Showing posts with label nepotisme. Show all posts
Showing posts with label nepotisme. Show all posts

Tuesday, January 31, 2023

PM berada dalam 'bahaya' dengan pelantikan Nurul Izzah - C4

malaysiakini.com
Raveena Nagotra
Diterbitkan: Jan 31, 2023 8:30 AM
Keputusan Anwar Ibrahim melantik anak perempuannya Nurul Izzah sebagai penasihat ekonomi dan kewangan meletakkan perdana menteri itu dalam "kedudukan bahaya”, menurut Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4).

Timbalan ketua pegawai eksekutifnya K Sudhagaran Stanley menyifatkan langkah itu sebagai amalan nepotisme dan berlaku konflik kepentingan.

“Peranan (Izzah) sebagai pro-bono (tak dibayar gaji) adalah tidak relevan. Ia mengenai nepotisme, dan lebih penting lagi isu konflik kepentingan.

"Ini boleh meletakkan PM dalam kedudukan yang sukar dan bahaya,”
katanya kepada Malaysiakini.

Mengulas lanjut, Stanley berkata terdapat kebimbangan bahawa Anwar tersilap langkah dengan melantik ahli keluarga untuk mengisi jawatan penting.

“Terdapat harapan yang tinggi terhadap perdana menteri itu. Dia harus memimpin dan menetapkan standard tadbir urus yang tinggi.

“Menteri lain mungkin akan melakukan perkara yang sama dengan melantik anak perempuan atau ahli keluarga mereka untuk mengetuai portfolio penting. Bagaimana kita dapat mengawal perkara ini?

"Ini pastinya bukan amalan tadbir urus yang baik," katanya.

Nurul Izzah menerima kritikan hebat selepas pelantikan itu didedahkannya semasa temubual dengan The Star.
Selaku ahli politik, Izzah pernah menjadi ahli parlimen selama tiga penggal.

Pada 2008 dia dipilih sebagai Ahli Parlimen Lembah Pantai pada usia 28 tahun.

Namun, sewaktu pilihan raya umum ke-15, dia gagal mempertahankan kerusi Permatang Pauh.

Walaupun Anwar mengesahkan bahawa bekas ahli parlimen Permatang Pauh itu akan melakukan tugasan tersebut tanpa dibayar elaun, keputusan itu mendapat kritikan daripada kedua-dua belah pihak dalam parti mahupun lawan .

Antara yang mengkritiknya termasuk ketua pembangkang Hamzah Zainudin yang menggesa Anwar menarik balik pelantikan itu, serta mendakwa ia bertentangan dengan prinsip tadbir urus yang baik, integriti dan antirasuah.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim pula menyifatkan tindakan melantik Nurul Izzah sebagai salah dari segi moral.

Sementara itu, Stanley mempersoalkan keperluan pelantikan Nurul Izzah, memandangkan sudah ada Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dalam kabinet Anwar.

“Bukankan akan terdapat konflik di sini atau satu pertindihan tugas?

“Cadangan siapa yang perdana menteri akan dengar? Anak perempuannya atau menteri ekonomi? Inilah masalahnya di sini,” katanya.

Dia kemudian mempersoalkan mengapa pelantikan Izzah yang berkuat kuasa 3 Jan, hanya diumumkan semalam.

Menurut Stanley, Anwar sebagai pemimpin utama dalam kerajaan mesti menunjukkan contoh yang baik kepada orang bawahannya.

“Kerajaan mesti segera memulakan reformasi dan ini mesti bermula dari atas.

“Perlu ada isyarat jelas bahawa mereka serius terhadap reformasi. Dengan melantik ahli keluarga, penjawat awam tidak akan yakin bahawa kerajaan ini serius dalam agenda reformasi dan ia hanya memberikan isyarat yang membimbangkan.

"Setiap tindakan yang diambil oleh pemimpin utama di peringkat atasan mestilah mempunyai standard tadbir urus yang tinggi dan memberikan keyakinan kepada orang ramai secara keseluruhannya,” katanya.

Dia menggesa agar ketelusan dalam proses pelantikan politik dengan pemilihan yang hanya mengikut contoh amalan terbaik.

“Kelayakan, permohonan dan proses pemilihan perlu didedahkan kepada umum dan telus supaya individu yang berminat, berpeluang memohon jawatan itu,” katanya.

Jika Anwar mahukan individu yang paling layak memegang jawatan itu, ruang perlu dibuka kepada orang ramai memohon jawatan tersebut, kata Stanley.

“Bagaimana kita boleh yakin bahawa Izzah adalah orang yang paling layak dipilih untuk tugas itu?

"Apakah penanda aras yang kita letakkan di sini?" soalnya.

Sunday, July 29, 2018

Reputasi S'ngor terjejas dakwaan kronisme, kata MP PKR

Alyaa Alhadjri
Diterbitkan 29 Jul 2018, 9:32 malam


Pemimpin kanan PKR mendesak kepimpinan di Selangor menyiasat dakwaan kronisme dan nepotisme di dalam parti kerana ia berpotensi untuk menjejaskan reputasi kerajaan negeri.

MP Sungai Petani Datuk Johari Abdul berkata walaupun beliau tiada maklumat mengenai dakwaan yang dibuat pemimpin AMK Selangor yang meletak jawatan daripada parti itu, namun terdapat asas bagi kepimpinan negeri untuk menyiasat perkara berkenaan.

"Saya tidak ada maklumat tapi mengikut apa yang mereka kata, saya harap kerajaan Selangor siasat sebab tuduhan disebut agak serious.

"Ia melibatkan bukan sahaja masalah imej tapi mungkin juga salah laku kewangan dan sebagainya," kata Johari kepada pemberita selepas suatu majlis di Ampang yang mengumumkan pasukan Rafizi Ramli dalam pemilihan PKR akan datang ini.

Johari berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai peletakan jawatan Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor Syed Badli Shah Syed Osman dan Ketua AMK Sabak Bernam Abdul Mutalib Ahmad kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan kepimpinan negeri.

Semalam, Mutalib, menyatakan kekesalan kerana mendakwa tiada seorang pun belia dari Sabak Bernam dilantik sebagai ahli majlis tempatan dan mendakwa "taktik kotor dan kronisme telah menjadi kanser di parti" dan oleh itu memutuskan untuk meletak jawatan daripada PKR.

Terdahulu semasa majlis itu, Johari diumumkan Rafizi sebagai pesaing untuk jawatan naib presiden PKR.

[Baca berita penuh]

Friday, July 27, 2018

Setiausaha AMK S'gor letak jawatan, dakwa kronisme, nepotisme


Menjelang pemilihan parti bulan depan, Setiausaha Pemuda PKR Selangor Syed Badli Shah Syed Osman mengumumkan peletakan jawatan selepas mendakwa berlaku amalan kronisme dan nepotisme di kalangan pimpinan parti di negeri itu.

Syed Badli mendakwa sikap mementingkan kroni semakin parah apabila hanya 'pengikut kabilah' tertentu diberikan habuan dari segi jawatan lantikan politik.

"Saya menyelar sikap segelintir pemimpin PKR Selangor yang menjadikan habuan jawatan lantikan politik sebagai usaha untuk mengekalkan pengaruh dan kuasa.

"Secara jelas jawatan- jawatan lantikan politik hanya diberikan kepada mereka yang menunjukkan taat setia kepada kabilah tertentu dan tidak lagi menerusi merit," dakwanya dalam satu kenyataan media.

Syed Badli mendakwa dalam penentuan jawatan ahli majlis misalnya nama-nama mereka yang dicadang daripada peringkat cabang diketepikan walaupun sudah 'berjuang sekian lama' dalam parti itu.

"Sikap kuku besi terserlah dengan tidak meraikan perbezaan pendapat dan dianggap menderhakai kepimpinan negeri.

"Budaya tegur-menegur tidak lagi subur dalam Keadilan (PKR) Selangor akibat dari sikap angkuh dan sombong segelintir kepimpinan negeri.

"Mereka lebih gemar kepada ahli yang hanya tunduk dan patuh tanpa mengeluarkan sebarang pendapat yang bercanggah," dakwanya.

Justeru itu, Syed Badli berkata beliau meletakkan jawatan berkuat-kuasa serta merta sebagai setiausaha AMK Selangor kerana menganggap demokrasi telah mati dalam PKR Selangor.

"Saya juga menggesa kepimpinan utama Parti Keadilan Rakyat untuk campur tangan dalam isu pembahagian jawatan lantikan politik di Selangor yang jelas kelihatan berat sebelah," katanya.

PKR Selangor dipimpin oleh pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga merupakan bekas menteri besar Selangor.

Malaysiakini sedang berusaha untuk mendapatkan respon daripada pimpinan PKR Selangor berikutan dakwaan Syed Badli Shah.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-