Showing posts with label UMANY. Show all posts
Showing posts with label UMANY. Show all posts

Friday, November 13, 2020

Permohonan maaf UMANY ibarat ‘madu bersalut racun’ – Kamarul

By Manzaidi Mohd Amin
- 13 November 2020
Dr Kamarul Zaman Yusof

KUALA LUMPUR – Motif Persatuan Belia Baharu Universiti Malaysia (UMANY) memohon maaf kepada Yang di-Pertuan Agong lebih kepada untuk mengelak dari dikenakan tindakan undang-undang, kata penganalisis politik, Dr. Kamarul Zaman Yusoff.

Katanya, mengemukakan permohonan maaf termasuk menarik balik kenyataan bersifat menghina institusi raja itu umpama ‘madu bersalut racun’ yang tidak mempunyai unsur keikhlasan.

“Akhirnya UMANY menarik balik kenyataannya yang mendesak Yang di-Pertuan Agong tidak campur tangan dalam urusan negara.

“Penarikan balik kenyataan ini dan mengemukakan permohonan maaf ke atasnya, dibuat selepas UMANY merujuk kepada “nasihat daripada ahli-ahli pakar perlembagaan”.

“Jelas bahawa, berpandukan “nasihat daripada ahli-ahli pakar perlembagaan” ini, UMANY mengakui ia telah melakukan kesalahan di sudut undang-undang,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

UMANY semalam, memohon maaf kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan rakyat Malaysia atas kenyataan bertajuk ‘YDPA Should Not Interfere In National Affairs’ (Yang di-Pertuan Agong tidak sepatutnya campur tangan dalam hal ehwal negara).

Persatuan itu dalam satu hantaran di Facebook, turut memaklumkan mereka menarik balik kenyataan tersebut yang dipaparkan di halaman Facebook bahasa Cina dan bahasa Inggeris UMANY pada 30 Oktober lalu.

Kata UMANY, keputusan itu dibuat selepas merujuk nasihat daripada ahli pakar perlembagaan.

Mengulas lanjut, Kamarul Zaman menyifatkan persatuan itu tidak ikhlas kerana percaya permohonan maaf itu dibuat atas kekurangan pemahaman mereka terhadap perlembagaan.

Katanya, UMANY seharusnya menyatakan komitmen untuk mempelajari perlembagaan dan mengelakkan diri dari membuat sebarang komen mengenai perlembagaan sehingga mereka benar-benar faham, tetapi malangnya mereka tidak lakukan.

“Permohonan maaf ini hanyalah pengakuan mengenai perlakuan salah, sedangkan UMANY seharusnya menyatakan kekesalan atas perlakuan salah ini dan bersedia bersedia menerima apa-apa hukuman ke atasnya.

“Atau paling tidak pun, membuat rayuan supaya hukuman ke atas mereka dapat diringankan atas faktor tertentu, tetapi malangnya mereka tidak lakukan.

“Begitu juga permohonan maaf ini seharusnya dibuat dengan seikhlas hati tanpa mengenakan apa-apa syarat mahupun tuntutan kepada pihak yang mereka mohon maaf, tetapi ini malangnya tidak mereka lakukan kerana dalam pada memohon maaf, UMANY juga menuntut polis menghentikan segala siasatan terhadap ahli mereka, di samping menuntut kerajaan memansuhkan Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia yang mereka anggap sebagai undang-undang zalim,” katanya.

Kata Kamarul Zaman, meneliti permohonan maaf UMANY itu, nyata ia sepatutnya tidak dilayan kerana tidak lebih daripada tindakan terdesak pihak yang sedang tersepit sahaja.

Jelas beliau, tidakkah bermata dua namanya apabila mendakwa menghormati institusi raja, tetapi pada masa sama menuntut akta-akta yang digubal oleh kerajaan bagi memastikan Yang di-Pertuan Agong dihormati itu dimansuhkan?

“Mengakui tidak faham perlembagaan itu adalah satu perkara yang bagus, tetapi ia bukanlah satu alasan yang membolehkan tindakan tidak diambil ke atas pencabulan perlembagaan.

“Hukuman berat wajar dikenakan ke atas UMANY bagi memberi pengajaran kepada mereka dan pihak yang sealiran dengannya mengenai kepentingan memahami dan mendaulatkan perlembagaan,” katanya. 

MalaysiaGazette

Thursday, November 12, 2020

UMANY mohon ampun daripada Agong, tuntut polis henti segala siasatan

By Wartawan MalaysiaGazette
- 12 November 2020

Presiden Persatuan New Youth Universiti Malaya (UMANY), Yap Wen Qing di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.
 foto SYAFIQ AMBAK, 09 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Persatuan Belia Baharu University Malaya (UMANY) menzahirkan permohonan ampun dan maaf daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kerana mempertikaikan kuasa baginda.

UMANY dalam kenyataannya berkata, mereka mematuhi sistem raja berpelembagaan di Malaysia serta menghormati peranan Yang di-Pertuan Agong dalam Perlembagaan negara.

Katanya, UMANY juga menarik balik kenyataan bertajuk “YDPA Should Not Interfere in National Affairs” yang dipaparkan di halaman Facebook bahasa Cina dan bahasa Inggeris UMANY pada 30 Oktober 2020.

Tindakan itu, katanya, dibuat selepas merujuk kepada pakar-pakar Perlembagaan.

“Selain menzahirkan maaf kepada masyarakat, pihak UMANY ingin secara khususnya mengemukakan permohonan maaf dan memohon ampun Tuanku atas kekurangan pemahaman kami terhadap Perlembagaan,” kata UMANY.

Menurut UMANY, kenyataan 30 Oktober lalu adalah untuk perbincangan akademik dan tidak berniat menghasut sambil mendakwa Akta Hasutan serta Akta Komunikasi dan Multimedia juga merupakan undang-undang zalim yang menindas kebebasan bersuara rakyat.

Dalam kenyataan itu, UMANY juga menuntut pihak polis menghentikan segala siasatan yang dijalankan di bawah akta-akta tersebut terhadap ahli-ahli UMANY.

Persatuan itu juga menggesa kerajaan agar memansuhkan undang-undang zalim yang didakwa menyekat kebebasan bersuara.

“Pihak UMANY juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan dan solidariti kepada pihak kami semasa dipanggil oleh pihak polis untuk memberi kenyataan.

“Pihak UMANY akan meneruskan usaha pihak kami dalam memupuk dan mempertahankan kebebasan demokrasi di Malaysia bersama dengan masyarakat sivik demi Malaysia yang lebih baik,” katanya.

Artikel berkaitan: TERKINI : 70 Laporan Polis Dibuat Terhadap UMANY Dibawah Akta Hasutan – Wan Guan Hui
TERKINI : UMANY Dakwa Polis Salah Guna Kuasa – Yap Weng Qin
Halang tugas polis, bekas Presiden UMANY ditahan

Presiden UMANY, Yap Wei Qin sebelum ini mendakwa pihak polis telah menyalahguna kuasa apabila melakukan siasatan terhadap enam ahli jawatan kuasa persatuan tersebut dan menganggap keterangan yang diberi oleh beliau dan naib presidennya 5 November telah memadai.

Selain itu, bekas presiden UMANY juga ditahan polis kerana mengganggu siasatan apabila bertindak membuat rakaman video kehadiran polis ke kediaman mereka.

Terdapat 70 laporan polis dibuat terhadap hantaran UMANY di laman Facebook yang disifatkan sebagai menghina Yang di-Pertuan Agong.

Saturday, November 7, 2020

Polis tahan bekas presiden persatuan pelajar UM, Umany

malaysiakini.com
Dikemaskini Hari ini 9:31 pm

Polis hari ini menahan bekas pemimpin siswa Universiti Malaya ketika melakukan penyiasatan dan penggeledahan di sebuah rumah.

Bekas presiden Persatuan Pemuda baru Universiti Malaya (Umany) Wong Yan Ke (gambar judul, atas) ditahan selepas polis hadir dan mahu memeriksa kediaman seorang lagi pemimpin siswa Yap Weng Qin di Petaling Jaya.

Yap pada awalnya enggan membenarkan polis masuk tanpa waran geledah.

Wong kemudian merakam siaran langsung Facebook berhubung komunikasinya dengan seorang pegawai polis. Kata Wong, rakaman itu dibuat bagi tujuan keterangan di mahkamah.

Beberapa lelaki berpakaian biasa, dipercayai anggota polis kemudian memintan Wong berhenti merakam selepas siaran langsung Facebook itu berakhir tiba-tiba.

Difahamkan, Wong ditangkap dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk disoal-siasat.

Peguam Chong Kar Yan yang berada di tempat kejadian berkata penangkapan itu kerana merakam video pegawai polis berkenaan.

Susulan penahanan Wong, atas nasihat peguam Yap membenarkan polis melakukan penggeledahan di rumahnya.

Sementara itu, ketua unit pendidikan politik Umany, Liau Pin Chun berkata polis merampas komputer riba dan telefon bimbitnya.

Polis kini sedang menyiasat Yap yang juga presiden Umany sekarang dan naib presiden kumpulan pelajar, Tan Li Yuan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia.

Pada 30 Okt, Umany menyiarkan satu kenyataan sebagai respons terhadap keputusan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang menolak cadangan perdana menteri untuk mengistiharkan darurat.

Seri Paduka juga menasihati semua anggota Parlimen untuk menyokong Belanjawan 2021 yang dibentangkan di Dewan Rakyat.

Kumpulan itu berpendapat Agong "tidak boleh campur tangan dalam urusan negara; tetapi harus mengekalkan sikap berkecuali dan memainkan peranannya dalam kerangka yang dibenarkan oleh perlembagaan ”.

Mereka berpendapat di bawah Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan, Agong harus bertindak sesuai dengan nasihat kabinet kecuali dalam tiga perkara: pelantikan perdana menteri, menolak permintaan untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan pertemuan dengan Raja-raja Melayu.

[Baca berita asal]

Friday, November 6, 2020

Presiden UMANY disiasat di bawah Akta Hasutan

mykmu.net
November 6, 2020


KAJANG – Polis menjalankan siasatan terhadap Presiden Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY), Yap Wen Qing mengikut Akta Hasutan berhubung kenyataan kontroversi mengenai peranan Yang di-Pertuan Agong.

Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, Wen Qing telah dipanggil untuk memberi keterangan bersabit siasatan yang diklasifikasikan di bawah Akta Hasutan 1948 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kes masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Semalam, Wen Aung bersama Naib Presiden, Tan Li Yuan telah disoal siasat selama dua jam setengah di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.

Mereka hadir di IPD Kajang kira-kira jam 2 petang bersama dua peguam, Rajsurian Pillai dan Wan Guai Hui sebelum keluar sekitar jam 4.45 petang.

Rajsurian berkata, pegawai penyiasat polis mengambil keterangan kedua-dua anak guamnya dengan penuh profesional serta teratur.

“Kedua-dua anak guam menerima panggilan dua tiga hari lepas supaya hadir ke IPD Kajang untuk membantu siasatan kes ini.

“Pada awalnya ia disiasat di bawah Seksyen 5050 Kanun Keseksaan sebelum ditukar kepada Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan,” katanya.

Sunday, November 1, 2020

UMANY persoal kuasa Agong: WIBAWA lapor polis

ismaweb.net
Ada unsur hasutan, fitnah selain beri fakta salah pada masyarakat


BANGI, 15 Rabiulawal 1442H, Ahad – Kelab Mahasiswa BERJASA (WIBAWA) membuat laporan polis berhubung kenyataan University of Malaya Association of New Youth (UMANY) yang mempersoal campur tangan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dalam urusan pentadbiran negara.

Laporan polis berkenaan dibuat oleh wakil WIBAWA, Muntasir Aznan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang pada Jumaat lalu.

Dalam satu kenyataan, Muntasir mendakwa, UMANY telah menghina dan merendahkan kedudukan Yang di-Pertuan Agong dan Parlimen Malaysia berkaitan keputusan Baginda menolak pengisytiharan darurat pada 25 Oktober 2020.

Katanya, kenyataan UMANY terdapat unsur hasutan, fitnah selain memberi fakta salah kepada masyarakat.

“… ia bagi menentang kedudukan Seri Paduka Baginda atas kuasa Baginda bagi menentukan kestabilan politik dan ketenteraman negara.

“Justeru, kami mohon pihak polis menjalankan siasatan terhadap UMANY dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keharmonian seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, UMANY mendakwa, Malaysia telah meneruskan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan sejak penubuhannya.

Kata pertubuhan itu, di bawah sistem ini, walaupun Malaysia mengekalkan sistem monarki, raja hanya mempunyai status simbolik yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Artikel 40, perenggan 1A Perlembagaan, Ketua Tertinggi Persekutuan harus bertindak sesuai dengan nasihat yang dibuat oleh Kabinet.

Sama ada melantik Ketua Hakim, duta diplomatik bahkan meluluskan berbagai undang-undang di Parlimen, raja tidak mempunyai wewenang, kata UMANY.

Pertubuhan itu menyatakan pendiriannya iaitu YDPA tidak boleh mencampuri urusan negara tetapi perlu sentiasa menjaga sikap berkecuali dan memainkan peranannya dalam kerangka yang dibenarkan oleh Perlembagaan.

Bagaimanapun, hantaran UMANY di Facebook telah dipadamkan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Saturday, October 31, 2020

UMANY jangan cuba kejutkan harimau sedang tidur!: WIBAWA

Siti Hafidah
ismaweb.net

Keluar dari negara ini jika tak mahu faham Perlembagaan


BANGI, 14 Rabiulawal 1442H, Sabtu – Perbuatan biadab University of Malaya Association of New Youth (UMANY) sepertinya mahu mengejutkan harimau yang sedang tidur.

Demikian amaran dilemparkan Kelab Mahasiswa BERJASA (WIBAWA) susulan pertubuhan dipercayai pro-DAP itu mempersoalkan campur tangan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dalam urusan pentadbiran negara.

WIBAWA menegaskan, orang Melayu merupakan bangsa yang begitu bertolak ansur dengan mana-mana kaum atau agama di negara ini, namun jangan sesekali cuba mengkhianati kebaikan itu.

Oleh yang demikian, secara sinis WIBAWA meminta UMANY keluar dari negara ini jika tidak mahu memahami Perlembagaan Malaysia.

Jelasnya, ini kerana tindakan UMANY yang tanpa usul periksa mempertikai kuasa miliki seorang raja sebagai memalukan dan mengecewakan.

“Pemahaman yang cetek tentang Perlembagaan dan takrifan yang salah telah memburukkan imej mahasiswa. Jangan kejutkan harimau yang sedang tidur, kami bangsa yang sangat bertolak ansur dengan kaum dan agama lain.

“Jika tidak mahu menerima Perlembagaan ini, sila keluar wahai tetamu,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Pada masa sama, WIBAWA turut mengingatkan UMANY untuk tidak menunjukkan ‘kebijaksanaan’ jika perkara berkaitan pentadbiran dan Perlembagaan disalah erti demi kerakusan nafsu si tamak haloba.

“Proksi politik yang menjatuhkan imej mahasiswa dan mengetengahkan maksud politik yang salah.

“Oleh itu, sudah tiba masanya kita menghalau semua yang tidak mahu memahami Perlembagaan Malaysia yang telah tertakluk sekian lama. Jika tak suka, silakan keluar wahai ‘tetamu’, tiada siapa yang menghalang,” katanya.

Sebelum ini, UMANY berkata, Malaysia telah meneruskan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan sejak penubuhannya.

Kata pertubuhan itu, di bawah sistem ini, walaupun Malaysia mengekalkan sistem monarki, raja hanya mempunyai status simbolik yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Artikel 40, perenggan 1A Perlembagaan, Ketua Tertinggi Persekutuan harus bertindak sesuai dengan nasihat yang dibuat oleh Kabinet.

Sama ada melantik Ketua Hakim, duta diplomatik bahkan meluluskan berbagai undang-undang di Parlimen, raja tidak mempunyai wewenang, kata UMANY.

Pertubuhan itu menyatakan pendiriannya iaitu YDPA tidak boleh mencampuri urusan negara tetapi perlu sentiasa menjaga sikap berkecuali dan memainkan peranannya dalam kerangka yang dibenarkan oleh Perlembagaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

UMANY biadap persoal kuasa YDPA – Kamarul Zaman

By Wartawan MalaysiaGazette
- 31 October 2020

Dr Kamarul Zaman Yusof

KUALA LUMPUR – Kenyataan University of Malaya Association of New Youth (UMANY) yang mendesak Yang Dipertuan Agong (YDPA) supaya tidak campur tangan dalam urusan negara semalam mendapat kritikan hebat.

Majoriti netizen mengutuk UMANY kerana cuba mempersoalkan institusi raja di negara ini.

Bagaimanapun hari ini hantaran UMANY di Facebook itu telah dipadamkan.

Penganalisis politik Dr. Kamarul Zaman Yusoff menyifatkan pertubuhan pelajar Cina di UM itu sebagai biadap.

Sebelum ini, katanya, UMANY didakwa menjuarai desakan supaya Naib Canselor UM, Datuk Ir. Abdul Rahim Hashim, meletakkan jawatan kerana terlibat dengan Kongres Maruah Melayu.

“Kini ia secara terbuka pula mendesak YDPA supaya jangan campur tangan dalam urusan-urusan negara.

“Bagaimana YDPA boleh tidak campur tangan dalam urusan-urusan negara bila menjadi kewajipan dan sumpah baginda untuk “menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia”?” soalnya dalam satu kenyataan awal pagi tadi.

Soal Kamarul Zaman, bagaimana YDPA tidak campur tangan dalam urusan-urusan negara bila Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa kuasa eksekutif Persekutuan hendaklah terletak hak pada YDPA?

“Bagaimana YDPA boleh tidak campur tangan dalam urusan-urusan negara bila Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa ‘kuasa perundangan Persekutuan hendaklah terletak hak pada Parlimen yang hendaklah terdiri daripada YDPA dan dua Majlis Parlimen?” soalnya lagi.

- MalaysiaGazette

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-