Showing posts with label Tan Sri Mohd Isa Samad. Show all posts
Showing posts with label Tan Sri Mohd Isa Samad. Show all posts

Friday, December 14, 2018

Isa berdepan 10 pertuduhan

Hafiz Yatim 
Dikemaskini 14 Dis 2018, 10:12 pagi


Bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta bagi meluluskan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak oleh Syarikat Felda Investment Corporation (FIC) Sdn Bhd.

Bagaimanapun, Mohd Isa, 69, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azura Alwi.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Isa didakwa sebagai Pengarah Syarikat Felda Investment Corporation Sdn Bhd, yang diamanahkan dengan dana syarikat itu telah melakukan pecah amanah ke atas dana tersebut dengan meluluskan cadangan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak dengan harga RM160 juta tanpa kelulusan Anggota Lembaga Pengarah Felda.

Perbuatan itu bertentangan dengan keputusan Mesyuarat Anggota Lembaga Pengarah Felda Bilangan 303 bertarikh 25 Jun 2013 yang dibuat berkenaan pelaksanaan amanah itu yang mana Anggota Lembaga Pengarah Felda memberi mandat kepada Anggota Lembaga Pengarah Syarikat FIC Sdn Bhd dalam membuat keputusan pelaburan melibatkan projek bernilai RM100 juta ke bawah.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Tingkat 50, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC dekat sini pada 29 April 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua hingga ke-10, Mohd Isa didakwa telah secara rasuah menerima suatu suapan untuk dirinya iaitu wang tunai, yang kesemunya berjumlah RM3,090,000.00 daripada Ikhwan Zaidel iaitu Anggota Lembaga Pengarah Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd melalui Muhammad Zahid Md Arip sebagai upah bagi membantu meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching oleh pihak Syarikat FIC Sdn Bhd yang bernilai RM160 juta.

Dia dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC dekat sini antara 21 Julai 2014 dan 11 Dis 2015.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Umar Saifuddin Jaafar manakala Mohd Isa diwakili peguam Datuk K. Kumaraendran dan peguam Ridha Abdah Subri.

-- Bernama

Thursday, August 17, 2017

Belum ada keputusan beku aset Isa Samad - SPRM

SALMAH MAT HUSAIN
 16 AUGUST 2017
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum membuat keputusan untuk membekukan aset bekas Pengerusi Felda Global Ventures, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad atau sebaliknya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasinya, Datuk Azam Bakri berkata, ia bergantung kepada hasil siasatan dibuat.

“Sehingga kini pihak kami masih membuat penyiasatan sejak laporan berkaitan Isa Samad diterima lebih sebulan lalu,” katanya kepada media mengulas berkaitan penahanan Isa petang semalam.

Beliau bagaimanapun tidak mahu mendedah lebih lanjut mengenai kes tersebut buat masa ini.

“Saya perlu dapatkan maklumat lebih lanjut daripada pegawai penyiasat yang menyiasat perkara ini sebelum membuat tindakan lanjut,” katanya.

Beliau turut memberitahu siasatan dibuat berkaitan maklumat orang ramai dan laporan berkaitan FGV dan pembelian hotel.

Sebelum itu beliau hadir pada program Ikrar Bebas Rasuah pemimpin kerajaan Kelantan.

Turut menandatangani ikrar itu Menteri Besar, Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob, timbalannya, Datuk Mohd Amar Abdullah, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat dan anggota-anggota Exco.

Program itu diadakan di Bilik Gerakan Negeri, Kompleks Kota Darul Naim, Kota Bharu hari ini.

 - HARAKAHDAILY 16/8/2017

Friday, February 17, 2017

Isu politik jadikan saham FGV lebih rendah, kata Isa

KUCHING, 17 Feb — Pencapaian syarikat perladangan sawit terkemuka negara, Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), tidak seharusnya dinilai berdasarkan prestasi kewangan semata-mata, malah perlu dilihat dari aspek yang lebih besar seperti penambahbaikkan operasi sedia ada, pelaburan jangka panjang, pengukuhan modal insan dan sumbangan sosial kepada masyarakat.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata jika dilihat secara keseluruhan sejak FGV disenaraikan pada 2012, banyak pencapaian yang telah diraih syarikat berkenaan, termasuk peningkatan bank tanah bukan pajakan, penghasilan pelbagai bahan tanaman bertaraf dunia menerusi kajian dan pembangunan (R&D) dan mewujudkan bahagian perdagangan minyak sawit mentah disokong aset.

Sehingga kini, FGV telah menambah 45 ribu hektar tanah bukan pajakan di Sarawak, Sabah dan Kalimantan, Indonesia.

Selain itu, katanya FGV juga telah mengembangkan operasinya ke luar negara, meningkatkan penghasilan tenaga boleh baharu, pembangunan modal insan dan menambah baik operasi ladang serta kilang.

“FGV kini merupakan pengeluar minyak sawit mentah terbesar dunia, pengendali perkhidmatan penyimpanan pukal bagi minyak boleh dimakan terbesar dunia, pengendali ladang sawit ketiga terbesar dunia, pengeluar gula bertapis terbesar di Malaysia dan banyak lagi kekuatan rantaian perniagaan yang dimiliki,” katanya kepada Bernama dalam temu bual di sini.

Mohd Isa berkata dari segi prestasi kewangan, FGV mencatatkan penurunan sejak disenaraikan kerana faktor pergerakan harga minyak mentah dunia, profil umur pokok yang tua, proses tanam semula secara agresif, ketidaktentuan harga minyak mentah dunia dan permintaan bio diesel yang lemah.

Harga gula mentah dunia turut memberi kesan secara tidak langsung kepada FGV menerusi anak syarikatnya, MSM Holdings Bhd, yang mana FGV mempunyai pegangan sebanyak 51 peratus.

“Untuk perkara lain bukan kewangan, FGV telah menampakkan perubahan yang cukup baik.

“Pengukuhan asas ini secara tidak langsung akan membina sebuah syarikat yang lebih mampan pada masa akan datang,” katanya.

Mengenai saham FGV, Mohd Isa berkata harga saham FGV yang ketika ini lebih rendah berbanding ketika penyenaraiannya, dipengaruhi oleh sentimen pasaran yang lemah akibat tindakan sesetengah syarikat mempolitikkan isu-isu berkaitan syarikat.

“Isu-isu politik ini telah menyebabkan harga saham FGV menjadi tidak stabil berbanding syarikat perladangan lain di Malaysia,” katanya.

Katanya FGV juga sering menjadi perhatian sesetengah pihak kerana mempunyai pertalian dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang kedua-dua dahulu dipengerusikannya.

“Persepsi masyarakat masih menganggap FGV sebagai syarikat di bawah Felda, dan sering berlaku salah faham apabila mengaitkan FGV dalam sebarang aktiviti yang dilakukan Felda,” katanya.

Mohd Isa berkata bukan mudah untuk FGV mencapai tahap yang dikecapi sekarang, namun syarikat berkenaan sentiasa menjadi sasaran sesetengah pihak yang berfikiran negatif dan sentiasa mencari kesalahannya untuk digunakan demi kepentingan peribadi.

“Ini sangat tidak adil kepada FGV dan juga kepada pemegang sahamnya,” katanya.

Katanya walaupun persepsi berkenaan sukar dihapuskan sepenuhnya, namun amat penting bagi FGV untuk sentiasa meningkatkan kesedaran pasaran dan orang awam bahawa syarikat berkenaan adalah sebuah syarikat senaraian awam dan diuruskan secara profesional mengikut undang-undang.

“FGV komited terhadap tadbir urus korporat yang baik dalam operasinya.

Kami akan memastikan setiap perancangan dan keputusan perniagaan dibuat secara telus dan difahami oleh pemegang saham dan pihak berkepentingan,” katanya.

Beliau berkata pelantikan Tan Sri Shahrir Abdul Samad sebagai pengerusi Felda juga sedikit sebanyak membantu untuk mengubah persepsi orang ramai, selain membantu untuk membezakan antara kedua-dua entiti berkenaan.

Sementara itu, Mohd Isa berkata selaras dengan tugas beliau sebagai pengerusi FGV, beliau akan memberi lebih fokus kepada usaha untuk menambah baik operasi syarikat tahun ini bermula di peringkat akar umbi.

“Saya akan lebih kerap turun ke lading dan kilang untuk berjumpa kakitangan bagi memperoleh maklum balas mereka.

“Pada saya, ini sangat penting kerana golongan ini yang menjadi tulang belakang FGV sejak dahulu lagi.

“Saya percaya jika masalah peringkat bawahan diselesaikan segera dan suara mereka sentiasa didengari, ini secara langsung akan meningkatkan moral dan semangat mereka untuk bekerja dengan lebih bersungguh-sungguh,” katanya.

Beliau berkata kakitangan di peringkat bawahan juga perlu dihargai kerana mereka mempunyai pengalaman yang luas setelah bekerja dengan syarikat untuk tempoh masa yang lama.

“Sudah pasti mereka mempunyai banyak cadangan dan pandangan yang boleh dikongsi di peringkat pengurusan,” katanya.

Bernama

Saturday, January 7, 2017

'Lantikan semula Isa Samad pengerusi FGV jamin kesinambungan'

Pelantikan semula Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) adalah penting untuk memberi tumpuan kepada perniagaan teras syarikat itu.

Sambil mengalu-alukan pelantikan itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Zakaria Arshad berkata, ia juga menjamin kesinambungan yang diperlukan agar perbelanjaan pentadbiran kekal rendah, meningkatkan produktiviti aset sedia ada dan melupuskan aset bukan teras atau tidak berdaya maju.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan semalam mengumumkan pelantikan Tan Sri Shahrir Abdul Samad sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) bagi menggantikan Mohd Isa yang sudah tamat tempoh perkhidmatannya.

Bagaimanapun Mohd Isa kekal sebagai Pengerusi FGV.

Najib berkata, di bawah penstrukturan semula itu, terdapat pembahagian tanggungjawab menjaga kebajikan dan status sosio-ekonomi peneroka serta perniagaan FELDA.

"Mohd Isa menjadi pengerusi syarikat itu sejak 2011.

"Sepanjang tempoh tersebut, beliau menunjukkan kualiti kepemimpinan yang hebat dalam menghadapi pelbagai cabaran bagi memastikan nilai pemegang saham terjamin," kata Zakaria dalam satu kenyataan kepada Bernama.

- Bernama

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-