Showing posts with label lembaga disiplin. Show all posts
Showing posts with label lembaga disiplin. Show all posts

Wednesday, February 22, 2023

Keputusan sudah dibuat: Hisham ulangi pendirian tak akan merayu

agendaily.com
22/02/2023
Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak akan merayu penggantungannya.

Ahli Parlimen Sembrong yang juga cucu pengasas UMNO Allahyarham Datuk Onn Jaafar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberi beberapa sebab mengapa beliau tidak akan merayu penggantungan keahliannya dalam UMNO.

“Saya tak akan merayu. Apa sebabnya? Kerana saya tak tahu sebabnya saya digantung, betul tak? Sampai hari ini kita tidak tahu apa sebabnya saya digantung. Jadi nak rayu apa?

“Kedua, gantung tak ikut proses, tak ikut prosedur. Saya tak diminta untuk jawab kepada Lembaga Disiplin.

“Tak ada surat dikeluarkan Lembaga Disiplin untuk sekurang-kurangnya panggil saya jawab secara bertulis, tak ada,” katanya menerusi akaun TikToknya, malam ini.

Bekas Naib Presiden UMNO menegaskan demikian walaupun ada cadangan daripada UMNO Johor supaya beliau membuat mengemukakan rayuan.

Difahamkan, kenyataan itu dibuat Hishammuddin ketika hadir Majlis Ramah Mesra Ahli Parlimen Sembrong bersama kepemimpinan Barisan Nasional (BN) Sembrong pada Sabtu lalu.

Beliau berkata, sebab seterusnya rayuan tidak dibuat kerana beliau seolah-olah dianggap sudah bersalah.

“Buat apa kita nak buat rayuan kepada orang yang sudah membuat keputusan untuk mengantung. Pada orang yang gantung kita, kita nak rayu kepada dia?

“Kalau kita rayu macam kita ini bersalah.

“Betul tak? Saya minta restu dan izin daripada keluarga Sembrong, kita kata, kalau saya nak rayu, saya tak tergamak nak buat rayuan,” katanya.

Hishammuddin dan beberapa pemimpin UMNO lain, termasuk bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan, sebelum ini digantung keahlian selama enam tahun, sekali gus menghalang beliau bertanding pada pemilihan UMNO bulan depan.

Keputusan memecat beberapa pemimpin UMNO, termasuk Khairy Jamaluddin, dibuat pada Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pada 4 Februari lalu, UMNO Johor mahu Hishamuddin dan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang, yang turut digantung, mengemukakan rayuan dan membela diri terhadap pertuduhan serta sabitan yang dikenakan terhadap mereka.

Wednesday, September 18, 2019

'Ada had untuk biadab'

Oleh Nazura Ngah
nazura_ngah@bh.com.my

NAIB Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin.
 NSTP/Mikail Ong

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, perlu dirujuk ke Lembaga Disiplin kerana didakwa melanggar perlembagaan parti apabila sengaja tidak menghadiri mesyuarat.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Abdullah Sani, berkata tindakan disiplin perlu diambil terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu serta beberapa pemimpin lain.

Beliau berkata, Lembaga Disiplin perlu tegas menangani isu berkenaan kerana tindakan kelompok terbabit menjejaskan imej parti.

Katanya, pertelagahan antara kepemimpinan parti hanya boleh diselesaikan di meja rundingan manakala mesyuarat parti adalah platform terbaik untuk menyelesaikan isu dan krisis dihadapi ketika ini.

“Ikut perlembagaan parti, kita tidak boleh berkompromi kerana siapa tak jaga perlembagaan, boleh dihukum.

“Jika ada panggilan mesyuarat, datanglah mesyuarat dan hadapi apa saja isu yang menjadi pertikaian. Jangan terlampau biadab, walau ada jawatan sekalipun, jangan perlekeh orang lain.

“Ada hadnya untuk biadab, jangan terlebih sangat kerana parti ada perlembagaan yang mengawal selia ahlinya, tiada seorang pun yang kebal,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan tiada keperluan untuk mengadakan pertemuan khas kerana Zuraida boleh bertemu jika menghadiri mesyuarat biro politik setiap Rabu dan mesyuarat MPP setiap bulan.

Zuraida sebelum ini tetap dengan hasrat mengadakan pertemuan dengan Anwar bersama pemimpin yang dipilih.

Abdullah yang juga Ahli Parlimen Kapar, turut mendakwa percakaran itu berlaku kerana wujudnya kepentingan dan agenda sendiri.

Beliau turut meminta Zuraida tidak menggunakan media bagi menegakkan pandangannya dalam isu berkenaan.

“Demokrasi pun ada batasnya, bila anggap diri kebal, kita berlagak dari segi undang-undang. Nasihat saya, jangan sombong sangat.

“Saya yakin tidak berlaku perpecahan dalaman parti seperti didakwa kerana individu seperti itu hanya mewakili kelompok kecil dalam parti.

“Ahli parti pun sudah mengetahui perangai pemimpin tertentu,” katanya.

Monday, October 22, 2018

Pemilihan PKR: Anwar arah parti bertindak

Diterbitkan 22 Okt 2018, 8:31 pagi


Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dan Lembaga Disiplin bertindak terhadap pihak yang melanggar ketertiban proses pemilihan parti.

Katanya, tindakan itu harus dibuat terhadap sesiapa sahaja tanpa mengira kedudukan.

“Arahan pimpinan adalah jelas menuntut sistem pemilihan yang telus, bersih dan adil.

“Semua undi hendaklah dikenal pasti dan dikira,” katanya yang menang tanpa bertanding jawatan presiden PKR.

Semalam, Kekecohan berlaku lagi dalam pemilihan PKR, membabitkan tiga daripada enam cabang PKR Selangor yang mengadakan pengundian.

Bagaimanapun, dalam kenyataan pagi ini, Anwar berkata sebahagian besar proses pengendalian pemilihan parti diselenggara dengan memuaskan.

“Namun masih terdapat beberapa kecelaruan bersabit perlaksanaan sistem biometrik termasuk undi yang tidak dikesan.

“Perkara tersebut dapat ditangani dengan merujuk terus kepada tablet pengundi,” katanya.

Tuesday, November 15, 2016

UM gantung aktivis pelajar 'TangkapMO1'

Alyaa Alhadjri :  
Aktivis pelajar, Asheeq Ali digantung satu semester daripada pengajiannya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selepas Lembaga Disiplin hari ini mendapati beliau bersalah kerana menyertai perhimpunan rasmi ‘Tangkap Malaysian Official1' pada 1 Ogos lalu.

Asheeq memberitahu Malaysiakini bahawa penggantungannya berkuat-kuasa serta-merta, meskipun beliau dijadual menduduki peperiksaan akhir bulan depan.

"Mesyuarat disiplin bermula pada jam 9 pagi ini dan keputusan dibuat kira-kira jam 10 pagi.

"Mereka (lembaga disiplin) membuat keputusan menggantung saya kerana kata mereka, saya telah langgar undang-undang," kata Asheeq, merujuk kepada Akta Perhimpunan Aman 2012.

Pelajar undang-undang tahun tiga, bagaimanapun, berkata beliau berhujah bahawa dirinya tidak pernah didakwa di mahkamah berhubung sebarang kesalahan di bawah akta tersebut.

"Saya beritahu mereka bahawa saya telah disiasat tetapi tidak pernah didakwa. Mereka kata, ini tidak penting (sama ada didakwa atau sebaliknya)," kata Asheeq yang kini adalah setiausaha agung gabungan pelajar Kesatuan Mahasiswa Malaysia.

Wednesday, December 2, 2015

Muhyiddin sokong ketua Umno cawangan, tidak kisah dipecat

OLEH NABIHAH HAMID
Published: 2 December 2015 2:29 PM

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, hari ini bagi beri sokongan kepada 9 ketua Umno cawangan Teluk Kemang yang dipanggil Lembaga Disiplin hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 2 Disember, 2015.

Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir ke perkarangan Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur kira-kira 2 petang tadi untuk memberikan sokongan kepada 9 ketua Umno cawangan Teluk Kemang yang dipanggil Lembaga Disiplin hari ini.

Muhyiddin berkata, beliau tidak kisah sekiranya dirinya dipecat kerana datang ke PWTC hari ini kerana kehadirannya adalah untuk menegakkan kebenaran.

"Bagi saya, penting ialah perjuangan yang benar, saya rasakan saya dah bersedia menghadapi apa saja.

"Walaupun saya tidak mahu diri saya dipecat," katanya kepada pemberita.

Semua ketua cawangan yang menamakan diri mereka Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) hari ini dipanggil kerana mengadakan sidang media tempoh hari, menggesa Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan sebagai presiden Umno.

"Saya datang memberikan sokongan moral kepada mereka yang dipanggil Lembaga Disiplin Umno.

"Saya percaya mereka menyatakan sesuatu yang benar," kata bekas timbalan perdana menteri itu yang menegaskan mereka turut mempunyai hak sebagai ahli, tidak kira jawatan.

Timbalan presiden Umno itu juga berharap lembaga disiplin mempertimbangkan hukuman yang akan dijatuhkan dan tidak semudahnya menghukum hanya kerana mereka berbeza pendapat.

Kedatangan Muhyiddin disambut 50 ahli Umno diiringi bekas ketua Wanita Umno Gopeng Datuk Hamidah Osman dan bekas pemimpin Wanita Langkawi Anina Saadudin untuk memberikan sokongan solidariti kepada 9 ketua cawangan tersebut.

Sebelum ini pada 24 Oktober lalu, 13 cawangan di bawah Umno bahagian Telok Kemang mendesak Najib meletak jawatan.

Bagaimanapun, hanya 9 ketua cawangan Teluk Kemang itu dipanggil Lembaga Disiplin hari ini dan 7 daripada mereka yang hadir. – 2 Disember, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/muhyiddin-sokong-ketua-umno-cawangan-tidak-kisah-dipecat#sthash.UfTjtaZa.dpuf

Sunday, November 8, 2015

Shafie enggan ulas 7 pemimpin dalam pemerrhatian, serah kepada parti

OLEH MD IZWAN
Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak menafikan atau mengesahkan sama ada mengetahui tentang senarai 7 pemimpin yang dikatakan dalam siasatan lembaga disiplin Umno, sebaliknya mahu parti membuat pertimbangan sendiri. – Gambar fail The Malaysian Insider, 7 November, 2015.

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyerahkan kepada parti untuk menentukan nasibnya dalam Umno selepas dikatakan tersenarai dalam 7 pemimpin yang bakal berdepan tindakan disiplin digantung dari parti.

Naib presiden Umno tidak menafikan atau mengesahkan sama ada mengetahui tentang senarai 7 pemimpin yang dikatakan dalam siasatan lembaga disiplin itu, sebaliknya mahu parti membuat pertimbangan sendiri.

"Itu saya tidak perlu komen, terserahlah," katanya kepada wartawan semasa ditemui di Semporna selepas ditanya mengenai ura-ura namanya berada dalam senarai tersebut.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebelum ini mendedahkan 7 pemimpin Umno sedang berada dalam pemerhatian dan bakal dikenakan tindakan disiplin.

Katanya, mana-mana ahli Umno yang melanggar Perlembagaan parti bakal berdepan tindakan penggantungan.

Beliau berkata, sebaik saja pejabatnya selesai menjalankan siasatan, nama mereka akan dibawa ke pejabat Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dan seterusnya kepada lembaga disiplin parti untuk menentukan bentuk hukuman.

Shafie antara pemimpin Umno yang lantang mengkritik dalam isu membabitkan syarikat bermasalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan tersingkir bersama-sama bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada Kabinet yang dirombak Julai lalu.

Selain Shafie dan Muhyiddin yang dikatakan bakal digantung, 5 pemimpin lain yang turut berdepan tindakan adalah bekas presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas menteri Tan Sri Zainuddin Maidin, bekas menteri besar Kedah Tan Sri Sanusi Junid, ketua Umno bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Yunos dan Ketua Umno bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

Sumber parti mendedahkan, pejabat setiausaha agung parti Melayu itu kini sedang meneliti kesalahan didakwa dilakukan ahli parti tersebut yang sebelum ini dikatakan membuat kenyataan "tidak masuk akal".

"Penelitian masih berjalan di pejabat setiausaha agung untuk menentukan kesalahan yang dilakukan mereka," kata sumber kepada The Malaysian Insider.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/shafie-enggan-ulas-7-pemimpin-dalam-pemerhatian-serah-kepada-parti#sthash.DfuvOOjq.dpuf

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-