Showing posts with label bulan Ramadan. Show all posts
Showing posts with label bulan Ramadan. Show all posts

Thursday, March 14, 2024

Pemimpin PN tak sepakat isu tutup kantin

malaysiakini.com
Shamz Johan & Zarrah Morden & Isabelle Leong
Diterbitkan: Mar 14, 2024 1:52 PM
Isu kantin sekolah yang dibenar beroperasi sepanjang bulan Ramadan mendapat reaksi berbeza dalam kalangan pemimpin Perikatan Nasional (PN).

Presiden Gerakan, Dominic Lau berkata parti itu tidak berkongsi pandangan sama dengan PAS yang menganggap tindakan tersebut sebagai tidak menghormati bulan Ramadan dan sengaja mencetuskan polemik.

"Saya rasa kita mempunyai interpretasi berbeza dalam perkara ini. Tiada siapa yang salah dan bukan semua pandangan perlu dikritik.

"Bagi kantin sekolah, biarlah ia beroperasi. Apa yang penting adalah nilai hormat menghormati kepercayaan dan amalan keagamaan dalam kalangan pelajar," katanya kepada Malaysiakini.
Sebelum ini, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Ahmad Yahaya mendakwa arahan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek supaya kantin sekolah mesti beroperasi seperti biasa sepanjang bulan Ramadan sebagai keterlaluan.

Katanya, arahan itu seolah-olah sengaja mencetuskan polemik sedangkan pelajar bukan Islam boleh membawa bekal makanan dan makan di ruangan yang dibenarkan.

“Perkara sebegini hanyalah mencetuskan polemik tidak perlu dan membuang masa,” katanya pada Selasa.

Namun, Fadhlina menegaskan bahawa langkah itu bagi membolehkan pelajar bukan Islam dapat makan dengan selesa.

“Saya tidak mahu anak-anak (pelajar) bukan Islam makan di dalam stor dan tempat yang tidak sepatutnya, padahal semua sekolah ada kantin.

“Kita (kementerian) sarankan kantin dibuka sepanjang Ramadan khususnya bagi sekolah yang mempunyai anak-anak bukan Islam,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Pendidikan (KPM) di Dewan Rakyat, semalam.

Tambah Dominic lagi, parti Gerakan berpegang kepada prinsip Perlembagaan Persekutuan yang memberi ruang kepada semua rakyat Malaysia kebebasan dalam beragama.

Sementara itu, seorang pemimpin Bersatu menyokong pendirian PAS dalam isu tersebut.

Bercakap atas kapasiti peribadi, Razali Idris berkata dia tidak bersetuju dengan saranan untuk membenarkan kantin dibuka semasa bulan Ramadan.

Menurutnya, pelajar bukan Islam sepatutnya boleh menguruskan diri sendiri kerana amalan berpuasa di bulan Ramadan merupakan kewajiban yang menjadi rutin umat Islam setiap tahun.
"Murid bukan Islam boleh menguruskan diri sendiri ketika bulan Ramadan dan mereka kena faham rutin tahunan murid Islam akan berpuasa pada masa ini.

"Tapi tak perlulah sampai minta mereka makan di stor, boleh makan di kantin tapi kantin tak dibuka dan berjualan macam biasa," katanya yang juga Ketua Penerangan Bersatu.

Tambahnya lagi, pendirian ini tidak ditujukan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) ataupun Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) tapi kepada sekolah harian.

Razali berkata jika terdapat kes murid bukan Islam diarah makan di stor atau tempat-tempat yang tidak sepatutnya, pihak kementerian perlu mengambil tindakan.

"Kita mahukan supaya ada kelainan sempena bulan Ramadan dan mengajar murid dari peringkat awal tentang amalan menghormati bulan Ramadan.

"Yang Menteri kata semalam, pada saya, kalau ada pelajar yang diarah makan di stor, itu perlu ambil tindakan pada pengetuanya. Kenapa kena makan di stor? Sekolah mana? nyatakan. boleh makan di kantin. cuma kantin tidak buka. itu sahaja," tambahnya.

Friday, April 24, 2020

Dr Noor Hisham pesan amalkan konsep ‘lihat, hidu, rasa’ sebelum berbuka



Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham menasihati orang ramai agar mengamalkan konsep “Lihat, Hidu, dan Rasa” semasa bulan Ramadan sebelum menikmati juadah berbuka dan bersahur, untuk memastikan makanan tersebut selamat dimakan.

Dalam kenyataanya, beliau berkata orang ramai diminta mengamalkan kebersihan dalam penyediaan makanan di rumah bagi mengelakkan keracunan makanan.

“Orang ramai hendaklah sentiasa memastikan keselamatan makanan semasa membeli atau menyediakan
makanan untuk diri sendiri dan ahli keluarga.

“Mereka juga dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan jarak sosial yang selamat (social distancing) semasa penghantaran makanan,” kata beliau.

Sehubungan itu, katanya, kepada pihak yang terlibat dalam perniagaan makanan secara atas talian (online) termasuklah pengusaha, pengendali makanan dan penghantar makanan supaya sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan mematuhi garis panduan yang telah dikeluarkan oleh pihak KKM.

Tambahnya, ini untuk memastikan makanan yang disediakan kepada pengguna adalah selamat.

Pada tahun 2019 terdapat sebanyak 516 kejadian keracunan makanan yang melibatkan 16,583 kes berpunca dari pengendalian makanan yang tidak bersih dan selamat.

Daripada jumlah keseluruhan tersebut sebanyak 34 kejadian keracunan makanan telah berlaku pada bulan Ramadan 2019 yang melibatkan 1,032 kes.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian COVID-19 melalui segala maklumat yang diperolehi dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa.

Sunday, April 19, 2020

Kali pertama tiada bubur lambuk ketika Ramadan di Kampung Baru

Mohamad Fadli
-April 19, 2020 11:04 AM

Pengagihan bubur lambuk menjadi acara wajib setiap kali Ramadan di Masjid Kg Baru.

PETALING JAYA: Kebiasaannya apabila tiba bulan Ramadan, Masjid Kampung Baru menjadi tumpuan umat Islam di sekitar Lembah Klang untuk mendapatkan bubur lambuk secara percuma.

Selepas solat Asar, suasana akan menjadi meriah dengan orang beratur panjang untuk mendapatkan bubur lambuk yang menjadi salah satu juadah pilihan dan kegemaran mereka ketika Ramadan.

Namun, tahun ini suasana itu tidak akan dirasai selepas setiap tahun amalan itu menjadi tradisi di Masjid Kampung Baru.

Menurut ketua tukang masak bubur lambuk di Masjid Kampung Baru, Zainal Abidin Abdul Hamid, pihak pengurusan masjid membuat keputusan untuk tidak mengadakan aktiviti mengedar bubur lambuk susulan penularan wabak Covid-19 yang melanda negara ketika ini.

Zainal berkata ini pertama kali bubur lambuk tidak dapat diedarkan kepada orang ramai sejak 37 tahun beliau menjadi tukang masak bubur lambuk di masjid itu.

“Susah tentu rasa janggal, sedih dan kasihan sebab orang ramai tidak dapat bubur lambuk,” katanya kepada FMT.
Ketua tukang masak bubur lambuk Masjid Kampung Baru, Zainal Abidin Abdul Hamid.

Zainal, 65, yang merupakan generasi ke-4 menjadi ketua tukang masak di Masjid Kampung Baru akui ramai yang bertanya mengenai bubur lambuk pada tahun ini.

Bagaimanapun, beliau dengan berat hati memberitahu tidak dapat diedarkan tahun ini berikutan mematuhi arahan kerajaan yang tidak mahu orang ramai berkumpul.

“Ramai yang menelefon saya bertanyakan mengenai bubur lambuk percuma di Kampung Baru.

“Namun saya memberitahu tahu, tahun ini tak ada dan ramai kecewa kerana ada yang jadikan juadah ini sebagai makanan pilihan ketika berbuka puasa,” katanya.

Zainal juga berkata biasanya akan ada pihak yang mahu menaja bubur lambuk dengan menghulur sumbangan, namun terpaksa ditolak ekoran bagi menghormati perintah kerajaan.

Katanya, bahan-bahan yang digunakan untuk membuat bubur lambuk biasanya sudah dihantar oleh penaja seminggu sebelum menjelangnya Ramadan dan perkara itu akan terus berlarutan sehingga akhir Ramadan.

Zainal juga berkata kebiasaannya dalam sehari beliau akan menyediakan sekurang-kurangnya 15 hingga 20 periuk besar bubur lambuk dengan dibantu 8 orang pembantu.

“Satu dulang boleh dapat sediakan 220 bungkus dan jika 20 dulang ada dalam 4,000 lebih bungkusan bubur lambuk boleh diagihkan.

“Biasanya mereka akan beratur dan datang cepat untuk mendapatkannya. Manakala ada juga yang tidak dapat jika mereka datang lambat akibat kesesakan lalu lintas dan sebagainya,” katanya.

Zainal juga menasihatkan orang ramai redha dan sabar buat masa ini.

“InsyaAllah tahun depan kita boleh edarkan bubur lambuk Majis Kampung Baru,” katanya.

Monday, May 6, 2019

Dr M, TMJ henti berbalah sempena Ramadan - PKR Johor

News | Diterbitkan Hari ini 5:45 petang


Bersempena bulan Ramadan, Pengerusi PKR Johor Hassan Karim menggesa supaya perbalahan terbuka antara Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim segera dihentikan.

"Saya menyeru kepada Tun Dr Mahathir, Perdana Menteri Malaysia dan Tengku Mahkota Johor Tengku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) supaya bersempena hari baik dan bulan baik, bulan Ramadan ini agar hentikan perbalahan pendapat secara terbuka," katanya pada suatu kenyataan hari ini.

Hassan yang juga MP Pasir Gudang berkata tidak manis seorang negarawan seperti Dr Mahathir untuk "menyerang TMJ", manakala TMJ pula akan "hilang hormat" rakyat jika terus menentang seorang ketua kerajaan yang diundi melalui pilihan raya.

"Dr Mahathir adalah ketua eksekutif negara dan seorang bertaraf negarawan, tak manis terus berbalah pendapat yang kadang-kadang kelihatan agak peribadi apabila menyerang TMJ.

"Begitu juga, TMJ adalah pewaris takhta Johor yang mempunyai kepimpinan yang karismatik, berani dan bijak berbicara akan hilang seri dan hilang hormat dari kalangan rakyat jika terus-terusan menentang secara terbuka Dr Mahathir seorang ketua kerajaan demokratik yang dipilih rakyat, apatah lagi beliau telah lanjut berusia," katanya lagi.

Hassan berkata selaku pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Hubungan Negeri-Negeri dan Persekutuan beliau mahukan jalinan baik hubungan antara pusat dan negeri supaya memudahkan menteri besar dan exco baru melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.

"Saya bersedia untuk memainkan peranan sebagai jambatan perhubungan ini.

"Sebagai anak Johor dan rakyat Malaysia saya berpendapat hubungan yang positif, jernih dan konstruktif antara Putrajaya dan pihak Istana Johor akan banyak membantu dalam membangunkan negeri Johor dan menyelesaikan banyak masalah rakyat di negeri paling selatan Semenanjung yang mempunyai banyak projek pembangunan berskala besar.

"Hubungan peribadi yang baik antara Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dengan TMJ dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskanda akan memudahkan kerajaan negeri Johor dengan menteri besar serta jemaah exco yang baru dilantik melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka kepada rakyat," jelasnya lagi.

Saturday, May 27, 2017

Kota Bharu sambut Ramadan lengkap dengan pokok kurma dan unta

FMT Reporters
May 27, 2017

Ia menyediakan pelbagai aktiviti sepanjang bulan puasa termasuk khidmat jagaan anak ketika solat tarawih.
PETALING JAYA: Penduduk Kota Bharu boleh menyambut bulan Ramadan dengan sedikit kelainan tahun ini, dengan pelbagai program di sebuah lokasi khas, lengkap dengan unta dan pokok kurma bagi memberikan pengunjung suasana tanah Arab.

“Madinah Ramadan” untuk solat tarawih dan pelbagai aktiviti lain dibuka setiap hari di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV Madinah, hasil perancangan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB).

Ia mampu menempatkan 6,000 pengunjung, dan selain solat tarawih, ia juga memuatkan program membaca Al Quran dengan menyasarkan pengkhataman.

“Setiap peserta akan membaca al-Quran secara beramai-ramai di bawah pimpinan qari yang dijemput sepanjang bulan Ramadan, satu hari satu juzuk,” kata jurucakap MPKB, Wan Mohamad Sharafi Wan Mustafa, dipetik laman berita PAS, Harakahdaily.

Majlis bacaan dan tafsir diadakan setiap hari dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang, dan peserta yang berjaya hadir dari awal sehingga khatam 30 juzuk akan diberi sijil.

Antara tarikan Madinah Ramadan termasuk hiasan berkonsepkan oasis dan Timur Tengah, termasuk padang pasir, pokok kurma dan seekor unta hidup.

Pusat yang mempunyai 270 sukarelawan bertugas sepanjang bulan itu juga menyediakan hidangan berbuka puasa setiap hari, sebahagiannya sumbangan Persatuan Hotel Kelantan.

Ia juga menyediakan khidmat jagaan anak kecil untuk ibu bapa sewaktu solat tarawih.

Sunday, April 16, 2017

Ikan naik harga menjelang Ramadan

By Wartawan MalaysiaGazette
KUALA LUMPUR – Meskipun ada sebulan lagi umat Islam akan menyambut bulan Ramadan namun sudah ada amaran kenaikan harga ikan.

Harga ikan-ikan besar dijangka naik antara 10 hingga 20 peratus sepanjang bulan itu berikutan permintaan yang tinggi.

Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan Telok Kemang, Aznam Ali berkata, antara ikan-ikan tersebut ialah ikan siakap, ikan jenahak, ikan merah dan ikan tenggiri serta udang dan sotong.

Katanya, kenaikan itu tidak dapat dielakkan kerana ia berlaku setiap kali musim perayaan.

“Kenaikan ini bermula dari nelayan, kemudian peraih dan peniaga. Kenaikan harga ini kerana semasa bulan Ramadan ikan-ikan ini menjadi pilihan.

“Ketika berpuasa, sudah menjadi trend masyarakat kita hendak makan sedap apabila berbuka,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi di sini.

Bagaimanapun, ikan-ikan bersaiz kecil seperti ikan pelaling, ikan mambong, ikan sardin, ikan selar, ikan kerisi tidak banyak berubah.

Harga sotong dan udang serta ketam turut diramal naik berdasarkan saiz.

Pada masa sekarang, katanya, harga sotong dipasarkan antara RM7 hingga RM15 sekilogram manakala udang pula RM20 hingga RM35 sekilogram serta ketam sekitar RM22 sekilogram.

Tambah beliau, daripada pihak persatuan memang sedaya upaya menangani kenaikan harga melampau namun nelayan juga semakin bijak apabila memilih untuk memasarkan ikan kepada peraih untuk mengaut keuntungan.
“Macam persatuan sendiri tidak boleh paksa mereka untuk menjual ikan kepada kami. Selalunya mana ada tawaran yang lebih baik, sudah tentu mereka memilihnya,” tambah Aznam.

Bagaimanapun, pengguna tidak boleh menunding jari kepada nelayan sebagai punca kenaikan harga ikan di pasaran memandangkan kehidupan nelayan tidak mewah jika terus menjual hasil tangkapan dengan murah.

“Harga jaring pun sudah naik kepada RM43 sekeping, itu pun bukan boleh bertahan lama. Belum lagi kos penyelenggaran bot yang turut meningkat, oleh itu, nelayan tidak boleh mengekalkan harga lima tahun dulu.

“Taraf kehidupan mereka statik, jadi jika harga ikan kekal murah maka kehidupan mereka bertambah sukar,” jelasnya.
Peniaga pasar borong, Mary Lyn (gambar) turut mengakui permintaan ikan-ikan besar mendapat permintaan baik pada bulan puasa berbanding ikan biasa.

“Macam ikan kerapu, ikan bawal, ikan merah, ikan senangin, ikan jenahak memang orang suka beli,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dalam keadaan kos sara hidup semakin meningkat, trend pembelian tidak serancak dua, tiga tahun dulu.

“Dulu customer (pembeli) datang tengok dan beli. Sekarang mereka akan dapatkan ikan yang sama tetapi harga yang lebih murah walaupun saiz ikan lebih kecil.

“Untuk menarik pembeli, saya selalunya akan beli ikan kerapu, ikan bawal, ikan merah, ikan senangin pelbagai saiz. Kalau jual ikan besar sahaja rugi sebab bukan semua customer mahu beli ikan mahal,” ujarnya.

MalaysiaGazette

Saturday, July 2, 2016

18 cedera rempuhan di Mekah

FMT Reporters

Semua mangsa yang cedera dirawat di tempat kejadian, kata pegawai kesihatan.
RIYADH: Seramai 18 orang cedera dalam insiden rempuhan berhampiran Masjidil Haram, pada malam Jumaat di Mekah, lapor akhbar Al-Riyadh.

Kejadian dilaporkan berlaku ketika umat Islam berkumpul beramai-ramai bagi mengerjakan ibadah pada 10 malam terakhir pada bulan Ramadan.

Akhbar itu melaporkan semua mangsa yang cedera dirawat di tempat kejadian, memetik kenyataan seorang pegawai kesihatan.

Sebelum ini, satu kejadian rempuhan di Mina pada 24 September tahun lalu mengakibatkan ratusan jemaah haji meninggal dunia.

Susulan kejadian itu, pihak keselamatan Arab Saudi mengetatkan lagi langkah keselamatan bagi mengelak kejadian sama berulang.

Bermula pada musim haji tahun ini, para jemaah dari Asia Tenggara termasuk Malaysia akan dibekalkan gelang tangan keselamatan elektronik dengan kod bar bagi memudahkan pengecaman identiti.

Monday, June 6, 2016

Semoga ibadah puasa diterima Allah : Najib

June 6, 2016
Berita Utama
KUALA LUMPUR, Isnin – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berharap agar ibadah puasa umat Islam sepanjang Ramadan tahun ini diterima Allah SWT.

“Alhamdulillah, hari pertama kita berpuasa tahun ini. Moga ibadah puasa kita sepanjang Ramadan ini diterima Allah SWT, Insya-Allah,” kata perdana menteri di laman Twitter dan Facebooknya malam ini.

Dalam status dan tweetnya itu, Najib juga memasukkan kelebihan berpuasa Ramadan dengan memetik hadith berbunyi:

“Barangsiapa berpuasa pada bulan Ramadan atas dasar iman dan mengharap pahala Allah SWT, nescaya diampuni dosanya yang telah lalu. – Sabda Rasulullah SAW dalam Hadith Riwayat Bukhari.”

Umat Islam di Malaysia menjalani ibadah puasa sempena 1 Ramadan hari ini. 

– Bernama

Friday, June 26, 2015

PAS menuju suram di saat rakyat menunggu 'bulan baru'


oleh Lokman Mustafa

KOMEN: Bulan Ramadan tahun ini, seperti mana di tahun-tahun lalu, memang ditunggu-tunggu.

Sejak Rabu minggu lepas, masjid-masjid di seluruh negara penuh sesak menjelang waktu solat Isya’ kerana ramai yang berhasrat menunaikan solat Tarawih selepasnya.

Di Shah Alam, saya saksikan para jemaah melimpah sehingga ke luar masjid serta surau.

Baik yang tua, muda, berkereta mewah, berskuter, samada berjubah, berkurta, berbaju melayu dan berkemeja, semuanya ada.

Ramadan ternyata bulan gemilang buat umat Islam.

Tetapi tidak seperti tahun yang sudah-sudah, bulan mengambang yang menjadi lambang Pas kelihatan sedikit suram.

Pihak progresif dan ulama yang menjadi ahlinya kini kian renggang.

Hari ini, timbul pula berita Kumpulan 18 yang terdiri daripada golongan progresif yang disingkirkan sedang menyusun kembali halatuju perjuangan mereka.

Sebuah parti baru bakal bermula?

Begitulah tajuk yang terpampang di portal-portal berita.

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad memberi gambaran sekiranya pembentukan parti baru itu berlaku, ia didorong soal perjuangan.

“Jika Pas pada hari ini bersifat keras, tak mampu berkawan dan bekerjasama dengan pihak lain seperti diharuskan syariat Islam maka parti baru perlu dibentuk,” katanya.

Phahrolrazi

Presiden PasMA yang juga ahli Pas, Phahrolrazi Zawawi pula berkata, sebuah parti baru ― yang bakal bertanding di kawasan yang ditandingi Pas dalam pilihanraya akan datang ― akan menggantikan parti Islam itu kerana Pakatan Rakyat (PR) sudah tidak lagi wujud.

Phahrolrazi juga yakin bahawa Pas tidak akan mampu meraih kejayaan besar jika bergerak sendirian, sekaligus menjadikannya parti yang lebih kecil berbanding BN dan “Pakatan Baru”.

Mungkinkah Pas kini di hari-hari terakhirnya di dalam gabungan pembangkang yang dibentuknya bersama PKR dan DAP suatu masa dahulu?

Ke mana haluannya selepas ini? Adakah gerhana bakal melanda?

Saya kira Pas tentunya akan kekal utuh di Kelantan dan Terengganu, tetapi melihat kepada gambaran yang lebih besar, parti itu bakal menghadapi kesukaran di negeri-negeri Pantai Barat Semenanjung.

Bayangkan Pas bertanding tanpa nama-nama yang telah sinonim dengannya sejak 1980an dan 1990an termasuk Salahuddin Ayub, Nizar Jamaluddin, Mat Sabu, Mujahid Yusuf Rawa, Dzulkefly Ahmad, Suhaizan Kaiat dan ramai lagi.

Sukar bukan?

Namun, segelintir ahli berpandangan pemimpin-pemimpin dari golongan ulama mampu mengambil alih tempat mereka.

Maksudnya apa? Zaharuddin Ahmad bertanding di Shah Alam? Khalil Abdul Hadi di Sepang?

Dan siapa pula lawan mereka kelak? Khalid Samad? Hanipa Maidin?

Presiden Pas Abdul Hadi Awang bagaimanapun berkata, ahli Pas dan pemimpin yang memilih untuk menyertai parti baru yang kononnya bakal ditubuhkan akan ‘tenggelam’ bersama-sama dengan organisasi itu.

“Sesiapa yang mengikuti perjalanan bersama atau membaca sejarah PAS, akan menyaksikan gelombang dan liku perjuangan dan hilangnya pemimpin paling tinggi, ahli biasa atau penyokong secara sendirian atau tenggelam bersama parti dan pertubuhan yang dijadikan bahteranya.

“Adapun perkara yang akan datang berada dalam ilmu Allah dan kita diwajibkan mengambil iktibar serta sentiasa berilmu, berdoa dan bertawakkal kepada Allah,” kata Abdul Hadi menerusi satu surat terbuka.

Mungkin ada benarnya, sekiranya kita melihat contoh Berjasa dan Hamim yang ditubuh bekas pemimpin Pas sedikit masa lalu namun akhirnya terkubur.

Namun itu berlaku sebelum kehadiran teknologi maklumat dan laman media sosial yang mampu membantu sesebuah parti politik baru mempromosi kehadiran sambil menarik lebih ramai ahli.

Apa-apapun, sekiranya benar anak bulan progresif bakal menjelma tak lama lagi, saya ucapkan selamat berjaya buat kedua-dua kumpulan ulama serta bukan ulama.

Salam sejahtera buat kalian semua.

- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/PAS-menuju-suram-di-saat-rakyat-menunggu-bulan-baru#sthash.O9wrvXJF.dpuf

Wednesday, June 18, 2014

MPKB-BRI edar 1000 bungkus juadah buka puasa sehari

RIZAL TAHIR | 18 Jun 2014.
Abdul Fattah dan para pegawai MPKB-BRI bersama van yang bakal digunakan bagi mengedar juadah berbuka puasa.

KOTA BHARU: Kerajaan negeri melalui Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) akan menyediakan 1000 bungkus juadah berbuka puasa pada setiap hari di bulan Ramadan tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, bungkusan makanan ini akan diedarkan di kawasan tumpuan orang ramai yang tidak berkesempatan pulang ke rumah untuk berbuka puasa.

“Kawasan yang telah dikenal pasti adalah seperti perhentian bas, pusat membeli belah dan masjid-masjid terpilih.

“Makanan ini akan diedarkan oleh sukarelawan yang akan bergerak di sekitar Kota Bharu ketika hampir waktu berbuka puasa,” katanya.

Kos menyediakan juadah berbuka puasa ini, ujar beliau adalah hasil sumbangan orang ramai.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-