Showing posts with label Top 5. Show all posts
Showing posts with label Top 5. Show all posts

Thursday, October 19, 2023

Bersediakah PAS teraju Putrajaya tanpa pertandingan ‘Top 5’ pada muktamar?

freemalaysiatoday.com
Faiz Zainudin
19 Oct 2023,

PAS perlukan pemimpin pelapis untuk bersedia menerajui Putrajaya ketika parti itu di prestasi terbaiknya.
Muktamar PAS tahun ini dijangka tenang kerana tidak ada pemilihan bagi lima jawatan tertinggi parti.

PETALING JAYA: Ketiadaan pemilihan bagi lima jawatan tertinggi PAS mungkin menyebabkan Muktamar ke-69 parti itu berlangsung agak tenang, namun persoalan lebih besar timbul “siapa pemimpin pelapisnya” untuk mara lebih jauh.

Dengan kecemerlangannya pada PRU15 yang diteruskan ketika PRN Ogos lalu, PAS memerlukan pemimpin pelapis sebagai persediaan kemungkinan menerajui Putrajaya tetapi ahlinya ketika ini cenderung mengekalkan barisan sedia ada.

PAS kini mempunyai 43 Ahli Parlimen teramai dalam Perikatan Nasional (PN) manakala menguasai empat negeri, Kedah, Kelantan, Terengganu, dan Perlis.

Tanpa sebarang pencalonan pemimpin lain, Hadi Awang kekal sebagai presiden, begitu juga Tuan Ibrahim Tuan Man selaku timbalannya dan tiga naib presiden Ahmad Samsuri Mokhtar, Idris Ahmad dan Mohd Amar Nik Abdullah.

Penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia Zaireeni Azmi melihat ia pendirian ahli PAS yang tidak mahu menganggu kekuatan organisasi kepimpinan berdasarkan keputusan cemerlang dalam dua siri pilihan raya sejak tahun lalu.

Namun akuinya, ketiadaan cabaran bagi jawatan utama bukan sesuatu yang baik untuk masa depan kerana pertandingan perlu untuk melahirkan pemimpin pelapis.

“Walaupun tiada pertandingan ‘Top 5′ tetapi untuk AJK ada, muka baharu perlu tanding supaya sentiasa ada pelapis boleh beri nafas segar serta idea baharu…orang muda sekarang fleksibel bukan semua faham sifat wala’ (setia).

“Hendak kata semua (orang muda) golongan celik politik tidak juga, ada nilai dari segi fizikal sebab itu golongan pelapis dalam parti penting supaya ada idea diberikan mengikut peredaran masa,” katanya kepada FMT sambil menjangkakan muktamar bermula Jumaat ini tidak sepanas 2015.

Ketika itu, Hadi dicabar Ahmad Awang manakala Tuan Ibrahim mencabar Mohamad Sabu. Ahmad dan Mohamad yang tewas pada pemilihan itu keluar lalu menubuhkan Amanah iaitu komponen dalam Pakatan Harapan (PH).

Bagi Ketua Penerangan PAS Khairil Nizam Khirudin, tidak timbul soal siapa pemimpin pelapis parti Islam itu walaupun tiada pertandingan bagi lima jawatan tertinggi dalam parti.

“Tak timbul juga isu ada larangan…tak macam Umno kerana kita buka pintu pertandingan. Malah dibuat dua tahun sekali iaitu paling singkat antara parti.

“PAS ramai pemimpin pelapis dan giliran mereka menerajui parti akan tiba bila sampai masanya,” katanya yang juga Ahli Parlimen Jerantut.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara Mazlan Ali pula berpendapat ahli PAS mungkin tidak mahu melihat perpecahan berlaku pada 2015 yang memberi kesan kepadanya pada PRU 2018.

“Ahli dan pemimpin PAS amalkan prinsip wala’, patuh pucuk pimpinan dan keputusan Majlis Syura,” katanya.

Saturday, October 1, 2022

KATA MP | Malaysia bukan di bawah kuasa Top 5 Umno

malaysiakini.com
Hassan Abdul Karim
Diterbitkan: Oct 1, 2022 8:36 PM
KATA MP | Top 5 Umno tidak ada kuasa perundangan untuk menekan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya membubarkan Parlimen bagi diadakan pilihan raya umum (PRU) dalam keadaan Malaysia diancam banjir monsun tengkujuh.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan yang juga ahli parlimen Pontian tidak bertanggungjawab kerana hanya menyebut Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan iaitu Yang di-Pertuan Agong mesti bertindak atas nasihat perdana menteri.

Ahmad Maslan cuba menyembunyikan fakta bahawa Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa budi bicara kepada Yang diPertuan Agong untuk bersetuju atau menolak permohonan perdana menteri untuk membubarkan Parlimen di bawah Perkara 40(2)(b).

Malaysia sebuah negara demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

Kuasa budi bicara Yang diPertuan Agong di bawah Perkara 40 (2)(b) untuk menjamin Parlimen Malaysia tidak dibubarkan sesuka hati oleh parti politik berkuasa adalah satu jaminan Perlembagaan Persekutuan supaya Negara Malaysia ini tidak jatuh ke tangan kuasa oligarki seperti Top 5 Umno yang presidennya sedang menghadapi pertuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di mana keputusan di akhir kes pembelaan dijangka akan disampaikan pada bulan Disember tahun 2022 ini.

Top 5 Umno mahu pilihan raya diadakan sebelum keputusan kes mahkamah presidennya.

Oligarki Umno ini tidak peduli banjir, tidak peduli monsun tengkujuh, tidak peduli kesusahan Rakyat.

Mereka hanya mementingkan usaha merebut kuasa.


Ini satu penyalahgunaan kuasa oleh perdana menteri sekiranya Ismail Sabri Yaakob takut dan tunduk kepada kuasa oligarki Umno.

Malaysia yang demokrasi mesti diselamatkan dari golongan oligarki Umno yang fasis.

HASSAN ABDUL KARIM merupakan ahli parlimen Pasir Gudang.

Tulisan ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Friday, September 30, 2022

Mesyuarat 'Top 5' Umno bincang PRU15 bermula

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 30, 2022 4:09 PM
Mesyuarat lima pemimpin tertinggi Umo atau disebut sebagai “Top 5" yang dikatakan akan membincangkan persiapan dan tarikh pilihan raya umum (PRU) ke-15 dilaporkan sedang berlangsung.

Mesyuarat itu turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, selaku naib presiden parti.

Perkara itu dikongsikan oleh seorang lagi naib presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin, di akaun Facebook.

Turut dimuatkan adalah gambar kelima-lima mereka sedang bermesyuarat.

Selain Ismail Sabri dan Khaled, mereka yang hadir pada mesyuarat yang berlangsung di Menara Dato Onn, PWTC itu adalah Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, timbalannya, Mohamad Hasan dan seorang lagi naib presiden, Mahdzir Khalid.

Perjumpaan ini dipercayai bagi membincangkan berkenaan PRU15 sebelum mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno berlangsung malam ini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan memaklumkan mesyuarat MKT Umno yang dijadualkan 17 Sept ditangguh dan dijadualkan semula pada hari ini.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-