Showing posts with label Majlis Peguam. Show all posts
Showing posts with label Majlis Peguam. Show all posts

Tuesday, July 18, 2023

Zaid bidas Majlis Peguam kunci mulut Akta Hasutan digunakan terhadap Sanusi

agendaily.com
18/07/2023
Datuk Zaid Ibrahim.

Majlis Peguam (Bar Council) dibidas peguam terkenal, Datuk Zaid Ibrahim apabila Akta Hasutan digunakan untuk menekan musuh politik kerajaan campuran.

Zaid mempertikaikan Majlis Peguam yang sebelum ini lantang jika pemimpin Pakatan Harapan (PH) didakwa atas akta sama tersebut, tetapi tidak pula bersuara dalam kes membabitkan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Zaid, yang menyokong pakatan UMNO dengan PH untuk membentuk kerajaan tahun lepas membidas kerajaan campuran Datuk Seri Anwar Ibrahim sibuk mengejar pengkritik mereka.

“Pencapaian paling ketara kerajaan Madani ialah menggunakan Akta Hasutan terhadap lawannya.

“Apabila lawan ini memohon maaf, menteri Madani menjawab, ‘Itu tidak mencukupi’,” katanya dipetik laporan MalaysiaNow hari ini.

Terdahulu, Sanusi ditahan pihak polis sekitar jam 3 pagi malam tadi sebelum dibawa ke Mahkamah Sesyen Selayang untuk didakwa pagi ini.

Komen Zaid mendapat sokongan daripada rakan peguamnya, Datuk Ambiga Sreenevesan.

“Saya bersetuju dengan Zaid bahawa penggunaan Akta Hasutan terhadap musuh politik (dan sebenarnya terhadap sesiapa sahaja) oleh kerajaan ini adalah tidak boleh diterima sepenuhnya.

“Jadi bertentangan dengan Malaysia yang kita perjuangkan. Akta Hasutan mesti dimansuhkan!” kata bekas presiden Majlis Peguam itu menerusi ciapan di Twitter.

Sanusi didakwa atas ucapannya yang dikatakan mempersendakan prestasi Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari serta pelantikannya oleh Sultan.

Beliau memohon ampun kepada Sultan Selangor, tetapi pemimpin kerajaan termasuk Menteri Undang-Undang Datuk Seri Azalina Othman Said terus mendesak agar siasatan diteruskan.

Kehadiran Sanusi di mahkamah hari ini hanya lima hari selepas polis membuka kertas siasatan terhadap ahli politik popular PAS itu.

Dalam pada itu Zaid menempelak kepimpinan semasa Majlis Peguam, yang sebelum ini mengeluarkan kritikan berhubung penggunaan Akta Hasutan terhadap ahli politik PH.

“Sekarang Sanusi akan didakwa, semua orang gembira. Tiada lagi tekanan ke atas Peguam Negara.

“Majlis Peguam, pembela kedaulatan undang-undang, tentu berpuas hati juga,” tambahnya.

Thursday, March 17, 2016

Majlis Peguam seperti pembangkang, kata Shafee

Zulaikha Zulkifli
Majlis Peguam kini dilihat seperti parti pembangkang apabila membuat semakan kehakiman terhadap Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, kata peguam terkemuka Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Menurutnya, sebagai sebuah majlis peguam, pihak tersebut sepatutnya menjadi sebuah badan yang berkecuali.

"Majlis Peguam kini menjadi begitu politik (has become so political). Badan profesional undang-undang sepatutnya menjadi badan yang bebas.

"Lebih bebas badan itu lebih kuat. Majlis Peguam ini seperti pembangkang. Kita tidak kisah sama ada mereka menyokong kerajaan atau pembangkang (tetapi) mereka tidak boleh lakukan kedua-duanya. Non partisan," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung tindakan Majlis Peguam membuat semakan kehakiman terhadap Apandi ekoran peguam negara itu tidak membuat pendakwaan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Selain itu, Shafee juga berkata Majlis Peguam tidak mempunyai hak mencabar keputusan peguam negara berhubung penglibatan Najib dalam isu sumbangan RM2.6 bilion ke akaun peribadinya.

Tiada locus standi

Sambil memetik sistem perundangan Inggeris, Shafee berkata hanya mangsa (victim) yang mempunyai hak untuk mendapatkan semakan kehakiman.

"Majlis Peguam bukan mangsa (victim), mereka mungkin tidak mempunyai locus standi, mereka boleh dianggap sebagai penyibuk kerana tidak mempunyai locus standi," katanya lagi.

Malah, beliau juga meragui permohonan Majlis Peguam untuk memohon semakan itu akan berjaya kerana badan tersebut tidak mempunyai maklumat lengkap berhubung kes itu.

"Jika mereka tidak mempunyai fakta yang penuh, bagaimana mereka mahu meyakinkan mahkamah bahawa untuk menyemak semula keputusan peguam negara. Mereka (Majlis Peguam) tak boleh, ia mustahil," katanya lagi.

Selasa lalu, Majlis Peguam memfailkan permohonan semakan kehakimanterhadap keputusan Apandi untuk tidak meneruskan dakwaan terhadap Najib.

Tindakan Azalina tepat

Dalam permohonan itu Majlis Peguam memohon perintah Mahkamah Tinggi mengetepikan keputusan Apandi pada 26 Januari lalu 'membersihkan' Najib dan mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menutup siasatan mereka.

Badan peguam itu juga mahu mahkamah menghalang peguam negara daripada membuat sebarang keputusan lanjut berhubung perkara itu, selain membenarkan peguamcara negara memutuskan hal berkenaan, termasuk sama ada mendakwa Najib atau tidak.

Ekoran itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman mengeluarkan kenyataan bahawa soalan berhubung 'derma politik' itu tidak boleh dibangkitkan di parlimen kerana subjudis berikutan semakan kehakiman oleh Majlis Peguam tersebut.

Mengulas perkara berkenaan, Shafee berkata tindakan Azalina itu tepat.

"(Tindakan) Azalina itu betul. Anda tidak boleh berhujah di sini (Parlimen) kerana ia subjudis," katanya lagi.

Monday, March 16, 2015

Shafee mungkin pengsan jika disoal Majlis Peguam - Nik Nazmi

KUALA LUMPUR 15 MAC- Angkatan Muda KEADILAN secara sinis memyelar tindakan peguam, Datuk Seri Shafee Abdullah mendapatkan perintah mahmamah bagi mengelakkan dirinya berhadapan Majlis Peguam.

Ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Shafee selaku pendakwa dalam kes Fitnah II sebelum ini mendabik dada dengan mengatakan Saudara Anwar Ibrahim ’akan pengsan’ jika disoal balas pihak pendakwa.
“Amat aneh ketika mana Shafee secara bebas mengutuk pihak lain – namun ketika giliran tindakannya diadili – beliau memilih untuk pada saat-saat akhir mendapatkan injunksi interim daripada mahkamah menghalang anggota Majlis Peguam membincangkannya,” ujar Nik Nazmi dalam kenyataan media hari ini.

Beliau menyifatkan tindakan tidak profesional Shafee menyertai siri jelajah Pemuda Umno dan bertungkus lumus menyerang Anwar sebagai insiden luar biasa dalam sejarah sistem keadilan negara.

“Semasa program itu beliau telah menghina pasukan pembelaan, mengecam Anwar dan secara angkuhnya menyatakan bahawa Anwar akan “pengsan di mahkamah” sekiranya memilih untuk disoal balas oleh pihak pendakwa – tuduhan-tuduhan yang tidak boleh dijawab oleh Anwar,”.

“Malah, Shafee sanggup berkongsi kononnya butir-butir lucah dalam kes tersebut – yang mana sesetengahnya tidak ada pun di dalam transkrip mahkamah,” katanya.

Sebelum ini ramai anggota Majlis Peguam Malaysia mengecam tindakan Shafee menyertai jelajah Pemuda Umno, kononnya bagi menerangkan kes berkenaan.

Ekoran itu, dua anggota kanan Majlis Peguam iaitu Peguam Perlembagaan, Tommy Thomas dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Tan Sri V.C George membawa usul dalam Mesyuarat Agung Tahunan badan itu bagi “mengecam sekeras-kerasnya” tindakan memalukan Shafee.

Bagaimanapun, Shafee pada 13 Mac lalu berjaya mendapatkan perintah mahkamah bagi menghalang Majlis Peguam mengemukakan usul mengenai kelakuannya.

Sunday, March 15, 2015

Shafee mungkin dirujuk kepada lembaga disiplin - Presiden baru Majlis Peguam

Majlis Peguam tidak pro pembangkang atau pro kerajaan, sebaliknya pro keadilan dan pro undang-undang, kata Steven Thiru, Presiden Majlis Peguam yang baharu. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 14 Mac:

Presiden Majlis Peguam yang baru dipilih hari ini, Steven Thiru berkata, badan penaung profesion guaman itu mempertimbangkan untuk merujuk peguam kanan, Tan Sri Shafee Abdullah kepada lembaga disiplinnya berhubung kelakuan beliau.

“Kami sudahpun melihat ke arah itu,” kata Steven dalam sidang media pertamanya selaku Presiden Majlis Peguam di ibu negara hari ini.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu sedang dikaji dan belum diputuskan, lapor portal berita Malaysia kini memetik Steven.

Steven dipilih sebagai presiden baru dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Majlis Peguam yang berlangsung hari ini menggantikan Christopher Leong yang sudah berkhidmat selama maksimum dua penggal.

Manakala jawatan Steven sebelum ini iaitu Naib Presiden, kini disandang oleh George Varughese.

Karen Cheah dan Fareed Abdul pula masing-masing dilantik sebagai setiausaha dan bendahari majlis itu,

Steven berkata, walaupun AGM Majlis Peguam telah berlalu, namun keputusan untuk mencabar injunksi yang diperolehi oleh Shafee dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, bagi menghalang isu mengenai kelakuannya dibincangkan tetap akan dibuat kerana berkaitan dengan prinsip.

AGM Majlis Peguam hari ini menarik balik usul untuk membincangkan kelakuan Shafee daripada dibincangkan dalam perhimpunan tahunannya hari ini ekoran injunksi daripada mahkamah yang diperolehi Shafee.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Asmabi Mohamad semalam membenarkan injunksi interim ex-parte kepada Shafee bagi menghalang Majlis Peguam atau presidennya atau ejen mereka membenarkan usul itu dikemuka, dibincang atau diluluskan semasa AGM.

Injunksi juga melibatkan larangan daripada membincangkan perkara berkaitan kelakuan Shafee dalam kes rayuan Anwar di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Shafee dilantik sebagai peguam utama dalam kes Liwat II melibatkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada sidang media pertama beliau hari ini juga, Steven berkata mesyuarat hari ini mencipta rekod daripada segi kehadiran ahli iaitu seramai 1,906 orang.

Mengulas kritikan terhadap majlis itu sejak kebelakangan ini, termasuk tuduhan bahawa Majlis Peguam pro pembangkang, beliau berkata majlis berkenaan sentiasa mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

“Kami berdasarkan isu, bukan kaum, agama dan bukan politik, seperti yang dituduh pengkritik,” katanya seperti yang dilaporkan portal berita The Malaysian Insider (TMI).

“Majlis Peguam sentiasa mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi negara dan agama lain turut dibenarkan untuk diamalkan secara bebas di negara ini.

“Majlis Peguam tidak pro pembangkang atau pro kerajaan. Ia pro keadilan dan pro undang-undang. Kami tidak akan membenarkan majlis ini dipolarisasikan,” tegasnya.

Kata Steven, Majlis Peguam akan sentiasa kekal bebas dan sebarang keputusan yang dibuat bertentangan dengan prinsip itu akan dicabar.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/03/14/shafee-mungkin-dirujuk-kepada-lembaga-disiplin-presiden-baru-majlis-peguam/#ixzz3UNe9eTjM

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-