Showing posts with label negeri. Show all posts
Showing posts with label negeri. Show all posts

Friday, February 16, 2024

Ketua bahagian Umno tak puas hati rombakan exco Johor

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters 
16 Feb 2024, 9:30am

Ketua-ketua bahagian mendesak pentadbiran negeri agar menggugurkan exco yang tiada jawatan pada peringkat bahagian, menurut sumber.
Hanya tiga ketua bahagian Umno tersenarai dalam barisan baharu exco Johor, iaitu (dari kiri) Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi (Simpang Renggam); Zahari Sarip (Segamat) dan Jafni Shukor (Kulai).

PETALING JAYA: Beberapa ketua bahagian Umno di Johor tidak senang dengan rombakan portfolio exco negeri baru-baru ini, kerana menurut mereka, pemimpin-pemimpin lain yang lebih layak tidak mendapat tempat dalam barisan pentadbiran negeri.

Seorang ketua bahagian, yang enggan namanya disiarkan berkata, rombakan itu sepatutnya melibatkan lebih ramai ketua bahagian.

Rombakan yang diumumkan pada Selasa menyaksikan hanya tiga ketua bahagian Umno terlibat, iaitu Ketua Umno Simpang Renggam Onn Hafiz Ghazi, yang juga menteri besar Johor; Ketua Umno Segamat, Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Zahari Sarip; dan Ketua Umno Kulai, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Jafni Shukor.

Sumber itu berkata, ketua-ketua bahagian mendesak agar pentadbiran negeri menggugurkan exco yang tidak memegang jawatan pada peringkat bahagian.

“Bagaimanapun, apabila barisan (exco) baharu diumumkan, itu tidak berlaku,” katanya.

Majoriti barisan 10 exco pilihan Onn Hafiz terdiri daripada Adun yang tidak memegang sebarang jawatan pada peringkat bahagian, kata sumber itu.

“Ramai Adun lain yang juga ketua bahagian lebih layak, dan sepatutnya dipertimbangkan (sebagai exco),” katanya.

Sementara itu seorang lagi ketua bahagian yang juga enggan namanya disiarkan bersetuju bahawa jawatan exco sepatutnya diserahkan kepada ketua-ketua bahagian.

“Mereka juga mampu memikul tugas itu, jadi saya tidak nampak apa salahnya beri mereka jawatan itu,” katanya.

Tambahnya, langkah melantik ketua bahagian dalam barisan exco juga menunjukkan bahawa kepimpinan parti percaya kepada ahlinya.

“Ini akan mendorong ketua bahagian yang juga exco bekerja lebih keras untuk parti, yang akan membantu parti mencapai prestasi lebih baik pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Bagaimanapun, Pemuda Umno Johor berpuas hati dengan rombakan tersebut, menurut ketuanya, Noor Azleen Ambros.

Pelantikan itu diputuskan oleh menteri besar dan mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, katanya.

Antara yang dilantik sebagai exco ialah Aznan Tamin, yang belum pun berusia 40 tahun. Beliau ditugaskan portfolio pendidikan dan penerangan.

Sumber itu berkata, pelantikan Aznan melengkapi semangat Pemangku Sultan dan menteri besar, yang masing-masing berusia 39 tahun dan 44 tahun.

Dalam rombakan exco pada Selasa lepas, hanya Norliza Noh digugurkan, dengan portfolionya diambil alih Aznan, sementara portfolio beberapa exco lain ditukar.

Friday, January 2, 2015

Bantuan RM500 juta melalui siapa?

SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BAHARU: Naib Presiden PAS, Muhammad Sabu mempersoalkan kenapa anggota polis dan tentera tidak dihantar lebih ramai bertugas untuk membantu mangsa banjir di Kelantan.

Menurutnya, jika Perhimpunan Bersih yang dianjurkan rakyat, kerajaan Malaysia boleh menempatkan sehingga 6,000 orang anggota polis, kenapa dalam kes banjir di Kelantan kerajaan pusat membisu.

“Pergerakan agensi kerajaan Pusat amat menyedihkan seperti polis dan tentera hingga tidak sampai pada tahap yang sepatutnya.

“Kerajaan sewajarnya mengarahkan kakitangannya terutama polis dan tentera untuk membantu mangsa banjir di Kelantan kerana ia melibatkan nyawa manusia,” ujarnya.

Menurut Muhammad lagi, nasib mangsa banjir di pedalaman amat menyedihkan. Banyak rumah yang musnah dan ada yang hilang bumbung seumpama tsunami dan ada yang sehelai sepinggang.

Sebelum ini banjir teruk pernah berlaku di Johor, Pahang dan Terengganu dan kini giliran Kelantan pula namun nasib mangsa banjir di negeri ini tidak ditangani sebaiknya.

Oleh itu tambahnya, rakyat menanggung derita dengan perbelanjaan kewangan yang begitu banyak untuk membina semula keluarga masing-masing.

Pada masa yang sama beliau menyanggah kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengatakan bahawa Malaysia antara yang terbaik di dunia dalam menangani masalah banjir.

Tambahnya lagi, sebagaimana ketika pilihan raya juga, penglibatan polis begitu meluas ketika pilihan raya diadakan.

“Dengan khemah yang besar dan segala bentuk peralatan disediakan termasuk bot walaupun di tempat pengundi yang tidak memerlukannya.

“Namun dalam soal banjir ini ternyata ia amat lemah ditangani oleh Perdana Menteri dan ia amat menyedihkan,” ujarnya lagi.

Muhammad tidak menafikan sumbangan barangan keperluan paling besar masuk ke Kelantan adalah dari badan-badan bukan kerajaan, individu dan tokoh-tokoh koprat.

“Kita ucap terima kasih banyak pada penyumbang yang begitu bermurah hati ketika mana mangsa banjir di Kelantan tidak dilayan sebaiknya oleh pemerintah,” ujarnya.

Katanya, ketika ini sumbangan masih mencura-curah tiba ke Kelantan sehingga hari ini dari negeri-negeri lain untuk membantu termasuk tenaga sukarelawan.

Dalam pada itu Muhammad turut musykil bahawa sumbangan banjir dari kerajaan Pusat sebanyak RM500 juta yang dimaksud itu hanya untuk Kelantan atau termasuk negeri-negeri lain yang terlibat dengan banjir.

Kalau di Kelantan pula contohnya, adakah peruntukan disalurkan melalui kerajaan negeri atau Jabatan Pembangunan Persekutuan.

“Kalau melalui JPP kita tidak boleh berbuat apa-apa, bagaimanapun mengharapkan ia agihannya dilakukan dengan adil,” ujarnya. –HARAKAHDAILY

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-