Showing posts with label Tan Sri Shafee Abdullah. Show all posts
Showing posts with label Tan Sri Shafee Abdullah. Show all posts

Saturday, June 10, 2017

Mungkin ada agenda tersembunyi di sebalik dakwaan RM9.5j

Geraldine Tong


Bekas ketua polis negara berkata, beliau mengesyaki ada agenda tersembunyi di sebalik dakwaan Datuk Seri Najib Razak mengeluarkan bayaran sebanyak RM9.5 juta kepada peguam terkemuka, Tan Sri Shafee Abdullah.

Menurut Tan Sri Musa Hassan, agenda itu mungkin boleh menyebabkan negara kucar-kacir atau musnah.

"Saya sangsi. Mungkin ada kepentingan tertentu dan agenda tersembunyi di sebalik dakwaan ini yang boleh membawa kehancuran atau huru-hara kepada negara," katanya pada sidang akhbar di Petaling Jaya hari ini.

Musa menjawab soalan media mengenai kemungkinan ada kaitan antara dakwaan portal Sarawak Report berhubung bayaran didakwa dibuat perdana menteri kepada Shafee, dan permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengemukakan permohonan mengetepikan sabitan kes liwat keduanya.

Shafee - seorang peguam persendirian - dilantik kerajaan mengetuai pasukan pendakwa ketika perbicaraan kes Anwar di peringkat Mahkamah Persekutuan.

Bekas timbalan perdana menteri dan pemimpin PKR itu sebelumnya dibebaskan daripada tuduhan berkenaan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Februari 2012.

Persoal kesahihan

Bagaimanapun keputusan itu dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan pada Mac 2014.

Malaysiakini tidak boleh mengesahkan dakwaan laporan Sarawak Report itu secara bebas atau menentukan sama ada bayaran yang dikatakan itu berkaitan dengan peranan Shafee dalam kes Anwar.

Shafee pula dipetik portal FMT sebagai berkata, beliau akan mengeluarkan kenyataan mengenai dakwaan berkenaan pada suatu hari nanti.

Musa turut berkata, sesiapa pun yang membuat dakwaan berkenan wang itu sepatutnya melaporkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta polis.

Untuk rekod, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini menyatakan 40 laporan polis sudah dibuat berhubung dakwaan berkenaan.

Sebelum ini Malaysiakini melaporkan, Musa mempersoalkan kesahihan dakwaan itu atas alasan akaun bank perdana menteri sudah ditutup ketika transaksi itu didakwa dilakukan.

Sunday, March 15, 2015

Shafee mungkin dirujuk kepada lembaga disiplin - Presiden baru Majlis Peguam

Majlis Peguam tidak pro pembangkang atau pro kerajaan, sebaliknya pro keadilan dan pro undang-undang, kata Steven Thiru, Presiden Majlis Peguam yang baharu. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 14 Mac:

Presiden Majlis Peguam yang baru dipilih hari ini, Steven Thiru berkata, badan penaung profesion guaman itu mempertimbangkan untuk merujuk peguam kanan, Tan Sri Shafee Abdullah kepada lembaga disiplinnya berhubung kelakuan beliau.

“Kami sudahpun melihat ke arah itu,” kata Steven dalam sidang media pertamanya selaku Presiden Majlis Peguam di ibu negara hari ini.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu sedang dikaji dan belum diputuskan, lapor portal berita Malaysia kini memetik Steven.

Steven dipilih sebagai presiden baru dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Majlis Peguam yang berlangsung hari ini menggantikan Christopher Leong yang sudah berkhidmat selama maksimum dua penggal.

Manakala jawatan Steven sebelum ini iaitu Naib Presiden, kini disandang oleh George Varughese.

Karen Cheah dan Fareed Abdul pula masing-masing dilantik sebagai setiausaha dan bendahari majlis itu,

Steven berkata, walaupun AGM Majlis Peguam telah berlalu, namun keputusan untuk mencabar injunksi yang diperolehi oleh Shafee dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, bagi menghalang isu mengenai kelakuannya dibincangkan tetap akan dibuat kerana berkaitan dengan prinsip.

AGM Majlis Peguam hari ini menarik balik usul untuk membincangkan kelakuan Shafee daripada dibincangkan dalam perhimpunan tahunannya hari ini ekoran injunksi daripada mahkamah yang diperolehi Shafee.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Asmabi Mohamad semalam membenarkan injunksi interim ex-parte kepada Shafee bagi menghalang Majlis Peguam atau presidennya atau ejen mereka membenarkan usul itu dikemuka, dibincang atau diluluskan semasa AGM.

Injunksi juga melibatkan larangan daripada membincangkan perkara berkaitan kelakuan Shafee dalam kes rayuan Anwar di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Shafee dilantik sebagai peguam utama dalam kes Liwat II melibatkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada sidang media pertama beliau hari ini juga, Steven berkata mesyuarat hari ini mencipta rekod daripada segi kehadiran ahli iaitu seramai 1,906 orang.

Mengulas kritikan terhadap majlis itu sejak kebelakangan ini, termasuk tuduhan bahawa Majlis Peguam pro pembangkang, beliau berkata majlis berkenaan sentiasa mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

“Kami berdasarkan isu, bukan kaum, agama dan bukan politik, seperti yang dituduh pengkritik,” katanya seperti yang dilaporkan portal berita The Malaysian Insider (TMI).

“Majlis Peguam sentiasa mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi negara dan agama lain turut dibenarkan untuk diamalkan secara bebas di negara ini.

“Majlis Peguam tidak pro pembangkang atau pro kerajaan. Ia pro keadilan dan pro undang-undang. Kami tidak akan membenarkan majlis ini dipolarisasikan,” tegasnya.

Kata Steven, Majlis Peguam akan sentiasa kekal bebas dan sebarang keputusan yang dibuat bertentangan dengan prinsip itu akan dicabar.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/03/14/shafee-mungkin-dirujuk-kepada-lembaga-disiplin-presiden-baru-majlis-peguam/#ixzz3UNe9eTjM

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-