Showing posts with label kafir harbi. Show all posts
Showing posts with label kafir harbi. Show all posts

Sunday, August 11, 2024

Kafir harbi: Tiga pemimpin Melayu DAP buat laporan polis

malaysiakini.com
Alyaa Alhadjri
Diterbitkan: Aug 11, 2024 4:36 PM
Tiga ahli jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP yang beragama Islam tampil membuat laporan polis terhadap dua individu yang melabel parti itu sebagai ‘kafir harbi’.

Ketiga-tiga mereka - Sheikh Umar Bagharib Ali, Syahredzan Johan, dan Young Syefura Othman - hadir di Balai Polis Dang Wangi di Kuala Lumpur hari ini bagi memebuat laporan berkenaan.

Bercakap kepada pemberita, Young Syefura berkata laporan itu dibuat berdasarkan video daripada ucapan yang disampaikan dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) Nenggiri.

“Ini (kafir harbi) adalah kenyataan terang-terangan yang jelas membahayakan keselamatan kita, dan merosakkan reputasi kita sebagai pemimpin Islam DAP,” kata Ahli Parlimen Bentong itu.

Selain daripada video pertama, dia memetik satu lagi video Adun Rembia Jailani Khamis yang juga membuat dakwaan yang sama terhadap DAP.

“Disebabkan kenyataan sedemikian mungkin jika saya keluar bersendiri di suatu tempat, seseorang boleh membuat keputusan untuk bertindak terhadap saya.

“Jadi itu bahaya. Walaupun ia dibuat dalam ceramah politik, mereka tetap perlu bertanggungjawab,”katanya.

Menghuraikan definisi ‘kafir harbi’, Sheikh Umar berkata dari segi sejarah ia merujuk kepada kerajaan bukan Islam yang menentang orang Islam yang tinggal di kawasan yang sama atau kawasan lain.

“Mereka (bukan Islam) berpotensi mengancam nyawa orang Islam, atau mengisytihar perang.

“Maka ketika itulah ulama Islam muncul dengan perbezaan ‘kafir harbi’ dan lain-lain,” katanya.

Tetapi dalam konteks semasa di Malaysia tambahnya, kita mempunyai Perlembagaan Persekutuan yang diterima oleh semua termasuk semua parti politik.

“Jadi label ‘kafir harbi’ adalah keji, sangat berbahaya dan boleh menyemai benih kebencian,” tegas bekas Adun Paloh itu.

Semalam, Pengarah Operasi PN PRK Nenggiri Annuar Musa mengesahkan seorang ahli PAS dari Bachok, yang membuat ucapan berkenaan, telah "digantung" daripada berkempen selama tiga hari.

Dia bagaimanapun menegaskan PAS tidak perlu memohon maaf kepada DAP.

Dalam kenyataan berasingan, gabungan reformasi pilihan raya, Bersih berkata ucapan sedemikian boleh dilihat sebagai satu kesalahan di bawah Akta Pilihan Raya 1954.

“Bersih mengingatkan semua pihak, khususnya yang berada di Nenggiri, supaya bersederhana dalam kempen politik mereka,” kata Bersih.

Saturday, August 10, 2024

Gelar DAP ‘kafir harbi’, sayap Pemuda lapor polis

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-10 Aug 2024

Ketua Pemuda DAP Gua Musang gesa polis siasat kenyataan tersebut di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan.
Ketua Pemuda DAP Gua Musang Nor Amin Shafiq Ismail (memegang laporan polis) di IPD Gua Musang hari ini. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: DAP Gua Musang membuat laporan polis berhubung kenyataan menggelar parti itu ‘kafir harbi’, dalam suatu ceramah sempena PRK Nenggiri baru-baru ini.

Ketua Pemuda Nor Amin Shafiq Ismail menggesa polis menyiasat kenyataan tersebut di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, atau permusuhan atas alasan agama.

Laporan polis itu berdasarkan suatu video memaparkan seorang individu menggelar DAP ‘kafir harbi’, yang tular di media sosial.

Amin menyifatkan kenyataan itu berbahaya, dan tindakan itu boleh merosakkan perpaduan dan mengancam keharmonian.

“Ia menggunakan agama sebagai alat politik, sesuatu yang dilarang dan tidak boleh diterima dalam masyarakat kita yang majmuk.

Kenyataan ini juga berpotensi menimbulkan ketegangan dan perpecahan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berlainan agama dan bangsa, katanya dalam kenyataan, selepas laporan dibuat di IPD Gua Musang.

Amin menyeru pimpinan anak muda pelbagai parti untuk turut mengecam kenyataan itu dan membuat laporan polis agar tindakan undang-undang dapat diambil.

Semalam, beberapa pemimpin Melayu DAP menuntut permohonan maaf susulan video tular memaparkan seorang individu menggelar parti itu ‘kafir harbi’ dalam sebuah ceramah sempena PRK Nenggiri pada Khamis lalu.

Perikatan Nasional kemudian merehatkan seorang ahlinya daripada kempen PRK Nenggiri selama tiga hari, bagi memastikan keadaan kembali tenang susulan kontroversi itu.

Terdahulu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata melabelkan seseorang warganegara dengan gelaran ‘kafir harbi’ akan membawa implikasi buruk dan dahsyat.

Gelar DAP kafir harbi: PN 'gantung' seorang ahli PAS sertai kempen - Annuar

malaysiakini.com
Haspaizi Zain
Diterbitkan: Aug 10
Anggota PAS dari Bachok yang menggelarkan DAP kafir harbi ketika menjadi pengerusi majlis pada satu ceramah kempen PRK DUN Nenggiri telah "digantung tugas selama tiga hari."

Pengarah Operasi PN bagi PRK Nenggiri, Annuar Musa berkata individu berkenaan tidak dibenarkan terbabit sebarang acara kempen bagi memastikan keadaan kembali tenang.

“Kelmarin kita gantung (rehatkan) seorang pengacara majlis ceramah kita sebab terlepas cakap. Tapi (pemimpin BN) yang tersasul sebut hidup Israel masih kekal pegang jawatan lagi.

"Juru acara majlis sahaja semalam tersasul sikit padahal ayat dia pun tak salah boleh betul lagi, pada dia berpendapat DAP ini kafir harbi.
"Boleh bahas lagi tapi sebab kita rasa kasar kita minta rehat dulu, ibarat macam main hoki keluar padang sebentar,” kata Annuar ketika berucap di Jeram Tekoh malam tadi.

Semalam, para pemimpin Melayu DAP mengecam keras acara PN dalam kempen pilihan raya kecil Nenggiri di Kelantan malam tadi yang menggelar DAP sebagai “kafir harbi”.

Anggota parlimen DAP Syahredzan Johan dan Young Syefura Othman serta pemimpin pusatnya Sheikh Umar Bagharib Ali berkata menurut fiqah klasik, golongan yang berperang dengan orang Islam itu halal darahnya.

“⁠Justeru, kenyataan melampau yang muncul menerusi rakaman video ceramah PAS di Nenggiri itu adalah sesuatu perbuatan takfiri (mengkafirkan) terhadap ahli-ahli parti DAP yang beragama Islam yang langsung tidak boleh diterima,” kata mereka.

PAS tak perlu minta maaf

Ceramah itu disiarkan langsung di Youtube KelantanTV malam tadi.

Sementara itu, Annuar ketika ditemui media selepas ceramah itu berkata kenyataan itu keluar daripada ahli partinya dan ia bukan pendirian parti itu.

Katanya, tiada keperluan untuk PAS memohon maaf seperti desakan DAP.

"Tak berbangkit, ucapan itu daripada satu individu. Ucapan itu masih subjektif dan kita suruh cool off sahaja.

"Ya tidak (mewakili parti), tak perlu (minta maaf) ia subjektif, benda politik," katanya lagi.
Rephrase with Ginger (Ctrl+Alt+E)

Friday, August 9, 2024

Individu gelar DAP 'kafir harbi Malaysia' perlu mohon maaf

bharian.com.my
Oleh Hidayatidayu Razali
bhnews@bh.com.my
 Ogos 9, 2024 
Gambar hiasan

KOTA BHARU: DAP menuntut individu yang mengeluarkan kenyataan parti itu adalah 'kafir harbi di Malaysia' pada program ceramah PAS dan Perikatan Nasional (PN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri supaya memohon maaf.

Menerusi kenyataan bersama Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali, Syahredzan Johan dan Young Syefura Othman, mereka berkata individu terbabit dipercayai menjadi pengerusi pada majlis berkenaan.

Katanya, DAP juga menuntut kepimpinan PAS dan PN menyatakan pendirian sama ada mereka bersetuju dengan kenyataan melampau dikeluarkan individu berkenaan.

"Kami merujuk kenyataan dalam sebuah rakaman video yang tular memaparkan program ceramah PAS dan PN pada kempen PRK Nenggiri. Seorang individu yang kami percaya mempengerusikan majlis mengeluarkan kenyataan bahawa DAP adalah 'kafir harbi di Malaysia'.

"Kami mengecam sekeras-kerasnya kenyataan itu. DAP adalah sebuah parti politik yang sah dan mempunyai keanggotaan daripada pelbagai kaum termasuk beragama Islam," katanya.

Kenyataan itu berkata, ceramah berkenaan turut dihadiri Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman dan Pengerusi Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa.

Mengulas lanjut, katanya, istilah 'kafir harbi' adalah istilah fiqah klasik yang muncul dalam konteks zaman wujudnya ancaman perang dan bunuh dari negara orang kafir (darul harb) ke atas negara umat Islam (darul Islam).

"Golongan kafir itu diklasifikasikan sebagai 'kafir harbi' dan halal darahnya untuk diperangi demi mempertahankan kedaulatan diri dan tanah air umat Islam.

"Justeru, kenyataan melampau yang muncul menerusi rakaman video ceramah PAS di Nenggiri itu adalah suatu perbuatan takfiri terhadap ahli parti DAP yang beragama Islam yang langsung tidak boleh diterima.

"Kami menuntut individu dalam rakaman video itu meminta maaf terhadap semua ahli DAP beragama Islam yang dihukum sebagai kafir oleh beliau. Kami menuntut kepimpinan PAS dan PN menyatakan pendirian sama ada mereka bersetuju dengan kenyataan melampau individu itu," katanya.

Menurut kenyataan itu, pihaknya juga menggesa pihak PN berkempen dengan matang dan sejahtera serta tidak memainkan politik kebencian.

Friday, April 5, 2024

Perkataan kafir tak seharusnya dijadikan isu sensitif

harakahdaily.net
April 4, 2024
Subash Chandrabose

KUALA LUMPUR: Perkataan ‘kafir’ tidak seharusnya dijadikan sebagai isu sensitif kerana terdapat 2 jenis kafir iaitu Kafir Zimmi dan Kafir Harbi.

Aktivis politik Muafakat Nasional, Dr. Subash Chandrabose M Arumugam Pilai berkata, perkataan kafir sedikitpun tidak mengganggu emosi dan sebarang aktiviti hariannya.

“Lagipun saya jenis suka tanya soalan dan saya sentiasa berminat untuk bertanya serta sentiasa dalam situasi curiousity termasuklah mengenai perkara (perkataan kafir) tersebut,” katanya.

Menurut pemahaman beliau, istilah Kafir Zimmi bermaksud masyarakat bukan Islam yang menetap di negara Islam yang mana mereka menghormati orang Islam dan juga apa pun peraturan berkaitan agama Islam.

Tambah beliau, Kafir Harbi pula adalah sebaliknya iaitu tinggal di negara Islam tetapi amat menentang orang Islam dan sebarang peraturan yang berkaitan Islam.

“Jadi katakan orang panggil saya kafir, adakah perlunya saya berasa sedih atau malu? Cuma ia bergantung kepada niat untuk menggunakan istilah tersebut,

“Bagi saya, kafir bukannya perkataan yang mengecil-gecilkan sesebuah bangsa kerana hanya istilah bagi umat Islam untuk mengenalpasti antara kawan dan musuh dalam negara.

“Sudah tentunya Kafir Zimmi akan menjadi pilihan umat Islam kerana golongan ini yang akan berjuang bersama-sama mereka atau dengan kata lain yang boleh dipercayai,

“Sementara, Kafir Harbi akan dianggap pengkhianat dalam sesebuah negara kerana tidak patuh dan menghormati peraturan Islam yang mana bila-bila masa sahaja mereka boleh menjadi ancaman kepada umat Islam itu sendiri,” jelasnya.

Dalam pada itu, Subash berkata, Beliau telahmempelajari segala nilai dan istilah agama Islam daripada sahabat yang beragama Islam itu sendiri dan menyatakan adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat negara ini untuk menyebarkan maksud yang betul mengenai perkara sebegitu.

Kata beliau, ini bertujuan untuk mengurangkan ketegangan kaum dalam kalangan masyarakat majmuk dalam negara ini.

“Maka, ini adalah tanggungjawab Jabatan agama, Jabatan Perpaduan, dan Jabatan Penerangan lebihkan penerangan mengenai agama Islam dan berkongsi ilmu mengenai agama dan budaya yang lain yang mana perkongsian ilmu multi religion patut diperkenalkan dalam sistem pelajaran sekolah,” tegasnya.

Apabila ditanya sama ada istilah kafir digunakan dalam perbualan harian, beliau tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya perkataan tersebut dalam pengajian agama atau kuliah agama di masjid-masjid.

“Namun begitu perkataan tersebut kurang sesuai jika digunakan dalam perbualan harian kerana ini akan memberi satu tafsiran seperti ada dua golongan dalam negara iaitu masyarakat umat Islam dan kafir.

“Tambahan pula, golongan kafir akan sentiasa dianggap musuh negara umat Islam, maka saya rasa perlu elak digunakan dalam perbualan harian lebih-lebih lagi apabila masih ramai orang bukan Islam tidak tahu makna sebenar perkataan tersebut,” katanya. 

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-