Showing posts with label berbuka puasa. Show all posts
Showing posts with label berbuka puasa. Show all posts

Sunday, April 3, 2022

Johor benar buka puasa di surau, masjid

freemalaysiatoday.com
Bernama
-April 3, 2022 1:38 PM

Sekiranya terdapat lebih 50 jemaah, pihak pengurusan masjid dan surau perlu menyediakan makanan secara berbungkus kepada yang hadir.
BATU PAHAT: Bagi mengimarahkan lagi kehadiran bulan Ramadan di Johor, kerajaan negeri membenarkan jamuan berbuka puasa, diadakan di surau dan masjid.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid bagaimanapun berkata, hanya 50 orang sahaja dibenarkan.

Katanya sekiranya terdapat lebih daripada 50 orang jemaah, pihak pengurusan masjid dan surau perlulah menyediakan makanan secara berbungkus kepada yang hadir.

“Kita nak maklumkan prosedur operasi standard (SOP) untuk berbuka puasa. Setiap masjid boleh buat berbuka puasa, melainkan lebih 50 orang, mesti berbungkus. Kalau berbuka puasa tidak ramai dalam 20 orang, dibenarkan berhidang.

“Lain-lain SOP untuk aktiviti di masjid dan surau adalah sama seperti sebelum ini, hanya berbuka sahaja kita longgarkan. Solat berjemaah dengan sejadah dirapatkan dan kapasiti jemaah mengikut keluasan masjid,” katanya kepada Bernama selepas menunaikan solat sunat Tarawih, di Masjid Parit Besar Semerah, malam tadi.

Jelas Fared lagi, aktiviti masak-memasak di surau dan masjid masih tidak lagi dibenarkan termasuklah memasak bubur lambuk yang menjadi tradisi sebelum ini yang kebanyakannya dilakukan di masjid.

“Edaran dan penyampaian bubur lambuk berkenaan dibenarkan diadakan di masjid dan surau, namun hanya memasaknya sahaja tidak dibenarkan serta perlu dilaksanakan di tempat yang lain,” katanya.

Ribuan jemaah berbuka puasa di Masjidil Haram

April 3, 2022 @ 9:22am


Suasana berbuka puasa di Masjidil Haram selepas dua tahun aktiviti itu dilarang akibat pandemik COVID-19. - Foto Google

RIYADH: Ribuan jemaah duduk dalam barisan panjang di Masjidil Haram sambil menunggu azan Maghrib untuk berbuka puasa pada hari pertama berpuasa semalam.

Jamuan berbuka puasa turut diperluaskan di dalam Masjidil Haram iaitu di tempat-tempat yang ditetapkan, sekali gus menyaksikan interaksi pelbagai budaya dan bangsa ketika berbuka puasa, lapor Arab News.

Sukarelawan yang dilantik badan-badan rasmi dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga mengagihkan juadah berbuka puasa di perkarangan masjid itu selepas dua tahun aktiviti itu dilarang akibat COVID-19
Suasana berbuka puasa di Masjidil Haram selepas dua tahun aktiviti itu dilarang akibat pandemik COVID-19. - Foto Google

Pemegang Dua Masjid Suci turut memberikan lebih daripada 2,000 permit untuk menyediakan juadah berbuka puasa khusus yang disediakan dan diedarkan di bawah garis panduan COVID-19.

Selain itu, mereka juga melarang penggunaan cawan plastik untuk minuman panas dan pengedarannya di koridor dan di pintu masuk masjid.
Suasana berbuka puasa di Masjidil Haram selepas dua tahun aktiviti itu dilarang akibat pandemik COVID-19. - Foto Google
Sejumlah jemaah memuji aktiviti berbuka puasa ini selepas hampir dua tahun tidak dapat melaksanakannya. 
- AGENSI

Monday, May 27, 2019

Anwar mohon maaf program Ramadan ala pesta


Presiden PKR Anwar Ibrahim memohon maaf berhubung program berbuka puasa anjuran Pemuda PKR yang bersifat pesta.

"Kita terima sedikit bantahan dan kekesalan satu program dianjurkan oleh Pemuda PKR menyambut Ramadan iftar malam tadi dengan acara pesta-pestaan, lagu dan bunga api.

"Saya minta maaf ke atas keterlanjuran ini," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat majlis pimpinan pusat PKR hari ini yang turut disiarkan di Facebook.

Anwar bagaimanapun tidak memperincikan program yang dimaksudkan.

"Saya memberi teguran keras kepada Pemuda PKR supaya menghormati bulan Ramadan dan tidak menjalankan kegiatan yang menyimpang dari tradisi budaya Islam.

"Ketua Pemuda PKR menjelaskan program ini diselenggarakan oleh timbalan beliau dan saya minta Pemuda PKR supaya memperbaiki kelemahan ini," tambahnya.

Dalam isu berasingan, Anwar berkata PKR sedang menunggu hasil siasatan polis sebelum mengambil tindakan berhubung dakwaan gangguan seksual melibatkan Ahli Parlimen Sungai Siput S Kesavan.

Jelas Anwar, dalam mesyuarat hari ini, PKR juga memutuskan agar pimpinan pusat dan biro politik ditugaskan untuk menguruskan jentera kempen parti seluruh negara.

Bagi Sarawak, kata Anwar, jentera kempen PKR akan diterajui Menteri Kerja Raya Baru Bian yang akan dibantu pemimpin PKR lain iaitu Ali Biju, Saifuddin Nasution, Tian Chua dan Xavier Jayakumar.

"Mereka akan memulakan tugas secepat mungkin untuk merangka strategi mengadakan rundingan dengan parti-parti komponen dan mempersiapkan satu jentera yang boleh berikan satu landasan yang cukup berkesan untuk menghadapi pilihan raya negeri Sarawak," katanya.

Anwar berkata, pimpinan PKR juga hari ini membincangkan tentang kebimbangan konflik AS dan Iran yang menyaksikan pembinaan aset tentera.

"PKR membantah sekeras-kerasnya provokasi AS dan menggesa institusi antarabangsa terutamanya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mengadakan mesyuarat tergempar bagi meredakan ketegangan yang boleh menyebabkan tercetusnya perang.

"PKR juga menggesa kerajaan Malaysia untuk membuat pendirian lebih tegas terhadap provokasi dan ancaman perang AS," katanya.

Anwar menambah bahawa PKR berharap Organisasi Negara Islam (OIC) yang akan bermesyuarat di Makkah pada 31 Mei turut mengambil pendirian serupa.

Friday, May 17, 2019

Kesilapan ketika berbuka puasa

FMT Reporters
-May 17, 2019 7:30 AM

Setelah seharian penat berpuasa, menahan lapar dahaga, pastinya waktu berbuka waktu yang paling dinantikan.

Dengan pelbagai juadah terhidang, sudah tentu ia akan menaikkan selera.

Namun, dalam keseronokan untuk berbuka puasa dan menjamu selera, terdapat beberapa kesilapan ketika berbuka puasa yang sering dilakukan tanpa sedar, yang akhirnya akan membawa mudarat kecil.

Apakah antara kesilapan yang sering dilakukan ketika berbuka?

Kesilapan ketika berbuka puasa

1. Makan secara gelojoh

Tidak dinafikan, ketika perut kosong dan anda berasa lapar, keinginan untuk makan pastinya membuak-buak.

Tetapi, harus berhati-hati. Makan secara gelojoh sangat tidak baik untuk perut anda menjadi kembung dan tidak selesa.

Terdapat kajian mengatakan, makan secara cepat boleh meningkatkan risiko untuk mendapat penyakit gastroesophageal reflux (GERD) atau refluks asid perut.

2. Minum air sejuk

Sememangnya apabila berpuasa pada cuaca yang panas, keinginan untuk minum minuman yang sejuk sangat tinggi.

Apatah lagi jika ianya air manis dan berperisa. Namun, kebiasaan ini tidak baik untuk sistem pencernaan.

Ini kerana keadaan perut anda untuk seharian kosong tanpa makanan mahupun minuman.

Sebaliknya, memilih untuk meminum air suam kosong untuk berbuka puasa yang terbaik sebelum anda mengambil sebarang minuman manis dan sejuk.

3. Makanan manis

Sewaktu berpuasa, tahap gula dalam darah berada pada tahap yang rendah, memandangkan anda tidak mengambil sebarang makanan atau minuman, yang akhirnya membuatkan badan terasa lemah.

Tetapi sewaktu berbuka, dengan pengambilan pelbagai makanan dan minuman, menjadikan tahap gula dalam darah meningkat secara mendadak.

Tetapi untuk kesihatan badan, anda dinasihatkan untuk tidak mengambil makanan atau minuman manis dalam jumlah yang tinggi untuk mengelakkan kejutan kepada badan.

Makan dan minumlah secara bijak untuk memberikan peluang kepada tahap gula dalam darah untuk meningkat secara perlahan-lahan.

4. Makanan bergoreng

Pelbagai jenis makanan bergoreng sering menjadi pilihan ketika berbuka puasa.

Tetapi kandungan minyak dalam makanan bergoreng tidak baik bagi sistem pencernaan.

Pengambilan makanan bergoreng sewaktu perut masih kosong meningkatkan risiko untuk perut menjadi kejang dan kembung, yang akhirnya menyukarkan sistem pencernaan untuk menghadam makanan tersebut.

5. Makan nasi

Nasi mungkin merupakan antara pilihan bagi kebanyakan individu ketika berbuka puasa.

Ini mungkin ia sudah menjadi kebiasaan.

Tetapi, pemilihan ini sebenarnya tidak begitu baik untuk sistem pencernaan.

Seharian berpuasa, keadaan perut kosong dan memakan makanan berat seperti nasi membuatkan ia terpaksa berkerja keras.

Ini boleh menyebabkan perut menjadi kembung, terasa pedih dan anda mungkin berasa mual.

Sebaiknya, anda mungkin boleh memakan nasi atau sebarang makanan berat lain selepas 30 minit sehingga satu jam selepas berbuka puasa.

Namun, seandainya anda tidak boleh dengan waktu tersebut, paling tidak, memadailah untuk anda menunggu sehingga selepas anda bersolat maghrib.

6. Makanan pedas

Bagi penggemar makanan pedas, pastinya anda tidak dapat menolak keinginan untuk memilih makanan pedas sewaktu berbuka.

Bagaimanapun, keinginan anda itu kurang baik untuk perut anda.

Pengambilan makanan pedas ketika berbuka puasa, pada waktu perut kosong, boleh mengakibatkan rasa tidak selesa pada perut dan berisiko untuk menyebabkan sakit perut atau cirit birit.

7. Kekenyangan

Kelaparan lawannya kekenyangan. Ada yang mengatakan, waktu berbuka saat di mana anda boleh membalas dendam setelah seharian tidak makan mahupun minum.

Berpuasa untuk selama hampir 12 jam atau lebih bagi sesetengah tempat, menyebabkan waktu berbuka waktu untuk makan sepuas-puasnya sehingga kekenyangan.

Hakikatnya, tabiat ini tidak baik untuk badan.

Ia boleh mengakibatkan kejutan kepada perut dan sistem pencernaan yang boleh menyebabkan perut kembung dan tidak selesa.

Malahan, dengan perut yang kekenyangan itu juga boleh menyebabkan anda malas untuk bersolat.

Kesimpulannya, walaupun seharian kita menahan lapar dan dahaga, tidak makan dan minum, lebih baik untuk kita memilih untuk bersederhana dan ala kadar dalam berbuka.

Bukanlah tujuan kita berpuasa untuk mengajar kita erti sabar.

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Kumpulan Hello Health tidak menyediakan nasihat, diagnosis atau rawatan perubatan.

Tuesday, June 6, 2017

Mufti berbuka puasa semeja dengan paderi


Ketika sesetengah pihak dilihat bersikap keras melampau dan menolak kehadiran orang bukan Islam berbuka puasa bersama, Mufti Wilayah Persekutuan hadir di majlis seumpama itu di Shah Alam semalam.

Malah majlis itu mempertemukan orang Islam dengan paderi Kristian.

Untuk menunjukkan rasa berbesar hati seronok dan terujanya, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut membawa bersama isteri dan anak beliau.

"Biasanya saya jarang bawa mereka," katanya semasa menyampaikan ucapan ringkas di majlis berkenaan semalam.

Klip ucapan Zulkifli dimuat naik di akaun Facebook.
Dalam ucapannya beliau menyatakan Allah mencipta manusia dengan pelbagai latar supaya mereka saling kenal mengenali.

Bagaimanapun perbezaan itu akan mendatangkan masalah jika tidak ditangani dengan betul.

"Mengapa sesuatu bencana berlaku? Ia berlaku sebab kita tidak dapat mengurus salah faham, tidak dapat menguruskannya dengan cara sebenar hingga akhirnya cross of line berlaku," katanya.

Dianggarkan lebih 100 orang menghadiri majlis di sebuah hotel itu.

Zulkifli turut membuat jemputan terbuka kepada hadirin untuk melawat pejabatnya di Putrajaya.

Sementara itu Presiden Global Unity Network (Unity), Shah Kirit Kakulal Govindji, berkata program seumpama itu adalah yang ketiga dianjurkan mereka setakat ini.

Tokoh Maulidur Rasul Kebangsaan 2012 itu berkata majlis berkenaan bertujuan mahu memecahkan prejudis dan pemikiran negatif antara penganut agama di Malaysia.

Menyarankan segala salah faham diselesaikan secara rundingan Shah Kirit berkata, pelbagai perbezaan latar belakang rakyat negara ini sebenarnya menjadi kekuatan kepada Malaysia.

"Tak semua masalah boleh diselesaikan dengan rundingan yang dibuat, tetapi sekurang-kurangnya wujud persefahaman antara orang Islam dan Kristian," katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-