Showing posts with label logo Halal. Show all posts
Showing posts with label logo Halal. Show all posts

Tuesday, September 10, 2024

Teresa pertimbang ambil tindakan undang-undang terhadap Dr Muhamad Akmal

bharian.com.my
Oleh Ilah Hafiz Aziz 
illahhafiz.abdulaziz@bh.com.my
- September 10, 2024 @ 6:00pm
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, sedang mempertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh susulan kenyataan balas Ketua Pemuda UMNO itu berkait isu pensijilan halal, termasuk mahu 'logo tidak halal' ditampal pada dahi pemimpin DAP berkenaan.

Teresa yang juga Setiausaha Publisiti DAP berkata, beliau sedang mendapatkan nasihat undang-undang daripada barisan peguamnya berhubung perkara terbabit.

"Saya akan berbincang dengan peguam saya (sekali lagi) selepas sesi ini," katanya kepada pemberita setelah memberi keterangan di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Dr Muhamad Akmal dipetik menempelak tindakan Teresa yang dilaporkan mendakwa bahawa cadangan mewajibkan perolehan sijil halal ke atas restoran dan syarikat makanan, hanya menambah beban terhadap peniaga.

Dr Muhamad Akmal dilapor menegaskan perolehan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bukan saja membabitkan larangan kandungan arak serta babi tetapi turut merangkumi bagaimana sesuatu makanan itu disediakan dan sumber penyediaannya.

"Saya nak beritahu... sijil halal dulu berbulan nak dapat. Hari ini, kita sudah pendekkan hingga 23 hari saja sudah dapat sijil halal.

"Jadi, apa masalah kamu dengan sijil halal ini. Kalau kamu tidak suka, ia tidak membabitkan kamu pun," kata Dr Muhamad Akmal melalui TikTok beliau, Sabtu lalu.

Media sebelum ini melaporkan Teresa mendakwa pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela untuk membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan dilaksanakan secara paksa.

Beliau yang juga Naib Pengerusi DAP dipetik mendakwa, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan serta beban kepada perniagaan kecil.

Selain itu, Teresa mendakwa, ia juga bertentangan semangat kepelbagaian budaya, malah mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.

Ia susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, bahawa JAKIM sedang mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran serta syarikat makanan untuk memiliki sijil halal.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilapor menegaskan kenyataan Teresa dalam isu pensijilan halal itu tidak mewakili pendirian Pakatan Harapan (PH), selain mencetuskan kontroversi yang tidak relevan kepada masyarakat di negara ini.

Sunday, July 12, 2020

Perlekeh Hari Jumaat, Hari Makan Babi?

1. Setelah mana Menteri Agama mengumumkan Hari Jumaat sebagai Hari Jawi, reaksi sebahagian netizen Cina amat menghairankan. Mereka memerli langkah memartabatkan Jawi ini sebagai langkah terkebelakang bahkan ada yang memperlekeh usaha ini.

2. Anehnya dalam perniagaan kaum Cina, mereka jualah yang bersungguh menggunakan logo Halal yang bertulisan Jawi, malah beberapa jenama produk mereka terukir indah dalam Jawi dan bercirikan kemelayuan. Namun apabila kerajaan mengumumkan langkah ini, mereka lantas menolak bahkan memperlekehkan.

3. Ingatkah kita dahulu bagaimana kaum Cina dan DAP bersungguh menolak pembelajaran Jawi dalam buku teks sekolah yang hanya tertulis beberapa perkara dalam tiga helaian muka surat buku teks terbitan Kementerian Pendidikan?

4. Mengapa kaum Cina begitu sensitif dan menolak untuk bersama mengangkat pengiktirafan bahawa Jawi yang menjadi identiti negara ini? Adakah disebabkan kerana doktrin ekstrem yang disemaikan oleh DAP dalam pemikiran mereka?

5. Tulisan Jawi adalah warisan bangsa Melayu. Jangan dihina tulisan yang telah merekodkan pelbagai khazanah ilmiah orang Melayu. Bahkan dokumen pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu 1957 yang ditandatangani oleh Tunku Abdul Rahman ialah dalam tulisan Jawi.

6. Undang-undang hukum Islam terdahulu turut direkodkan di dalam tulisan Jawi. Perhatikan sahaja Batu Bersurat Terengganu yang menjadi bukti kepentingan tulisan ini dalam urusan pentadbiran Melayu suatu ketika dahulu.

7. Sasterawan dan pejuang bahasa berbangsa Cina, Dr. Lim Swee Tin sendiri tidak melihat sebarang masalah untuk memperkenalkan tulisan khat dan jawi dalam buku teks sekolah. Malah menurut beliau, cadangan itu tidak merugikan sesiapa dan malah membolehkan murid mendalami bentuk penulisan warisan bangsa selain tulisan jawi sendiri mempunyai nilai ekonomi yang tinggi.

Semoga perjuangan memartabatkan Jawi dipermudahkan.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Thursday, July 2, 2020

Maruku tiada sijil halal, gaji Pati, premis kotor.


GUNA Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) tidak sah, menggaji tujuh pendatang asing tanpa izin (Pati) dan keadaan premis kotor.

Itu keadaan sebuah premis memproses muruku di Kajang yang diserbu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pagi semalam.

Pengarah JAIS Mohd Shahzihan Ahmad berkata, Bahagian Pengurusan Halal (JAIS) menjalankan operasi bersepadu dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Kajang dan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat.

“Pemeriksaan mendapati terdapat penggunaan logo halal yang tidak sah (logo generik) pada bungkusan produk makanan ringan muruku yang dijual.

“Hasil siasatan juga mendapati produk ini dijual secara meluas di pasar raya berhampiran, kedai serbaneka 24 jam, kedai runcit di sekitar Hulu Langat, Cheras serta di platform e-dagang.

“Antara strategi pemasaran yang digunakan syarikat itu adalah menggunakan label jenama nama wanita Islam bertujuan mengelirukan masyarakat Islam kononnya produk itu keluaran produk muslim dan boleh dimakan oleh orang beragama Islam tanpa was-was,” katanya dalam satu kenyataan di Shah Alam hari ini.

Mohd Shahzihan berkata, hasil semakan yang dilakukan dalam Sistem MYe-Halal Malaysia mendapati premis berkenaan bukan pemegang SPHM yang sah.

“Oleh itu, JAIS melakukan sitaan mengikut Perintah 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) Akta Perihal Dagangan 2011 membabitkan 138 kotak siap berbungkus (pelbagai peket), 960 kotak bertanda logo halal yang tidak sah (belum digunakan) dan pelbagai lagi.

“Anggaran nilai rampasan yang dilakukan adalah sebanyak RM14,819.

“Siasatan dijalankan mengikut Perintah 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika disabit kesalahan pemilik premis boleh didenda sehingga maksimum RM200,000,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan yang dilakukan juga mendapati pemilik premis menggajikan sembilan pekerja membabitkan dua warga tempatan manakala tujuh lagi warga asing.

“Pekerja warga asing itu disyaki dari India dan tidak memiliki pasport atau permit kerja yang sah.

“Keadaan premis juga sangat kotor terutamanya di kawasan pemprosesan makanan dan pejabat kesihatan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap premis mengikut Peraturan Kebersihan Makanan 2009 11(1)b kerana gagal menyediakan rekod latihan pengendali makanan dan 7(1) disebabkan tidak memperbaharui perakuan pendaftaran premis makanan.

“Tindakan arahan penutupan premis turut dilakukan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983,” katanya.

Beliau juga menasihatkan orang awam terutamanya umat Islam agar sentiasa teliti terhadap logo halal yang dipamerkan dan pastikan ia adalah logo asli yang diiktiraf oleh JAIS atau JAKIM.

“Umat Islam perlu lebih peka terhadap produk yang mempamerkan logo halal dan sentiasa melakukan semakan terhadap logo dan produk halal di direktori Halal Malaysia (www.halal.gov.my) atau hubungi Bahagian Pengurusan Halal (JAIS) di talian 03-55143760/3486 bagi sebarang kemusykilan atau pertanyaan mengenai status pensijilan yang dipamerkan pada produk makanan, minuman, kosmetik, premis makanan,barang gunaan atau pelbagai lagi, ” katanya.

HM

Friday, September 9, 2016

Apa ada dengan logo Halal JAKIM?

 Majlis Ulama ISMA

Jika anda berada di hadapan dua buah restoran; sebuah restoran milik bukan muslim tetapi mempunyai sijil halal daripada JAKIM, manakala satu lagi milik Muslim tetapi tidak sijil halal JAKIM, restoran manakah yang anda pilih?

Saya pasti ramai yang tak mampu menjawab dengan yakin. Hal ini kerana kebanyakan kita tidak mengetahui apakah itu sijil halal JAKIM dan apakah proses yang dilalui bagi memperoleh sijil halal.

Secara mudah, halal JAKIM adalah satu pengiktirafan patuh syariah terhadap proses pembuatan produk. Pengiktirafan ini bermula dari proses yang paling awal iaitu pemilihan bahan mentah hinggalah proses yang terakhir iaitu produk sampai di tangan pengguna.

Untuk memperoleh pengiktirafan itu, sesebuah pengeluar makanan perlu mengistiharkan semua proses dan bahan mentah yang terlibat dari awal hingga akhir dengan terperinci. Semua dokumen pengistiharan ini dikumpul dalam satu fail yang dipanggil Fail Halal. Fail ini dijaga oleh Eksekutif Halal di setiap syarikat.

Setiap kali juruaudit halal JAKIM datang melawat, fail inilah yang akan diperiksa dahulu. Apabila semua pengistiharan lengkap, juruaudit itu akan melakukan tinjauan di lapangan terbabit bagi memastikan semua pengistiharan itu benar-benar dipatuhi.

Selain dari itu, pihak syarikat juga mesti melantik seorang eksekutif halal yang beragama Islam dan mempunyai kewarganegaraan Malaysia. Lantikan ini mesti berstatus ‘Tetap’.

Tugas eksekutif halal adalah memastikan keberkesanan sistem kawalan halal dalaman (internal halal control). Semua langkah ini diambil bagi memastikan pihak syarikat mencapai sifar kesilapan dalam penghasilan produk halal.

Nah, itulah yang terkandung dalam logo kecil halal di bungkusan produk kita. Menurut pengamatan saya, rata-rata pengguna menganggap pengiktirafan halal hanya meliputi bahan mentah sahaja.

Mulai saat ini, ketahuilah bahawa pengiktirafan halal juga meliputi aktiviti memproses bahan mentah itu. Bahkan pada masa hadapan, ia mungkin melibatkan sumber kewangan yang patuh syariah.

Dengan memahami apa yang ada si sebalik logo Halal ini, tentunya pendekatan yang lebih dekat dengan maqasid syariah (hifzun nafs; menjaga nyawa/diri) adalah memilih restoran yang mempunyai sijil halal, walaupun ia milik non-muslim.

Sebenarnya saya pernah berada dalam situasi di atas. Lalu saya pilih restoran mamak (yang mempamer symbol-simbol Islam) yang tidak memiliki sijil halal. Akhirnya saya dikecewakan dengan tisu di restoran itu yang berbau najis tikus!

Pentingkah mencari produk yang mempunyai logo halal? Ya, bahkan teramat penting. Dalam era kemajuan teknologi ini, rata-ratanya hanya orang yang mempunyai latar belakang tertentu saja (seperti Sains Pemakanan, Bioteknologi dan lain-lain) yang faham maklumat yang terpamer di bungkusan produk.

Kompleksiti proses pembuatan makanan menyebabkan ramai yang tidak tahu apa itu gelatin, lecithin, glycerin, Kod-Kod E dan lain-lain.

Maka wajarlah dibentuk satu badan berautoriti yang memantau perkara ini agar orang-orang yang berpendidikan rendah dapat menikmati makanan halal tanpa was-was. Penting untuk kita menjauhi rasa was-was kerana ia merupakan satu perasaan yang menyiksa jiwa.

Persoalannya, sejauh mana kita perlu berusaha mencari produk halal? Bagi saya, kita dituntut untuk mencarinya semampu kita.

Dalam konteks Malaysia, kita dipandu oleh logo halal JAKIM, maka carilah produk yang sudah diperiksa kehalalannya oleh JAKIM.

Jika di luar negara yang tiada badan pengiktirafan halal, maka tanyalah kepada pengeluar produk mengenai spesifikasi produk yang dikeluarkan, samada melalui emel atau panggilan telefon.

Menurut pengalaman saya, apabila sesebuah syarikat sering dihubungi pengguna untuk bertanyakan status halal produknya, pihak pengurusan syarikat akan mengambil langkah memohon pensijilan halal. Itulah kesan kuasa pengguna.

Pada hari ini, kesedaran halal dalam kalangan pengguna semakin baik. Bermula dengan produk makanan, kini JAKIM menawarkan pensijilan halal kepada rumah sembelih, farmaseutikal, kosmetik dan logistik.

Dengan sokongan padu dan komitmen terbaik pihak berautoriti, skop halal ini akan diperluas sehingga kita dapat menikmati Halal Lifestyle (Gaya Hidup Halal) yang dituntut oleh Allah SWT.

Moga Allah permudahkan urusan ini untuk umat Islam keseluruhannya.

Ust Bilal bin Jailani
Sarjana Pentadbiran
Muamalat (Produk Halal)
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-