itu, dengan mengalihkan tumpuan kritikan daripada Umno kepada Nazri, yang dapat membantu meningkatkan imej mereka.

"Daripada menyalahkan Umno kepada menyalahkan Nazri dan mereka kini menyalahkan DAP juga kerana persahabatan mereka dengan Nazri.

"Kami pasti tidak boleh memberitahu siapa yang akan menang atau kalah tetapi kemarahan beralih daripada Umno ke Nazri," katanya.

"Apa yang dilakukan oleh MCA adalah untuk memulihkan keyakinan orang Cina terhadap BN, mereka mengasingkan Nazri."

Ahli MCA mengadakan protes di ibu pejabat parti itu bagi menuntut Nazri meletak jawatan kerana "menghina" Kuok.

"Semakin banyak Nazri bercakap lebih baik bagi MCA, mereka memberikan MCA dengan lebih banyak peluru dan orang Cina akan melihat MCA dari sudut berbeza dan mereka sudah melihatnya.
"MCA akan jadi seperti wira," katanya. 

– 5 Mac, 2018.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-