Showing posts with label kapal tempur. Show all posts
Showing posts with label kapal tempur. Show all posts

Friday, January 6, 2023

Aktivis persoal kenyataan ‘U-turn’ Anwar berkait projek LCS

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-January 6, 2023 12:30 PM
Semalam, Menteri Pertahanan Mohamad Hasan berkata kerajaan akan meneruskan projek LCS bernilai RM9 bilion.

PETALING JAYA: Seorang aktivis Kua Kia Soong berkata, Perdana Menteri Anwar Ibrhaim perlu memberi penjelasan mengapa kerajaan memutuskan untuk meneruskan projek kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM9 bilion yang dibayangi skandal.

Dalam satu kenyataan, bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya itu juga berkata, semasa Anwar menjadi ketua pembangkang, beliau menggesa supaya fasa seterusnya projek LCS dimansuhkan dengan berkata, dana itu perlu dialihkan untuk membantu rakyat sebaliknya.

“Anwar berkata jelas terdapat penyelewengan dana dan ketirisan serta ‘rasuah besar-besaran’.

“Anwar telah meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menyiasat semua yang berkenaan, termasuk menteri pertahanan dan ketua setiausaha kementerian,” katanya.

Tambahnya, projek-projek kontroversi ini berlaku semasa pentadbiran Barisan Nasional dahulu jadi persoalannya sekarang adalah apa yang akan dilakukan oleh jaguh ‘Reformasi’ mengenainya.

“Dengan meneruskan projek LCS ini dan dikendalikan oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), Anwar pada dasarnya telah kembali kepada pendiriannya sebelum PRU15 semasa beliau menjadi ketua pembangkang,

“Oleh itu beliau perlu memberi penjelasan penuh kepada rakyat Malaysia mengenai perkara ini dan memberi jaminan bahawa kita akan sampai ke bahagian bawah skandal ini yang melibatkan timbalannya Ahmad Zahid Hamidi,” katanya.

Semalam, Menteri Pertahanan Mohamad Hasan berkata, kerajaan perpaduan akan meneruskan projek LCS bermasalah bernilai RM9 bilion.

Menurut Bernama, Mohamad berkata, pembinaan kapal itu akan diteruskan sebagai sebahagian daripada pengukuhan pertahanan negara dan tentera laut.

Projek itu menjadi tumpuan tahun lalu selepas Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan bahawa tidak ada satu kapal pun telah disiapkan walaupun Putrajaya telah membelanjakan RM6.08 bilion untuknya.

Pada Mac tahun lalu, pentadbiran kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob memutuskan untuk meneruskan projek itu, sebelum PAC dikeluarkan pada Ogos.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, yang menyiasat projek itu, telah mengesyorkan supaya beberapa individu didakwa.

Wednesday, November 30, 2022

Isu rasuah skandal kapal tak siap bakal senyap selepas UMNO bersama PH

agendaily.com
30/11/2022
Rafizi Ramli membuat siri pendedahan berhubung skandal Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Jika sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) isu projek perolehan kapal tempur pesisir (LCS) yang gagal disiapkan menjadi riuh-rendah, tetapi nampaknya skandal tersebut bakal senyap begitu sahaja.

Pakatan Harapan (PH) menerusi pendedahan Rafizi Ramli sebelum ini hampir setiap hari membuat pendedahan berhubung LCS tersebut, namun dijangkakan watak utama dalam skandal tidak akan dibawa ke muka pengadilan memandangkan PH dan UMNO kini sudah menjadi rakan kerjasama strategik dalam kerajaan.

Mana mungkin rakan strategik baharu PH itu boleh disentuh kerana ia akan memberi suasana kurang harmoni selepas perkahwinan antara kedua-dua gabungan tersebut baru-baru ini.

Nampaknya prinsip integriti dan ketelusan yang dilaungkan oleh PH selama ini hanya akan tinggal retorik politik sahaja, tetapi apabila menjadi rakan satu katil semua kebobrokan dilakukan sebelum ini sudah disucikan dan seakan sudah halal demi cita-cita peribadi individu tertentu.

Adakah selepas pembentukan kerajaan UMNO-PH ini, Rafizi akan menunaikan janjinya untuk membawa pesalah dalam skandal LCS tersebut ke muka pengadilan seperti yang dibuat dalam kempen ceramahnya sebelum ini?

Adakah Rafizi berani berdepan dengan anak murid Presiden PKR, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam terus membongkar setiap inci penyelewengan dalam skandal LCS sehingga mereka yang bertanggungjawab diheret ke mahkamah?

Persoalan tersebut perlu dijawab oleh Rafizi kerana sebelum ini beliau yang paling lantang dan berani dalam mencari kebenaran melibatkan isu skandal tersebut.

Semasa awal pendedahan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Rafizi secara terbuka mengaitkan beberapa nama individu dalam skandal penyelewengan terbesar selepas 1Malaysia Development Berhad (1MDB), antaranya nama Zahid juga, Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Ketiga-tiga individu merupakan pemimpin kanan dalam UMNO dan pernah memegang portfolio semasa dalam Kementerian Pertahanan.

Rafizi mendakwa ratusan juta wang dalam projek tersebut hilang dan lesap akibat penyelewengan yang berlaku.

Malah, Rafizi juga memberi amaran kepada Najib supaya tidak berpura-pura tidak tahu berhubung skandal LCS kerana waktu itu beliau merupakan Perdana Menteri ketika kerajaan menandatangani perjanjian bagi projek LCS bersama Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) pada 2011 serta merupakan satu-satunya pihak yang berkuasa mempengaruhi penukaran reka bentuk kapal tersebut daripada keperluan tentera laut.

Isu kapal LCS mendapat perhatian susulan pendedahan PAC yang mendedahkan tiada satu kapal pun yang berjaya disiapkan walaupun kerajaan telah membelanjakan RM6 bilion bagi projek tersebut, yang dikurniakan kepada BNS melalui tender terbuka.

Persoalannya kini, adakah PH dan Rafizi khususnya akan meneruskan desakan supaya pesalah dalam skandal ini ke muka pengadilan atau selepas menjadi rakan baharu kepada UMNO, isu rasuah dan penyelewengan ini akan hanya diam begitu sahaja?

Tuesday, August 23, 2022

3 firma digunakan untuk seleweng berjuta ringgit, kata laporan LCS Boustead

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-August 23, 2022 8:45 AM
Laporan audit forensik dalaman Boustead terhadap program kapal tempur pesisir tentera laut yang bermasalah bernilai RM9 bilion telah didedahkan kepada umum.

PETALING JAYA:
Tiga syarikat didakwa digunakan untuk menyeleweng RM23.37 juta daripada projek LCS tentera laut yang bermasalah, menurut laporan audit yang dinyahklasifikasi oleh Boustead Heavy Industries Corporation.

Laporan itu berkata, terdapat kaedah pembayaran yang tidak normal, tanda-tanda “penipuan dan pakatan sulit dengan pegawai syarikat”, dan anomali dalam pembayaran yang dibuat. Ia berkata pembayaran mengelirukan itu serta dokumen berkaitan “hilang daripada rekod perakaunan”.

Daripada jumlah pembayaran lebih RM23.37 juta, pegawai audit tidak dapat menyemak dokumen sokongan untuk bayaran RM8.6 juta kerana pihak berkenaan di BNS tidak dapat mengesan mereka, kata laporan itu.

Invois dikeluarkan atas “penilaian teknikal” bagi projek kapal tempur pesisir, di mana Boustead Naval Shipyard akan membina enam frigat untuk tentera laut.

Laporan itu berkata, dua syarikat terbabit kononnya berdaftar di Brussels dan Paris, tetapi semakan mendapati tiada syarikat di bawah nama tersebut di bandar-bandar berkenaan.

Laporan itu menamakan syarikat itu sebagai Setaria Holding Ltd, Sousmarin Armada Ltd, dan JSD Corporation Pte Ltd, yang mempunyai alamat Singapura.

Laporan itu berkata, 10 pembayaran berjumlah RM13.74 juta dibuat kepada Setaria Holding, empat pembayaran sejumlah RM8.26 juta telah dibuat kepada Sousmarin Armada Ltd dan dua pembayaran berjumlah RM1.36 juta telah dibuat kepada JSD.

Ia menyatakan bahawa terdapat sebuah syarikat di Malaysia yang berkongsi nama SAL, Sousmarin Armada Sdn Bhd, yang telah dibubarkan pada 2012.
Halaman daripada laporan audit forensik BHIC diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan didedahkan kepada umum.

Pengarah syarikatnya adalah Zainab Mohd Salleh, yang terlibat dengan Alizes Marine Ltd dan syarikat luar pesisirnya di Malta dan Labuan.

Walaupun invois dikeluarkan dalam euro, pembayaran dibuat di Singapura “yang mana ia tidak normal dan bertentangan dengan norma”, kata laporan audit itu.

“Memandangkan Sousmarine Armada Sdn Bhd adalah syarikat berdaftar di Malaysia, mempunyai pejabatnya di Kuala Lumpur, logik di sebalik pembayaran di negara lain menunjukkan penipuan dan pakatan sulit dengan pegawai syarikat.

“Corak dan modus operandi yang sama digunakan dalam kes pembayaran tuntutan Marin Alizes,” kata laporan itu.

Ia menambah, siasatan mengesahkan bahawa SAL dimiliki oleh “orang yang sama yang menyamar sebagai Alizes Marine France dengan mempunyai sebuah syarikat bernama Alizes Marine Ltd Labuan untuk mendapatkan dana yang dialihkan melalui Singapura”.

Menurutnya juga, selepas melakukan carian syarikat, Zainab didapati adalah pemegang saham dan pengarah Sousmarine Armada Sdn Bhd.

Laporan itu turut menamakan dua syarikat lain yang dikatakan terlibat dalam menyedut dana terbabit: Azimuth Shipping Corporation dan Prestigo International. Sifat penglibatan mereka tidak jelas kerana suntingan dalam laporan itu.

Ia berkata: “Bayaran RM1.2 juta telah dibuat kepada Azimuth terhadap pesanan pembelian yang dialamatkan di KL, tetapi bayaran itu dikeluarkan dalam USD$ kepada Azimuth di Singapura.

“Anomali yang sama telah diperhatikan berkaitan dengan pembayaran yang dibuat kepada Prestigio International. Pembayaran mengelirukan dan dokumen berkaitan ini tiada dalam rekod perakaunan.”

BHIC ialah pemegang saham yang mengawal syarikat kapal itu, yang dianugerahkan kontrak untuk membina enam frigat untuk tentera laut di bawah program kapal tempur pesisir.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen berkata, RM6 bilion telah dibelanjakan untuk projek itu sejak 2014 tetapi tiada satu pun kapal telah disiapkan atau diserahkan.

BHIC berkata semalam, ia telah bersetuju untuk menyahklasifikasi laporan audit forensik dalaman dan mendedahkannya kepada umum, selaras dengan keputusan Jemaah Menteri. Laporan, “Semakan Program LCS”, telah diterbitkan di laman web PAC. Sebahagian daripada laporan telah disunting.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-