Showing posts with label negara China. Show all posts
Showing posts with label negara China. Show all posts

Sunday, March 17, 2024

Proses penChinaan di Universiti Malaya?

harakah daily.com
March 16, 2024
Syed Hassan Syed Ali

KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan Tinggi perlu memberikan penjelasan mengenai cubaan proses penChinaan yang berlaku dalam Universiti Malaya (UM).

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA), Syed Hassan Syed Ali berkata, terdapat khabar yang menyatakan perkara tersebut dilakukan oleh pimpinan universiti tersebut.

“Benarkah sejumlah besar pelajar dari Negara China telah dan sedang diusahakan untuk dibawa masuk ke UM untuk Fakulti Perbuatan, Fakulti Perniagaan dan beberapa Fakulti lain?,” katanya.

Menurut beliau, terdapat juga persoalan mengenai seorang dekan akan dipendekkan perkhidmatannya kerana membantah usaha pimpinan tertinggi UM tersebut dalam melakukan sedemikian.

“Saya dengar kemasukan ramai pelajar dari China tidak mengikut tapisan dan kelayakan pihak UM sendiri iaitu mesti menguasai bahasa Inggeris yang mana semuanya hanya mampu berbahasa Mandarin.”

“Jika benar apa yang disampaikan kepada PERKASA, ianya sangat menghairankan terutamanya dalam jurusan perubatan kerana mempunyai tempat yang sangat terhad untuk pelajar Malaysia sendiri sehingga ramai terpaksa mencari tempat di universiti luar negara seperti Indonesia, India, Rusia dan Mesir,” ujarnya.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana pula pelajar dari China boleh dibawa masuk ke dalam UM mengenai jurusan tersebut sedangkan mereka tidak boleh berbahasa Inggeris.

“Tindakan pengurusan tertinggi UM melanggar syarat-syarat kemasukan pelajar luar sangat tidak boleh diterima.”

“Maka pihak PERKASA mohon Menteri Pendidikan Tinggi untuk memberi penjelasan mengenai isu ini kerana kami semua berhak untuk tahu mengenai perkara tersebut,” katanya. 

Tuesday, April 3, 2018

Moasang King

Negara China teroka ribuan hektar tanah buka dusun durian Musang King di Bentong, Raub?


Presiden Perikatan Pencinta Alam Malaysia (Alam) Khaidir Ahmad mendedahkan Negara China sedang memonopoli ribuan hektar tanah dengan membuka dusun durian Musang King di Bentong dan Raub, Pahang.

Aktiviti penanaman durian klon popular yang mendapat pulangan menguntungkan kepada pengusahanya itu telah dilakukan sejak tujuh tahun lalu tanpa pengetahuan banyak pihak, dakwanya.

“Sebelum buah Durian Moasang King berada di pasaran, mereka sudah menanamnya tujuh tahun sebelum itu tanpa pengetahuan kita.

“Selepas dua dekad menembusi pasaran Negara China, ramai dalam kalangan mereka sudah bergelar ‘Jutawan Moasang King’.

“Selepas harganya mencecah RM250 sekilo di Negara China, baru kita nak mula tanam, sedangkan ‘Raja Buah’ ini asal-usulnya kita yang mula tanam di tanah kita.
Khaidir Ahmad menunjukkan kawasan Kampung Baru Sang Lee seluas 20 ekar di mana terdapatnya kawasan kebun durian Musang King.

“Sekarang khabarnya, Cina dari Negara China sudah mula membeli ribuan hektar tanah di Bentong dan Raub untuk membuka dusun Moasang King mereka sendri.

“Sekali lagi Cina untung besar apabila tanah-tanah kosong yang sebelum itu cuma berharga kurang RM100,000 seekar, kini ditawarkan melebihi RM200,000 seekar manakala tanah yang berstatus Dusun Moasang King dibeli dengan harga melebihi RM500,000 seekar,” ujarnya dalam tulisan di facebook hari ini.

Khaidir yang juga bekas editor penyiaran di sebuah stesyen televisyen turut mendakwa kebanyakkan tanah-tanah ini dahulunya diteroka secara haram dan kemudian diberi hakmilik oleh Kerajaan Negeri atas desakan politik.

Oleh itu dakwanya lagi, telah wujud beberapa kampung baru di Bentong dan Raub yang mengambil nama bersempena dengan nama raja buah itu yang mana beliau turut memuatnaik beberapa keping foto berkaitannya antaranya Kampung Baru Sang Lee di Bentong, Kampung Baru Sungai Chetang dan Kampung Baru Tras di Raub.

” Durian kita masih durian kampung yang harganya cuma belasan Ringgit sekilo, tanah kita kebanyakkannya masih berstatus tanah terbiar yang harganya di bawah RM50,000 seekar manakala kampung kita pula masih berstatus kampung tradisional yang semakin sepi.

“Jangan salahkan mereka atau sesiapa… salahkanlah diri kita yang malas berbudi kepada tanah dan gagal mencari peluang,” ujarnya.

Penolong Pengarah Bahagian Hortikultur Jabatan Pertanian Serdang, Mohd Auzaie Komarudin dalam satu kenyataan dipetik berkata, ciri-ciri utama durian Musang King (D197) yang didaftarkan di Jabatan Pertanian pada 1993 juga dikenali sebagai Raja Kunyit.

Musang King mempunyai isi berwarna kuning pekat, durinya bersegi, sementara pangkal tangkainya tidak berduri dan garisan pangsa jelas pada kulit.

Masyarakat Cina tempatan gemar menggelarkan raja buah itu sebagai Mao Shan Wang, yang bermaksud ‘raja kucing gunung’ iaitu merujuk kepada bentuk isi durian yang mirip seekor kucing sedang tidur.

Panggilan itu terus digunakan secara meluas sehingga perkataan ‘Mao Shan’ ditukar kepada sebutan Musang dan ‘Wang’ ditukar kepada King sehingga dikenali sebagai Musang King hingga kini.

Monday, January 9, 2017

Malaysia masih boleh jadi negara China, sindir Zam

Malaysia masih boleh menjadi negara China tanpa rakyat republik itu membawa balik tanah negara ini ke tanah besarnya, kata bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainudin Maidin.

Sindirnya yang juga adalah bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan Malaysia, sudah tiba masanya untuk dihapuskan Tanah Simpanan Melayu kerana tanah berkenaan tidak akan boleh dibawa balik ke republik China.

"Maka itu, sudahlah sampainya bagi memenuhi nafsu liberalisme dan globalisme (Datuk Seri) Najib (Razak) & (Datuk Seri Mohamed) Nazri (Abdul Aziz), kita hapuskan Tanah Simpanan Melayu.
"Ini kerana tanah-tanah itu, menurut peguam Umno yang tidak gila atau pun tidak tiga suku Nazri Aziz tidak akan boleh dibawa balik ke negara China," katanya yang juga dikenali dengan panggilan Zam dalam blognya.

Semalam, Mohamed Nazri menyifatkan Mahathir sebagai 'gila' apabila mendakwa tanah yang dijual kepada orang asing akhirnya akan menjadikan Malaysia negara asing.

"Dia gila. Kita jual tanah kepada kedutaan untuk buat bangunan kedutaan. Syarikat luar untuk membina projek mereka, ini bukan satu kesalahan.

"Sedangkan sebelum ini banyak juga tanah telah dijual ketika zaman Tun Mahathir lagi. Kenapa dia tidak fikir pasal itu masa dia jual tanah," soal Nazri.

Mengulas lanjut, Zam berkata, beliau ingin mempersoalkan siapa yang sebenarnya gila.

"Jika liberalisme Nazri wujud sejak lepas merdeka di era Tunku (Abdul Rahman) dan Tun Abdul Razak, barangkali sudah tidak ada kampung Melayu hari ini seperti tidak adanya lagi penguasaaan Melayu ke atas Felda kecuali hanya diatas kertas," tambah beliau.

Pada masa yang sama, Zam turut mengimbau sejarah negara yang menyaksikan kerajaan Umno dahulu yang mempertahankan pemilikan tanah dan hartanah untuk orang Melayu.
"Pendatang dari China mulanya hanya membeli beberapa buah kedai di bandar-bandar di Malaya dan tidak membawa kedainya balik ke China tetapi akhirnya menjadikan semua bandar-bandar di Malaya dan Malaysia sebagai pekan China.

"Kerajaan British dan seterusnya kerajaan Malaya dan Malaysia mengekalkan tanah simpanan Melayu supaya orang Melayu tidak boleh menjual tanah dengan sewenang-wenang kepada orang asing dan bagi mengekalkan pemilikan dan penempatan Melayu.

Selain itu, katanya, Abdul Razak melaksanakan inisiatif penubuhan Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) bagi membantu orang Melayu menyaingi orang China dengan menyediakan kedai atau tapak perniagaan bagi orang Melayu di kawasan bandar.

"Tun Mahathir juga menerusi PNB berjaya merampas semula seluas lebih 200,000 ekar tanah getah dan kelapa sawit yang dimiliki oleh British (Guthrie) menerusi serangan waktu subuh di London Stock Exchange pada 7 September 1981," katanya lagi.

Saturday, December 17, 2016

Najib tempelak pembangkang tuduh kerajaan jual kedaulatan negara kepada China

KUANTAN, 17 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menempelak pihak pembangkang yang sering kali memutarbelitkan setiap tindakan kerajaan termasuk menuduh menjual 'kedaulatan negara' kepada China ketika lawatan kerjanya ke negara itu baru-baru ini.

Najib berkata tindakan pembangkang itu dilihat cuba untuk menafikan kejayaan yang diraih oleh kerajaan hasil lawatan tersebut sehingga mampu membawa masuk pelaburan bernilai RM144 bilion.

"Mereka selalu hendak menafikan kejayaan besar yang kerajaan lakukan demi manfaat pembangunan negara ini sedangkan sejak arwah bapa saya lagi Tun Razak sudah bekerjasama dengan negara China ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam Gabungan Persatuan Cina Pahang (GPCP) bersempena sambutan ulang tahun ke-31 serta upacara angkat sumpah GPCP dan Persatuan Huazong di sini malam ini.

Majlis turut dihadiri Menteri Pengangkutan yang juga Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Duta Besar China di Malaysia Huang Hui Kang.

Perdana menteri turut menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak adil kerana jumlah pelaburan besar itu memberi manfaat kepada rakyat termasuk pelaksanaan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) sepanjang 620 kilometer.

"Mereka kata kita jual kedaulatan negara kepada China, tetapi dahulu bila Dasar Pandang Ke Timur (diperkenalkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad) dan pelaburan Jepun di Malaysia, tidak pula dibangkitkan isu ini.

"Ia sama sahaja sebenarnya kerana tujuan asas kerajaan ialah mewujudkan pekerjaan serta mengembangkan ekonomi negara dan atas dasar keadilan ia harus memberi manfaat kepada semua," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta semua badan bukan kerajaan seperti GPCP agar terus beri kepercayaan kepada kerajaan untuk mentadbir negara ini kerana kerajaan sedia ada telah membuktikan dapat mentadbir negara dengan baik dan bukan hanya bercakap kosong semata-mata.

Najib berkata hubungan yang erat antara kerajaan bersama badan bukan kerajaan kaum Cina juga mampu menjadi jambatan yang baik dalam mengeratkan lagi hubungan antara dua pihak sekaligus dapat memajukan lagi masyarakat Cina di negara ini.

Sebagai perdana menteri, beliau akan memastikan kerajaan di bawah pentadbiran Barisan Nasional akan menjadi negara yang terus berpegang kepada prinsip kesederhanaan, adil, progresif dan inklusif.

"Inilah sebab kenapa kita berkemampuan untuk kekalkan keamanan dan kestabilan sekaligus mengelakkan daripada sebarang kekacauan berlaku di negara ini," katanya.

-- BERNAMA

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-