Showing posts with label Timbalan Persiden UMNO. Show all posts
Showing posts with label Timbalan Persiden UMNO. Show all posts

Tuesday, December 15, 2015

Muhyiddin 'terpaksa' bersuara selagi ada jawatan

RAZIATUL HANUM A.RAJAK

Muhyiddin Yassin

SHAH ALAM – Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin ‘terpaksa’ bersuara selagi masih memegang jawatan meskipun kenyataannya akan dilihat bertentangan dengan pendirian parti itu‎.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa UUM, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, Muhyiddin hanya bersuara demi kepentingan rakyat dan ia tidak memungkinkan sebarang tindakan disiplin boleh diambil ke atasnya.

“Itu hak beliau untuk bersuara. Kalau tiada jawatan, lainlah cerita. Apa perkara yang dia tidak setuju, dia kena bersuara. Kalau dia bersetuju pun dia akan bersuara. Suara beliau ada autoriti di situ.

[ARTIKEL BERKAITAN: ‎Najib paut bahu Muhyiddin, ada yang sebak]

“Beliau tidak boleh dikenakan tindakan kerana beliau bersuara atas kepentingan rakyat. Bukan atas dasar menjatuhkan presiden. Sebenarnya, Umno pun tidak ada cara nak sabitkan kesalahan kepada beliau kerana beliau bukannya menyalahi apa-apa disiplin dalam parti,” katanya kepada Sinar Online.

Sebelum ini, susulan ulasan dibuat Muhyiddin terhadap Ucapan Dasar Presiden di laman Facebooknya, ramai rakan-rakannya dalam parti melahirkan kekecewaan atas kenyataan tersebut.

Mengulas lanjut, Azizuddin akui, kenyataan bertentangan dengan pendirian pemerintah hari ini bakal menjadi dilema yang perlu diselesaikan Najib.

“Paling sesuai untuk Muhyiddin jawab dan menyatakan pandangan semasa perhimpunan agung tapi memandangkan beliau tidak diberi peluang terpaksalah guna medium yang lain sama ada media massa atau media sosial.

“Tapi ini akan dilihat bertentangan dengan parti dan kerajaanlah. Ini sebenarnya dilema yang perlu diselesai segera oleh Datuk Seri Najib. Jika tidak ia akan memberi imej yang tidak baik,” katanya.

Beliau juga menjangkakan Muhyiddin bakal terus bersuara sehingga pilihan raya atau pemilihan Umno akan datang.

Dalam ulasan ringkasnya, Muhyiddin menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengabaikan amanah yang dipikulnya dalam parti serta sentiasa membantu presiden termasuk menyelesaikan pelbagai permasalahan parti.

Najib dalam ucapan dasarnya mengingatkan timbalan presiden, naib-naib presiden dan ahli parti itu tentang tanggungjawab mereka berdasarkan Perlembagaan parti.

Thursday, December 3, 2015

Apa motifnya tidak benarkan Timbalan Presiden Umno berucap dalam PAU.......?

PAU: Timbalan tak berucap memang pelik

RAZIATUL HANUM A.RAJAK
2 DISEMBER 2015

Muhyiddin

SHAH ALAM – Penganalisis politik melihat sejarah baharu akan tercipta sekiranya Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak diberi ruang berucap pada sesi penggulungan di Perhimpunan Agung Umno (PAU), minggu depan.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa UUM, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, Umno bergerak secara tradisi, namun apabila tradisi dipinggir, maka parti itu sedang berubah.

“Sangat pelik kalau timbalan presiden tidak berucap. Dalam sejarah ini kali pertama timbalan presiden tidak dibenar berucap untuk perasmian sayap dan penggulungan.

“Walaupun dalam perlembagaan tidak sebut mesti ada ucapan timbalan presiden tapi selalunya parti bergerak berdasarkan tradisi. Parti tidak boleh pinggirkan tradisi itu.

“Dalam konteks ini, jika tidak dibenarkan berucap maka, ia sudah di luar daripada tradisi Umno,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Sebelum ini, Majlis Tertinggi (MT) Umno memutuskan Muhyiddin tidak akan merasmikan mesyuarat perwakilan ketiga-tiga sayap Umno.

Difahamkan Muhyiddin juga sudah dimaklumkan beliau tidak terlibat dalam sesi penggulungan PAU kali ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: ‎'Saya hadir PAU tapi sebagai 'tunggul'']

Melihat senario semasa itu, Azizuddin berkata, sekiranya ‘mood’ di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini melibatkan sembilan ketua cawangan Umno Bahagian Telok Kemang dibawa ke perhimpunan nanti, suasana PAU minggu hadapan mungkin akan tegang.

“Reaksi ahli Umno terutama penyokong Muhyiddin terhadap kemungkinan beliau tidak boleh berucap kita tidak boleh jangka. Hari ini pun sudah tegang.

“Saya rasa mungkin akan agak panas perhimpunan itu sekiranya Muhyiddin tidak dibenar bercakap. Bukan sahaja Muhyiddin, Shafie Apdal (Naib Presiden Umno) juga sama,” katanya.

Namun, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa UUM, Prof Madya Dr Mohd Fuad Othman berpendapat ahli-ahli Umno sudah matang dan beliau yakin tiada penentangan secara nyata di dalam dewan sekiranya hak Muhyiddin berucap pada sesi penggulungan dinafikan.

“Ucapan penggulungan timbalan presiden itu norma bukan peraturan.

“Mungkin kali ini, MT Umno melihat perlu adanya perubahan,” katanya.

Perhimpunan Agung Umno akan berlangsung minggu hadapan di PWTC.

Thursday, October 29, 2015

Singkir nombor dua, Umno akan berpecah

MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY
Samsu Adabi Mamat
SHAH ALAM - Tindakan untuk menyingkirkan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membawa kepada perpecahan parti itu.

Penganalisis politik, Prof Madya Datuk Dr Samsu Adabi Mamat berkata, Muhyiddin mempunyai pengaruh yang kuat dalam parti.

“Ketua bahagian Umno harus menangani dengan baik sekiranya berhasrat untuk singkirkan Muhyiddin. Ini kerana Muhyiddin bukan sahaja mempunyai pengaruh dalam Umno malah turut membawa sentimen Johor.

“Ini akan menyebabkan perpecahan dalaman yang teruk dalam Umno selain akan merumitkan lagi keadaan Umno yang dilihat semakin parah,” katanya, semalam.

Usaha untuk menyingkirkan Muhyiddin semakin rancak diperkatakan ekoran Timbalan Presiden Umno itu semakin lantang bersuara membidas tindakan Najib.

Terbaru, terdapat khabar angin mengatakan beberapa ketua bahagian Umno sedang melakukan perancangan bagi menyingkirkan Muhyiddin.

Menurut Dr Samsu lagi, adalah lebih baik sebarang usaha untuk singkirkan Muhyiddin tidak dilakukan dan menunggu sehingga pemilihan Umno akan datang.

“Penyingkiran Muhyiddin adalah perkara yang perlu dielakkan. Seeloknya perkara ini diselesaikan secara baik dengan Muhyiddin. Mungkin Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak boleh bersemuka dengan Muhyiddin.

[ARTIKEL BERKAITAN : Sah wujud gerakan singkir Muhyiddin]

“Saya percaya ahli Umno juga tidak mahu melihat perpecahan yang lebih teruk dalam parti,” katanya.

Namun, beliau berkata, berdasarkan perlembagaan parti, penyingkiran Muhyiddin boleh berlaku sekiranya jawatankuasa tata tertib menerima laporan daripada mana-mana ahli termasuk ketua bahagian.

“Namun laporan itu perlu berdasarkan kesalahan kukuh yang telah dilakukan Muhyiddin. Mungkin juga sehingga memberikan kesan teruk kepada parti.

“Dan terpulang kepada jawatankuasa untuk menjatuhkan bentuk hukuman,” katanya.

Wednesday, October 28, 2015

Sah wujud gerakan singkir Muhyiddin

JANATUL FIRDAUS YAACOB
28 OKTOBER 2015

Muhyiddin Yassin
PETALING JAYA - Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Mohd Yunus mengesahkan wujud gerakan menyingkirkan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kelompok gunting dalam lipatan dalam Umno.

Beliau tegas menyatakan lebih 100 ketua bahagian Umno seluruh negara mengadakan perbincangan tertutup sebagai usaha menyingkir Muhyiddin dan kumpulannya dari parti itu.

“Pendapat peribadi saya, Tan Sri Muhyiddin perlu dipecat dan sekarang kita (Umno) dalam usaha mengumpul senarai nama ketua bahagian untuk menyokong penyingkiran berkenaan.

“Kalau saya di tempat Perdana Menteri dah lama saya pecat beliau (Muhyiddin) bukan setakat sebagai Timbalan Presiden Umno malah ahli Umno,” katanya kepada Sinar Harian.

[ARTIKEL BERKAITAN: ‎'Tak patut buang Muhyiddin']

Beliau menyifatkan pendekatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang terlalu berlemah-lembut dan tidak sampai hati telah menyebabkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu agresif menentang pentadbirannya.‎

Jamal bagaimanapun tidak menyangka gerakan senyap ketua Umno bahagian ini telah pecah kepada media.

“Saya sudah lama mendesak Muhyiddin untuk dipecat daripada kerajaan mahupun parti.

“Lihat sekarang gelagat beliau, sebab itu kita cuba kumpul sokongan untuk keluarkan Muhyiddin daripada parti dan posisi itu diganti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Hulu Langat, Datuk Johan Abdul Aziz hanya menyarankan agar pucuk pimpinan Umno mengambil tindakan disiplin terhadap Muhyiddin berdasarkan kepada tindak tanduk beliau sejak kebelakangan ini.

Difahamkan, beberapa laman sosial telah diviralkan mengenai kempen ini yang dikatakan dilakukan melalui aplikasi Instagram.

Laman sosial Johor Bangkit, misalnya telah mendakwa terdapat 140 ketua bahagian bersetuju untuk melakukan tindakan menyingkir bekas Timbalan Perdana Menteri itu termasuk mendapat lima sokongan di Johor, sementara dua lagi tidak melayan kempen berkenaan.

Dalam kenyataan laman sosial itu turut mendakwa punca mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 30 Oktober ini terpaksa dibatalkan untuk membolehkan mereka mempunyai masa kumpulkan nama ketua-ketua bahagian yang lebih banyak bagi menjayakan komplot tersebut.

Sunday, October 25, 2015

'Bayaran tinggi' untuk keberanian Muhyiddin

WARTAWAN SINAR HARIAN25 OKTOBER 2015
Dr Maszlee Malik
JOHOR BAHRU - Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin disifatkan sebagai seorang pemimpin luar biasa dan merupakan kebanggaan anak Bangsa Johor.

Moderator Program Bicara Minda dan Sesi Dialog bersama bekas Timbalan Perdana Menteri itu, Dr Maszlee Malik berkata, suara keberanian luar biasa Muhyiddin sebagai seorang pemimpin terpaksa dibayar dengan ‘bayaran tinggi’, termasuk kehilangan jawatan apabila digugurkan daripada Kabinet.

“Tan Sri Muhyiddin telah mempamerkan sikap seorang pemimpin yang berani bersuara dalam memperjuangkan kebenaran dan sudah tiba masanya untuk anak Johor terus bangkit dan mencontohinya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Bicara Minda dan Sesi Dialog bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin, di Hotel Grand Bluewave, di sini, semalam.

[ARTIKEL BERKAITAN: Saya sahaja bersuara, yang lain buat apa?]

Maszlee, ketika mengendalikan program itu, sempat mengajukan soalan mengenai ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika pembentangan Bajet 2016 kelmarin, berkaitan perumpamaan ‘gunting dalam lipatan’ dan ‘api dalam sekam’ kepada Muhyiddin.

Bagaimanapun, jawapan bersahaja bekas Timbalan Perdana Menteri itu mengenai perumpamaan tersebut menunjukkan itu bukan sifat dirinya, tetapi kelantangan Muhyiddin adalah disebabkan tanggungjawabnya sebagai pemimpin yang memperjuangkan hak rakyat dan kepentingan parti.

“Saya tertunggu-tunggu juga sekiranya ada penonton yang akan mengajukan soalan terbabit, namun selepas tiada yang bertanya mengenainya saya ambil peluang itu,” katanya.

Maszlee turut memuji Sinar Harian kerana menganjurkan program itu dalam meneruskan budaya demokrasi melalui konsep telus dan tulus.

Saturday, October 24, 2015

Saya sahaja bersuara, yang lain buat apa?

MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI
24 OKTOBER 2015

Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap pada program Bicara Minda, 'Berani Kerana Benar' anjuran Sinar Harian di Johor Bahru, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh AFIQ RAZALI

JOHOR BAHRU - Sikap segelintir pemimpin Umno yang sanggup mendiamkan diri meskipun mengetahui kebenaran kerana menjaga kepentingan dibidas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam nada keras, Muhyiddin berkata, ketika keadaan negara kelam kabut di waktu ini, hanya beliau sahaja yang berani bersuara untuk memperbetulkan keadaan.

"Hanya saya seorang bersuara yang lain buat apa.

"Saudara semua pengecut, takut kena pecat sebagai ketua cawangan, ketua bahagian dan ada juga wakil rakyat.

"Semua orang amat takut untuk bersuara walaupun keadaan negara dalam situasi begini tetapi tak mahu buat apa-apa. Orang luar tanya saya apa sudah jadi," katanya pada program Bicara Minda; 'Berani Kerana Benar' anjuran Sinar Harian, di sini, hari ini.

Muhyiddin yang digugurkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri seterusnya menggesa pemimpin-pemimpin Umno dan kerajaan supaya bersikap lebih berani seperti pesan Nabi Muhammad SAW supaya umatnya agar mengambil tindakan jika melihat perkara yang mungkar.

"Ketika dalam kerajaan saya gunakan kuasa untuk nasihat dan beri pandangan tapi langsung tak diambil kira. Macam bodoh sangat Timbalan Perdana Menteri ni.

"Saya bersuara bukan untuk jatuhkan parti. Saya hanya berkata benar kerana bimbang tentang masa depan negara," katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau mengakui tidak pernah menyesal dalam menggerakkan perubahan kuasa antara bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Umno Bahagian Pagoh itu berkata, pada ketika itu beliau mengambil keputusan menggesa Najib menandingi jawatan Presiden Umno kerana melihat kepada kredibiliti dan kelayakannya sebagai pemimpin.

"Saya tidak benci kepada Pak Lah tetapi saya fikir pada ketika itu tindakan perlu diambil bagi memastikan kedudukan Umno dalam pilihan raya dan saya beritahu pada Najib supaya dia bertanding jawatan Presiden.

"Saya tidak pernah menggugat kedudukan beliau (Najib) malah tidak pernah menentang beliau termasuk dalam isu GST dan BR1M. Jadi jangan persoalkan kesetiaan saya," katanya.

Saturday, September 19, 2015

Gesa hentikan provokasi perkauman

WARTAWAN SINAR HARIAN
Muhyiddin Yassin
MUAR - Bibit perkauman yang sudah mula ditunjukkan di negara ini perlu dihentikan segera bagi mengelakkan menjadi barah yang akan merosakkan keharmonian negara.

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebagai sebuah negara yang sudah lama merdeka, perkara seperti itu tidak seharusnya berlaku kerana Malaysia dimiliki oleh semua kaum sebagai rakyat di negara ini.

“Ia tidak boleh dipandang ringan dan jika berlarutan akan menerbitkan sifat perkauman yang menebal yang menyebabkan mereka saling mencurigai antara satu sama lain.

“Lebih memburukkan keadaan, kerana sentimen ini dibangkitkan oleh pemimpin politik yang mahu berlagak seperti hero yang mempunyai agenda tersembunyi, sedangkan tindakan itu telah membuatkan rakyat berasa takut serta tidak selamat berada dalam negara sendiri,” katanya ketika berucap pada program Membara Jasamu Dikenang, Umno Bahagian Pagoh 2015, di Dewan Geliga Gersik, di sini, semalam.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, pemimpin politik dan kerajaan bertanggungjawab untuk menyelesaikan isu perpaduan serta isu-isu lain yang membelenggu negara ini dengan segera supaya tidak lagi menjadi topik persoalan rakyat.

Sementara itu, dalam ucapannya ketika program Bersama Masyarakat Tionghua Parlimen Pagoh di Dewan Tokong Poh Ling Dian dekat Pagoh, beliau berkata, ramai masyarakat terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India menyukai pemimpin yang bercakap benar.

“Respons ini diterima daripada mereka yang rata-ratanya memuji keberanian saya membangkitkan isu syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) semasa menjadi timbalan perdana menteri.

“Sudah menjadi prinsip saya untuk bercakap benar tentang perkara yang membabitkan kepentingan negara dan rakyat. Ini adalah tanggungjawab pemimpin untuk bercakap benar dan tidak melakukan pecah amanah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa pemimpin MCA dan Gerakan supaya lebih berani bersuara kepada pucuk kepimpinan tentang apa yang disukai atau tidak oleh rakyat.

Menurutnya, sebagai sebuah negara demokrasi tidak ada halangan kepada rakyat untuk bersuara dan memberikan pandangan.

Katanya, usaha untuk menyelesaikan masalah perlu dilakukan dan tidak berserah kepada doa semata-mata.

Monday, September 7, 2015

Solat hajat di Johor elak Muhyiddin dipecat UMNO

SKUDAI - Lebih 10,000 ahli akar umbi Umno negeri ini dijangka menghadiri Solat Hajat Perdana yang diadakan esok bagi mendoakan tiada pemecatan terhadap Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, Rabu ini.

Ahli Umno Cawangan Presint Bakti, Hashim Abdullah berkata, solat hajat itu merupakan inisiatif ahli akar umbi Umno Johor dan akan berlangsung secara serentak selepas waktu solat Maghrib di lebih 30 masjid dan surau seluruh negeri Johor.

Katanya, rata-rata ahli akar umbi Umno negeri itu berharap tiada pemecatan dibuat terhadap mana-mana pemimpin kerana bimbang akan menyebabkan perpecahan lebih teruk dalam parti itu.- SinarHarian

Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com/index.php?option=com_k2&view=item&id=326942:solat-hajat-di-johor-elak-muhyiddin-dipecat-umno&Itemid=2#ixzz3l3PpPh8k
Follow us: @MsiaChronicle on Twitter

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-