Showing posts with label Tunku Mahkota Johor. Show all posts
Showing posts with label Tunku Mahkota Johor. Show all posts

Tuesday, May 7, 2019

Pergeseran dengan istana Johor: Anwar sokong Dr Mahathir

Geraldine Tong
Diterbitkan Hari ini 6:07 petang


Presiden PKR Anwar Ibrahim menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir Mohamad dalam pertembungan perdana menteri dengan istana Johor.

Anwar juga berpandangan pertembungan itu bukan bersifat peribadi.

"Ia bukan isu peribadi (personal). Perdana menteri mahu memastikan semangat perlembagaan dipatuhi dan saya fikir kami bersamanya dalam isu ini," katanya kepada pemberita selepas bersama calon DAP Vivian Wong, beramah mesra dengan penduduk di Sandakan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita berkenaan isu melibatkan Mahathir dan istana Johor baru-baru ini.

Semalam, Mahathir menyifatkan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai "budak kecil yang bodoh".

Mahathir berkata demikian ketika mengulas kenyataan Tunku Ismail bahawa jasa dan sumbangan ayahandanya Sultan Ibrahim Sultan Iskandar seperti memberi tanah kepada rakyat dan kerajaan tidak ditimbulkan.

TMJ membuat kenyataan itu susulan laporan media mengenai sebidang tanah di Bukit Chagar yang dirancang untuk projek Sistem Transit Aliran Johor-Singapura (RTS) yang dikatakan ditukar milik atas nama Sultan Johor.

Bagaimanapun, Sultan Ibrahim bertitah baginda sedia menyerahkan kembali tanah tersebut tanpa kos.

Terdahulu, Pengerusi PKR Johor Hassan Karim menggesa Mahathir dan istana negeri supaya segera mengentikan perbalahan terbuka.

Anwar yang berada di Sandakan hari ini, membantu kempen calon DAP Wong, melawat bazar ramadan di pusat bandar di mana calon DAP turut mengiringinya.

Beliau dijadualkan untuk melawat dua lagi masjid bagi iftar dan terawih sebelum mengadakan ceramah malam di Bandar Prima.

"Beliau (Wong) bekerja kuat, nasihat saya kepadanya supaya beliau perlu berjumpa setiap pengundi, bercakap dengan mereka dan memahami aspirasi mereka dan berjanji membangkitkan isu yang menjejaskan orang awam di Sandakan ke parlimen seterusnya kepada kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

"Saya percaya dengan kelayakan beliau dan pemuda yang bertenaga, beliau akan berkhidmat dengan baik," kata Anwar ketika ditanya apakah nasihat beliau kepada Wong.

Monday, May 6, 2019

Selepas kritikan Dr M pada TMJ, Kadir gesa IGP 'buka balik siasatan'

News | Diterbitkan Hari ini 8:48 malam


Konflik antara Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan istana Johor nampaknya belum menunjukkan tanda untuk reda.

Beberapa jam selepas kritikan pedas Mahathir terhadap Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, penasihat media dan komunikasinya A Kadir Jasin turut mengulasnya dalam satu hantaran Facebook petang tadi.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama, jelas sasaran hantaran itu ialah Tunku ismail memandangkan beliau merujuk kenyataan Tunku Ismail terdahulu serta gelaran Mahathir terhadapnya sebagai "budak kecil" (little boy).

Kadir meminta Ketua Polis Negara yang baru Abdul Hamid Bador untuk "buka balik IP (kertas siasatan) yang beku atau tutup".

Bagaimanapun wartawan veteran itu tidak mengulas lanjut tentang perkara itu.

Beliau juga meminta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) agar memeriksa sebanyak mana cukai yang dibayar Mados Sdn Bhd sejak "beratus tahun berniaga".

Mados Sdn Bhd dimiliki keluarga diraja Johor. Menurut Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), ia antaranya terlibat dalam pelaburan hartanah, pembalakan dan operasi kuari.

Sementara itu, Kadir juga mengimbas kembali ketika Perang Dunia Kedua berkenaan bom atom Amerika Syarikat - yang digelar "Little Boy".

"'Little Boy' atau budak kecil macam bom atom yang meranapkan Hiroshima pada 1945 ini amat berbahaya walaupun dia kecil dan tak tahu apa-apa.

"Jadi kita kenalah buat sesuatu. Tak cukup dengan cakap sahaja.

"Lagi pun budak kecil ini sudah ala-alukan kita untuk melakukan 110 peratus. Tak payahlah 110 peratus. 50 peratus dulu sudah cukup," katanya lagi.

Dua hari lalu, Tunku Ismail menyebut tentang dakwaan plot oleh individu bernama Kadir untuk 'menghabiskan' pihak istana.

"Kadir, saya tahu mengenai pertemuan di Menara Ilham. Sila teruskan (rancangan) itu.

"Tetapi seperti yang saya katakan sebelum ini. Jika kamu mahu menghabiskan kami, kamu perlu menghabiskan kesemuanya. Kamu tidak boleh buat separuh jalan atau 50 peratus. Kamu perlu bersungguh-sungguh dengan 110 peratus," titah pewaris takhta Johor itu di Twitter.

Tunku Ismail tidak menjelaskan siapakah "Kadir" itu, tetapi ia dipercayai merujuk kepada A Kadir Jasin.

Menara Ilham menempatkan pejabat Daim Zainuddin, seorang lagi orang kuat Dr Mahathir.

Ketika wawancara khas bersama media hari ini, Mahathir juga menyifatkan Tunku Ismail sebagai "bodoh" dan menggesanya agar tidak bercakap tentang perkara yang tidak diketahuinya.

Dr M, TMJ henti berbalah sempena Ramadan - PKR Johor

News | Diterbitkan Hari ini 5:45 petang


Bersempena bulan Ramadan, Pengerusi PKR Johor Hassan Karim menggesa supaya perbalahan terbuka antara Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim segera dihentikan.

"Saya menyeru kepada Tun Dr Mahathir, Perdana Menteri Malaysia dan Tengku Mahkota Johor Tengku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) supaya bersempena hari baik dan bulan baik, bulan Ramadan ini agar hentikan perbalahan pendapat secara terbuka," katanya pada suatu kenyataan hari ini.

Hassan yang juga MP Pasir Gudang berkata tidak manis seorang negarawan seperti Dr Mahathir untuk "menyerang TMJ", manakala TMJ pula akan "hilang hormat" rakyat jika terus menentang seorang ketua kerajaan yang diundi melalui pilihan raya.

"Dr Mahathir adalah ketua eksekutif negara dan seorang bertaraf negarawan, tak manis terus berbalah pendapat yang kadang-kadang kelihatan agak peribadi apabila menyerang TMJ.

"Begitu juga, TMJ adalah pewaris takhta Johor yang mempunyai kepimpinan yang karismatik, berani dan bijak berbicara akan hilang seri dan hilang hormat dari kalangan rakyat jika terus-terusan menentang secara terbuka Dr Mahathir seorang ketua kerajaan demokratik yang dipilih rakyat, apatah lagi beliau telah lanjut berusia," katanya lagi.

Hassan berkata selaku pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Hubungan Negeri-Negeri dan Persekutuan beliau mahukan jalinan baik hubungan antara pusat dan negeri supaya memudahkan menteri besar dan exco baru melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.

"Saya bersedia untuk memainkan peranan sebagai jambatan perhubungan ini.

"Sebagai anak Johor dan rakyat Malaysia saya berpendapat hubungan yang positif, jernih dan konstruktif antara Putrajaya dan pihak Istana Johor akan banyak membantu dalam membangunkan negeri Johor dan menyelesaikan banyak masalah rakyat di negeri paling selatan Semenanjung yang mempunyai banyak projek pembangunan berskala besar.

"Hubungan peribadi yang baik antara Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dengan TMJ dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskanda akan memudahkan kerajaan negeri Johor dengan menteri besar serta jemaah exco yang baru dilantik melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka kepada rakyat," jelasnya lagi.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-